Inilah perangai manusia zaman sekarang. Mudah melatah dan cepat melenting apabila agama sendiri dipersenda, tetapi dalam masa sama dia juga mempersenda agama lain.
Bagus dah kerana mempertahankan agama sendiri. Tetapi yang tidak bagusnya adalah diri sendiri pula seronok melihat agama lain dipersendakan, malah ada juga yang bangga menjadikan agama lain sebagai bahan jenaka.
Dikongsi dari laman sosial Facebook Persatuan Makcik Puaka, seorang netizen dengan bangganya berkongsi sebuah kenyataan biadap mempersendakan agama Buddha.
"Dikhabarkan patung buddha yang baring tu, dah bangun berdiri sebab air banjir dah masuk telinga dia," tulis netizen berkenaan.
Lebih biadap apabila ada dari kalangan rakan-rakannya yang turut sama mempermainkan agama Buddha.
Apa yang menghairankan adalah, pemilik akaun Facebook itu merupakan seorang gadis berpurdah. Sanggup dia memuat naik perkongsian sedemikian.
Perkongsian itu dikecam netizen lain yang turut mempertikaikan sikap dan perangai tidak senonoh netizen berkenaan walaupun berpurdah.
Adakah anda tergolong dalam kalangan mereka yang terhibur dengan jenaka mempersendakan agama lain? - CARI |