CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: HangPC2

Pakaian/Aksesori/Senjata/Pengangkutan/Gaya Hidup Masyarakat China Zaman Silam

[Copy link]
 Author| Post time 20-2-2016 06:21 PM | Show all posts
Edited by HangPC2 at 26-2-2016 07:40 PM

KEJATUHAN MELAKA 1511: REAKSI DAN TINDAKBALAS KERAJAAN MING TERHADAP PORTUGIS







Kita sedia maklum dalam sejarah bahawa ada kerajaan nusantara lain yang memberikan bantuan dan sokongan kepada Sultan Mahmud Shah dalam usaha baginda untuk merebut kembali Melaka daripada pihak Portugis contohnya Demak dan Jepara dari Jawa. Namun kita mungkin jarang dengar tentang reaksi kerajaan bangsa asing berkenaan penawanan Melaka oleh Portugis. Jadi adakah kejatuhan Melaka tidak diketahui atau tidak dipedulikan oleh rakan-rakan dagangnya dari negara asing? Sedangkan Melaka adalah sebuah Empayar kota perdagangan antarabangsa yang tersibuk dan antara terkaya di timur pada zaman tersebut, setaraf dengan Venice dan Genoa di Itali.

Semasa Portugis menyerang Melaka, terdapat para pedagang asing seperti orang India dan Cina yang membelot terhadap kerajaan Melaka. Naina Chittu memberikan maklumat risikan kepada Portugis manakala terdapat segelintir daripada pedagang Cina membantu Portugis dengan memberikan mereka jong untuk digunakan dalam penyerangan Kota Melaka. Walaupun begitu, tindakan para pedagang Cina yang mengkhianati Melaka tersebut tidak mewakili pendirian sebenar Kerajaan dinasti Ming sendiri. Hal ini kerana terdapat bukti bahawa Kerajaan Ming marah dengan tindakan biadap pihak Portugis yang menyerang Melaka. Kemarahan kerajaan Ming terhadap pihak Portugis ditonjolkan dengan tindakan-tindakan agresif yang dikenakan terhadap pihak Portugis serta pedagang-pedagang mereka yang berada di sekitar China.

Walaupun Bandar Melaka telah jatuh ke tangan Portugis, namun kerajaan Melaka belum benar-benar tumbang. Sultan Mahmud yang bertahan di Bintan telah mengantar aduan kepada kerajaan Ming, dan memaklumkan mereka tentang kejahatan dan kelicikan pihak Portugis. Hal ini telah menimbulkan kemarahan kerajaan Ming yang mempunyai kepentingan dalam perdagangan dengan Melaka. Selain itu kegiatan penculikan dan tindakan Admiral Portugis bernama Simao De Andrade yang tidak menghormati kedaulatan kerajaan Ming dengan membina lojing di Pulau Tamao tanpa persetujuan pihak berkuasa tempatan telah menambahkan lagi kebencian kerajaan Ming terhadap Portugis. Aduan bukan sahaja datang dari Sultan Mahmud, malah para pembesar Ming di Peking dan Canton juga turut menghantar aduan kepada Maharaja supaya tindakan tegas diambil terhadap Portugis.

Akibatnya Tome Pires yang telah menunggu di China selama dua tahun untuk mendapat kebenaran menuju ke Peking bagi menjalinkan hubungan diplomatik dengan kerajaan Ming telah dihalang daripada memasuki Kota Diraja. Mereka telah diarahkan untuk balik semula ke Canton. Segala barang persembahan dan hadiah yang sepatutnya diberikan kepada Maharaja telah ditolak. Terdapat menteri di ibu kota Ming yang tidak mengiktiraf rombongan diplomatik tersebut dan menuduh mereka sebagai perisik. Mereka mahu agar rombongan Portugis tersebut dikenakan hukuman. Catatan Portugis juga menyebut bahawa terdapat beberapa orang penterjemah dalam rombongan Portugis itu telah ditangkap oleh kerajaan Ming.

Dipercayai mereka adalah penterjemah Cina Melaka yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan, kerana bahasa Portugis ketika itu masih asing bagi pegawai kerajaan Ming, pasti terjemahan dibuat daripada bahasa Portugis ke bahasa Melayu dan kemudian ke bahasa Cina. Seorang daripada mereka mati kerana penyakit dan 4 orang lagi telah dihukum pancung oleh kerajaan Ming kerana membelot kepada Melaka dan membawa orang Portugis ke China. Hal ini menunjukkan bahawa kerajaan Ming memang prihatin terhadap apa yang telah berlaku pada kerajaan Melaka ketika itu. Sbaik sahaja rombongan Tome Pires tiba di Canton, mereka telah dijadikan tebusan bagi mendesak pihak Portugis supaya mengembalikan takhta Melaka kepada Sultan Mahmud.

Setelah arahan untuk memerangi orang Portugis dari ibu kota sampai ke Canton, pihak pentadbir Canton telah menangkap semua orang Portugis yang berada di sekitar pelabuhan tersebut. Konflik ini memuncak apabila pada tahun 1521 berlakunya pertempuran awal diantara kerajaan Ming dengan pihak Portugis yang dinamakan sebagai Pertempuran Tamao Pertama. Kerajaan Ming telah berjaya mengalahkan armada Portugis dalam pertempuran tersebut. Ramai tentera Portugis yang terbunuh dan ditawan hinggakan orang Portugis terpaksa meninggalkan kapal-kapal mereka dan hanya dapat lari dengan tiga buah kapal ke Melaka.

Sejak itu mana-mana kapal Portugis yang masuk ke perairan China akan diserang oleh armada laut Ming. Anak kapal akan dibunuh atau ditawan. Catatan Portugis menyebut ramai tawanan yang mati di dalam tahanan, ada yang mati kelaparan, ada yang mati dicekik, ada yang dibunuh dengan cara dipukul kepalanya dengan cokmar dan yang selebihnya dibelasah sehingga mati. Bagi yang tidak dibunuh iaitu ahli rombongan diplomatik Tome Pires, mereka diseksa dan dipakaikan rantai besi besar serta dipenjarakan. Tome Pires juga dipaksa oleh pihak berkuasa Ming untuk menulis surat kepada pemerintah Portugis di Melaka agar mengembalikan semula Melaka kepada Sultannya. Pihak pentadbir Ming di Canton turut merampas segala harta benda serta barangan yang dibawa oleh rombongan Portugis tersebut.

Pada tahun 1552 satu angkatan Portugis dengan empat buah kapal yang diketuai oleh Martim Afonso de Merlo Coutinho telah dihantar oleh kerajaan Portugis di India ke China bagi meneruskan hubungan diplomatik dengan kerajaan Ming. Angkatan Portugis tersebut tidak tahu akan situasi yang sedang berlaku di China ketika itu, dan mereka masih belum mendapat khabar berita bahawa hubungan diplomatik yang dihantar sebelumnya tidak berjaya malah berakhir dengan konflik. Apabila sampai di Melaka, rombongan tersebut telah dimaklumkan mengenai konflik yang berlaku di China. Namun mereka tetap mahu meneruskan misi untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan kerajaan Ming. Perjalanan mereka ke China ditambah dengan sebuah lagi kapal dan sebuah Jong dari Melaka.

Mereka bertolak dari Melaka pada bulan Julai 1552 dan sampai ke China dalam bulan Ogos tahun itu. Apabila angkatan Portugis ini sampai di perairan Tamao, mereka telah diserang oleh angkatan laut kerajaan Ming dalam pertempuran yang dikenali sebagai Pertempuran Tamao Kedua. Ramai anak kapal Portugis yang terbunuh dalam pertempuran itu dan lebih kurang 40 orang ditawan. Mereka kehilangan dua buah kapal dan sebuah Jong. Usaha mereka untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan kerajaan Ming adalah sia-sia kerana mereka dianggap sebagai bangsa gasar yang biadap dan lanun perampas Melaka. Akhirnya mereka terpaksa berundur semula ke Melaka dengan sisa kapal yang masih tinggal.

Sementara itu pihak berkuasa Ming di Canton sekali lagi memaksa Tome Pires untuk menulis surat bagi pihak kerajaan Ming kepada Raja Portugal bagi mendesak mereka menyerahkan semula kerajaan Melaka kepada tuannya yang sah. Surat tersebut kemudiannya akan diserahkan kepada duta Melayu Melaka di China untuk dipanjangkan kepada pemerintah Portugis di Melaka. Jika pihak Portugis tidak memberikan jawapan yang memuaskan maka duta Portugis tersebut (Tome Pires) tidak akan dilepaskan. Tiga pucuk surat telah ditulis iaitu untuk Raja Portugal, Pemerintah Portugis di India dan Pemerintah Portugis di Melaka. Rombongan utusan ini terdiri daripada 15 orang wakil Melayu dan 15 orang wakil Cina yang dihantar dengan sebuah Jong. Namun demikian dipercayai bahawa surat dan utusan tersebut tidak sampai kepada pihak Portugis. Hal ini kerana ianya telah dipintas oleh Sultan Mahmud Syah bagi mengelakkan sebarang hubungan diplomatik terjalin diantara Portugis dan kerajaan Ming.

Pihak kerajaan Ming juga telah menghantar warkah kepada Sultan Mahmud Syah melalui duta Melayu di Canton bagi memaklumkan baginda mengenai tindakan dan polisi yang dilaksanakan kerajaan Ming terhadap orang Portugis dan rombongan duta mereka di Canton. Sebaik sahaja warkah tersebut dibalas oleh Sultan Mahmud Syah, pihak berkuasa Ming di Canton telah bertindak membunuh ahli rombongan duta Portugis tersebut dengan kejam. Tidak diketahui apakah sebenarnya isi warkah dari Sultan Mahmud tersebut namun catatan Portugis menyebut bahawa mereka percaya warkah tersebut berisi tuduhan dan fitnah kepada mereka.

Mereka dibunuh dengan cara tubuh badan dipotong satu persatu daripada tangan, kaki, kepala, dan kemaluan mereka turut dipotong dan disumbatkan kedalam mulut. Bahagian perut mereka pula dibelah dua. Hukuman ini dilaksanakan di hadapan khalayak ramai di beberapa tempat di sekitar Bandar Canton bagi memberikan mesej kepada penduduk tempatan bahawa rakyat dilarang daripada bekerjasama dengan mereka. Hanya 2 atau 3 orang Portugis dari rombongan diplomatik Tome Pires yang tidak dibunuh dengan kejam termasuk Tome Pires sendiri. Dikatakan bahawa Tome Pires akhirnya mati di penjara kerana sakit. Namun terdapat juga maklumat yang menunjukkan bahawa Pires tidak mati tetapi telah dibuang ke wilayah lain di China dan hidup sehingga usia tua dan berkahwin dengan perempuan Cina.

Apabila terdapat lagi kapal-kapal Portugis yang masuk ke pelabuhan Canton kemudiannya, ia terus dirampas oleh pihak berkuasa tempatan. Kesemua orang Portugis yang berada dalam kapal ditangkap dan dibunuh. Mereka dipancung dan kemaluan mereka juga dipotong. Orang Portugis yang tidak mati dipaksa untuk berarak keliling bandar dengan membawa bahagian badan rakan-rakan mereka yang dipotong tadi sambil diiringi dengan permainan musik Cina. Mayat-mayat mereka kemudian dipamerkan kepada umum dan kemudannya dibuang di kumbahan.

Ketegangan dan konflik diantara Portugis dan kerajaan Ming ini berterusan selama lebih kurang 20 tahun. Selama 20 tahun kapal-kapal Portugis tidak dibenarkan untuk masuk ke perairan China apatah lagi mendarat dimana-mana pelabuhan di China. Hal ini menunjukkan bahawa aduan Sultan Melaka kepada Maharaja tidak diambil ringan oleh pihak kerajaan Ming. Hubungan Ming dengan Melaka dilihat bukanlah satu hubungan biasa diantara Negara penaung dengan Negara bawahan sebaliknya adalah Negara rakan yang akrab. Dapat dilihat dengan jelas bahawa pakatan diantara Ming dengan Melaka untuk menentang Portugis sangat berjaya dan berkesan untuk beberapa lama.

Malahan rapatnya hubungan Melaka dan Ming dibuktikan dengan kewujudan sebuah makam milik kerabat diraja Melaka yang dibina oleh kerajaan Ming di sebuah pekan di China. Makam tersebut adalah milik seorang kerabat diraja Melayu yang merupakan duta kerajaan Melaka yang dihantar ke China bagi mendapatkan pertolongan kerajaan Ming untuk menentang Portugis. Catatan Portugis menyebut nama duta tersebut adalah Tuan Acem Mudeliar atau Tun Hashim Mudeliar iaitu bapa saudara Sultan Mahmud Syah.

Ada sejarawan yang mentafsirkan nama tersebut sebagai Tun Hassan Mudeliar, merujuk kepada Tun Hassan anak Tun Mutakhir Bendahara Melaka yang dihukum bunuh oleh Sultan Mahmud Syah pada 1510. Namun bagi saya pendapat ini mungkin salah kerana daripada sumber Melayu kita mengetahui bahawa Tun Hassan anak Bendahara Tun Mutakhir juga telah dihukum bunuh bersama seluruh ahli keluarga lelakinya.

Walaupun dalam tempoh 20 tahun tersebut kapal dan pedagang Portugis tidak dibenarkan masuk ke pelabuhan-pelabuhan utama di China, namun masih ada orang Portugis yang berdegil dan telah membuat kacau di sekitar perairan selatan China terutama di sekitar Fujian, Pulau Wuyu, pelabuhan Yue di Zhangzhaou, Pulau Shuangyu di Wenzhou dan Pulau Nandao di Guangdong. Mereka dengan beraninya membina kubu dan petempatan haram di kawasan tersebut malah menjalankan aktiviti melanun, merompak serta menculik anak isteri penduduk tempatan untuk dijadikan hamba dan pelacur. Mereka juga bekerjasama dengan lanun-lanun Jepun dan keluarga-keluarga kaya disana dalam aktiviti haram.

Akibatnya pada tahun 1545 hingga 1547 kerajaan Dinasti Ming telah mengarahkan Naib Panglima kanan kerajaan Ming merangkap wakil Maharaja, Zhu Wan agar menguatkuasakan undang-undang mengharamkan sebarang kegiatan perdagangan laut dan hubungan dengan negara luar. Zhu Wan telah menyerang dan memusnahkan kubu-kubu Portugis yang terdapat di Pulau Shuangyu serta menghapuskan semua lanun termasuk lanun Portugis yang terdapat disana. Satu angkatan tentera Ming seramai 60,000 orang telah dihatar untuk menyerang kawasan pendudukan Portugis di Ningbo. Seramai 800 daripada 1,200 orang Portugis yang terdapat di pulau tersebut dibunuh, 25 buah kapal Portugis dan 42 buah Jong dimusnahkan. Portugis terpaksa berundur dari wilayah tersebut dan hanya berani untuk mendekati perairan Guangdong. Mereka terpaksa menjalankan aktiviti perdagangan dengan bantuan orang tengah atau menjalankan kegiatan secara haram.

Selain daripada polisi agresif yang dilaksanakan kerajaan Ming terhadap Portugis, para pendagang Cina yang menetap di seluruh nusantara juga memboikot Bandar Melaka setelah ia jatuh ke tangan Portugis. Sebahagian daripada pendagang Cina yang menetap di Jawa telah membantu orang-orang Islam Jawa dan Melayu Melaka dalam usaha Sultan Mahmud bagi mendapatkan semula kota tersebut daripada tangan Portugis. Keterlibatan orang-orang Cina Jawa dalam peperangan untuk mendapatkan semula Bandar Melaka telah disebut dengan jelas dalam catatan “The Malay Annals of Semarang and Cirebon” atau Sejarah Melayu Semarang dan Cirebon. Para pedagang Cina juga hanya menjalankan kegiatan perdagangan dengan orang Melayu serta Jawa sahaja. Perkara ini menunjukan betapa eratnya hubungan diantara orang Cina dengan orang Melayu ketika itu.

Hubungan yang buruk diantara kerajaan Ming dengan Portugis ini berterusan sehinggalah 1557 apabila kerajaan Ming membenarkan mereka untuk menapak di Macau. Kerelaan pihak Ming ini adalah kerana bantuan yang telah diberikan oleh Portugis dalam menghapuskan lanun-lanun Wako Jepun di sekitar perairan China. Pada masa yang sama Kesultanan Melaka yang ketika itu telah diwarisi oleh Kesultanan Johor telah mengadakan hubungan diplomatik dengan Portugis di Melaka.

Dapat disimpulkan di sini bahawa hubungan diantara orang Melayu dengan orang Cina telah berlansung sejak berabad-abad lamanya. Hubungan Melayu dan Cina bukan hubungan sembarangan, bukan hubungan diantara tuan dengan hamba atau si penakluk dengan yang tertakluk, tetapi ia adalah hubungan persahabatan dan kasih sayang sepertinya adik dengan abang. Hubungan ini termenterai dalam lembaran sejarah panjang kedua-dua bangsa ini baik dari catatan pihak Cina mahupun dalam catatan Melayu. Kedua-dua bangsa ini saling berinteraksi antara satu sama lain, baik dari segi intelektual, ekonomi, persemendaan, mahupun aktiviti ketenteraan.

Ahli sejarah China sendiri seperti Prof Liang Liji berasa kagum dengan perhubungan mesra yang terjalin diantara Kerajaan Melayu dan Kerajaan Cina satu ketika dahulu, melalui rekod-rekod imperial. Oleh kerana itulah anak-anak muda Melayu dan Cina yang terdapat di Malaysia pada hari ini seharusnya belajar daripada sejarah silam yang gemilang ini. Mereka seharusnya menjadikan hubungan baik tersebut sebagai panduan dan pedoman supaya dapat mengeratkan lagi hubungan dan merapatkan jurang perbezaan diantara dua etnik besar Malaysia ini. Sekian.


SUMBER :

•Alijah Gordon, Malaysian Sociological Research Institute. The propagation of Islam in the Indonesian-Malay archipelago. Malaysian Sociological Research Institute.

•Derek Heng,Sino–Malay Trade and Diplomacy from the Tenth through the Fourteenth Century.

•C. Guillot, Denys Lombard, From the Mediterranean to the China Sea: Miscellaneous Notes.

•Liang Liji,Lembaran Sejarah Gemilang : Hubungan Melaka-Dinasti Ming Abad ke 15.

•Li Qinngxin, Maritime Silk Road.

•Tomé Pires, Francisco Rodrigues, The Suma oriental of Tomé Pires.

•Nik Hassan Shuhaimi dan Zuliskandar Ramli,Hubungan antara Semenanjung Tanah Melayu dengan China Sejak Awal Abad Masihi dalam jurnal International Journal of the Malay World and Civilisation (IMAN) tahun 2012.

•John William Parry, Spices: The story of spices. The spices described.

•Zhidong Hao, Macau History and Society.



- Al Semantani Jones -




Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 29-1-2017 11:45 AM | Show all posts
MAKAM BAPA SAUDARA SULTAN MELAKA DI NANJING




- Gambar Hiasan -


Pada tahun 1542 Ferdinand Mendez Pinto dan rakan-rakan Portugisnya telah ditangkap oleh pentadbir 'chifu' dinasti Ming tatkala berada di kota Nanjing. Mereka telah digiring ke Beijing dengan pelbagai seksaan di sepanjang jalan namun amat ajaib semangat ingin tahu orang Barat ini apabila mereka cuba merekodkan sebaik mungkin pengalaman mereka di sepanjang perjalanan tersebut.

Mereka telah singgah sebentar di "Pocasser" di mana chifuu tersebut singgah selama tiga hari menziarahi kampung halamannya sebelum melalui kota bernama "Xinligan". Kota-kota ini berkemungkinan besar terletak di atas laluan 'Terusan Besar' (Grand Canal) yang menghubungkan kota Hangzhou di selatan ke Beijing di utara. Berkemungkinan juga kota-kota ini masih berada di dalam aliran sungai Yangtze.

Kisah yang paling menarik adalah apa yang mereka jumpai tatkala singgah di "Junquileu", iaitu kota ketiga setelah bertolak dari Nanjing beberapa hari yang lepas.

Cerita Pinto:

"..kami tiba pada sebuah kota yang dipanggil Junquilen, diberi tembok bata, namun ia tidak mempunyai pelantar penembak, benteng dan menara, dimana yang lain memilikinya seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini. "

(..we came to a Town called Junquileu, walled with brick, but without battlements, bulwarks, or towers, as others had, whereof I have spoken before..)

"..di penghujung pinggiran kota ini kami telah melihat pelbagai rumah yang dibina di atas air di atas tiang-tiang yang besar berbentuk kelongsong. Berdekatan gerbang sebatang jalan kecil pula terletak sebuah makam yang diperbuat daripada batu, ditutupi oleh sebuah pintu besi bercat merah dan hijau dan di atasnya terdapat menara yang dihiasi tembikar bermutu tinggi, disokong oleh empat tiang daripada batu yang kukuh. Di atas makam itu terdapat lima buah kubah, dua daripadanya diperbuat daripada besi tempa, yang pada sebahagian permukaannya disurat tulisan emas dalam bahasa Cina, yang isinya berbunyi.."

(..at the end of the suburbs of this town we saw diverse houses built in the water upon great piles, in the form of magazines. Before the gate of a little street stood a tomb made of stone, invironed with an iron gate, painted red and green, and over it a steeple framed of pieces of very fine porcelain, sustained by four pillars of curious stone. upon the top of the tomb were five globes, and two others that seemed to be of cast iron, and on the one side thereof were graven letters of gold, and in the chinese language, words of this substance..)

Apa yang beliau jumpai, dan siapakah pemilik makam yang hebat ini?

Ini maklumatnya yang tersurat pada makam itu:

"Di sini bersemadi Trannocem Mudeliar, ayahanda saudara raja Melaka yang mana kematian membawanya dari dunia ini sebelum ia sempat membalas dendam terhadap Kapitan Alphonso Albuquerque, raksasa penyamun di lautan."

(Here lyes Trannocem Mudeliar, uncle to the King of Malacca, whom death took out of the World before he could be revenged of Captain Alphonso Albuquerque, the lyon of the robberies of the Sea.)

Apabila ditanya oleh Pinto apa kisahnya di sebalik letak duduk makam ini, seorang Cina telah menyatakan bahawa lebih kurang 40 tahun lampau tuan tubuh makam ini telah datang sebagai wakil seorang putera yang memakai gelaran 'Raja Melaka'. Beliau telah memohon bantuan daripada Maharaja Ming untuk berhadapan dengan ancaman daripada "orang-orang yang datang dari negeri tidak bernama, yang datang dari seberang lautan, dari penghujung dunia."

Orang Cina tersebut telah melanjutkan pelbagai kisah lagi antaranya adalah Trannocem Mudeliar itu kemudian berterusan melazimi istana Ming selama tiga tahun sebelum diserang "apoplexie"(strok) secara mengejut dan meninggal pada hari yang kesembilan daripada serangan itu. Wasiat terakhir pada makam beliau itu ditulis atas hasrat beliau sendiri memandangkan beliau menyesali ketidakupayaan beliau untuk hidup lebih lama bagi membalas angkara jahat orang-orang Portugis.

Catatan tersebut diteruskan lagi sehingga mereka sampai ke kota "Sempitay". Di situ mereka telah berjumpa dengan sosok tubuh yang tidak diduga-duga yakni Inez the Leyria. Inez ialah anak kepada Tome Pirez yang diseksa beberapa tahun lampau dalam tahanan Maharaja Ming sebelum ditahan di kota tersebut. Di sana beliau telah berkahwin dengan seorang perempuan Cina yang kemudian melahirkan Inez.



- Tuan Merbok II -




Reply

Use magic Report

 Author| Post time 27-3-2017 02:29 PM | Show all posts
NASIONALISME CHINA DALAM FILEM ' IP MAN '





Baru-baru ini, Donnie Yen mengumumkan bahawa 'Ip Man 4' akan mula difilemkan pada tahun 2018 Ingatkan selepas isteri Ip Man meninggal dunia cerita 'Ip Man' ni dah berakhir, rupanya ada sambungan lagi. Nilai komersil 'Ip Man' bakal menjadikan ia sebagai francais seperti 'X-Men'.

Untuk memahami pandangan dunia ('worldview') sesebuah masyarakat atau negara, kita boleh memerhati budaya popularnya, seperti filem. 'Ip Man' adalah filem yang dihasilkan oleh penerbit pro-Beijing dan dibintangi oleh pelakon yang pro-Beijing, sasaran penontonnya juga rakyat China di bawah kawalan Beijing. Jadi, ada banyak kenyataan politik dan mesej tersembunyi dalam 'Ip Man' yang dapat membantu kita memahami psikologi masyarakat China, yang telah mempengaruhi tindak-tanduk China dalam politik antarabangsa.

Titik jualan ('selling point') filem 'Ip Man' bukanlah kungfu 'Wing Chun'. Anda mungkin tidak dapat membezakan Wing Chun daripada jenis-jenis kungfu yang lain, tetapi anda mesti ingat babak Ip Man membelasah 10 ahli Karate serentak. Titik jualan filem ini ialah 'orang yang dibelasah oleh Ip Man'. Dari situ kita boleh mentafsir mesej yang hendak disampaikan oleh penerbit filem.

Kemuncak cerita 'Ip Man 1' (2008) ialah babak pertarungan di antara Ip Man dan jeneral Jepun bernama Miura. Sebelum Ip Man naik ke pentas, ada monolog dalaman Ip Man yang mengatakan 'beza antara orang China dan orang Jepun ialah orang China tidak sesekali menggunakan kekerasan untuk menindas orang lain.' Ayat ini bertujuan untuk menonjolkan keunggulan moral ('moral superiority') China berbanding Jepun.

Selepas Ip Man menewaskan Miura, Ip Man tidak membunuh Miura yang pernah membunuh kawan baiknya. Ip Man menggengam tumbukan supaya tidak mencederakan Miura, dan membiarkan Miura jatuh dengan sendiri dalam malu kekalahan ('humiliation in defeat'). Babak simbolik ini juga adalah untuk menampilkan ketinggian moral Ip Man yang mewakili moral tamadun China. Tindakan Ip Man seolah-olah telah menghidupkan prinsip Konfusianisme bernama 'yide baoyuan' (以德报怨) iaitu 'membalas kejahatan dengan kebaikan'.

Cerita 'Ip Man 2' (2010) beralih ke Hong Kong semasa 1950an. Gambaran tentang Hong Kong pada ketika itu ialah sebuah jajahan British di mana orang Cina hanya warga kelas kedua, yang dieksploitasi oleh polis Mat Saleh korup seperti Superintendent Wallace. Kali ini Ip Man melawan peninju British bernama Taylor Milos atau 'Twister', seorang Mat Saleh bongkak yang menghina maruah orang Cina lebih melampau berbanding orang Jepun dalam 'Ip Man 1'. Jeneral Miura sekurang-kurangnya mempunyai sedikit hormat terhadap kungfu Cina, sementara Twister merendah-rendahkan dan mempersenda budaya Cina, dari kungfu hingga ke amalan membakar colok.

Ip Man berada di ambang kekalahan setelah menerima sedas tumbukan Twister yang kuat, namun Ip Man mampu membangun semula kerana dalam otaknya terlintas kata-kata Master Hung yang berbunyi 'jangan membiarkan kwai lou (鬼佬 atau 'hantu' – merujuk kepada Mat Saleh) memandang rendah terhadap kami!' Sekali lagi, Ip Man menunjukkan keunggulan moral dengan tidak membunuh lawannya, walaupun Twister pernah membunuh Master Hung. Perlawanan antara Ip Man dan Twister digambarkan sebagai perlawanan antara budaya Timur dan Barat, dan Timur telah mengatasi Barat pada akhir perlawanan.

Dalam 'Ip Man 3' (2016), pengarah filem (Wilson Yip) mendapat lebih banyak autonomi dari penerbit (Raymond Wong), jadi Yip cuba melebihkan unsur-unsur artistik berbanding komersil. Babak Ip Man berkungfu telah dikurangkan, digantikan dengan cerita Ip Man menemani isterinya yang menghidap kanser. Perlawanan akhir dalam cerita pula adalah antara 2 orang Cina. Ini menyebabkan ramai menyatakan perasaan kecewa terhadap 'Ip Man 3'. Dalamnya tiada watak statik wira ('hero') dan penjahat ('villain') yang dapat dimuatkan ke dalam kerangka pemikiran penonton China. Dan paling penting sekali, tiada watak 'orang asing jahat' yang memenuhi imaginasi penonton. Watak Mike Tyson adalah ketua kongsi gelap, bukan wakil kuasa asing, malah Ip Man pun tidak mampu mengalahkan Tyson.

Jepun dan British diberi watak jahat dalam 'Ip Man 1' dan 'Ip Man 2' kerana mereka mempunyai tempat khas dalam memori sejarah orang China. Dalam memori orang China, zaman bergelora China pada era moden selalu dikaitkan dengan pencerobohan British pada tahun 1839-1842 yang mencetuskan Perang Candu, dan kemudian pencerobohan Jepun pada tahun 1937-1945. Perang Candu menyebabkan China kehilangan Hong Kong, manakala kekejaman Jepun terhadap orang China masih tidak dapat dilupakan oleh generasi tua mahupun muda China.

Memori terhadap British dan Jepun ini telah dimanfaatkan dengan baik oleh pihak penguasa. Sejak tahun 1990, kerajaan China telah menggunakan pendidikan sejarah sebagai alat untuk mendamaikan sentimen pro-demokrasi. Mereka memperkenalkan konsep Abad Penghinaan (百年国耻 / 'Century of Humiliation') yang menyifatkan pencerobohan British pada tahun 1839 sebagai titik permulaan bangsa China 'dihina' dan 'dibuli' oleh kuasa asing, dan penghinaan itu ditamatkan pada tahun 1949 dengan kemunculan komunis (CCP) sebagai peneraju 'China Baru'. Menurut naratif ini, hanya CCP sahaja yang mampu melindungi China daripada penghinaan dan pembulian 'hantu asing' (鬼子 atau 'guizi'). Dan hanya sistem satu parti di bawah CCP, bukannya demokrasi, akan membimbing China ke arah 'kebangkitan semula' ('Great Rejuvenation').

Inilah nasionalisme yang cuba disuapkan oleh CCP kepada rakyat. Untuk menjayakan nasionalisme ini, orang China memerlukan 'punching bag' seperti Jepun. Kemunculan Shinzo Abe (yang sangat menepati imej 'imperialis Jepun' dalam imaginasi orang China) boleh dikatakan hadiah terbaik buat penguasa CCP. Tuntutan bertindih antara China dan Jepun ke atas Pulau Diaoyutai atau Senkaku selain mempunyai nilai strategik, ia juga mempunyai nilai simbolik. China tidak akan sesekali berkompromi dalam isu yang melibatkan Jepun, kalau tidak, ia akan kelihatan lemah dan naratif 'hanya CCP yang mampu menyelamat dan melindung China' tidak lagi berkesan. Saban kali berlaku krisis seperti krisis THAAD, CCP juga memanipulasi perasaan ketidakselamatan ('insecurity') rakyat China dengan menggambarkan semua konflik antarabangsa sebagai konspirasi 'hantu asing'.

Nasionalisme seperti ini ada sisi positif dan negatifnya. Yang positifnya, ia mendorong rakyat untuk memajukan negara dan bangsa supaya dapat mengatasi musuh bayangan (Jepun dan Barat), sama seperti perasaan 'han' bangsa Korea. Yang negatifnya, ia memanjangkan permusuhan yang tidak perlu ('unnecessary'). Yang ironinya, muzik tema 'Ip Man' adalah gubahan komposer Jepun bernama Kenji Kawai.

'Hantu' jenis apakah yang akan dibelasah Master Ip dalam 'Ip Man 4' ?

Sumber : -


# Never Forget National Humiliation : Historical Memory in Chinese Politics and Foreign Relations (Zheng Wang. (2014).


- Ayman Rashdan Wong -



Reply

Use magic Report

Post time 2-4-2017 05:15 PM | Show all posts
jkkkj replied at 25-2-2015 06:20 PM
Seperti mana yang kita semua sedia maklumkan,Dinasti Qing atau Manchu telah memerintah negara China  ...

Jawapan ini dipetik dari Yahoo Answers:

Answers
DSM
Best Answer:  Most malaysian Chinese are from The Southern part of China ,for example like Guangdong ,Guangxi,Fujian ,Teochew, Hainan etc, These are all caterogized as Han Chinese Descendant .Machu descendant never come to Malaysia because it is from the Northern part , very far from SEA , they usually went to USA and Canada, but i have seen a Chinese national Machu girl in Malaysia, she work as a Masseur at reflexology centre , she look a like with han Chinese , no difference.
Source(s):
From my experience on Chinese ancenstoral studies
DSM · 3 years ago
0 Thumbs up  0 Thumbs down Comment
Asker's rating  3 out of 5
Report Abuse

flingebunt
Most Chinese in Malaysia are from Canton/Guandong/Hong Kong due to the British connection. Many people from that area are in fact Han Chinese.

On the other hand some people would have come from Manchuria but it wouldn't be so common.
flingebunt · 3 years ago


Sumber: https://malaysia.answers.yahoo.com/question/index?qid=20140114063814AAGQUfi
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 6-6-2017 06:30 PM | Show all posts
Terima kasih
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 8-8-2020 11:25 PM | Show all posts
PENAKLUKAN MONGOL (DINASTI YUAN) / KORYO (GORYEO) KEATAS PULAU TSUSHIMA (1274)



Artwork : Liu Yonghua 刘永华







Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 15-11-2021 12:16 PM | Show all posts
ASAL USUL NAMA ''CHINA''









Penulis : Heinrich Julius Klaproth (M.Klaproth) / Julius von Klaproth (1783-1835)

Sumber : The Asiatic journal and monthly register for British and foreign India, China and Australasia, Volume 23 (1827)


Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-11-2021 06:04 PM | Show all posts
REPUBLIK CHINA @ EMPAYAR CHINA 中華帝國 ''CHUNGHWA TIKUO'' (1915-1916)



Pada 20 November 1915, Yuan Shikai mengadakan sebuah rapat umum untuk membentuk "Majlis Perwakilan" yang secara sebulat suara menyokong Yuan Shikai menjadi maharaja. Pada 12 Disember 1915, Yuan Shikai setuju menjadi maharaja dan mendeklarasikan dirinya menjadi Maharaja Empayar China dengan gelar Maharaja Hongxian







Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 21-4-2022 05:44 PM | Show all posts
Busana Warisan (Hanfu) Festival QingMing (2022)



Facebook : Cik Husna Liang














Reply

Use magic Report

 Author| Post time 4-5-2024 12:07 PM | Show all posts
Dunhuang China






Reply

Use magic Report

 Author| Post time 12-5-2024 11:22 AM | Show all posts
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 23-12-2024 07:16 PM | Show all posts
ASAL USUL TERSEBAR PEDANG KATANA (UCHIGATANA) DI SELURUH ASIA TIMUR / TENGGARA PADA ABAD KE-15/16

Bilah Pedang Jepun (Nihonto) Menjadi Barang Komoditi (Eksport) Ke Luar Jepun Pada Zaman Itu



Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

25-12-2024 03:54 PM GMT+8 , Processed in 0.793558 second(s), 21 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list