CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: Vellfire

[Borneo] Rumah Borak Borneo~Auk ajaklah

[Copy link]
 Author| Post time 20-2-2026 10:50 PM | Show all posts
Dr Yatimah Sarjiman dilantik Pengarah Kim Teck Cheong
Februari 20, 2026, Jumaat - 2:19pm



KOTA KINABALU: Kim Teck Cheong Consolidated Berhad mengumumkan pelantikan Datuk Dr Yatimah Sarjiman sebagai Pengarah Syarikat berkuatkuasa hari ini.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Dexter Lau berkata, Lembaga Pengarah menyambut baik pelantikan itu dan yakin pengalaman luas Datuk Dr Yatimah mampu membawa nilai signifikan kepada kumpulan.

“Datuk Dr Yatimah membawa lebih tiga dekad perkhidmatan awam yang cemerlang serta kepimpinan strategik dalam perancangan nasional, pembangunan ekonomi dan tadbir urus.

“Kedalaman pengalaman serta pandangan dasar beliau akan memperkukuh lagi Lembaga Pengarah ketika kami terus memacu pertumbuhan mampan dan penciptaan nilai jangka panjang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Yatimah mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam perancangan dasar awam, pengurusan sumber manusia dan kewangan, pembangunan ekonomi serta pentadbiran wilayah dan sosial, selain hubungan antarabangsa serta hal ehwal luar negeri.

Sepanjang 34 tahun dalam perkhidmatan awam, beliau pernah memegang beberapa jawatan strategik termasuk Timbalan Ketua Setiausaha di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Pertanian serta Timbalan Pengarah Bahagian Infrastruktur dan Utiliti di Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri.

Terbaharu, ketika menyandang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral) di Kementerian Ekonomi Malaysia, beliau memainkan peranan penting dalam merangka Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 yang dibentangkan di Parlimen.

Beliau turut menyumbang kepada Pelan Peralihan Tenaga Nasional (NETR) yang dilancarkan pada Julai 2023 serta Dasar Tenaga Negara 2022, dalam usaha menyokong aspirasi Malaysia menjadi negara rendah karbon menjelang 2040.

Selain peranan baharu di Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, Datuk Dr Yatimah kini menganggotai lembaga beberapa organisasi utama termasuk PETRONAS Gas Berhad, Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), Felda Investment Corporation Sdn Bhd, PR1MA Communications Sdn Bhd dan UEM Group Berhad.

Dari segi akademik, beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dalam Sistem Maklumat Perakaunan dari Idaho State University, Amerika Syarikat; Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dalam Perakaunan dan Kewangan dari Northrop University, Amerika Syarikat; serta Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Utara Malaysia.

Lembaga Pengarah menzahirkan keyakinan bahawa pelantikan itu akan memperkukuh kerangka tadbir urus syarikat serta memacu pencapaian objektif strategik Kim Teck Cheong Consolidated Berhad pada masa hadapan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 20-2-2026 10:52 PM | Show all posts
HPN memperkuat jaringan wartawan serumpun
Februari 20, 2026, Jumaat - 2:53pm

Banten membawa isyarat dan semangat baharu media dan kewartawanan di tengah gelombang digitalisasi



HIMPUNAN: Majlis perasmian acara puncak HPN 2026 di Kota Serang, Banten.

HARI Pers Nasional (HPN) di Kota Serang, Banten, Indonesia, membawa impak dan kenangan bermakna, dalam mengharungi gelora dunia kewartawanan era baharu.

Secara peribadi, penyertaan saya dalam HPN meninggalkan jejak yang bukan sedikit. Ini kerana ketika disrupsi digital menguji ketahanan pemberitaan, HPN tampil sebagai ruang muhasabah dan pengukuhan tekad.

Penyertaan dalam HPN buat kesekian kalinya, menemukan saya dengan kalangan pemain industri media sejiran, sekaligus memperkukuh ikatan silaturahim pendukung media dua negara serumpun.

Saya menghadiri beberapa siri tahunan HPN di pelbagai pulau seluruh Indonesia, antaranya di kota Ambon, Padang, Medan hingga ke Danau Toba, selain Jakarta berulang kali.

Di Banten kali ini, saya ketemu lagi dengan sejumlah kenalan media Indonesia yang pernah bersama-sama dalam beberapa siri sebelumnya.

Sebahagian mereka juga pernah hadir dalam sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) di Malaysia.

Rombongan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) Malaysia diketuai Pemangku Presiden Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, hadir ke Banten, bersama beberapa pimpinan Pusat dan anggota Majlis Pentadbir.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-2-2026 10:53 PM | Show all posts


DIALOG SERUMPUN: Penulis (kiri) menjadi moderator sesi dialog antara wartawan Malaysia dan Indonesia.
Sebagai Ahli Majlis Pentadbir ISWAMI Malaysia, saya menjadi wakil tunggal dari Sabah.

Manakala seorang rakan ahli Majlis Pentadbir dari Sarawak, Datuk Dr Jeniri Amiir, pula melakar sejarah buat pertama kali membawa delegasi terbesar sembilan pengamal media dari Bumi Kenyalang.

HPN lazimnya dirasmikan Presiden Indonesia, tetapi kali ini Presiden Prabowo Subianto diwakili Menteri Koordinator Pemberdayaan Masyarakat, Muhaimin Iskandar.

Di hadapan lebih 2,000 wartawan dari seluruh pelosok Indonesia, Muhaimin menegaskan bahawa pers memiliki peranan strategis dalam menjaga kualiti demokrasi, memperkuat pemberdayaan masyarakat serta mendukung agenda pembangunan nasional di tengah tantangan disrupsi digital.

Sebagai pengisian HPN, satu program Makan Siang dan Dialog ISWAMI bersama rakan media Indonesia diadakan seusai perasmian acara puncak, dan saya diberi tanggungjawab menjadi moderator.

Majlis dialog itu dihadiri oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching sebagai tetamu kehormat.

ISWAMI Malaysia diketuai oleh Ahmad Zaini, manakala delegasi ISWAMI Indonesia dipimpin Presidennya, Asro Kamal Rokan.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-2-2026 10:53 PM | Show all posts


INOVATIF: Penulis bergambar di ruang lobi pejabat Tempo.
Dalam mukadimah sesi dialog itu, saya menitipkan harapan agar kebersamaan menerusi ISWAMI dapat memperkuat jaringan kolaborasi antara media, membuka peluang kerjasama lintas negara, serta memperteguh komitmen untuk menjaga integriti dan kualiti kewartawanan serantau.

Bagi saya, HPN bukan sekadar peringatan seremonial, sebaliknya momentum refleksi peranan strategis wartawan dalam membangun masyarakat yang kritis, berpengetahuan, dan berkeadaban di tengah dinamika global yang terus berubah.

Justeru, dialog itu menjadi ruang penting untuk  mempererat hubungan media serantau, khususnya antara Indonesia dan Malaysia, yang memiliki kedekatan sejarah, budaya, dan cabaran jurnalistik yang semakin kompleks di era digital kini.

Saya turut menyampaikan pujian dan penghargaan kepada para pemimpin redaksi akhbar di Indonesia yang terus konsisten menjaga maruah kewartawanan, memperkuat fungsi wartawan sebagai tiang demokrasi, serta menjunjung tinggi etika dan profesionalisme dalam setiap karya pemberitaan.

Ia bersesuaian dengan tema HPN tahun ini, `Pers Sehat, Ekonomi Berdaulat, Bangsa Kuat' yang mengangkat status wartawan sebagai pembangun negara bangsa, menuju Indonesia Emas  sebagai slogan pembangunan menjelang tahun 2045.

Di luar acara, saya mengambil kesempatan menyertai delegasi media Sarawak melawat ke dua konglomerat media Indonesia, iaitu Majalah Tempo dan The Jakarta Post, di tengah kota Jakarta yang pesat membangun.

Dalam kunjungan itu, kami berpeluang bertukar pandangan mengenai pelbagai perkembangan melingkari dunia kewartawanan dan persuratkhabaran, cabaran digitalisasi dan rempuhan media sosial.

Persinggan pertama di kantor Majalah Tempo, yang kini sudah mengadaptasi perubahan industri media konvensional dan menyesuaikan operasinya mengikut aliran dunia terkini, merangkumi majalah bercetak Tempo dan portal berita digital Tempo.co.

Redaktur utama Tempo, M Reza Maulana, bersama pasukannya memberi penerangan serta membawa kami meninjau ruang operasi.

Didirikan pada 6 Mac 1971, Tempo merupakan majalah berita mingguan Indonesia yang terkenal dengan laporan politik mendalam, kritis, dan bebas, dengan gaya kewartawanan yang tajam lagi berani.

Berpasak pada slogan `Enak Dibaca dan Perlu', Tempo pernah diharamkan pada 1982 dan 1994 sebelum bangkit semula selepas era Reformasi.

Ia merupakan majalah berita independen pertama di Indonesia yang tidak terikat dengan pemerintah, sering menyajikan laporan investigasi yang kritis terhadap kekuasaan.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-2-2026 10:54 PM | Show all posts


M REZA MAULANA
Selesai di Tempo, kami bergerak ke The Jakarta Post yang berjarak dekat, dan disambut Ketua Pengarangnya sendiri, Taufiq Rahman.

Kami bersalaman dan masing-masing terkejut kerana tahun lepas, kami duduk semeja bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sewaktu sambutan HAWANA di Kuala Lumpur.

Taufiq teringat benar, sambil berkata: `Kita duduk bersebelahan di HAWANA Kuala Lumpur, satu meja bersama Perdana Menteri, dan anda berucap mewakili media Malaysia'.

The Jakarta Post adalah akhbar harian berbahasa Inggeris terkemuka di Indonesia, diasaskan pada 25 April 1983.

Ia menyajikan laporan secara mendalam dan berkualiti untuk ekspatriat, warga asing, dan golongan profesional Indonesia, memfokuskan kepada politik, perniagaan, dan budaya.

Seperti konglomerat media lain, The Jakarta Post juga mengalami cabaran globaisasi, termasuk ketika pasca krisis kewangan 1997, namun mampu bertahan sehingga kini lantaran pelbagai usaha dan pendekatan praoaktif yang dilaksanakannya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-2-2026 10:54 PM | Show all posts


AKRAB: Penulis dan Taufiq bergambar di ruang depan pejabat The Jakarta Post.
Hakikatnya, HPN kali ini meninggalkan kesan mendalam dan memberikan inspirasi mendalam mengenai pentingnya bagi pemain industri media melakukan evolisi dalam pengoperasian selain mengadaptasi perkembangan dunia digitalisasi.

HPN Banten mengingatkan saya bahawa kewartawanan bukan sekadar profesionalisme, tetapi sebenarnya amanah zaman.

Dalam deras arus maklumat tanpa sempadan, wartawan dituntut bukan sahaja pantas, tetapi tepat. Juga bukan sekadar berani, tetapi harus beretika.

Pertemuan bersama rakan media Indonesia, sama ada di pentas dialog mahupun di meja diskusi editorial, membuktikan bahawa cabaran yang kita hadapi hampir serupa.

Disrupsi teknologi, perubahan model perniagaan dan hakisan kepercayaan awam menuntut pendekatan baharu yang lebih kreatif dan kolaboratif.

Justeru, jaringan serumpun yang terjalin ini bukan sekadar simbolik, tetapi strategi masa depan.
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 20-2-2026 10:54 PM | Show all posts

MUHIBAH: Menteri di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Hairul Reaza (lima kanan) meraikan delegasi wartawan Malaysia pada jamuan malam sempena HPN 2026.

Media yang bertahan ialah media yang berani berubah tanpa mengorbankan prinsip asas kewartawanan—ketepatan, keseimbangan dan keberanian menyatakan kebenaran.
Tradisi dan inovasi harus bergerak seiring, bukan saling menafikan.

Sebagai pengamal media, saya melihat penyertaan ini sebagai jambatan kecil yang menghubungkan suara di pinggiran dengan wacana di pusat.

Kehadiran delegasi Malaysia, termasuk dari Sabah dan Sarawak, memperkaya perspektif serantau dan menegaskan bahawa kewartawanan Nusantara memiliki kekuatan kolektif yang wajar diperkasa.

Ia memperkukuh keyakinan bahawa masa depan kewartawanan terletak pada keupayaan untuk berevolusi tanpa menggadaikan prinsip.

Di antara idealisme dan realiti pasaran, antara kelajuan media sosial dan tuntutan ketepatan fakta, wartawan tetap berdiri sebagai tiang seri demokrasi.

Sempena HPN, saya belajar sekali lagi bahawa kekuatan wartawan bukan hanya pada berita yang ditulis, tetapi pada jaringan kepercayaan dan solidariti yang terus dipelihara merentasi sempadan

Dari kota Serang Banten, saya bawa pulang semangat itu —sebagai tekad untuk terus menulis dengan nurani dan mempertahankan maruah kewartawanan.


Sumber : Utusan Borneo

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-2-2026 10:57 PM | Show all posts
PUSPABUMI gesa penyelarasan rapi dua kementerian sebelum tubuh ‘task force’
Februari 20, 2026, Jumaat - 3:23pm



MAD ZAFAR

SEMPORNA: Sebarang cadangan penubuhan pasukan petugas khas (task force) bagi menangani isu industri pelancongan di Semporna perlu melalui proses perbincangan dan penyelarasan rapi antara dua kementerian berkaitan terlebih dahulu.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Syarikat Pelancongan Bumiputera Tempatan Semporna (PUSPABUMI), Mad Zafar Mad Zahala berkata, isu premis penginapan bukan terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS).

Sebaliknya, katanya, ia turut membabitkan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah (KKTP) yang mempunyai kuasa dalam aspek kerajaan tempatan serta perlesenan berkaitan.

“Perkara ini memerlukan susulan perbincangan rasmi dan penyelarasan jelas antara kedua-dua kementerian supaya sebarang keputusan yang dibuat tidak bercanggah dari segi dasar dan pelaksanaan.

“Hanya selepas penyelarasan dicapai, barulah cadangan penubuhan taskforce dapat dilaksanakan secara sah, tersusun dan benar-benar berkesan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, koordinasi yang mantap penting bagi memastikan tindakan diambil bersifat menyeluruh, adil serta tidak menjejaskan pengusaha tempatan yang sudah lama beroperasi dan menyumbang kepada pembangunan pelancongan di Semporna.

Terdahulu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin dilaporkan berkata kerajaan negeri menubuhkan pasukan petugas khas pemantauan industri pelancongan Semporna bagi memastikan tadbir urus dan penguatkuasaan lebih berkesan.

Bagaimanapun, PUSPABUMI berpandangan pendekatan terbaik ketika ini ialah memperkukuh komunikasi dan penyelarasan antara KePKAS serta KKTP terlebih dahulu agar sebarang langkah susulan dapat dilaksanakan secara teratur tanpa menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pemain industri.

Sebelum ini, PUSPABUMI menggesa kerajaan negeri mempermudahkan proses permohonan lesen dan tanah bagi membantu kelangsungan pengusaha pelancongan bumiputera di daerah berkenaan.

Isu pelesenan dan tanah memberi impak besar khususnya kepada pengusaha kecil dan sederhana yang berdepan kekangan kewangan serta prosedur pentadbiran rumit.

PUSPABUMI mencadangkan supaya jawatankuasa khas ditubuhkan bagi meneliti isu pelesenan dan tanah selain mewujudkan pejabat Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTU) di Semporna bagi mempercepatkan proses permohonan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 20-2-2026 11:03 PM | Show all posts
Wanita warga emas ditemui meninggal dunia di tepi jalan
Februari 20, 2026, Jumaat - 11:00am

SARATOK:  Seorang wanita warga emas ditemui terbaring dan meninggal dunia di tepi jalan di kawasan Sungai Anak, Roban, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah (KPD) Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, wanita tersebut telah ditemui oleh orang awam yang melalui jalan tersebut pada jam 6.40 pagi.

“Sejurus menerima laporan tersebut, sepasukan anggota dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Saratok bersama dengan sebuah ambulans dan beberapa anggota polis telah dikerahkan ke lokasi berkenaan.

“Pihak APM Saratok telah berusaha  memberikan pertolongan kecemasan kepada mangsa namun tiada tindak balas dari mangsa dan telah disahkan  meninggal dunia.

“Mayat mangsa, Yong Swee Suong, 82 tahun telah dibawa ke Hospital Saratok untuk tindakan selanjutnya,” kata Mathew kepada media, semalam.

Menurut Mathew, berdasarkan keterangan awal daripada anaknya, mangsa baharu sahaja keluar dari Hospital Sarikei akibat simptom Asthma yang serius.

“Mayat mangsa akan dibedah siasat pada 20 Februari, jam 10.30 pagi.

“Berikutan itu, kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” kata Mathew lagi.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-2-2026 11:05 PM | Show all posts
sbh - Ramli umum pembubaran BERSATU Bahagian Sipitang

swk - Hujan berterusan sejak semalam punca kawasan rendah Batu Kawa, Batu Lintang dinaiki air

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 04:59 AM | Show all posts
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 04:59 AM | Show all posts
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 04:59 AM | Show all posts
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 05:27 AM | Show all posts
Harden lulus MRP RM8,000 kepada dua entiti komuniti di kawasannya
Februari 20, 2026, Jumaat - 1:51pm



Harden (tiga kiri) menerima cenderamata sebagai tanda penghargaan semasa kunjungan Majlis Rumah Terbuka Peringkat JKKK Kampung Cina Temudok, Sri Aman.

SRI AMAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang Datuk Francis Harden Hollis meluluskan peruntukan di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM8,000 kepada dua entiti komuniti di kawasannya.

Daripada jumlah tersebut, RM5,000 diperuntukkan kepada JKKK Kampung Cina Temudok, manakala RM3,000 lagi diperuntukkan kepada Biro Wanita kampung tersebut.

Peruntukan tersebut diumumkan Harden semasa kunjungan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) Peringkat JKKK Kampung Cina Temudok di pekarangan kediaman Kapitan Chin Chong Miaw pada Rabu.

Menurut Harden, peruntukan berkenaan bertujuan memperkasa peranan JKKK dan Biro Wanita di peringkat akar umbi agar terus aktif merancang dan melaksanakan program yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur kerana berjaya menggembleng kerjasama ahli termasuk Biro Wanita dalam membuat persiapan majlis tanpa menggunakan perkhidmatan catering.

Harden turut mengingatkan ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) supaya sentiasa menyampaikan maklumat pembangunan yang sedang dilaksanakan kerajaan agar rakyat mengetahui serta memahami inisiatif yang dibawa demi kesejahteraan bersama.

Terdahulu, Harden yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Bakat bersama isteri Datin Simba Nalang turut mengadakan kunjungan TBC ke beberapa kediaman KMKK di kawasannya.

Antara yang dikunjungi kediaman Kapitan Kiew Sii Ted, Kapitan Kang Tai Hing dan Penghulu Kang Tai Kong di Taman Pasir Panas, kediaman ahli veteran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Tan Chong Meng di Jalan Main Bazaar serta kediaman Ahli Majlis Daerah Sri Aman yang juga Pengerusi Pemuda SUPP Cawangan Simanggang, Kr Wong Yii Hong di Jalan Kejatau.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 05:28 AM | Show all posts
Wee santuni penghuni rumah Persatuan Kesihatan Mental Kuching sempena TBC
Februari 20, 2026, Jumaat - 1:54pm



Wee mengagihkan angpau kepada penghuni sebagai tanda perkongsian sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

KUCHING: Dalam semangat kebersamaan musim perayaan, Datuk Bandar Kuching Selatan Dato Wee Hong Seng meluangkan masa menyantuni penghuni rumah Persatuan Kesihatan Mental Sarawak Cawangan Kuching hari ini, sekali gus menzahirkan bahawa tiada siapa harus berasa tersisih ketika detik penuh kegembiraan ini.

Dalam suasana mesra dan penuh keprihatinan, Wee meluangkan masa berinteraksi dengan para penghuni selain menyampaikan angpau sebagai tanda ingatan.

Beliau turut menikmati makan tengah hari ringkas bersama penghuni.

Menurutnya, musim perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) seharusnya menjadi detik kebersamaan dan kegembiraan untuk semua tanpa meminggirkan mana-mana pihak.

Wee yang telah berkhidmat sebagai penasihat kepada persatuan itu selama 27 tahun berkata, lawatan berkenaan mencerminkan komitmen berterusannya dalam menyokong advokasi kesihatan mental serta usaha penjagaan komuniti.

Katanya, penglibatan secara langsung dan keterangkuman sosial amat penting dalam memupuk keyakinan diri, maruah serta kesejahteraan emosi dalam kalangan penghuni.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa, kakitangan dan sukarelawan persatuan yang sentiasa komited memastikan kebajikan, pemulihan dan integrasi sosial penghuni terpelihara.

“Komitmen dan keprihatinan mereka memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran yang selamat, penyayang dan menyokong kepada mereka di bawah jagaan,” katanya.

Lawatan itu sekali gus menzahirkan kepentingan solidariti komuniti khususnya ketika musim perayaan agar setiap anggota masyarakat berasa dihargai, diingati dan tidak tersisih.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Kaunselor Aaron Tay.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 05:29 AM | Show all posts
Ting adakan kunjungan TBC di Miri, eratkan perpaduan
Februari 20, 2026, Jumaat - 1:57pm



Ting (duduk, enam kiri) bergambar kenangan TBC ketika mengunjungi kediaman Kapitan Aries Leong Chin Lim (tujuh kiri).

MIRI: Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew mengadakan kunjungan Tahun Baharu Cina (TBC) pada hari kedua dan ketiga perayaan dengan menziarahi rumah ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) serta rakan-rakan bagi bersama-sama meraikan suasana perayaan.

Menurut beliau, kunjungan tersebut merupakan tradisi tahunan yang diteruskan setiap kali musim perayaan sebagai tanda penghargaan dan usaha mengeratkan hubungan silaturahim.

Sepanjang lawatan itu, beliau diiringi beberapa Ahli Majlis Majlis Bandaraya Miri serta ahli parti.

Dalam tempoh dua hari, sebanyak 24 keluarga telah diziarahi.

Ketika beramah mesra bersama tuan rumah, beliau berkata TBC bukan sahaja perayaan penting bagi masyarakat Cina, malah menjadi waktu bermakna untuk memperkukuh perpaduan dan semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

ADUN Piasau itu turut merakamkan penghargaan kepada ahli parti dan rakan-rakan atas sokongan serta kerjasama berterusan, di samping mendoakan agar semua dikurniakan kesihatan yang baik, kebahagiaan keluarga dan kejayaan dalam kerjaya pada tahun baharu ini.

Tambahnya, Sarawak yang dihuni masyarakat pelbagai kaum dan agama sekian lama mengamalkan sikap saling menghormati serta hidup dalam suasana harmoni, sekali gus menjadi contoh perpaduan kepada negara.

“Hari ketiga TBC dan pada masa sama umat Islam mula menyambut ketibaan bulan Ramadan.

“Ini detik amat bermakna apabila kita meraikan TBC sambil menyambut kedatangan Ramadan, sekali gus mencerminkan semangat keharmonian dan perpaduan masyarakat Sarawak,” katanya.

Beliau berkata sama ada TBC mahupun Ramadan, kedua-duanya menekankan nilai kesyukuran, perkongsian dan keprihatinan terhadap sesama insan.

“Di Sarawak, kita menghargai budaya antara satu sama lain dan sentiasa terbuka untuk bersama-sama meraikan perayaan pelbagai kaum.

“Semangat saling menghormati dan bertukar ucapan inilah aset paling berharga bagi negeri ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Majlis Rumah Terbuka TBC dan Berbuka Puasa Bersama akan diadakan pada hari kelima TBC iaitu Sabtu, 21 Februari, bermula jam 5 petang hingga 9 malam di Dewan Suarah Miri.

Orang ramai daripada pelbagai kaum dijemput hadir bagi memeriahkan sambutan tersebut.

Menurutnya, penganjuran majlis itu bertujuan menghimpunkan masyarakat pelbagai latar belakang untuk mengeratkan hubungan dalam suasana penuh kemesraan, sekali gus menonjolkan keharmonian masyarakat majmuk Sarawak.

“Rumah terbuka bukan sekadar tradisi, malah menjadi platform memperkukuh interaksi dan persefahaman.

“Saya berharap orang ramai dapat hadir bersama keluarga bagi meneruskan semangat perpaduan dan keharmonian demi masa depan yang lebih gemilang,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 21-2-2026 05:30 AM | Show all posts
UTS impi UTS Publisher dikenali sehingga peringkat antarabangsa
Februari 20, 2026, Jumaat - 2:00pm

SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) mempunyai impian agar cabang penerbitan rasmi miliknya iaitu UTS Publisher akan dikenali bukan sahaja di Sarawak tetapi di peringkat nasional dan antarabangsa.

Niab Canselor UTS Emeritus Profesor Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid berkata, ini dapat dicapai melalui penerbitan berkualiti, topik yang relevan, ilmu yang bermakna dan kemampuan untuk mencapai khalayak yang lebih luas.

"Keistimewaan kita di Sarawak dan di Borneo ialah ramai pihak di luar sana ingin mengetahui tentang Borneo.

"Apabila kita menerbitkan kandungan berkaitan Borneo, sama ada dalam bidang sains, penulisan kreatif, sains sosial atau perniagaan, saya yakin ramai yang berminat.

"Apabila mereka berminat tentang Borneo dan kita mempunyai buku mengenainya, secara automatik ia akan membantu kita mencapai matlamat ini," ujarnya pada Majlis Pelancaran Buku 2026 UTS Publisher, baru-baru ini.

Sehubungan itu, Dr Khairuddin menyeru semua pihak agar memanfaatkan lokasi, topik di sekeliling dan jadikan Borneo sebagai sumber ilmu yang boleh dihimpunkan dan terbitkan dalam bentuk buku.

Beliau yang memberitahu, UTS Publisher bukan hanya mencari manuskrip yang telah siap sepenuhnya untuk diterbit kerana itu bukan suatu perkara yang mudah.

"Kita juga menganjurkan bengkel untuk membantu komuniti akademik menukar nota kuliah atau tesis menjadi buku dan buku teks, termasuk hasil penyelidikan yang mendalam menjadi buku yang mudah dibaca.

"Ia bukan perkara mudah. Data dan maklumat daripada penyelidikan saintifik mungkin mudah ditukar menjadi artikel jurnal, tetapi tidak mudah untuk dijadikan buku.

"Oleh itu, kita mahu menjadikan perjalanan daripada idea kepada penerbitan sebagai penulis satu laluan yang boleh dilalui oleh semua warga universiti," katanya.

Dr Khairuddin yang juga pernah menulis dan menterjemah buku menjelaskan, menterjemah buku lebih sukar daripada menulis buku itu sendiri.

"Saya mengambil masa hampir dua tahun untuk menterjemah sebuah buku yang tidak begitu tebal.

"Terjemahan lebih mencabar kerana kita perlu memahami gaya dan mesej asal penulis, bukan sekadar menterjemah ayat demi ayat," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menjemput orang ramai terutama penulis agar mengikuti simposium antarabangsa Borneo Authors and Readers International Symposium 2026 (BARIS), yang dijadual berlangsung di UTS pada 29 dan 30 Jun 2026.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 05:33 AM | Show all posts
Kerajaan Sarawak mengalu-alukan pembangunan berfikiran jauh: Lee
Februari 20, 2026, Jumaat - 2:07pm



(Dari kiri) Ariffin, Dennis, Lee, Teo dan tetamu kehormat lain bergambar sebelum menggaul hidangan 'yee sang' sebagai simnolik perasmian majlis.

MIRI: Kerajaan Sarawak mengalu-alukan pembangunan berfikiran jauh yang dirancang secara rapi, dibina dengan penuh tanggungjawab serta memberi manfaat kepada komuniti sebenar, bukan sahaja untuk masa kini tetapi juga demi generasi akan datang.

Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap ADUN Senadin Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pembangunan seperti Kenyalang Smart City (KSC) mencerminkan pendekatan tersebut dalam usaha membentuk masa depan bandar raya ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) dan Iftar KSC di sini, malam Khamis.

Lee  menegaskan, KSC bukan sekadar pembangunan fizikal melibatkan bangunan dan infrastruktur, malah satu perancangan menyeluruh bagi membentuk masa depan yang boleh dibanggakan generasi akan datang.

“Miri sentiasa menjadi bandar yang penuh tenaga.

“Sejak era awal industri minyak dan gas sehingga berkembang dalam bidang pendidikan, pelancongan serta hubungan rentas sempadan, bandar ini tidak pernah berhenti melangkah,” ujarnya.

Beliau percaya sesebuah bandar perlu mempunyai sistem pergerakan dan ketersambungan yang baik sebelum mampu berkembang secara mampan.

“Ketersambungan menyatukan rakyat, mewujudkan peluang dan memberi tenaga kepada sesebuah bandar,” jelasnya.

Beliau turut menekankan bahawa pembangunan seperti KSC memberi penekanan kepada perancangan pintar, mobiliti cekap, penjagaan alam sekitar serta penyediaan ruang yang kondusif untuk didiami, bekerja dan membesarkan keluarga.

Sehubungan itu, beliau berkata kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti amat penting dalam menjayakan agenda pembangunan negeri.

“Apabila pemaju seperti Imasa Dinasti melabur dengan visi dan tanggungjawab, kerajaan sentiasa bersedia untuk menyokong serta memudah cara,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berharap KSC akan menjadi simbol kejayaan baharu Miri, menarik bakat, mewujudkan peluang pekerjaan dan membuka ruang ekonomi kepada rakyat Sarawak.

Dalam pada itu, penganjuran sambutan TBC dan Iftar dalam satu majlis yang sama mungkin jarang diadakan di tempat lain, namun di Sarawak ia adalah sesuatu yang cukup semula jadi.

“Di sinilah kekuatan kita. Kita meraikan bersama, saling menghormati dan melangkah ke hadapan sebagai satu keluarga besar,” katanya.

Tambah beliau, TBC melambangkan permulaan baharu, keyakinan dan harapan, manakala Iftar mengingatkan tentang kesyukuran, kesabaran serta nilai kebersamaan.

Gabungan nilai ini jelas menggambarkan semangat Sarawak yang mesra, inklusif dan berpandangan jauh.

Sempena sambutan Tahun Kuda, beliau mengajak seluruh rakyat agar terus melangkah dengan penuh keyakinan dan perpaduan demi kemajuan negeri.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Sebastian Ting, ADUN Telang Usan Dato Dennis Ngau, Pengasas yang juga  Pengerusi Imasa Dinasti Sdn Bhd Teo Ah Khing dan Timbalan Datuk Bandar Ariffin Mohamad.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 05:34 AM | Show all posts
JPJ sita tiga kenderaan dalam Ops TBC 2026 di Miri
Februari 20, 2026, Jumaat - 3:01pm

MIRI: Sebanyak tiga kenderaan disita dalam Operasi Tahun Baharu Cina (Ops TBC) 2026 yang dilaksanakan oleh Unit Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Miri di sekitar bandaraya ini, pada Selasa lalu.

Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 615 kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa.

Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan dikesan, antaranya pemandu tidak memiliki lesen memandu, gagal memakai tali pinggang keledar, melanggar peraturan lampu isyarat serta pelbagai kesalahan lain melibatkan aspek teknikal kenderaan.

Dalam operasi sama, dua buah kereta dan sebuah motosikal telah disita selepas didapati memandu di atas jalan raya dengan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh selain tidak memiliki perlindungan insurans yang sah.

Sehubungan itu, JPJ Cawangan Miri menegaskan komitmennya untuk terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan dari semasa ke semasa sebagai usaha berterusan memastikan tahap keselamatan jalan raya sentiasa terpelihara, khususnya sepanjang musim perayaan.

Penguatkuasaan berterusan oleh pihak JPJ untuk memastikan semua pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang dan memastikan kenderaan dalam keadaan selamat. - Gambar JPJ Sarawak

Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya serta memastikan dokumen dan keadaan kenderaan berada dalam keadaan sah dan selamat sebelum memulakan perjalanan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 05:35 AM | Show all posts
Tiga lelaki disyaki terlibat salah guna dadah diberkas di Kg Tellian Tradisi
Februari 20, 2026, Jumaat - 3:11pm

MUKAH: Tiga lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di Kampung Tellian Tradisi di sini, petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata, terdahulu hasil maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah telah menjalankan serbuan di tepi jalan berhampiran sebuah rumah sewa di kampung berkenaan sekitar jam 1.15 petang.

“Dalam serbuan itu, tiga lelaki warga tempatan berumur antara 16 hingga 24 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, pasukan serbuan menemui satu keratan tiub straw lutsinar yang mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis Methamphetamine dalam simpanan suspek berusia 24 tahun.

“Anggaran berat kasar dadah yang dirampas adalah 0.46 gram,” ujarnya menerusi kenyataan hari ini.



Hasil ujian urin mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine. - Gambar IPD Mukah

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek yang tidak bekerja bersama barang rampasan kemudian dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut.

“Ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

“Suspek yang disyaki memiliki dadah disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama, manakala dua lagi suspek disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-2-2026 12:06 AM GMT+8 , Processed in 0.365367 second(s), 30 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list