Jatuh hukum tidak lumpuhkan karier Faizal Tahir
07-03-2008 10:44:00 AM
artikel dan video oleh WAHIDA ASRANI DAN ZANARIAH ABD.MUTALIB
KONTROVERSI yang dicetuskan oleh penyanyi berbakat besar ini pada awal Januari lalu sememangnya meninggalkan sejarah 'hitam' di dalam hidup insan yang bernama Faizal Tahir ini.
Siapa sangka, tatkala karier seninya hampir berada di kemuncak, Faizal dikenakan hukuman 'hebat' ekoran perbuatannya menanggalkan baju sehingga mendedahkan badannya yang disembur dengan cat merah berbentuk `S' ketika siaran langsung `Rockin Birthday Concert' yang disiarkan di 8TV pada 13 Januari lalu.
Bukan saja didenda melakukan kerja-kerja amal selama enam bulan oleh 8TV, malah kejadian itu juga mendapat perhatian serius oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang mengeluarkan arahan melarang 8TV membuat siaran langsung mahupun tertunda bagi konsert dan semua rancangan hiburan untuk tempoh tiga bulan bermula 15 Januari lepas.
Faizal sentiasa berfikiran positif dan ingin melihat kariernya pergi lebih jauh (Foto The Star oleh Chua Kok Hwa)
Lebih mengecewakan penyanyi berusia 29 tahun ini, dia juga tidak dibenarkan muncul di mana-mana program siaran langsung dan tertunda oleh stesen televisyen lain dalam tempoh tersebut selain royalti album sulungnya Aku.Muzik.Kamu 'ditahan' seketika.
Perasaan kecewa dan kesal memang menyelubungi diri penyanyi yang popular dengan aksi 'slide'nya itu, namun satu perkara yang patut dipuji terhadap Faizal ialah sifat positifnya yang tidak mahu melihat karier seninya 'lumpuh'.
Menyedari bakat yang ada dan impian yang masih belum digapai sepenuhnya, ayah kepada dua orang anak Ahmad Mikaeel Zidane, 3, dan Siti Raudhah Nur Iman, 1, akur dengan tindakan yang dijatuhkan buatnya tetapi pada masa yang sama dia tidak mahu 'mengalah' begitu saja.
Tinggalkan sebentar kisah silam yang kalau boleh ingin sekali dipadamkan daripada fikiran tuan empunya diri kerana menurut Faizal, pada saat ini dia hanya ingin terus aktif memperjuangkan muzik rocknya demi peminat-peminat yang tidak putus-putus memberikan sokongan.
Buktinya, lihat saja mana-mana show lain yang dihadirinya setakat ini. Jelas terbukti peminat-peminat Faizal masih utuh berdiri di belakangnya walaupun dia dikecam hebat berikutan episod hitam itu.
Hampir dua bulan berlalu, penyanyi yang popular dengan lagu Mahakarya Cinta dan Kasih Tercipta ini akhirnya akui perasaan gembira memang ada di dalam dirinya tatkala menantikan tanggal 15 April depan yang merupakan hari terakhir proses 'penggantungan'nya.
"Saya gembira dapat 'kembali' seperti biasa. Malah, cukup menggembirakan saya apabila ada beberapa penganjur yang 'berebut-rebut' untuk tampilkan kemunculan pertama saya selepas proses penggantungan berakhir nanti.
"Tetapi, saya tidak terlalu memikirkan sangat tentang hal ini sebab apa yang berlaku itu telah banyak memberi pengajaran kepada saya. Lebih menyedihkan saya ialah kesalahan yang saya buat ini turut mendapat tempias pada 8TV.
"Saya rasa bersalah sangat bila lihat mereka (8TV) juga kena tanggung apa yang saya sudah lakukan. Memang sukar untuk gambarkan perasaan kesal saya bila dapat tahu program One In A Million juga tidak tidak boleh disiarkan secara langsung disebabkan saya.
"Saya gembira dapat 'kembali' seperti biasa," - Faizal
"Apapun, saya belajar daripada kesilapan. Denda melakukakan kerja amal juga masih saya buat. Saya banyak lakukan aktiviti di rumah-rumah anak-anak yatim, warga tua dan banyak juga saya jayakan persembahan amal.
"Cuma dari segi persembahan nyanyian lain, saya tidak sesibuk dulu. Kalau dulu dalam seminggu akan ada 3 atau empat show, tetapi kali ini kurang kerana saya sibuk dengan program Gang Starz musim kedua pula," ujar Faizal yang ditemui ketika hadir di Menara Star, baru-baru ini.
Kata penyanyi yang turut tercalon bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular di dalam Anugerah Bintang Popular 2007 ini, dia sedar selepas ini dirinya perlu lebih berhati-hati agar kejadian yang sama tidak berulang kembali.
Meskipun mengakui 'ekspresi' dirinya kini lebih terbatas, tetapi penyanyi yang memang terkenal dengan sifat terujanya ketika beraksi di pentas ini yakin itu tidak mendatangkan masalah besar buat dirinya.
"Saya adalah seorang yang suka 'memberi' kepada peminat. Saya memang seorang yang passionate dalam apa yang saya buat. Saya berbintang Scorpio dan memang karektor Scorpio adalah seorang yang cukup passionate tak kiralah apa saja yang dilakukan.
"Bukan bermaksud saya ini lain daripada yang lain, tetapi bagi yang kenal diri saya, mereka akan tahu saya akan buat apa yang saya mahu. Lagipun, setiap penghibur memang ada cara tersendiri.
"Saya akui, memang pergerakan saya selepas ini akan terbatas, tetapi sebenarnya banyak cara lain lagi yang boleh saya lakukan sebagai tanda ekspresi diri.
"Saya akui, memang pergerakan saya selepas ini akan terbatas, tetapi sebenarnya banyak cara lain lagi yang boleh saya lakukan sebagai tanda ekspresi diri," - Faizal
"Selepas insiden 'buka baju' itu, saya ingat lagi di sebuah show saya baling kaca mata saya yang berharga RM500 kepada penonton tanpa saya sedari. Benda tu berlaku secara spontan, tetapi itu menunjukkan masih ada banyak cara lain yang boleh saya buat," jelas Faizal dalam nada ceria.
Penyanyi yang kini sedang popular dengan single terbaru Sampai Syurga yang juga merupakan lagu tema untuk filem terbaru arahan Khabir Bhatia, Sepi ini bagaimanapun mengakui ada yang mencadangkan kepada dirinya untuk mencuba nasib di negara luar terutamanya di negara-negara jiran sebaik tercetusnya insiden tersebut.
Ini kerana, ramai yang merasakan stail atau gaya persembahannya lebih banyak menyamai aksi artis-artis luar dan lantaran itu Faizal dilihat lebih sesuai berada di kelompok sana.
"Niat saya menceburi bidang ini adalah untuk contribute sesuatu terhadap industri muzik tempatan. Sudah tentu saya juga ada impian untuk tembusi pasaran luar, tetapi selagi kita tidak mampu, kenapa perlu sibuk untuk negara orang?
"Sebagai contoh, saya ada isteri dan anak-anak untuk diberi makan, jadi kenapa saya kena bagi makan kepada isteri dan anak orang lain pula? Samalah juga dalam hal ini.
"Apa yang penting, saya perlu hormat culture kita sebab bila kita adalah seorang public figure, perkara seperti ini memang kena alert," kata Faizal yang juga sedang di dalam perancangan untuk menghasilkan album keduanya pula.
Menurut penyanyi ini lagi, dia juga tidak mahu mempertikaikan tentang kritikan media terhadap dirinya ekoran insiden tersebut kerana sedar apa yang terjadi berpunca daripada kesilapan dirinya sendiri.
"Media hanya menjalankan tugas mereka. Adil atau tidak, itu adalah kerja mereka dan apa yang dilaporkan oleh media itu pula terserahlah kepada masyarakat untuk menilai kerana saya sudah buat salah dan sayalah yang kena tanggung," jelas Faizal.