Sarawak hulur bantuan RM50,000 kepada keluarga mangsa korban tanah runtuh di Miri
[size=14.399999618530273px]Douglas Uggah (kanan), Fatimah dan Kui Hian melihat kaunselor JKM melayan kanak-kanak di PPS SJKC Chung Hua Batu Kawa, hari ini. NSTP/MOHD ROJI KAWI
[size=14.399999618530273px]
KUCHING: Kerajaan Sarawak menyalurkan bantuan RM50,000 kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, di Miri, semalam. Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata bantuan itu disalurkan bagi meringankan beban keluarga mangsa yang terselamat dalam kejadian itu. "Setiap mangsa yang terkorban diberi bantuan RM10,000," katanya selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir di Dewan SJKC Chung Hua, Batu Kawa, hari ini. Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti negeri, Datuk Seri Fatimah Abdullah serta Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata. Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi semalam, lima mangsa disahkan terkorban selepas tertimbus dalam runtuhan tebing Bukit Kanada itu.
Mereka yang maut adalah dua wanita, Sazarena Arabi, 41; Fatimah Dawi, 71; dua kanak-kanak perempuan, Nur Raisyah Syahirah, 8, serta Nur Rania Syafiqah, 11, dan remaja lelaki, Irsyad Syairah, 16. Sementara itu, Fatimah berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak menyediakan kaunselor bagi membantu memulihkan emosi semua mangsa yang selamat dalam kejadian itu. "Bagi keluarga yang terselamat, musibah itu pasti meninggalkan kesan terhadap mereka dan gangguan emosi yang berat terpaksa ditanggung. "JKM akan menanganinya dengan menghantar kaunselor untuk membantu memulihkan semangat dan emosi mereka," katanya. Selain itu, katanya, JKM juga menggerakkan kaunselornya ke semua PPS mangsa banjir di seluruh negeri.
"Pejabat JKM di setiap bahagian mempunyai kaunselor, tetapi jika bahagian atau daerah tidak mengalami banjir, kita akan memanggil kaunselor itu untuk membantu di tempat dilanda musibah berkenaan," katanya. Sehingga jam 12 tengah hari ini, sebanyak 47 PPS dibuka bagi menempatkan 6,565 mangsa banjir daripada 1,792 keluarga. Daripada jumlah itu, 18 PPS dibuka di Serian, Bintulu (8), Kuching (5), Samarahan (5) dan Miri (8) serta Sibu (3).
Selain itu, dua lagi PPS masih aktif ketika ini iaitu PPS Pusat Bulan Sabit Merah di Miri yang menempatkan 105 mangsa tanah runtuh dan PPS Dewan Datuk Aaron Bawan Kanowit yang menempatkan 37 mangsa kebakaran rumah panjang. Secara keseluruhan, penghuni di PPS seluruh Sarawak ketika ini berjumlah 6,731 daripada 1,832 keluarga.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/01/1355377/sarawak-hulur-bantuan-rm50000-kepada-keluarga-mangsa-korban-tanah
|