Berdasarkan takwim kalendar akademik sesi 2024/2025, tarikh permulaan sesi persekolahan bagi Penggal 2 2024/2025 ialah pada 22 September (hari ini) bagi negeri Kumpulan A dan 23 September (esok) untuk negeri Kumpulan B.
Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor mengarahkan sekolah yang dijadikan PPS, diberi kelonggaran
cuti tambahan hingga keadaan banjir benar-benar pulih.
Bagaimanapun, Perdana Menteri dipetik berkata, guru terbabit diminta menyediakan bahan pembelajaran untuk pelajar dan kerja rumah yang perlu disiapkan mereka sebelum sekolah kembali dibuka nanti.
Bagi pelajar Tingkatan Lima pula, Anwar berkata, mereka perlu terus hadir ke sekolah kerana terbabit dalam persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurut KPM, pihaknya mengambil perhatian serius akan keprihatinan dizahirkan Anwar berkaitan situasi banjir di beberapa negeri yang berkemungkinan menjejaskan sesi persekolahan.
Berdasarkan status setakat semalam, katanya, enam institusi pendidikan membabitkan lima sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah masih dilanda banjir di Kedah.
Selain itu, sebanyak 36 institusi pendidikan masih dijadikan PPS membabitkan 20 sekolah sekolah rendah serta 16 sekolah menengah, iaitu 34 di Kedah dan masing-masing satu di Pulau Pinang serta Perak.
"Seramai 1,056 murid KPM masih berada di PPS premis sekolah. Bagaimanapun, Perlis telah pulih sepenuhnya dengan semua PPS premis sekolah ditutup," menurut kenyataan itu lagi.
Susulan itu, katanya, KPM akan terus memantau situasi banjir, bersiap siaga dan memastikan keselamatan serta kesejahteraan murid, guru dan seluruh warganya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1301465/sekolah-terkesan-banjir-jadi-pps-teruskan-pembelajaran-secara-pdpr