Edited by achik2009 at 24-4-2017 09:12 PM
'Bukan sekarang...' [METROTV]
Mohd Rizal Abdullah
[email protected]
Miri: "Mungkin satu hari nanti saya akan menerima permohonan maaf itu, tetapi bukan sekarang," kata bekas pelari pecut negara Watson Nyambek.
Watson berkata demikian pada sidang media di hotel di Miri hari ini selepas bertemu pengurusan Primeworks Studios Sdn Bhd(PWS) diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Izham Omar.
Pertemuan itu turut dihadiri Azizul Ammar Abu Hassan pengacara rancangan Sukan Tak Sentral yang mencetuskan kontroversi apabila mempersendakan nama mendiang bapa Watson dalam rancangan itu.
Semalam, PWS yang diwakili Ahmad Izham memohon maaf kepada Watson.
Menurut Watson, dia masih belum dapat menerima perbuatan berkenaan yang dianggap keterlaluan.
Katanya, dia kini menyerahkan perkara itu kepada polis untuk tindakan seterusnya selepas membuat laporan polis hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar dalam kenyataannya hari ini mengesahkan menerima laporan Watson Nyambek dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Ahmad Izham berkata, rancangan Sukan Tak Sentral dibatalkan serta merta manakala tujuh krew produksi termasuk pengacara dan penerbit rancangan itu digantung tugas.
Katanya Azizul Ammar digantung dalam tempoh yang belum ditetapkan.
“Dalam tempoh penggantungan itu, Ammar tidak akan dipanggil oleh mana-mana rancangan terbitan PWS.
"Perbuatan mempersendakan nama baik bapa Watson adalah salah dan tidak sepatutnya berlaku.
"Kami akui perbuatan itu menyinggung perasaan Watson dan seluruh keluarganya," katanya.
Katanya, pihaknya amat menghormati Watson sebagai seorang atlet yang banyak berjasa kepada negara.
Sementara itu, Ammar berkata, dia tidak mempunyai niat untuk mempersendakan nama mendiang bapa Watson.
"Saya memohon maaf kepada Watson dan keluarganya atas keterlanjuran berkenaan," katanya.
http://www.hmetro.com.my/node/224065
|