|
|
Jimbau serah kerusi roda kepada veteran ATM Banyoi Majing di Kemuyang
Februari 17, 2026, Selasa - 2:12pm

Jimbau (tengah) ketika menyerahkan kerusi roda tersebut kepada Banyoi dalam satu majlis ringkas pada Ahad.
SIBU: Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Sarawak Jimbau Galau yang juga Ketua Cawangan PVATM Nangka menyerahkan sebuah kerusi roda kepada veteran ATM, Banyoi Majing, di kediamannya di Kemuyang, di sini pada Ahad.
Sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PVATM Sarawak dalam memastikan kebajikan veteran sentiasa diberi perhatian terutamanya mereka yang menghadapi masalah kesihatan.
Banyoi, yang pernah berkhidmat selama 17 tahun sebelum bersara pada 1994, kini menghidap penyakit kencing manis.
Keadaan kesihatannya menyebabkan beliau memerlukan bantuan mobiliti dan kerusi roda yang disumbangkan diharap dapat meringankan beban harian.
Menurut Jimbau, PVATM Sarawak komited mendekati ahli-ahli veteran di seluruh negeri tanpa mengira latar belakang atau status pencen.
“Veteran ATM adalah tulang belakang pertahanan negara pada masa lalu.
“Walaupun mereka telah bersara, kebajikan mereka tetap menjadi tanggungjawab kita bersama,” katanya selepas menyerahkan kerusi roda berkenaan.
Beliau turut menyeru masyarakat agar lebih peka terhadap keperluan golongan veteran terutama mereka yang berdepan cabaran kesihatan dan ekonomi.
Sokongan daripada komuniti setempat, katanya, mampu memberi semangat baharu kepada para veteran.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki dibaham buaya ketika menjala di Sungai Buloh, Sadong Jaya
Februari 17, 2026, Selasa - 4:31pm
SADONG JAYA: Seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas dipercayai dibaham buaya ketika melakukan aktiviti menjala di bawah jambatan Sungai Buloh, di sini, tengah hari pada Selasa.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.40 tengah hari.
Katanya sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 18 kilometer dari balai.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 1 petang dan segera menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan sungai berkenaan.
“Mangsa lelaki warga tempatan berusia 30 tahun dipercayai turun ke dalam sungai sedalam paras pinggang untuk menjala ikan sebelum tiba-tiba dibaham buaya, berdasarkan maklumat saksi awam di lokasi,” katanya menerusi satu kenyataan, pada Selasa.
Tambahnya, operasi pencarian dijalankan dengan menggunakan teknik ‘surface searching’ di sekitar kawasan kejadian.
Bagimanapun setakat jam berita ini ditulis, mangsa masih belum ditemui.
Operasi SAR melibatkan tujuh anggota dengan kekuatan sebuah jentera LFRT, sebuah kenderaan pacuan empat roda serta sebuah bot aluminium.
Usaha pencarian masih diteruskan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Turut sama dalam operasi pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
MPS pertimbang pelaksanaan kajian struktur secara menyeluruh terhadap bangunan lama
Februari 17, 2026, Selasa - 4:40pm

Ting (tengah) ketika ditemui pemberita di kediamannya pada Selasa.
SIBU: Kejadian runtuhan lapan unit rumah kedai di Jalan Pahlawan, di sini, baru-baru ini mendorong Majlis Perbandaran Sibu (MPS) mempertimbangkan pelaksanaan kajian struktur secara menyeluruh terhadap bangunan lama di bandar ini dengan aspek keselamatan awam diberi keutamaan.
Pengerusinya, Clarence Ting, berkata bangunan terlibat kini berada dalam keadaan tidak selamat dan masih tidak stabil.
“Buat masa ini, bangunan tersebut tidak selamat dan masih tidak stabil. Kami tidak membenarkan sesiapa memasuki bangunan itu buat sementara waktu,” katanya ketika ditemui pada kunjungan sempena Tahun Baharu Cina pada Selasa.
Beliau berkata satu mesyuarat yang dipengerusikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahlawan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, telah diadakan bagi membincangkan perkara itu.
Menurutnya, perkembangan lanjut akan diumumkan selepas 23 Februari ini sementara menunggu penilaian serta cadangan teknikal daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).
Mengulas sama ada insiden itu akan mencetuskan pemeriksaan menyeluruh terhadap bangunan lama lain di Sibu, Ting mengakui kajian lebih luas perlu dilaksanakan.
“Demi keselamatan orang ramai, satu kajian memang perlu dilaksanakan,” katanya sambil menambah bahawa sebarang langkah pencegahan yang diumumkan kelak berkemungkinan memberi tumpuan awal kepada kawasan terjejas.
Beliau berkata setakat ini tiada tanda tekanan struktur dikesan pada rumah kedai berhampiran, namun keseluruhan blok terbabit telah ditutup sebagai langkah berjaga-jaga.
“Tiada tanda tekanan pada rumah kedai lain dan hanya lapan unit terjejas. Namun, seluruh blok tidak dibenarkan dimasuki kerana sebarang pergerakan di dalamnya boleh mendatangkan bahaya,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menggesa pemilik rumah kedai di blok berkenaan supaya segera menghubungi MPS bagi membolehkan tindakan lanjut diambil dengan segera.
“Sekiranya bangunan itu diisytiharkan tidak selamat, pemilik perlu merobohkannya dengan segera.
“Bangunan ini bukan milik kerajaan, sebaliknya milik persendirian,” katanya.
Tambahnya, keputusan sama ada struktur berkenaan perlu dirobohkan, dileraikan atau dibaiki adalah tertakluk kepada bidang kuasa JKR selaku pihak berkuasa teknikal.
Sementara itu, anggota polis masih ditempatkan di lokasi kejadian bagi menghalang orang ramai daripada menghampiri kawasan berkenaan.
Ting turut merakamkan penghargaan kepada pihak polis atas kerjasama dalam memastikan keselamatan awam serta mengelakkan orang ramai memasuki premis yang tidak stabil itu.
Insiden berkenaan turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat terhadap keadaan bangunan komersial lama di bandar ini, dengan MPS kini meneliti langkah jangka panjang bagi memperkukuh pemantauan struktur serta menggalakkan pelaporan awal sebarang kerosakan yang dikesan.
Beliau turut menggesa pemilik premis yang mengesan rekahan atau ketidaknormalan pada struktur bangunan supaya segera memaklumkan perkara itu kepada pihak majlis.
“Ini merupakan proses jangka panjang. Jika pemilik melihat sesuatu yang luar biasa, mereka perlu melaporkannya kepada MPS,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
KRT NBAB Sibu, BAKIT Cawangan Sibu santuni golongan memerlukan sempena Ramadan
Februari 18, 2026, Rabu - 9:22am

Saifuddin (empat dari kiri), (duduk, dua dari kanan), Salemah, Fatimah, Drahman (kiri) Abdul Razak (dua kiri) dan yang lain merakam kenangan bersama penerima.
SIBU: Seramai 50 individu yang memerlukan bantuan di sini menerima sumbangan menerusi Program Ziarah Prihatin Komuniti sempena Ramadan 1447H dan Aidilfitri 2026 pada Ahad.
Pengerusi Badan Kebajikan Islam Telekom Malaysia (BAKIT) Cawangan Sibu Mohammad Saifuddin Othman Kamal dalam ucapannya berkata, program berkenaan mencerminkan usaha berterusan dalam menyemarakkan semangat gotong-royong serta nilai saling membantu yang menjadi teras kekuatan masyarakat.
“Kehadiran bulan Ramadan yang bakal tiba merupakan masa yang mendidik kita tentang kepentingan memberi dan berkongsi.
“Segala yang disampaikan pada hari ini bukan sekadar berbentuk zakat atau sumbangan semata-mata, malah merupakan satu peringatan bahawa dalam sesebuah komuniti, kita saling bergantung dan saling memperkukuh antara satu sama lain,” katanya.
Program merupakan anjuran Kejiranan Rukun Tetangga (KRT) Nangka Bandong dan Abang Barieng (NBAB) Sibu dengan kerjasama BAKIT Cawangan Sibu.
Saifuddin berharap pendekatan turun padang ini dapat mempererat hubungan silaturahim serta mengeratkan semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti.
“Diharapkan sumbangan yang disampaikan ini dapat menjadi pelengkap menjelang Ramadan, seterusnya sedikit sebanyak meringankan beban golongan penerima serta membawa kegembiraan kepada mereka.
Sementara itu, para penerima terdiri daripada ibu tunggal, warga emas serta Orang Kurang Upaya (OKU).
Selain penyampaian sumbangan, pihak Telekom Malaysia turut membuka ruang pameran bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan syarikat, termasuk Unifi Mobile, kepada hadirin yang hadir.
Hadir sama Penghulu Kawasan Bandong dan Abang Barieng Abdul Razak Amin, Penghulu Fatimah Narawi, Ketua Kaum Salemah Chali serta Pengerusi KRT NBAB Sibu Drahman Julaihi.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Suasana meriah sambut penumpang sempena TBC di Lapangan Terbang Sibu
Februari 18, 2026, Rabu - 10:04am

Ting megagihkan beg cenderamata kepada penumpang yang tiba di balai ketibaan Lapangan Terbang Sibu.
SIBU: Suasana sambutan Tahun Baharu Cina pada Selasa disemarakkan dengan penganjuran majlis menyambut ketibaan penumpang domestik dan antarabangsa di Lapangan Terbang Sibu (LTS), selari dengan pelaksanaan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Program anjuran Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu menghidupkan suasana di balai ketibaan menerusi persembahan kebudayaan, termasuk paluan gendang dan tarian singa sebagai simbol sambutan perayaan.
Kemeriahan majlis turut diserlahkan dengan kehadiran maskot rasmi VM2026, Wira dan Manja, yang menarik perhatian pengunjung serta mewujudkan interaksi mesra bersama para penumpang.
Pesawat dari Kuala Lumpur yang tiba pada jam 11.40 pagi disambut oleh Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting, wakil Residen Bahagian Sibu Safidi Tumboh serta wakil Tourism Malaysia Agnes Felicia.
Program sambutan seumpama itu turut dilaksanakan serentak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Lapangan Terbang Bintulu dan Lapangan Terbang Miri sebagai tanda komitmen bersama dalam menyokong kempen VM2026 di Sarawak.
Menurut Tourism Malaysia dalam satu kenyataan, pelaksanaan inisiatif di bawah VM2026 bertujuan mempromosikan kepelbagaian warisan budaya negara di samping mengukuhkan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang inklusif, mesra dan berwarna-warni.
Di peringkat kebangsaan, majlis sambutan diadakan di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing.
Bagi Sarawak, penganjuran majlis sambutan dilaksanakan secara serentak di empat lapangan terbang utama, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Lapangan Terbang Sibu, Lapangan Terbang Bintulu dan Lapangan Terbang Miri.
Majlis turut diserikan dengan upacara tradisi Yee Sang yang membawa simbolik perpaduan, kesejahteraan serta harapan kemakmuran bersama sempena perayaan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
YADIM, CIMB Islamic Bank santuni 200 asnaf dan mualaf di DUN Samariang
Februari 18, 2026, Rabu - 10:25am

Sharifah Hasidah (tengah) menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima sempena Program Harapan Ramadan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Sarawak bersama CIMB Islamic Bank 2026 pada Selasa. - Gambar UKAS
KUCHING: Seramai 200 penerima terdiri daripada golongan asnaf dan mualaf di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang menerima sumbangan menerusi Program Harapan Ramadan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Sarawak bersama CIMB Islamic Bank 2026.
Program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Sarawak dengan kerjasama CIMB Islamic Bank itu telah berlangsung di Masjid Ilhwanul Islam, Taman Sukma pada Selasa.
Ia merupakan inisiatif kebajikan bagi membantu meringankan beban golongan memerlukan dalam membuat persediaan menyambut Ramadan.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), majlis disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali yang menyampaikan sumbangan kepada para penerima serta beramah mesra bersama masyarakat setempat.
Dalam ucapannya, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang merakamkan penghargaan kepada pihak YADIM dan CIMB Islamic Bank kerana memilih kawasan Samariang sebagai lokasi pelaksanaan program kebajikan berkenaan.
Menurut beliau, kerjasama strategik antara agensi dan institusi kewangan seperti itu mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa kesejahteraan rakyat.
Beliau menegaskan bahawa program seumpama ini bukan sahaja membantu dari segi keperluan material, malah menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan menjelang Ramadan.
“Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan dan peluang untuk kita memperbaiki diri, meningkatkan amalan serta mengeratkan silaturahim. Inisiatif seperti ini amat bermakna bagi mereka yang memerlukan,” katanya.
Sementara itu, wakil CIMB Islamic Bank dan YADIM dalam ucapan masing-masing menyatakan komitmen untuk terus memperluas pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat khususnya yang memberi manfaat kepada masyarakat Islam kurang berkemampuan di negeri ini.
Bagi tahun 2026, Program Harapan Ramadan diperluaskan pelaksanaannya ke enam Parlimen terpilih di Sarawak bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara lebih menyeluruh kepada golongan sasar.
Bantuan yang disalurkan diharap dapat membantu para penerima membuat persediaan awal menyambut Ramadan dengan lebih tenang dan bermakna.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Ahli Parlimen Batang Sadong tinjau operasi SAR mangsa dibaham buaya
Februari 18, 2026, Rabu - 11:04am

Rodiyah (tengah) diberi penerangan oleh wakil SFC ketika meninjau lokasi pencarian di Sadong Jaya pada Selasa. - Gambar UKAS
SADONG JAYA: Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee turun padang untuk meninjau operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa disambar buaya di Jambatan Batang Sadong.
Mangsa dikenali sebagai Mohd Faizal Abdillah, 29, berasal dari Kampung Rangawan, Sadong Jaya dilaporkan hilang selepas disambar buaya dalam satu kejadian berhampiran Jambatan Batang Sadong kira-kira jam 11 pagi pada Selasa.
Menurut maklumat awal, ketika kejadian air sedang surut dan mangsa bersama seorang rakannya berjalan kaki berhampiran jambatan berkenaan untuk menangkap udang menggunakan jala sebelum tiba-tiba disambar dan dilarikan oleh reptilia tersebut.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), operasi SAR segera diaktifkan melibatkan pelbagai agensi termasuk Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Sarawak Forestry Corporation (SFC).
Rodiyah turut meluangkan masa berjumpa dan menyantuni ahli keluarga mangsa di lokasi kejadian bagi memberikan kata-kata semangat serta sokongan moral.
Beliau juga menekankan agar pihak SFC melaksanakan program kesedaran di kawasan berisiko bagi memberi penerangan kepada penduduk kampung serta Persatuan Nelayan berhubung ancaman buaya dan langkah keselamatan yang perlu dipatuhi.
Setakat ini, Pusat Khidmat DUN N25 Simunjan turut menyalurkan sumbangan berupa makanan dan minuman bagi kegunaan pasukan SAR sepanjang operasi dijalankan.
Mangsa bagaimanapun masih belum ditemui dan operasi SAR akan diteruskan hari ini.
Hadir sama, Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Rafendy Ariffin.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Edited by Vellfire at 19-2-2026 08:54 AM
Abdul Yakub, Royston adakan kunjungan mesra di Mukah sempena TBC
Februari 18, 2026, Rabu - 11:14am

Abdul Yakub (tiga kiri) dan Royston (tiga kanan) bergambar bersama pemilik rumah ketika berkunjung sempena TBC pada Selasa. - Gambar UKAS
MUKAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi dan ADUN Tellian Royston Valentine mengadakan kunjungan mesra ke beberapa kediaman di sekitar Mukah sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) pada Selasa.
Kunjungan tersebut bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan rakyat selain menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di daerah itu.
Sambutan perayaan TBC turut menjadi wadah memperkukuh keharmonian dan persefahaman antara kaum di Sarawak.
Amalan kunjung-mengunjung ketika musim perayaan mencerminkan semangat muhibah yang telah lama menjadi tunjang kekuatan masyarakat di Mukah.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Abdul Yakub dan Royston turut menzahirkan penghargaan atas sambutan mesra yang diberikan oleh penduduk setempat sepanjang lawatan berkenaan.
Menurut mereka, kepelbagaian budaya dan adat resam di Sarawak merupakan kekuatan yang perlu terus dipupuk demi kesejahteraan bersama.
Selain itu, semangat kebersamaan dan hormat-menghormati yang ditunjukkan oleh masyarakat di Mukah membuktikan bahawa perpaduan di negeri ini sentiasa utuh, tambah mereka.
Kehadiran mereka turut disambut dengan penuh kemesraan oleh tuan rumah yang menghargai keprihatinan pemimpin setempat dalam meraikan perayaan bersama rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
Hadir sama, Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
HASiL ubah waktu operasi kaunter perkhidmatan sepanjang Ramadan
Februari 18, 2026, Rabu - 12:12pm

KUCHING: Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) memaklumkan perubahan waktu operasi Kaunter HASiL sepanjang bulan Ramadan berkuat kuasa mulai 19 Februari hingga 20 Mac depan.
HASiL dalam kenyataan media berkata, kaunter Khidmat Rundingan/Pejabat Satelit/Kaunter Duti Setem di Sarawak akan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 3.30 petang, pada Isnin hingga Jumaat.
"Bagi kaunter HASiL Contact Centre (HCC) pula akan beroperasi juga dari Isnin hingga Jumaat, mulai jam 9 pagi hingga 4 petang.
"Sementara bagi kaunter Bayaran Sijil Pendaftaran Nama Perniagaan Sahaja di Kuching yang melibatkan bayaran tunai beroperasi juga dari 8 pagi hingga 3 petang, Isnin hingga Jumaat," menurut kenyataan
Pusat Transformasi Bandar (UTC) beroperasi seperti biasa, dari Isnin hingga Jumaat mulai jam 8 pagi hingga 4.30 petang.
Sehubungan itu, HASiL menasihatkan pembayar cukai agar membuat perancangan awal serta mengatur jadual lawatan ke Kaunter HASiL berdasarkan waktu operasi yang telah ditetapkan sepanjang bulan Ramadan.
Bagi memastikan kelancaran urusan percukaian, pembayar cukai juga digalakkan untuk memanfaatkan perkhidmatan dalam talian melalui portal MyTax di https://mytax.hasil.gov.my/ tanpa perlu hadir ke kaunter fizikal.
HASiL berharap pelaksanaan waktu operasi ini dapat memenuhi jangkaan pelanggan serta memberikan nilai tambah yang positif dalam meningkatkan tahap kepuasan dan pengalaman perkhidmatan kepada semua pembayar cukai.
HASiL turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Salam Ramadan dan selamat menunaikan ibadah puasa kepada seluruh pembayar cukai dan rakyat Malaysia yang beragama Islam.
Sebarang pertanyaan serta maklum balas boleh menghubungi di talian Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1000 (Luar Negara), HASiL Live Chat dan Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Beberapa jalan utama dinaik taraf, atasi isu kesesakan trafik di Sibu
Februari 18, 2026, Rabu - 1:27pm

Tiang menyapa orang ramai yang hadir pada majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran beliau di Sibu.
SIBU: Isu peningkatan aliran trafik di beberapa kawasan utama bandar ini diberi perhatian serius menerusi pelaksanaan dan perancangan beberapa projek penaiktarafan jalan yang dijangka siap dalam tempoh terdekat.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata antara projek utama adalah pelebaran Jalan Ulu Sungai Merah kepada laluan dua hala yang kini berada pada fasa akhir pelaksanaan dan dijadual siap sepenuhnya menjelang Mei ini.
Menurutnya, projek berkenaan dijangka dapat mengurangkan kesesakan serta melancarkan pergerakan kenderaan khususnya pada waktu puncak susulan peningkatan jumlah trafik di kawasan berkenaan.
“Dalam tempoh kira-kira tiga bulan lagi, pengguna akan menikmati jalan yang lebih selesa dan selamat,” katanya ketika berucap pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina beliau di kawasan tempat kereta berbumbung di Unicity di sini, hari ini.

Tiang (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama orang ramai serta para penari tarian singa.
Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan berkata penaiktarafan Jalan Ulu Sungai Merah merupakan antara usaha berterusan kerajaan negeri dalam menambah baik rangkaian jalan raya di kawasan yang pesat membangun itu.
Katanya, pertambahan pembangunan perumahan dan komersial di kawasan berkenaan menyebabkan peningkatan jumlah kenderaan, sekali gus memerlukan penyelesaian jangka pendek dan panjang bagi memastikan kelancaran trafik.
Sementara itu, Jalan Ling Kai Cheng yang sebelum ini telah dinaik taraf akan melalui penambahbaikan tambahan bagi meningkatkan kelancaran aliran trafik serta aspek keselamatan, khususnya membabitkan pelajar sekolah berhampiran.
Tiang berkata langkah berkenaan penting memandangkan laluan itu sering mengalami kesesakan pada waktu pagi dan petang ketika musim persekolahan.
Di kawasan Sungai Merah pula, satu pelan penyusunan semula trafik sedang dirangka melibatkan Jalan Teng Cheng Hua susulan maklum balas penduduk dan institusi sekitar berhubung isu kesesakan serta keselamatan.
Beliau berkata antara langkah yang akan dilaksanakan termasuk menaik taraf persimpangan, menyusun semula aliran kenderaan serta menambah baik akses keluar masuk bagi memastikan pergerakan trafik lebih teratur dan sistematik.
“Projek ini tidak kompleks dan boleh dilaksanakan dalam tempoh beberapa bulan. Kita yakin hasilnya akan dapat dilihat dalam masa terdekat,” katanya.
Menurutnya, perancangan itu turut mengambil kira pandangan masyarakat setempat bagi memastikan penyelesaian yang dilaksanakan benar-benar memenuhi keperluan pengguna jalan raya di samping menyokong pertumbuhan ekonomi setempat.
Tiang menegaskan pelaksanaan projek infrastruktur berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri memperkukuh kemudahan asas di bandar ini selaras dengan agenda pembangunan Sarawak ke arah mencapai status negeri maju menjelang 2030.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tindakan lebih tegas perlu dilaksana untuk kurangkan populasi buaya di Batang Sadong: Awla
Februari 18, 2026, Rabu - 3:13pm

Awla (tiga kanan) menyampaikan bantuan kepada ahli keluarga mangsa semasa turun meninjau misi pencarian mangsa serangan buaya berhampiran Jambatan Batang Sadong hari ini. - Gambar UKAS
SADONG JAYA: Tindakan lebih tegas dan agresif perlu dilaksanakan oleh agensi berkaitan bagi mengurangkan populasi buaya yang mengancam keselamatan penduduk di kawasan Batang Sadong, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris.
Beliau berkata, kawasan berkenaan sejak kebelakangan ini menyaksikan peningkatan kes serangan melibatkan reptilia itu.
“Mohon agensi berkaitan menjalankan tindakan lebih agresif berkaitan buaya kerana dalam kebelakangan ini terlalu banyak kes melibatkan kawasan sungai di Batang Sadong.
“Tindakan lebih agresif perlu memandangkan kebanyakan penduduk di kawasan ini bergantung kepada sumber sungai sebagai punca rezeki,” katanya dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) hari ini.
Beliau berkata demikian ketika meninjau Pusat Kawalan Tempat Kejadian bagi Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) berhampiran Jambatan Batang Sadong untuk mendapatkan perkembangan terkini berhubung insiden serangan buaya yang dilaporkan berlaku pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi Selasa, seorang lelaki dikenali sebagai Mohd Faizal Abdillah, 29, dari Kampung Rangawan di Sadong Jaya dilaporkan hilang selepas disambar buaya ketika berada di kawasan berkenaan.
Lawatan beliau bertujuan menyatakan sokongan moral kepada pasukan penyelamat selain memastikan segala keperluan operasi berada dalam keadaan teratur dan mencukupi.
Sepanjang kunjungan itu, beliau turut diberi taklimat situasi semasa daripada agensi terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Asajaya, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Sarawak Forestry Corporation (SFC) yang bekerjasama secara bersepadu dalam operasi berkenaan.
Selain agensi kerajaan, operasi mencari dan menyelamat turut disertai kumpulan Samarahan Crocodile Hunter serta penduduk kampung yang tampil membantu dalam usaha mengesan mangsa di sekitar lokasi kejadian.
Dalam pada itu, Awla turut meluangkan masa bertemu dan menyantuni ahli keluarga mangsa di lokasi kejadian bagi menyampaikan kata-kata semangat agar mereka terus tabah menghadapi dugaan tersebut.
Beliau juga menyerahkan sumbangan sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada keluarga terbabit sepanjang tempoh operasi dijalankan.
Awla turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika menjalankan aktiviti di kawasan sungai atau lokasi berisiko tinggi serta mematuhi segala arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang.
Operasi SAR masih diteruskan dan pihak berkuasa akan memaklumkan sebarang perkembangan dari semasa ke semasa.
Hadir sama, Penolong Pegawai Tadbir, Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya Abdullah Sam Yusup, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Barry William, Pegawai Bomba Kanan I, Balai Bomba dan Penyelamat Asajaya Andrew Mangga, Ketua Polis Balai Asajaya Sarjan Mohammad Ibrahim Abdullah serta Pegawai Pertahanan Awam Daerah Asajaya Lt (PA) Hafizul Samah.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
MBKS sedia 160 tapak gerai di Bazar Ramadan Stutong
Februari 18, 2026, Rabu - 3:31pm

Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah bersama Wee (empat kiri), Dr Hazland (tiga kiri) serta yang lain mengaul Yee Sang pada Majlis Rumah Terbuka Wee hari ini. - Gambar Chimon Upon
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menyediakan 160 tapak gerai di Bazar Ramadan Stutong bagi memberi peluang kepada peniaga mencari rezeki sepanjang Ramadan kali ini.
Datuk Bandar MBKS Dato Wee Hong Seng berkata, pembukaan bazar di Stutong itu unik kerana biarpun bertemakan Hari Raya, masyarakat Cina turut menyertainya.
“Sarawak sentiasa meraikan semua perayaan bersama-sama,” katanya kepada media selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di kediamannya hari ini.
Terdahulu, beliau dan keluarga menerima kunjungan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Rombongan Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut diiringi Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni, sebelum dibawa ke ruang tamu untuk sesi penyerahan cenderamata dan bergambar kenangan yang didahului dengan acara menggaul Yee Sang.
Tambah Wee, lokasi di Stutong sesuai kerana mampu menampung jumlah peniaga yang besar serta mudah diurus.
“Kami rasa kawasan Stutong boleh mengendalikan sekitar 160 peniaga justeru kami berharap bukan sahaja orang Islam malah masyarakat Cina akan turut serta,” katanya lagi.
Menurutnya, keunikan Sarawak terletak pada semangat perpaduan masyarakat yang saling menyokong tanpa mengira perbezaan budaya dan agama.
“Inilah yang membuatkan Sarawak berbeza daripada tempat lain. Di sini, setiap perayaan diraikan bersama yakni sama ada Hari Raya, Tahun Baharu Cina atau Gawai,” katanya.
Beliau turut berharap agar masyarakat terus mengutamakan kesihatan dan keharmonian.
“Paling penting adalah kesihatan yang baik. Apabila kita sihat, barulah kita boleh gembira dan berusaha untuk kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Wee turut menegaskan kepentingan mengekalkan kestabilan politik demi menarik pelaburan.
“Semua yang kita lakukan sekarang menunjukkan bahawa kerajaan adalah stabil.
“Tanpa kerajaan yang stabil, pelabur tidak akan datang dan orang luar akan memandang kita secara berbeza,” katanya.
Beliau turut memuji amalan Rumah Terbuka yang dianjurkan kerajaan sepanjang musim perayaan.
“Saya lihat semalam (Selasa) di Pusat Konvenyen Borneo Kuching (BCCK) ramai orang hadir walaupun saya hanya bertugas selama tiga jam. Ini menunjukkan kerajaan sentiasa mengadakan rumah terbuka untuk rakyat pada setiap perayaan,” katanya.
“Kita semua adalah orang Sarawak. Kita ada peranan untuk mempertahankan keharmonian dan saling menghormati. Buka hati, barulah masa depan kita akan terus maju,” katanya.
Mengulas kunjungan Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah, beliau berkata ia membuktikan bahawa di bumi bertuah ini, perayaan bukan sekadar diraikan oleh satu kaum, sebaliknya dikongsi bersama sebagai simbol kekuatan perpaduan dan keharmonian rakyat Sarawak yang terus dipelihara sebagai asas kestabilan serta kemajuan negeri.
Turut hadir, timbalan datuk bandar MBKS Dato Zaiedi Suhaili dan para ahli majlis MBKS.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pembinaan negara perlu berteraskan perpaduan dan naratif positif: Dr Sim
Februari 18, 2026, Rabu - 3:50pm

Dr Sim (tengah) serta isteri Datin Amar Enn Ong dan Lo (tiga kiri) merakam kenangan bersama para tetamu ketika rumah terbuka hari ini. – Gambar Mohd Faisal Ahmad
KUCHING: Pembinaan negara harus berteraskan perpaduan dan naratif positif, bukannya pendekatan yang memecah-belahkan, ‘extreme colonisation’ mahupun politik sepanjang masa, menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Katanya, suasana rumah terbuka Tahun Baharu Cina di Sarawak menjadi contoh terbaik semangat perpaduan dan naratif positif yang dimaksudkan.
Menurut beliau, pembinaan negara adalah tentang semua pihak berkumpul bersama tanpa mengira latar belakang.
“Tahun Baharu Cina adalah masa untuk kita menyampaikan perkara-perkara yang baik, bukan untuk bersikap negatif.
“Diharapkan segala perkara dan naratif positif ini dapat diteruskan sepanjang tahun kerana perkara positif juga amat penting dalam pembinaan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di rumah terbuka Tahun Baharu Cina Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Dato Lo Khere Chiang di sini, hari ini.

Dr Sim bercakap dengan Lo ketika di rumah terbuka tersebut. – Gambar Mohd Faisal Ahmad
Dr Sim turut menekankan bahawa dalam usaha membina negara, masyarakat perlu bersikap adil dalam menilai sesuatu isu.
Beliau memberi contoh situasi banjir dan perkhidmatan hospital, di mana kejayaan atau perkara baik jarang diketengahkan berbanding isu negatif yang cepat mendapat perhatian umum.
Katanya, jutaan pesakit menerima rawatan dan ribuan bayi dilahirkan setiap tahun di hospital, namun penghargaan jarang dizahirkan, sebaliknya satu kes aduan boleh menarik perhatian meluas.
Sehubungan itu, Dr Sim menegaskan bahawa pembinaan negara memerlukan pendekatan yang seimbang dan positif.
“Pembinaan negara adalah bergerak maju secara positif, bukannya bergerak mundur secara negatif,” katanya.
Tambah beliau, Sarawak kini berada dalam fasa pembangunan pesat dan tempoh lima tahun akan datang amat penting untuk memastikan negeri ini terus maju dalam suasana solidariti serta perpaduan rakyat.

Lo merakam kenangan bersama para tetamu yang hadir ke rumah terbuka beliau di Kuching, hari ini. – Gambar Mohd Faisal Ahmad
Sementara itu, Lo berkata Sarawak berada di landasan untuk muncul sebagai antara wilayah terkaya di rantau ini di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, justeru, rakyat perlu terus bekerja keras dan tidak berasa selesa dengan pencapaian semasa.
“Kita bekerja keras dan memastikan generasi selepas kita akan menerima pendidikan terbaik.
“Sarawak mempunyai lima universiti yang menyediakan pendidikan terbaik kepada anak-anak kita. Hanya apabila mereka bekerja keras dan bersaing secara sihat antara satu sama lain, barulah kita dapat melahirkan bakat-bakat yang diperlukan untuk membangunkan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata Sarawak amat bertuah kerana mulai 2026, anak-anak negeri ini berpeluang menerima pendidikan tertiari percuma, sekali gus meringankan beban ibu bapa yang sebelum ini terpaksa menanggung kos pengajian tinggi.
Menurutnya juga, kepimpinan Premier memberi penekanan terhadap kepentingan pendidikan tanpa mengira kaum dan agama sebagai asas pembangunan modal insan.
“Ada satu ungkapan daripada seorang pemimpin yang mengatakan bahawa jika mahu memusnahkan sesebuah negara, perkara pertama yang perlu dimusnahkan ialah sistem pendidikannya.
“Namun Sarawak melakukan perkara yang sebaliknya dengan terus menggalakkan pendidikan,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Iskandar hadiri pemantauan Hilal Ramadan di Bintulu
Februari 18, 2026, Rabu - 4:07pm

Iskandar mencerap Hilal (anak bulan) Ramadan menggunakan teleskop di Pusat Falak Bintulu, Pantai Tanjung Batu di Bintulu.
BINTULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee menghadiri Majlis Rukyah Hilal Ramadan 1447 Hijrah/2026 Masihi di Pusat Falak Bintulu di Pantai Tanjung Batu, di sini pada petang Selasa.
Iskandar berkata, majlis rukyah itu merupakan satu proses penting dalam menentukan permulaan Ramadan, melibatkan pegawai agama dan ahli falak yang menjalankan cerapan hilal dengan penuh teliti serta amanah.
"Semoga kehadiran Ramadan kali ini membawa keberkatan, mengeratkan silaturahim dan meningkatkan keimanan kita semua.
"Marilah kita bersama-sama membuat persiapan rohani dan jasmani untuk menyambut bulan yang penuh rahmat ini," katanya.
Majlis tersebut merupakan aktiviti tahunan Jabatan Mufti Sarawak bertujuan membuat penetapan tarikh 1 Ramadan.
Pusat Falak Bintulu Pantai Tanjung Batu Bintulu antara 29 lokasi di seluruh negara ditetapkan untuk melihat anak bulan Ramadan.

Iskandar (dua kanan) mendengar penerangan sebelum mencerap Hilal (anak bulan) Ramadan menggunakan teleskop di Pusat Falak Bintulu Pantai Tanjung Batu di Bintulu.
Sementara itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam laporan BERNAMA pada Selasa, memaklumkan bahawa umat Islam di seluruh negara akan mula berpuasa pada Khamis.
Syed Danial berkata tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan menurut perintah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Pengumuman itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam Selasa.
Pada 12 Februari lepas, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menerusi satu kenyataan menetapkan 18 Februari bersamaan dengan 29 Syaaban 1447 Hijrah untuk melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa buat umat Islam di Malaysia.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sambutan perayaan bersama lambang perpaduan utuh: Hasbi
Februari 18, 2026, Rabu - 4:40pm

Hasbi, Paulus dan Sufian menunjukkan simbolik penyatuan bersama tuan rumah dan keluarga semasa kunjungan Tahun Baru Cina di Limbang pada Selasa. - Gambar UKAS
LIMBANG: Keharmonian antara kaum terus menjadi asas penting dalam membina sebuah negara bangsa yang stabil dan maju, terutamanya dalam masyarakat majmuk di mana semangat saling menghormati serta meraikan kepelbagaian budaya dan perayaan mencerminkan kematangan rakyat dalam memelihara perpaduan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata, rakyat Malaysia setiap tahun menyambut pelbagai upacara dan perayaan setiap kaum secara bersama sebagai lambang perpaduan yang utuh.
“Kita setiap tahun menyambut pelbagai upacara setiap kaum dan sama-sama meraikan.
"Inilah perpaduan yang ada di dalam rakyat Malaysia di mana perpaduan merupakan asas penting dalam membina negara bangsa dan antara petanda menunjukkan negara kita maju adalah disebabkan perpaduan yang kita kecapi hari ini,” katanya dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Beliau ditemui media ketika lawatan ramah mesra sempena sambutan Tahun Baharu Cina bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Tionghua Daerah Limbang pada Selasa.
Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang berkata, amalan kunjung-mengunjungi dan penyertaan bersama dalam setiap perayaan bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim, malah menjadi petanda jelas bahawa kekuatan sesebuah negara terletak pada kesatuan rakyatnya.
Sempena Tahun Kuda ini, beliau berharap agar sambutan tersebut membawa kebaikan dan kekuatan kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
“Harapan sempena Tahun Kuda ini, kita mengharapkan kebaikan dan kekuatan untuk rakyat kita.
“Kita perlu saling menjaga keharmonian agar perpaduan yang ada terus kekal dan diperkukuhkan,” ujarnya lagi.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang dan Pengerusi Majlis Daerah Limbang Sufian Mohat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki maut motosikal ditunggang bertembung kereta
Februari 18, 2026, Rabu - 6:32pm
SIBU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan kereta di Jalan Sibu-Bintulu berhampiran bulatan Sibu Jaya sehingga menyebabkan kecederaan parah di kepala dan kehilangan kaki kiri.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Boniface Bajai berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan melibatkan sebuah kereta dan motosikal itu kira-kira jam 6.12 pagi.
“Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang lelaki tempatan berusia 29 tahun itu dipercayai bergerak dari arah bertentangan menuju ke Sibu Jaya.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal berkenaan dipercayai bertembung dengan kereta yang dipandu lelaki berusia 51 tahun yang sedang menghala ke pusat bandar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kemalangan itu turut mengakibatkan kerosakan teruk pada bahagian hadapan kereta manakala motosikal mangsa rosak teruk.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Bazar Ramadan Dataran Tun Tuanku Bujang tampil pembaharuan termasuk sistem pembayaran QR
Februari 18, 2026, Rabu - 6:48pm

Sayed Azmee (tiga kiri) menyerahkan apron kepada salah seorang peniaga di Bazar Ramadan Dataran Tun Tuanku Bujang.
SIBU: Bazar Ramadan Dataran Tun Tuanku Bujang tampil dengan pelbagai pembaharuan termasuk penggunaan sistem pembayaran tanpa tunai menerusi kod QR serta penganjuran pertandingan lampu gerai bagi memeriahkan suasana sepanjang bulan Ramadan.
Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Sayed Azmee Wan Junaidi berkata, bazar Ramadan itu antara bazar terawal di Sarawak yang menyediakan kemudahan pembayaran kod QR.
“Sistem pembayaran menggunakan kod QR ini merupakan inisiatif pihak Bank Islam Malaysia Berhad. Ini memudahkan urusan antara pembeli dan peniaga.
“Selain itu, pertandingan lampu gerai diadakan bagi menceriakan suasana bazar,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee bagi merasmikan Bazar Ramadan Dataran Tun Tuanku Bujang, petang tadi.
Menurutnya, aspek kebersihan turut diberi penekanan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang akan memantau tahap kebersihan serta pematuhan peraturan oleh para penjaja sepanjang tempoh bazar berlangsung.

Sayed Azmee mengimbas kod QR untuk aduan di Bazar Ramadan Dataran Tun Tuanku Bujang.
Selain itu, katanya, jawatankuasa penganjur turut menyediakan satu kod QR khas di lokasi bazar bagi membolehkan pengunjung menyalurkan sebarang aduan atau maklum balas secara terus.
“Sekiranya ada sebarang aduan, orang ramai boleh menyalurkannya melalui kod QR yang disediakan.
“Jawatankuasa akan mengambil tindakan segera dan berhubung terus dengan pihak KKM sekiranya melibatkan isu kebersihan atau perkara yang memerlukan tindakan lanjut,” jelasnya.
Tambahnya, jawatankuasa yang terdiri daripada wakil pusat khidmat akan memastikan setiap aduan ditangani melalui saluran yang betul demi menjamin kelancaran dan keselesaan sepanjang penganjuran bazar Ramadan ini.
“Saya berharap orang ramai dapat memberikan maklum balas yang membina serta memanfaatkan saluran aduan yang disediakan bagi memastikan bazar berjalan teratur dan mencapai matlamat penganjurannya,” katanya.
Sementara itu, Sayed Azmee berkata, penganjuran tahun ini turut mendapat sokongan serta bantuan subsidi daripada Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka bagi meringankan beban para penjaja.
“Sebanyak 116 penjaja melibatkan 58 gerai akan berniaga sepanjang bulan Ramadan.
“Kita amat berterima kasih atas bantuan subsidi yang diberikan bagi membantu penjaja menjana pendapatan sepanjang bulan yang mulia ini,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, beliau menyerahkan apron kepada semua peniaga di Bazar Ramadan Dataran Tun Tuanku Bujang.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Penduduk Kampung Masjid Balingian adakan gotong-royong bersih parit besar
Februari 19, 2026, Khamis - 8:52am

Penduduk kampung bersedia dan saling bekerjasama untuk membersihkan kawasan parit dan sekitarnya.
BALINGIAN: Penduduk mengambil inisiatif mengadakan aktiviti bergotong-royong membersih kawasan parit besar di Kampung Masjid Balingian pada Ahad lepas.
Pembersihan diadakan supaya kawasan kampung kekal bersih dengan keutamaannya juga adalah untuk memastikan aliran air dalam sistem perparitan berjalan lancar serta mencegah berlakunya banjir kilat.
Tinjauan mendapati penduduk kampung saling bekerjasama memotong rumput dan semak samun serta mengeluarkan rumput yang menyekat aliran air di kawasan parit besar tersebut.
Dengan semangat kekitaan yang tinggi antara penduduk, kerja-kerja pembersihan di kawasan parit tersebut telah dilaksanakan dengan penuh lancar.

Keadaan parit besar selepas dibersihkan oleh penduduk kampung.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Farley Bintulu meriah dengan kunjungan ADUN Tanjong Baru, tarian singa sempena TBC
Februari 19, 2026, Khamis - 8:57am

Pang (kanan) setibanya di Pasaraya Farley sambil diiring Eijing (kiri) dan Lau Siew Whye (tengah) menyaksikan persembahan tarian singa.
BINTULU: Pasaraya Mini Farley Bintulu meriah dikunjungi oleh kumpulan tarian singa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) di Pusat Komersial Medan Jaya pada semalam.
Pang berkata, Kumpulan tarian singa yang bertuah ini dibawa bersamanya hadir untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada semua orang.
Katanya, sebaik tiba gendang mula dipalu dan tarian singa menyajikan persembahannya serta-merta memenuhi ruang dengan semangat perayaan.
"Terima kasih kepada Pasaraya Mini Farley atas khidmat berterusan kepada rakyat dengan membawa kemudahan peruncitan dan beli belah ke Bintulu," katanya.

Kumpulan Tarian Singa membuat persembahan di bahagian kaunter Pasaraya Farley Bintulu.
Sempena Tahun Baharu Cina katanya, saya mengucapkan salam sejahtera kepada pengurusan dan semua kakitangan Farley dengan harapan mendapat nasib baik pada Tahun Kuda, perniagaan berkembang maju dan kekayaan terus mengalir masuk.
"Diharapkan pasaraya ini penuh dikunjungi pelanggan setiap hari dan pada tahun baharu kita semua terus makmur dan mencapai tahap yang lebih tinggi bersama-sama," kata Pang.
Menyambut ketibaan Pang di pasaraya berkenaan ialah Pengarah Farley Kuching Eijing Lau dan Pengerusi Kumpulan Farley Lau Siew Whye.

Pang, Eijing dan Lau Siew Whye (tengah) bersama pengurusan Farley dan yang lain merakam gambar kenangan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tourism Malaysia terus giat promosi pelancongan dan kebudayaan menerusi sambutan TBC
Februari 19, 2026, Khamis - 9:04am

Pegawai-pegawai mengalu-alukan ketibaan pelancong dan pelawat yang tiba di Lapangan Terbang Bintulu.- Gambar UKAS
BINTULU: Tourism Malaysia terus mempergiat usaha mempromosikan sektor pelancongan dan kebudayaan negara menerusi penganjuran sambutan Tahun Baharu Cina 2026 di Lapangan Terbang Bintulu pada Selasa lepas.
Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak berkata, program yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 1 petang itu bukan sekadar meraikan perayaan, malah menjadi platform strategik memperkukuh kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) dengan menonjolkan keunikan warisan budaya Malaysia kepada pelawat yang tiba di bahagian ini.
Menurutnya, ketibaan pelawat dari dalam dan luar negara disambut dengan suasana penuh warna-warni, mencerminkan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang mesra, harmoni dan kaya dengan kepelbagaian budaya.
"Majlis dimulakan dengan acara simbolik menggaul Yee Sang yang melambangkan perpaduan, kemakmuran dan kesejahteraan selari dengan aspirasi TMM2026 untuk memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum serta komuniti pelancong," katanya.
Persembahan tarian singa di balai ketibaan turut menjadi tarikan utama sekali gus memperkenalkan elemen seni dan tradisi masyarakat Tionghua kepada pelawat yang baharu tiba.

Pegawai-pegawai mengalu-alukan ketibaan pelancong dan pelawat yang tiba di Lapangan Terbang Bintulu.- Gambar UKAS
Selain itu katanya, pameran pakaian tradisional Malaysia yang diadakan memberi peluang kepada pengunjung mengenali kepelbagaian busana etnik di negara ini sekali gus memperkukuh promosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan budaya.
Maskot rasmi TMM2026 katanya, Wira dan Manja turut menceriakan suasana dengan penampilan istimewa bertemakan perayaan, menjadi daya tarikan interaktif untuk sesi fotografi bersama pelawat.
Jelasnya, ketibaan beberapa penerbangan dari Kuala Lumpur dan Kuching pada sebelah pagi diraikan dengan sambutan penuh meriah, menggambarkan komitmen berterusan dalam mempertingkat pengalaman ketibaan pelancong di Bintulu.
Penganjuran program seumpamanya katanya, ia membuktikan kesungguhan Tourism Malaysia dalam memperkasakan pelancongan berasaskan budaya serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama menjelang TMM2026.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|