Sumber Foto: Melvister.com
Susulan isu berkenaaan hak penjagaan dua beradik yatim piatu yang ibu bapanya maut nahas jalan raya Mei lalu, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan campur tangan sekiranya ia gagal diselesaikan oleh ahli keluarganya.
Menurut kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim kepada Bernama, “Kami memang ada hak mengambil penjagaan anak ini (diletakkan di institusi kebajikan) bagi kepentingan kanak-kanak itu. Namun, ia adalah pilihan terakhir. Apa yang saya utamakan ialah mereka diberi kasih sayang sepenuhnya.”
Difahamkan selepas kemalangan maut tersebut, ahli keluarga dua beradik berkenaan telah menyerahkan hak penjagaan kepada salah seorang daripada mereka, namun sekarang mereka berebut sesama sendiri untuk mendapatkan hak yang sama.
Keadaan ini amat mengecewakan dan pihak JKM sedang mendapatkan maklumat lengkap berkenaan dua beradik tersebut yang dikenali sebagai Amira, 8 dan Aqilah, 5 sebelum tindakan lanjut diambil.
Tambah Rohani, “Ia adalah pertikaian keluarga. Saya harap mereka dapat selesaikannya supaya berada pada keadaan terbaik untuk menjaga dua kanak-kanak itu."
Sekarang dua beradik tersebut di bawah hak penjagaan kakak kepada mangsa yang maut, Yusnidah Hussain.
Kekecohan ini berlaku gara-gara berlaku pertikaian berkaitan wang sumbangan orang ramai antara Yusnidah dengan adik beradiknya menyebabkan masalah itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur. -CARI |