|
Che Abdul Roni bersama isterinya menunjukkan lilin yang digunakan setiap malam.
TUMPAT – Kemiskinan hidup memaksa sebuah keluarga di sini hidup bergelap selama tiga tahun selepas bekalan elektrik di rumah usangnya dipotong apabila bil tertunggak mencecah RM1,000.
Keluarga Che Abdul Roni Che Mat, 43, dan isterinya, Noremi Mat Ruzi, 38, serta enam anak mereka terpaksa mengharungi kepayahan hidup itu bertahun-tahun lamanya.
Che Abdul Roni berkata, kekangan kewangan memaksa dia hidup bergelap tanpa bekalan elektrik kerana tidak mampu menjelaskan bil tertunggak berkenaan.
Katanya, setiap kali tiba waktu malam, hatinya sayu melihat keadaan isteri meraba-raba memasak di dapur manakala anak-anak menyiapkan kerja sekolah diterangi lilin.
“Setiap malam kami terpaksa menggunakan lilin untuk menerangi rumah kami. Mujur di tepi rumah kami ini ada lampu jalan, cahaya lampu jalan yang samar-samar ini dikongsi anak-anak untuk menyiapkan kerja sekolah,” katanya ketika di temui di rumahnya di Kampung Palekbang.
Che Abdul Roni berkata, hidup diterangi cahaya lilin juga mengundang bahaya kepada keluarganya kerana mempunyai anak bongsu yang masih kecil berusia setahun.
Katanya, sudah dua kali kejadian lilin terbalik dan nyaris membakar rumah ini tetapi bersyukur kerana hanya kebakaran kecil sahaja.
“Saya cuba mengumpul wang itu, tetapi dengan bekerja sebagai buruh ini, wang itu masih tak cukup. Nak makan pun tak cukup, inikan pula nak kumpul wang hampir RM1,000. Ini kali kedua bekalan elektrik di rumah saya di potong, kali ini tertunggak lima bulan,” katanya.
Menurutnya, Ramadan kali ini merupakan tahun ketiga mereka sekeluarga berbuka puasa dalam keadaan gelap dan hanya diterangi cahaya lilin.
Katanya, anak-anak juga sudah lama tidak menonton televisyen dan dia sendiri pun tidak mengetahui perkembangan semasa.
“Rumah saya tiada barangan elektrik, tiada televisyen, tiada peti ais dan tiada telefon, kalau anak-anak nak menonton televisyen mereka ke rumah saudaranya,” katanya.
Che Abdul Roni bukan sahaja hidup bergelap malah keadaan rumahnya usang dengan bumbung bocor dan rantai reput. Keluarga ini adalah penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.
http://www.sinarharian.com.my/edisi/...gelap-1.525368
|
|