|
Gempa bumi landa Indonesia, Filipina
Mac 14, 2022 @ 3:24pm
Gambar diedarkan Penyelidikan Geologi Amerika Syarikat (USGS) menunjukkan lokasi gempa bumi kira-kira 167 km ke barat bandar Pariaman, Sumatera di Indonesia. - Foto ihsan USGS
JAKARTA: Gempa bumi kuat dan cetek menggegarkan kawasan barat Indonesia dan pulau utama Filipina awal pagi tadi.
Ia mengakibatkan bangunan bergoyang dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan penduduk, memaksa mereka melarikan diri, bagaimanapun tiada kematian ataupun kemusnahan direkodkan.
Mengikut maklumat Penyelidikan Geologi Amerika Syarikat (USGS), di Indonesia, gempa bumi magnitud 6.7 menggegarkan pantai barat pulau Sumatera, manakala di Filipina, gempa magnitud 6.4 melanda 110 kilometer (km) dari Pulau Luzon.
Menurut pegawai di kedua-dua negara, tiada laporan serta-merta direkodkan mengenai kematian atau dan kerosakan mahu pun ancaman tsunami berpunca daripada gegaran berkenaan.
Gegaran di Indonesia berlaku pada jam 4.06 pagi waktu tempatan pada kedalaman 21 km dengan pusat gempa 167 km ke barat bandar Pariaman, Sumatera.
"Gempa bumi dirasai kuat selama seminit, penduduk panik akibat aktiviti geologi," kata Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan Indonesia (BNPB) dalam satu kenyataan.
Paling dirasai adalah di Nias dan Kepulauan Hibala dekat Sumatera Utara, yang tidak berpenduduk padat dengan hanya beberapa penduduk tinggal dalam rumah kayu di situ.
Seorang penduduk Nias Selatan, Zagoto, 50, berkongsi detik sewaktu gegaran berlaku di kawasan pantai, menyebabkan dia bergegas melarikan diri ke luar bersama keluarganya.
"Saya sedang lena tidur tetapi gempa bumi mengejutkan saya, ia sangat kuat," katanya kepada AFP.
Menurut Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia (BKMG), gegaran awal diikuti dengan beberapa siri gempa susulan yang kuat. |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|