Oleh MUHAMAD ZAID ADNAN [email protected]
Gambar NOOR ASREKUZAIREY SALIM
Ahmad Zahid Hamidi memotong riben tanda perasmian Wad Bunga Raya Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju sambil diperhatikan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkifeli Mohd. Zin (kanan) dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Mohammad Noordin Ali (dua dari kanan).
SUKARNYA menggambarkan kepayahan keluarga seorang pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekiranya ibu bapa mereka terlantar akibat menghidap penyakit kronik dan tidak lagi mampu untuk bergerak.
Mereka bukan sahaja perlu menjaga tetapi juga menguruskan hal ehwal kendiri seperti menukar lampin pakai buang malah perlu memastikan ibu bapa berada dalam keadaan selesa termasuk menyediakan katil khas dan alat bantuan pernafasan jika diperlukan.
Namun ironinya, ahli keluarga tersebut perlu bekerja dan anak pula bersekolah sehingga terpaksa membiarkan ibu bapa mereka yang terlantar di rumah tanpa penjagaan sewajarnya.
Bagi yang berkemampuan, mungkin sanggup mengeluarkan belanja lebih termasuk menggaji pekerja asing bagi memastikan ibu bapa yang terlantar itu mendapat perhatian yang sewajarnya.
Bagaimanapun ia pasti berbeza dengan keluarga yang bukannya daripada golongan berkemampuan kerana sudah tentu mereka tidak mampu untuk mengeluarkan belanja dalam menguruskan kebajikan ibu bapa yang menghidap penyakit kronik itu.
Namun kini, ahli keluarga veteran tentera boleh menarik nafas lega setelah kerajaan mengambil inisiatif mewujudkan sebuah Wad Veteran ATM di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan dekat Wangsa Maju.
Ia diwujudkan khas untuk menjaga kebajikan kira-kira 700,000 pesara dan pasangan mereka yang sebelum ini hanya mendapat perhatian daripada keluarga masing-masing.
Wad Veteran ATM itu dilancarkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 10 Mac lalu hasil cetusan Persatuan Veteran Rejimen Semboyan Diraja (PVRSD) yang mencadangkan kepada kementerian supaya diwujudkan sebuah pusat penjagaan khusus untuk pesara tentera yang menghidap penyakit kronik.
Pada ketika itu, PVRSD berjaya mengenalpasti seramai 42 pesara yang memerlukan rawatan serta perhatian sewajarnya sebelum membawa kertas cadangan itu kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) untuk perbincangan awal dengan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK) pada Jun 2009.
Selain itu, cadangan tersebut juga dirujuk kepada Ahmad Zahid sendiri yang kemudiannya mengambil keputusan menyokong penuh dan meluluskan cadangan berkenaan serta mengarahkan Ketua Pengarah BPK, Leftenan Jeneral Datuk Dr. Abdul Razak Md. Yusof mempertimbangkan dengan serius cadangan tersebut bagi kebajikan pesara ATM.
Hasilnya satu pertemuan membabitkan BPK, JHEV dan PVRSD diadakan pada 6 Disember 2010 bagi membincangkan cadangan tersebut yang akhirnya BPK telah menawarkan wad sedia ada di HAT Tuanku Mizan untuk dijadikan sebagai wad khas bagi pesara tentera.
Kini, Wad Veteran ATM itu dilancarkan dan dinamakan sebagai Wad Bunga Raya, menempatkan sebanyak 24 katil khas untuk pesara tentera pada satu-satu masa dengan menggunakan peruntukan sedia ada daripada kementerian.
Buat masa ini, wad berkenaan telah menerima lima veteran untuk dirawat di situ. Namun pesara tentera bukan hanya mendapatkan rawatan di wad berkenaan semata-mata kerana ada yang mendapatkan perkhidmatan di wad pembedahan dan ortopedik.
Sekiranya jumlah 24 katil itu tidak mampu menampung kehadiran pesakit, pihak hospital akan membenarkan wad-wad lain digunakan bagi merawat pesara tentera yang mendapatkan perkhidmatan di Wad Bunga Raya.
Ahmad Zahid berkata, Kementerian Pertahanan akan memohon bajet tambahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuka wad sama di HAT Kem Terendak, Melaka dan HAT Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak dalam masa terdekat.
Menurutnya, beliau yakin Perdana Menteri akan meluluskan permohonan untuk mewujudkan wad itu di dua HAT berkenaan dalam masa kurang setahun sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap veteran ATM.
"Pesara tentera di tempat lain boleh mendapatkan perkhidmatan sama di Rumah Sakit Angkatan Tentera di setiap kem berhampiran. Saya telah meminta pegawai dan anggota kita yang berkhidmat di situ supaya memberi keutamaan kepada veteran ATM," katanya baru-baru ini.
Ahmad Zahid dalam pada itu memberitahu, pelbagai program yang telah kerajaan lakukan untuk pesara tentera termasuk mewujudkan Akta Veteran ATM bukanlah untuk mencapai objektif politik.
Sebaliknya kata beliau, ia dibuat atas dasar kebertanggungjawaban kerajaan yang prihatin terhadap kebajikan veteran tentera yang berjuang bermati-matian demi mempertahankan tanah air.
Ahmad Zahid berkata, setakat ini, sejumlah RM200 juta telah disediakan kepada JHEV bagi membantu kebajikan veteran ATM dalam pelbagai aspek sejak ia ditubuhkan 10 tahun yang lalu.
Selain itu katanya, pesara tentera juga boleh mendapatkan perkhidmatan di HAT di negara ini dengan hanya dikenakan bayaran sebanyak RM1.
''Pada masa yang sama, saya akan mencadangkan kepada BPK supaya diwujudkan kaunter khas farmasi khusus untuk veteran tentera bagi mengelakkan mereka menunggu lama bagi mendapatkan rawatan," katanya.
2011/03/30
KUALA LUMPUR: Kos penyelenggaraan dua kapal selam negara, iaitu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak, yang dikendalikan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia dianggarkan RM50 juta setahun, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.
Katanya kos itu meliputi perkhidmatan sokongan serta logistik kedua-dua kapal selam jenis Scorpene itu dan tidak melibatkan kos alat ganti.
Menjawab soalan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini, beliau berkata kontrak penyelenggaraan kedua-dua aset strategik negara itu, telah dianugerahkan dan dilaksanakan oleh syarikat usaha sama tempatan dengan pembuat Scorpene iaitu Boustead DCNS Naval Corporation Sdn Bhd.
Abdul Latiff berkata kontrak antara kerajaan dan syarikat penyelenggaraan itu meliputi perjanjian selama enam tahun.
"Penyelenggaraan (setiap satu kapal selam) bernilai RM25 juta setahun itu untuk pastikan kita (negara) sebagai pengguna aset itu boleh menggunakan aset itu pada bila-bila masa.
"Kalau ia tidak boleh memenuhi hasrat TLDM, kita boleh denda (syarikat itu) mengikut perjanjian yang dimeterai," katanya.
Malaysia menempah dua kapal selam baru jenis Scorpene dengan kos pembelian berjumlah RM3.4 bilion pada 2002 yang dibina secara bersama oleh DCNS dari Perancis dan Navantia, syarikat pembuat kapal selam dari Sepanyol.
KD Tunku Abdul Rahman tiba di perairan Malaysia pada September 2009 dari Perancis manakala kapal selam kedua negara, KD Tun Razak tiba di pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di Teluk Sepanggar, Sabah pada Julai, 2010.
Kepada soalan wakil yang sama, Abdul Latiff berkata kerosakan teknikal pada KD Tunku Abdul Rahman seperti yang dilaporkan sebelum ini telah berjaya diatasi dengan ujian selaman yang berjaya dilaksanakan pada 22 Febuari tahun lalu.
Sebelum ini dilaporkan kerosakan mekanikal dikesan pada 17 Januari tahun lalu ketika kerja penyelenggaraan dilakukan di Pangkalan TLDM di Teluk Sepanggar.
Abdul Latiff mengingatkan semua pihak agar tidak mendedahkan keburukan serta kelemahan aset pertahanan negara kepada anasir luar seperti yang sering kali dilakukan oleh pembangkang sebelum ini.
"Masalah teknikal yang dihadapi oleh kapal selam adalah masalah biasa yang boleh dialami oleh mana-mana kapal selam dunia. Saya kira dalam hal ketenteraan dan keselamatan negara kita patut berkongsi rahsia, jangan mendedahkan kelemahan sistem pertahanan negara ke luar (negara)," katanya.
Beliau berkata pencapaian paling membanggakan dalam operasi kapal selam berkenaan ialah apabila KD Tunku Abdul Rahman membuat penembakan misil SM 39 pada Julai lepas di kedalaman 55 meter dan telah mengenai sasaran yang berada sejauh 40 kilometer.
"Kejayaan itu dapat meningkatkan semangat juang yang lebih tinggi kepada krew kapal walau pembangkang mengatakan kedua-duanya (kapal) bermasalah," katanya.
Abdul Latiff juga berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berpuas hati selepas menaiki KD Tunku Abdul Rahman dan menyelam pada kedalaman maksimum operasi di Laut China Selatan baru-baru ini. - BERNAMA
TRAVIAN ialah permainan pelayar paling popular di dunia. Sebagai pemain TRAVIAN, anda membina empayar anda, melatih bala tentera dan berperang menentang musuh bersama rakan-rakan.
TRAVIAN dimainkan dengan percuma dan tiada muat-turun diperlukan!
http://www.travian.com.my/?uc=myx_664
HEBOH di Singapura beberapa hari lepas mengenai tuduhan anggota Angkatan Tentera Singapura (SAF) terlampau dimanjakan sehingga timbul tanggapan bahawa mereka yang diberi tanggungjawab menjaga kedaulatan dan keselamatan telah bertukar menjadi lembik.
Menjadi lebih menarik adalah tuduhan tersebut bukan dilemparkan oleh negara jiran Singapura tetapi oleh rakyat mereka sendiri yang merasa malu dan aib dengan tingkah laku anggota tentera SAF yang selama ini dianggap terbaik dan mempunyai disiplin yang tinggi.
Kemarahan rakyat Singapura terbit ekoran tersiarnya gambar yang menunjukkan seorang anggota tentera SAF yang membiarkan pembantu rumah wanita menggalas beg tentera sedangkan anggota tentera tersebut berjalan di hadapan tanpa membawa apa-apa.
Rata-rata rakyat Singapura yang membuat ulasan merasa kecewa kerana walaupun SAF mempunyai peralatan ketenteraan yang paling canggih di rantau Asia, tetapi kesemua tersebut tidak memberi apa-apa erti jika sikap seperti yang dipamerkan telah menjadi satu kelaziman.
Menurut mereka tidak ada gunanya kerajaan memperuntukkan perbelanjaan pertahanan yang besar sehingga enam peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) jika sebahagian besar anggota SAF bersifat sedemikian rupa, iaitu mempunyai jatidiri yang begitu lemah dan longgar sekali.
Kemungkinan besar gambar tersebut bukanlah keadaan sebenar kecekapan dan kesiapsiagaan anggota SAF, tetapi satu perkara yang pasti adalah rakyat Singapura mempunyai sifat kiasu terhadap kecekapan aset pertahanan mereka. Bagi rakyat Singapura, langsung tiada kompromi apabila berhadapan dengan isu kedaulatan negara mereka.
Dalam hal ini tidak pernah pula kedengaran keluhan rakyat Malaysia terhadap jati diri yang lemah atau longgar terhadap anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Satu petanda baik yang mempamerkan perasaan keyakinan yang tinggi terhadap kemampuan anggota ATM. Tetapi bagaimana pula persepsi dan keyakinan rakyat terhadap aset peralatan pertahanan negara? Adakah mereka sudah cukup berpuas hati dengan apa yang dimiliki oleh ATM?
Menarik jika diungkit kembali keluhan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Rodzali Daud beberapa hari lepas yang masih berharap untuk mendapatkan Sistem Kawalan dan Amaran Udara (AWACS) bagi memastikan kedaulatan ruang angkasa negara terjamin secara maksimum. Jeneral Rodzali mengakui bahawa perolehan aset seperti AWACS akan melibatkan perbelanjaan yang besar, tetapi negara tetap memerlukannya bagi melengkapkan sistem pengawalan ruang udara.
“Oleh kerana sistem pengawasan pertahanan udara negara hanya dilengkapi oleh radar kawalan darat, maka terdapat banyak ruang yang tidak dapat diawasi oleh sistem sedia ada,” tegas beliau untuk meyakinkan keperluan AWACS.
Sebenarnya harapan TUDM untuk melengkapkan sistem pertahanan udara melalui perolehan AWACS telah bermula sejak Rancangan Malaysia Ketujuh (1996-2000) lagi tetapi tidak berjaya kerana ketiadaan peruntukan pada ketika itu.
Hasrat TUDM tersebut terpaksa dilupakan buat seketika apabila negara membuat perolehan 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 melalui peruntukan RMK-8 lalu yang telah menelan belanja melebihi RM3.2 bilion.
Selepas satu dekad berlalu bermula dari RMK-7 hinggalah ke hari ini iaitu RMK-10 (2011-2015) hasrat TUDM masih lagi berharap peruntukan disediakan untuk memiliki AWACS. Tidak dapat dinafikan tanpa AWACS, sistem kawalan udara negara dianggap pincang kerana terlalu banyak ruang udara yang dianggap kawasan hitam, iaitu sistem radar kawalan darat sedia ada tidak mampu memberi maklumat yang diperlukan.
Bukan satu perkara yang mustahil jika ada jet pejuang negara asing menceroboh ruang udara negara tanpa disedari TUDM jika penerbangan dilakukan dengan ketinggian yang rendah. Ditambah pula kekangan yang disebabkan oleh bentuk dan kelengkungan muka bumi Malaysia, tahap keberkesanan radar kawalan darat adalah begitu terhad sekali.
Kepincangan pengawasan ruang udara negara terserlah kerana tahap keberkesanan radar kawalan darat hanya terbaik untuk beberapa ratus kilometer dan kekangan seperti ini membuatkan TUDM tidak mampu mengetahui apa yang berlaku di ruang udara negara jiran.
Tidak keterlaluan jika diandaikan dalam senario terburuk jika ada peluru berpandu menuju sasaran di Malaysia, tanpa AWACS sukar bagi TUDM untuk mengesan kehadirannya dengan lebih awal. Mungkin ada yang beranggapan bahawa senario sedemikian adalah keterlaluan tetapi perlu ditegaskan setiap negara pada hari ini tidak kira berjauhan atau berdekatan Malaysia mempunyai sistem peluru berpandu.
Apa yang berlaku terhadap Jepun apabila Korea Utara menguji peluru berpandu Taepodong-1 melewati ruang udara Jepun pada tahun 1998 perlu diambil iktibar. Pyongyang bukannya berhasrat menyerang Jepun tetapi hanya mahu menguji kemampuan Taepodong-1 melepasi pengawasan pertahanan udara Jepun. Adalah begitu mengaibkan apabila sistem pertahanan udara Jepun tidak mampu mengesan kehadiran peluru berpandu tersebut.
Rakyat Malaysia sudah pasti tidak mahu adanya cacat cela dalam sistem pertahanan udara kerana kedaulatan negara amat bergantung kepada keberkesanan sistem tersebut. Sukar untuk menafikan kepentingan AWACS kepada negara tetapi kekangan kewangan telah membantutkan hasrat TUDM lebih dari satu dekad lamanya.
Pada ketika ini, RMK-10 masih tiada peruntukan untuk AWACS dan inilah kegusaran yang telah disampaikan oleh Jeneral Rodzali. Tambahan pula Malaysia telah melakukan dua perolehan aset ketenteraan yang agak besar iaitu 18 jet pejuang Sukhoi dan dua bual kapal selam Scorpene.
Kerajaan juga telah membuat keputusan untuk mendapatkan enam buah kapal tempur pesisir (LCS) dan apakah perolehan terbaru ini sekali lagi akan membantutkan hasrat TUDM untuk memiliki AWACS?
Pegawai dan kru bergambar bersama Abdul Aziz pada Istiadat Pentauliahan KD Selangor di Jeti Operasi, Pangkalan TLD M, Lumut, baru-baru ini.Aset terkini TLDM ini dibina 100 peratus oleh syarikat tempatan, Boustead Naval Shipyard
TANGGAL 24 Julai 1964, ketika di bawah pemerintahan Leftenan PK Nettur, berlaku satu pertempuran sengit antara Kapal Diraja (KD) Sri Selangor dengan Kor Komando penggempur Indonesia di Selat Singapura. Kejadian itu menyebabkan Laskar Kelas Satu Mekanik Elektrikal, Abdul Samad Sulaiman terkorban, manakala Laskar Kanan Persenjataan, Kweh Onn Cheong dan Pegawai Kadet Kanan, Musa Jabar tercedera. Bagaimanapun, KD Sri Selangor berjaya mengambil tindakan drastik dengan membalas tembakan dan membunuh semua musuh serta mampu menenggelamkan bot musuhnya.
Itu adalah rentetan sejarah awal mengenai kemegahan pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerusi kekuatan kapal ronda KD Sri Selangor yang terbabit secara langsung ketika era konfrontasi, selain mampu mempertahankan perairan negara sepanjang tempoh penubuhannya.
Kemegahan dan keutuhan kapal berkenaan kini diabadikan kepada pembinaan kapal ronda terbaru TLDM, dikenali KD Selangor iaitu kapal terakhir daripada enam kapal yang ditempah khusus dalam kumpulan pertama bagi projek pembinaan kapal ronda generasi baru (NGPV) yang bermula pada 1999.
KD Selangor ditauliahkan pada 28 Disember tahun lalu oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar pada upacara penuh istiadat dan akan ditempatkan di Pangkalan TLDM Lumut di bawah pemerintahan Markas Armada bagi melaksanakan tugas rondaan khususnya di perairan Selat Melaka.
Pada majlis pentauliahan kapal itu, Abdul Aziz berkata, KD Selangor mempunyai keistimewaan tersendiri kerana menjadi kapal keempat dan terakhir dalam kelas Kedah (KD Kedah) yang dibina 100 peratus oleh syarikat tempatan Boustead Naval Shipyard.
"Ia berbeza berbanding kapal ronda pertama dan kedua iaitu KD Kedah serta KD Pahang yang dibina di Limbungan Blohm&Voss Hamburg, Jerman.
"Projek pembinaan KD Selangor adalah satu pencapaian amat membanggakan kepada industri perkapalan dan pertahanan negara dan pada masa yang sama, memberi pulangan tinggi kepada pasukan TLDM," katanya.
Beliau berkata, KD Selangor dibina dengan teknologi terkini iaitu sistem dan peralatan sedia ada boleh diintegrasikan tanpa melalui proses modifikasi kompleks untuk berperanan sebagai sebuah kapal kombatan yang lebih canggih.
"Kapal peronda ini dengan lebih mudah boleh bertukar peranan menjadi sebuah kapal lebih bercirikan kapal kombatan tanpa perlu melalui proses pengubahsuaian yang rumit.
"KD Selangor juga direka bentuk sebagai sebuah kapal bestari dan bercirikan kecanggihan peralatan yang boleh dioperasikan dengan jumlah kru minimum tetapi berupaya mengekalkan tahap serta tempoh pengoperasian tinggi," katanya.
Upacara pentauliahan itu turut dihadiri Pengarah Urusan Boustead Holding International Corporation, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin dan Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, Laksamana Madya (B) Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor.
Selepas ditauliahkan secara rasmi sebagai aset TLDM, KD Selangor bakal melaksanakan latihan kemahiran dan penyesuaian laut bagi menyediakan fungsinya untuk menjalankan tugas operasi.
Selain itu, latihan itu bertujuan menentukan warga kapal yang baru ditauliahkan mempunyai tahap kesiagaan menyeluruh sebelum melaksanakan penugasan operasi yang sebenar.
Kini, kru pertama KD Selangor membabitkan 10 pegawai dan 58 anggota lain-lain pangkat diketuai Komander Mohd Samsuri Katemon selaku Pegawai Memerintah serta Leftenan Komander, Mohd Ezam Abdul Rahman selaku Pegawai Laksana.
Sultan Abdul Halim Muadzam Shah menandatangani plak perasmian Kem Sultan Abdul Halim Muadzam Shah di Jitra baru-baru ini.
MEMBINA satu kem untuk penempatan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memerlukan perancangan yang rapi dan teliti oleh kerajaan bagi menjamin keselesaan dan keselamatan warganya.
Terletak di daerah Kubang Pasu, Kem Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang siap dibina pada 4 Mac tahun lalu, kini menjadi kem termoden di ATM.
Kem tersebut yang dahulunya dikenali dengan nama Kem Bis Tok Jalai selamat dirasmikan oleh Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 29 Mac lalu.
Nama kem tersebut ditukar kepada Kem Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah bagi menzahirkan ucapan penghargaan dan penghormatan warga ATM kepada institusi kesultanan negara ini dan selain itu Sultan Kedah juga merupakan Kolonel Yang Dipertua Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Pada asalnya, kem tersebut adalah tapak penempatan Rumah Keluarga Angkatan Tentera yang didiami oleh para pegawai pasukan infantri dan pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di sekitar kawasan Kepala Batas dan Bukit Pinang.
Sejajar dengan penubuhan Kolej Tentera Udara (KTU), kem itu turut dijadikan penempatan untuk para pegawai dan pegawai kadet KTU.
Rancangan pembinaan Kem Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah tersebut selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan prasarana yang lebih selesa dan kondusif kepada warga Tentera Darat.
Upacara pecah tanah telah dilaksanakan pada 3 September 2007 dan projek tersebut siap sepenuhnya pada 4 Mac 2010.
Kem tersebut yang berkeluasan 79,069 hektar itu dilengkapi dengan infrastruktur moden yang melengkapi kem bernilai RM92 juta tersebut dan mampu menjamin kualiti tugas yang tinggi di kalangan warga Batalion Keenam RAMD.
Dengan siapnya kompleks kem itu, ia telah dijadikan model kepada rancangan pembinaan kem-kem tentera lain di bawah program Army Care.
Sebuah lembaga bagi mengambil alih kem itu telah ditubuhkan pada 11 Mac 2010 dan proses perpindahan telah berjaya dilaksanakan dalam tempoh 19 hari dengan kumpulan pertama mulai mengambil alih kem pada 15 Mac 2010.
Kompleks kem itu mengandungi pejabat-pejabat pentadbiran dan teknikal yang lengkap untuk sebuah Batalion Infantri Standard dan ia juga menyediakan kemudahan empat buah blok penginapan untuk anggota bujang dengan setiap satunya berupaya menampung 152 orang anggota tentera.
Antara kemudahan lain yang disediakan di kem itu adalah lapang sasar 25 meter, sirkit merentas halangan, pavilion, menara abseiling, padang kawad, gelanggang kawad, gelanggang bola tampar dan gelanggang sepak takraw.
Sultan Kedah yang berkenan mencemar duli sewaktu perasmian kem tersebut mahu segala kemudahan dan infrastruktur yang telah disediakan di dalam kem itu dapat dijaga dengan baik.
Baginda bertitah, anggota Tentera Darat harus mengamalkan disiplin yang tinggi serta berpegang teguh pada prinsip ketenteraan demi mempertahankan agama, bangsa dan negara.
Selain itu, baginda juga mahu anggota tentera mempunyai ilmu pengetahuan terkini serta meningkatkan kesabaran dalam menghadapi kesusahan dan cabaran masa kini.
Sementara itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkifli Mohd. Zin berkata, kem itu juga bakal dijadikan penempatan dan pemulihan banduan dari penjara awam berdekatan.
“Kepercayaan yang telah diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap pengurusan dan keselamatan para banduan dalam kem Tentera Darat amat disanjung tinggi,” kata beliau.
PERANAN anggota TLDM kini mendapat pengiktirafan pada peringkat tempatan dan antarabangsa.
Pelbagai perancangan strategik disusun tingkat keberkesanan peranan ketumbukan hadapi cabaran tiga dimensi
KEJAYAAN Pasukan Khas Laut (PASKAL) membebaskan kapal tangki negara, MT Bunga Laurel bersama 23 anak kapal tidak sampai dua jam ditawan lanun di Teluk Aden, Somalia kira-kira jam 11.40 malam (waktu tempatan), 20 Januari lalu jelas membuka mata masyarakat antarabangsa terhadap peranan dimainkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Walaupun hampir empat bulan berlalu, pencapaian itu barangkali boleh dianggap sebagai ‘hadiah’ paling bermakna untuk Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, setiap pegawai dan anggotanya sempena sambutan Hari TLDM Ke-77 hari ini.
Ia jelas membuktikan komitmen tinggi setiap warga kerja ketumbuhan itu melaksanakan tanggungjawab mereka memelihara kedaulatan perairan negara walaupun dalam keadaan aman dan tidak menghadapi sebarang krisis keselamatan, termasuk melindungi pelbagai aset serta kepentingan kerajaan di seluruh dunia.
Ini sekali gus menolak pandangan skeptikal pihak tertentu, terutama pembangkang yang sering menuduh pegawai dan anggota TLDM lebih banyak ‘goyang kaki’ daripada memainkan peranan sepatutnya, tidak setimpal dengan perbelanjaan besar kerajaan bagi perolehan pelbagai aset baru untuk ketumbukan itu.
Justeru, pelbagai perancangan strategik disusun bagi meningkatkan operasi TLDM ketika aman, termasuk melaksanakan misi khas, Ops Fajar dengan kerjasama Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) bagi memberi perlindungan keselamatan terhadap kapal dagang negara, terutama di perairan berisiko.
Abdul Aziz dalam satu wawancara khas di Markas TLDM, Kementerian Pertahanan baru-baru ini, berkata misi itu antara program inovasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terbukti berjaya meningkatkan keberkesanan fungsi dan peranan ketumbukan itu hingga mendapat pengiktirafan pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
Ia secara tidak langsung mendorong peningkatan keperluan logistiknya, termasuk penambahan jumlah kapal bagi memastikan misi itu dapat dilaksanakan secara lebih komprehensif, sekali gus mampu mengekang ancaman lanun terhadap kapal dagang negara yang melalui Teluk Aden dan perairan sekitarnya.
“TLDM dan MISC akan menghantar kapal kedua ke sana selewat-lewatnya September ini. Difahamkan, proses pengubahsuaian kapal ‘auxillary’ itu sedang dilaksanakan dan dijadualkan siap tiga bulan lagi. MISC akan menanggung keseluruhan kos operasi khas itu kerana ia membabitkan kepentingan mereka untuk jangka panjang.
“Bagi TLDM, kehadiran kapal pengiring kedua itu mampu memastikan operasi keselamatan kita dilaksanakan secara serentak di kedua-dua laluan pelayaran di Teluk Aden, sekali gus membantu menjimatkan masa dan kos. Ketika ini, kita hanya bergantung kepada MV Bunga Mas 5 ...mana-mana kapal dagang kita kena tunggu giliran untuk diiringi ketika melalui Teluk Aden,” katanya.
TLDM turut membidas dakwaan kononnya kerajaan terpaksa menanggung beban kewangan bagi membiayai projek itu kerana kos penyelenggaraan, alat ganti dan bahan api kedua-dua kapal, termasuk helikopter jenis Fennec yang ditempatkan di atas MV Bunga Mas 5 ditanggung sepenuhnya MISC.
Atas alasan sama, ketumbukan itu juga kurang bersetuju dengan cadangan penggabungan operasi keselamatan negara anggota Asean di perairan berisiko itu diperhalusi kerana dikhuatiri menimbulkan beban kewangan apabila membabitkan penggunaan pelbagai aset ketenteraan, termasuk kapal perang yang membabitkan perbelanjaan tinggi.
“Apabila Indonesia, Thailand dan Singapura menghantar kapal perang ke sana, tentunya mereka mahukan Malaysia mengambil langkah sama. Ini boleh membebankan kewangan kita kerana kapal perang, terutama kategori peronda (PV) tidak boleh beroperasi lama di laut. Caj pelabuhan (di luar negara) agak tinggi... tidak termasuk kos bahan api.
“Sebenarnya, pengoperasian kapal ‘auxillary’ seperti MV Bunga Mas 5 lebih kos efektif. Justeru, tidak hairanlah mengapa banyak negara luar berminat untuk mempelajari kaedah digunakan kita untuk operasi sama di sana. Ini satu pencapaian membanggakan untuk TLDM,” katanya.
Sepanjang 77 tahun penubuhannya juga, TLDM mengalami pelbagai transformasi dari segi pemodenan asetnya, terutama perolehan dua kapal selam – Kapal Diraja (KD) Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak sejak setahun lalu yang kini ditempatkan di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu.
Biarpun dilempar pelbagai kritikan, termasuk isu gangguan teknikal dialaminya yang dijadikan ‘modal’ pembangkang ‘membelasah’ kerajaan, kedua-dua kapal selam itu kini belayar megah di barisan depan armada TLDM.
“KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak kini berada pada tahap operasi terbaik, malah kedua-duanya berjaya melaksanakan misi yang dipertanggungjawabkan. TLDM cukup bertuah kerana mempunyai aset terbaru ini bagi memperlengkapkan armadanya,” kata Abdul Aziz ketika memperjelaskan status kapal selam terbabit.
Bagaimanapun, pemilikan dua kapal selam jenis Scorpene buatan Perancis itu tidak bermakna usaha memodenkan aset pertahanan laut negara akan terhenti, sebaliknya perolehan peralatan terbaru diteruskan dari semasa ke semasa mengikut keperluan sejajar dengan kewujudan pelbagai ancaman baru.
Antara dirancangkan, pembelian kapal tempur pesisir (Littoral Combat Ship atau LCS), kapal sokongan pelbagai fungsi (Multi Role Support Ship atau MRSS) dan proses menaik taraf kapal peronda pesisir (patrol vessel) sedia ada dalam perkhidmatan, selain perolehan helikopter tempur, khusus bagi menjalankan operasi antikapal selam (Anti Submarine Warfare – ASW), selain boleh digunakan pelbagai misi sulit PASKAL.
Rasionalnya, perolehan aset terbaru itu penting bagi meningkatkan keupayaan operasi TLDM, menepati perubahan semasa geopolitik, sosio ekonomi dan dasar perundangan negara, serantau serta antarabangsa, selain keperluan pelbagai misi dilaksanakannya.
Hakikatnya, walaupun iklim ekonomi semasa agak kurang memberangsangkan hingga menjejaskan peruntukan pertahanan negara, ia tidak seharusnya menjadi kekangan dalam meningkatkan kesiapsiagaan ketumbukan itu, sebaliknya ia harus dilihat sebagai satu cabaran yang perlu ditangani secara bijak, menggunakan apa saja pendekatan yang kos efektif.
Ini termasuk memastikan setiap aset sedia ada digunakan secara optimum melalui perancangan, budaya penyelenggaraan yang rapi dan latihan berterusan, selain pemilikan aset baru jika diluluskan kerajaan.
Bagi Abdul Aziz, bukan sesuatu yang mustahil jika TLDM yang bermula dengan hanya hadiah kapal kayu oleh Kerajaan British pada 27 April 1934 boleh muncul antara ketumbukan laut terhebat di rantau ini jika semua perancangan memodenkan aset miliknya mampu dilaksanakan.
Malah, beliau juga berkeyakinan transformasi yang sudah dan bakal dilalui ketumbukan itu mampu menjadikannya sebuah armada laut masa depan yang berupaya menghadapi cabaran dari tiga dimensi iaitu permukaan laut, bawah air dan ruang
Abdul Aziz Jaafar bersalaman dengan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia di Lumut, semalam.
LUMUT 27 April – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan melaksanakan proses naik taraf jawatan secara fleksibel bagi menjadikan kerjaya bersama pasukan itu lebih menarik dan diminati masyarakat.
Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, langkah itu juga perlu bagi memastikan TLDM mampu mengekalkan anggota yang berkemahiran tinggi menerusi penawaran gaji yang setimpal tanpa menukar jawatan.
“Kalau perjawatan itu kekal pada satu-satu pangkat tetapi gaji sahaja naik, kita akan kerugian kerana kepakaran yang ada pada mereka tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis Istiadat Perbarisan sempena Hari Ulang Tahun TLDM Ke-77 di Pangkalan TLDM di sini, hari ini.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Anugerah Pujian Panglima Tentera Laut kepada tiga penerima iaitu Komander Nazri Sharif, Leftenan Komander Mohd. Maznan Mohd. Said dan Leftenan Komander Jason Salomon John.
Ketiga-tiga pegawai tersebut menerima anugerah tersebut atas sumbangan dalam menjayakan Operasi Fajar di Teluk Aden, Somalia termasuk dalam peristiwa pembebasan kapal MT Bunga Laurel pada 21 Januari lalu.
Anugerah Bintara Terbaik disandang Pegawai Waran 1, Nik Ezanee Nek Anom manakala Anugerah Laskar Terbaik menjadi milik Laskar Kanan, Luye Aru.
Abdul Aziz berkata, TLDM telah mengemukakan cadangan itu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk pertimbangan lanjut.
“Pada dasarnya JPA bersetuju dengan cadangan tersebut dan ia patut diguna pakai dalam perkhidmatan lain dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” tegasnya.
Beliau menambah, antara perjawatan yang perlu diberi perhatian ialah anggota yang berkhidmat di kapal selam, juruteknik dan cawangan udara.
Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Aziz memberitahu seramai 183 anggota TLDM telah diberhentikan kerja sepanjang tahun lalu kerana melanggar disiplin dan peraturan profesion.
Katanya, tindakan tersebut diharap menjadi pengajaran kepada anggota lain supaya tidak melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan imej TLDM.