|
Cantik itu adalah subjektif. Ada yang mahu cantik luaran untuk kepuasan diri sekali gus meningkatkan tahap keyakinan diri. Tak kurang juga yang pentingkan kecantikan dalaman. Kalau memiliki kedua-dua kecantikan ini, lagi bagus.
Kepada anda yang ingin kelihatan cantik tapi mahu berjimat, mari kita buat sendiri skrub muka diperbuat dari beras! Tak perlu keluar modal banyak, hanya memerlukan sedikit daya usaha untuk pembikinan 'homemade' skrub ini. Tak susah mana pun, kesemua bahan digunakan boleh didapati di dapur anda.
Tips kulit cantik ala tradisonal Thailand ini sangat sesuai bagi wanita yang ingin berubah seperti artis cantik film-film Thailand. Skrub beras ini bukan sahaja boleh mencerahkan kulit muka dan badan, ia juga membuatkan kulit lebih berseri tidak kusam. Selain itu, kulit jadi lebih licin, lembut, halus dan mulus.
Bahan-bahannya:
1. Beras - Guna beras yang ada di dapur anda untuk tanak nasi setiap hari (bebas nak pakai jenama apa pun). Kuantiti beras terserah kepada anda mahu guna banyak mana. Kalau buat banyak, boleh disimpan dan mudah untuk diguna bila-bila masa.
2. Kunyit (opsyenal) - Seeloknya guna kunyit hidup tapi kalau tak ada, guna serbuk kunyit pun tak mengapa. Hiris halus-halus dalam seruas.
Cara menggunakannya:
1. Kisar kering atau tumbuk beras dan kunyit. Jangan kisar terlalu kasar, nanti terluka pula badan dan jangan terlalu halus, takut tak terasa pula masa skrub nanti.
2. Basahkan muka atau badan terlebih dahulu kemudian ambil kuantiti beras kisar yang diperlukan, sapu dan gosok pada mana-mana bahagian yang diperlukan. Nak skrub seluruh badan pun boleh kalau anda rajin. Ingat! Jangan gosok terlalu kuat dan kasar pada muka, bimbang terluka. Amalkan dua atau tiga kali seminggu, dan lihatlah hasilnya!
3. Skrub ini boleh dicampurkan dengan madu, lemon atau asam jawa semasa digunakan.
4. Jika muka anda berjerawat atau bermasalah seperti kering, akan rasa sedikit pedih tapi tak membahayakan.
Kelebihan skrub buatan sendiri ini tidak menggunakan bahan kimia, jadi ianya terjamin lebih selamat sebab kita sendiri tahu apa kandungan yang digunakan. Selain kulit akan rasa lebih lembut dan halus, skrub ni mampu menanggalkan sel-sel mati pada kulit.
Mudah saja kan? Semudah belajar ABC. Selamat mencuba dan menjadi lebih cantik! - CARI |
|