KUALA LUMPUR, 15 Jan ― Selepas reda kontroversi sekumpulan anak muda memanjat papan tanda “IPOH”, kini muncul pula seorang lelaki yang berbuat demikian. Bezanya, perkataan IPOH yang didaki pemuda terbabit, seperti dipaparkan di Instagram, kelihatan diambil di bukit yang lebih rendah tepi lebuh raya PLUS. Hujung bulan lalu, sekumpulan lapan anak muda, termasuk tiga gadis, mendaki dengan penuh gaya ngeri di papan tanda ibu negeri itu di tepi Jalan Kuala Kangsar. Dua keping foto yang dimuatkan pemuda itu di laman sosial tersebut, kira-kira 17 jam lepas, antaranya menunjukkan beliau berdiri di atas huruf P. Papan tanda IPOH yang kelihatan dari PLUS arah utara, seperti didaki lelaki itu, dan selatan diselia Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). Datuk Bandar Ipoh Datuk Zamri Man berkata MBI belum menerima maklumat lengkap berkaitan perkara itu, lapor portal Sinar Harian. “Saya akan kumpul maklumat kes ini dahulu termasuk identiti lelaki yang terlibat sebelum mengulas lanjut,” katanya. Pada 4 Januari, selepas memberi keterangan kepada polis dan bertemu exco belia dan sukan Perak, kumpulan remaja itu memohon maaf dan berjanji tidak mengulangi perbuatan itu. “Bukan kami yang menyebarkan gambar aksi kami di papan tanda IPOH,” kata wakil mereka Norfarihan Baharuddin selepas bertemu Datuk Shahrul Zaman Yahya. “Ia tersebar selepas kami ditemubual oleh satu laman sosial dan kami tidak menyangka ia menjadi viral.”
|