'Gunakan masa sebaik-baiknya dengan anak' - Da'i Syed
SHAH ALAM: Pendakwah bebas, Da'i Syed atau Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 29, bersyukur dapat meluangkan masa bersama isteri dan anaknya selepas dilepaskan dengan jaminan, Jumaat lalu. Syed berkata, tidak semua rancangannya untuk bersama anak kesampaian kerana perancangan Allah itu lebih baik. "Alhamdulillah, syukur kepada Allah sudah dapat lihat anak dan isteri. Saya sempat jumpa anak 16 hari sebelum dipenjara. "Saya impikan untuk lakukan beberapa aktiviti. Contohnya, baca buku dengan anak dan sebagainya, tapi takdir Allah. Saya ingat, Jumaat itu saya nak cukur kepala anak saya selepas selepas kes mahkamah
"Tapi, Allah yang sebaik-baik perancang. Saya pula yang dibotakkan kepala," katanya. Ditanya mengenai urusan kerja, Syed berkata, dia akan mulakan semula untuk mencari rezeki. "Kerja banyak terganggu. Insya-Allah, saya akan mulakan balik. Mungkin berniaga dan apa-apa yang boleh untuk cari rezeki semula," katanya. Sementara itu, isterinya, Hana Ismail meluahkan rasa syukur dan ingin menghabiskan masa bersama suaminya kerana masa adalah pinjaman. "Alhamdulillah, syukur. Lega apabila suami dapat penangguhan. Kita semua manusia diberi pinjaman masa sebenarnya. "Jadi, saya nak habiskan masa sebaik mungkin bersama suami dan anak saya selagi boleh," katanya. Ditanya mengenai keadaannya selepas dikecam hebat sejak suaminya dijatuhi hukuman, Hana berkata, tidak semua kritikan itu bersifat menghentam kerana masih ramai lagi yang mengambil berat. "Allah Maha Baik. Tak semua orang begitu (menghentam). Ada ramai orang di luar sana yang baik-baik dan sangat ambil berat dengan kami. "Jadi, walaupun pada mereka mungkin kami tak layak, tapi kerana ehsannya tinggi, akhlaknya baik, jadi, Alhamdulillah," katanya. Syed ditemui di Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas mahkamah menetapkan tarikh sebutan untuk kes rogol membabitkannya pada 5 November 2024. Terdahulu, Syed dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen kerana merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu.
https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2024/09/1302313/gunakan-masa-sebaik-baiknya-dengan-anak-dai-syed
|