|
|
Peruntukan RM559.85 juta perkasa keterjaminan makanan Sabah
Februari 15, 2026, Ahad - 4:45pm

Hajiji pada Majlis Pelancaran Jelajah Kebun Dapur MAFFI di Padang Istiadat, Tuaran hari ini.
TUARAN: Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan sejumlah RM559.85 juta kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) tahun ini bagi meningkatkan keterjaminan makanan dan Kadar Sara Diri (SSR) tanaman makanan di negeri itu.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan sekuriti makanan kekal kukuh, memandangkan isu berkenaan kini menjadi agenda utama di peringkat global dan nasional.
“Sektor pertanian, perikanan dan industri makanan terus menjadi nadi kepada pembangunan sosioekonomi Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jelajah Kebun Dapur MAFFI di Padang Istiadat, Tuaran di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar, Pembantu Menteri Datuk Ruslan Muharam dan Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau.
Hajiji berkata beberapa inisiatif kini sedang giat dilaksanakan Jabatan Pertanian Sabah termasuk pembangunan Zon Pengeluaran Tanaman Makanan Kekal di 15 buah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Sabah.
Beliau berkata RM3 juta juga telah diperuntukkan kepada Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) bagi perbelanjaan mengurus manakala RM15 juta lagi disediakan untuk perolehan jentera menuai serta pembajakan padi.
“Inisiatif ini bertujuan menjadikan Sabah sebagai pengeluar padi dan beras yang mampan serta berdaya saing bagi menjamin sekuriti makanan dengan sasaran 60 peratus Tahap Sara Diri (SSL) menjelang 2030,” katanya.
Bagaimanapun, Hajiji berkata tanggungjawab keterjaminan makanan tidak seharusnya diletakkan di bahu ladang atau projek berskala besar semata-mata, sebaliknya perlu bermula di peringkat akar umbi.
Justeru, program Kebun Dapur di bawah Revolusi Ekonomi Luar Bandar diperkenalkan sebagai strategi mengurangkan kos sara hidup selain membentuk komuniti lebih berdikari dan mampan.
Katanya, Jelajah Kebun Dapur akan dilaksanakan ke seluruh Sabah bagi memastikan manfaat program sampai kepada rakyat di kawasan bandar, luar bandar mahupun pedalaman.
“Saya juga mahu melihat daerah Tuaran muncul sebagai ‘Daerah Kebun Dapur Model’. Inisiatif ini benar-benar menjadi sebahagian daripada cara hidup komuniti,” katanya.
Beliau berkata program berkenaan akan dibimbing oleh mentor-mentee usahawan yang berjaya kepada komuniti setempat bagi memastikan pemindahan pengetahuan dan amalan terbaik dapat dilaksanakan secara berterusan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
40 penerima terima sumbangan sempena TBC daripada Ibrahim
Februari 15, 2026, Ahad - 1:30pm

Ibrahim (tiga kanan) menyampaikan angpau, kuih bakul dan limau mandarin kepada salah seorang penerima pada program tersebut.
KUCHING: Seramai 40 penerima berbangsa Cina yang kurang berkemampuan dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok menerima sumbangan sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) di sini, hari ini.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Sarawak Dato Ibrahim Baki bagi masyarakat di sekitar Satok dan Green Road, di sini.
Program tahunan tersebut dilihat menyemarakkan semangat perpaduan dan tradisi menerusi program ziarah serta penyampaian angpau kepada golongan memerlukan.
“Setiap tahun kita akan turun padang menziarahi masyarakat di bandar, khususnya para peniaga dan penduduk sekitar.
“Hari ini kita adakan dua program, termasuk penyampaian angpau kepada mereka yang memerlukan sebagai persediaan menyambut TBC,” katanya.
Beliau menambah, usaha itu selari dengan tradisi masyarakat Cina yang menitikberatkan pembaharuan hubungan kekeluargaan dan semangat kebersamaan setiap kali tibanya Tahun Baharu Lunar.
“TBC adalah masa untuk memperbaharui ikatan keluarga dan mendekatkan diri antara satu sama lain. Kita mahu mengekalkan tradisi budaya ini supaya ia terus subur dalam masyarakat,” ujarnya.
Mengulas mengenai Tahun Kuda, Ibrahim berkata simbol kuda melambangkan tenaga, kekuatan dan kepantasan, sekali gus memberi harapan baharu kepada masyarakat untuk melangkah lebih maju.
“Kuda membawa maksud tenaga dan semangat yang kuat. Kita berharap tahun ini akan menjadi tahun yang lebih baik, lebih bertenaga dan membawa kejayaan kepada masyarakat, khususnya komuniti Cina.
“Semoga tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya. Kita doakan semua sihat, bahagia, makmur dan terus hidup dalam perpaduan,” tambah beliau.
Majlis tersebut dianjurkan bersama Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Satok dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Green Road serta Kejiranan Mesra (KJM) Green Road yang turut berganding bahu mendekati komuniti setempat.
Platform tersebut juga digunakan untuk beramah mesra dengan pengusaha dan penghuni kedai di sekitar kawasan bandar dan mengeratkan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat setempat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Bazar TBC pertama selepas pandemik berjaya tarik ramai pengunjung di Sibu
Februari 15, 2026, Ahad - 2:37pm

Jenny (tiga kiri), Chieng (tiga kanan), Clarence (belakang) merakamkan kenangan bersama peniaga di Bazar Tahun Baharu Cina di Jalan Lembangan, Sibu hari ini.
SIBU: Penganjuran Bazar Tahun Baharu Cina (TBC) buat kali pertama selepas pandemik COVID-19 berjaya menarik kehadiran ramai pengunjung sekali gus menyemarakkan suasana perayaan tersebut di bandar ini.
Program yang diadakan selama 24 jam itu merupakan inisiatif saat akhir oleh Majlis Perbandaran Sibu (MPS) sebagai usaha menghidupkan kembali suasana perayaan dalam kalangan masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Pasar dan Penjaja Runcit MPS Kaunselor Jenny Ting berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila kawasan tapak jualan dan tempat letak kereta telah penuh seawal jam 2.30 pagi.
“Saya datang sekitar jam 5.30 pagi dan tempat letak kereta sudah penuh. Ini menunjukkan orang ramai teruja dengan penganjuran bazar ini,” ujarnya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Beliau memberitahu, sebanyak 31 gerai pada awalnya mendaftar untuk menyertai program tersebut, namun ada beberapa pembatalan saat akhir menjadikan jumlah keseluruhan sedikit berkurangan.
“Walaupun persiapan dibuat pada saat akhir dan jumlah gerai tidak terlalu banyak, kita tetap gembira kerana sambutannya sangat positif,” katanya.
Tambahnya, antara gerai yang mengambil bahagian termasuk tiga gerai Melayu yang menjual makanan seperti kari ayam, rendang serta pelbagai jenis minuman, sekali gus mencerminkan penyertaan pelbagai kaum.
Beliau berharap program berkenaan dapat diperluaskan pada tahun depan dengan skala lebih besar, termasuk penambahan pencahayaan dan penyertaan lebih banyak gerai.
“Kita mahu mewujudkan suasana seperti laluan pejalan kaki yang meriah dan memberi ruang kepada orang ramai untuk bertemu serta berinteraksi.
“Bukan sahaja masyarakat Cina, malah komuniti lain juga dialu-alukan untuk turut serta,” jelasnya.
Katanya, pihaknya akan berbincang lanjut dengan pihak majlis bagi menambah baik penganjuran pada masa akan datang dan terus meningkatkan suasana setiap perayaan di kawasan tersebut.
“Kita berharap inisiatif ini dapat menjadi platform untuk menyatukan komuniti dan membangkitkan lagi mood perayaan di Sibu,” tambahnya.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng Jin Ek, Pengerusi MPS Clarence Ting dan Naib Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam, Persekitaran dan Perkhidmatan Perbandaran MPS Kaunselor Yiing Sy Huat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Bazar TBC di Jalan Lembangan berpotensi menjadi produk pelancongan Sibu: Chieng
Februari 15, 2026, Ahad - 2:38pm

Chieng (empat kiri), Clarence (dua kiri), Jenny (enam kanan) merakam kenangan di Bazar Tahun Baharu Cina 2026 di Jalan Lembangan, Sibu hari ini.
SIBU: Bazar Tahun Baharu Cina (TBC) yang terletak di Jalan Lembangan di sini berpotensi menjadi salah satu produk pelancongan di Sibu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng Jin Ek berkata, penganjuran bazar tersebut merupakan satu inisiatif yang sangat baik dan wajar diteruskan serta diperluaskan pada masa akan datang.
Menurutnya, program anjuran bersama Majlis Perbandaran Sibu (MPS) itu bukan sahaja berjaya menghidupkan suasana perayaan, malah berpotensi dijadikan acara tahunan berskala lebih besar.
“Inisiatif ini sangat baik dan saya berharap MPS dapat meneruskannya pada skala lebih besar dengan penambahan pencahayaan serta lebih banyak gerai,” ujarnya.
Chieng memberitahu, konsep bazar sempena TBC sudah lama menjadi amalan di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, China, Taiwan dan Singapura, khususnya di kawasan yang mempunyai populasi ramai masyarakat Cina.
Katanya, penganjuran seperti itu mampu memberi peluang kepada anak-anak perantau yang pulang ke kampung halaman untuk merasai suasana perayaan yang lebih meriah dan bermakna.
“Melalui bazar ini, mereka boleh membeli-belah serta mendapatkan bahan makanan untuk malam Tahun Baharu Cina apabila seluruh keluarga akan memasak dan menikmati hidangan bersama,” jelasnya.
Katanya, jika dirancang lebih awal, program itu boleh dijadikan acara tahunan dua hari sebelum TBC bagi membolehkan orang ramai, termasuk penduduk dari kawasan berhampiran, merancang kunjungan ke bazar berkenaan.
“Kita boleh jadikannya sebagai salah satu acara pelancongan penting di Sibu. Tahun depan, semua orang sudah tahu dan bersedia untuk datang menikmati suasana perayaan ini,” tambahnya.
Chieng memberitahu usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi memperkukuhkan suasana perayaan di bandar ini, sekali gus merancakkan ekonomi setempat serta membantu peniaga kecil.
Turut hadir ialah Pengerusi MPS Clarence Ting, Pengerusi Jawatankuasa Pasar dan Penjaja Runcit MPS Kaunselor Jenny Ting dan Naib Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam, Persekitaran dan Perkhidmatan Perbandaran MPS Kaunselor Yiing Sy Huat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Ting anjur Rumah Terbuka TBC pada 21 Februari di Dewan Suarah Miri
Februari 15, 2026, Ahad - 2:40pm

MIRI: Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew (gambar), akan menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) pada Sabtu, 21 Februari dari jam 5 petang hingga 9 malam, di Dewan Suarah Miri.
Orang ramai daripada semua kaum dijemput hadir bersama keluarga bagi memeriahkan majlis tersebut.
Ting berkata, penganjuran rumah terbuka tahun itu amat bermakna kerana ia merupakan kali pertama beliau mengadakan rumah terbuka pada hari kelima TBC, selain kali pertama menggabungkan sambutan bersama komuniti Muslim sempena waktu berbuka puasa, melambangkan perpaduan serta keharmonian antara agama dan budaya dalam masyarakat Sarawak.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau berkata, pada tahun-tahun sebelumnya, majlis rumah terbuka TBC lazimnya diadakan pada hari kedua perayaan.
Namun pada tahun ini, bagi menyemarakkan suasana berbuka puasa sempena Ramadan, majlis tersebut dipilih untuk diadakan pada hari kelima, dari jam 5 petang hingga 9 malam.
Beliau menegaskan sambutan TBC merupakan platform penting untuk mengeratkan hubungan antara kaum serta memperkukuh perpaduan dan penganjuran pada hari kelima memberi peluang kepada lebih ramai rakyat untuk terus berkumpul dan berkongsi kegembiraan musim perayaan.
“Tahun Baharu bukan sahaja perayaan penting bagi masyarakat Cina, malah merupakan masa untuk seluruh rakyat Sarawak merasai kegembiraan dan saling menyampaikan ucapan baik.
“Penyertaan pelbagai kaum setiap tahun diyakini dapat menjadikan majlis rumah terbuka ini lebih mesra dan mencerminkan keunikan Sarawak,” katanya.
Beliau turut berharap agar memasuki Tahun Kuda, masyarakat akan terus hidup dalam suasana harmoni, taraf kehidupan rakyat semakin meningkat, dan pembangunan keseluruhan lebih baik berbanding tahun lalu.
Beliau juga mendoakan agar semua rakyat menikmati kemajuan dan kesejahteraan yang lebih baik dalam keluarga, kerjaya dan kehidupan bermasyarakat.
Ting mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk bersama keluarga dan rakan-rakan memeriahkan majlis rumah terbuka yang penuh kemeriahan dan kehangatan ini, sekali gus menzahirkan semangat keharmonian masyarakat majmuk Sarawak.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Chiew agih buah limau dan sampul angpau simbolik kemakmuran dan harapan baik sempena TBC
Februari 15, 2026, Ahad - 2:48pm

Chiew mengagihkan buah limau dan sampul angpau semasa lawatan di Sun City dan Pasar Besar Krokop 10 baru-baru ini.
MIRI: Sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) yang bakal tiba, Ahli Parlimen P.219 Miri Chiew Choon Man menganjurkan Program Agihan Limau dan Angpau di Sun City serta Pasar Krokop 10 di sini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu berkata, program tersebut merupakan tanda keprihatinan serta usaha berterusan untuk mendekati dan menyantuni masyarakat setempat, khususnya para peniaga dan orang awam yang menjadi nadi ekonomi komuniti.
Sepanjang lawatan itu, beliau berkesempatan beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung sambil menyampaikan sumbangan limau serta sampul angpau sebagai simbol kemakmuran, kesejahteraan dan harapan baik sempena perayaan berkenaan.
Katanya, inisiatif tersebut bukan sahaja membawa makna perayaan, malah mencerminkan semangat perpaduan, saling menghormati serta nilai kebersamaan dalam masyarakat majmuk di bandar raya ini.
Dalam pada itu, beliau turut mendengar pandangan, cadangan serta isu yang dibangkitkan peniaga dan penduduk setempat, khususnya berkaitan cabaran ekonomi, kos sara hidup serta keperluan sokongan berterusan daripada kerajaan.
“Segala maklum balas yang diterima amat dihargai dan akan dijadikan pertimbangan dalam usaha menambah baik perkhidmatan serta kebajikan rakyat di Parlimen Miri,” katanya.
Beliau menambah, sambutan TBC bukan sekadar perayaan budaya, malah platform penting untuk mengeratkan hubungan sesama rakyat berbilang kaum.
“Diharapkan semangat muhibah, keharmonian dan kerjasama antara kaum terus diperkukuhkan demi memastikan kestabilan sosial serta pembangunan berterusan di Miri,” ujarnya.
Beliau turut mengucapkan Gong Xi Fa Cai dan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh warga Miri, dengan harapan perayaan kali ini membawa kebahagiaan, kesihatan yang baik serta rezeki yang berpanjangan kepada semua.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Ahli kaligrafi terus hidupkan tradisi pada usia 71 tahun
Februari 15, 2026, Ahad - 3:11pm

Tulisan kaligrafi cina yang dihasilkan oleh Kho sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut tidak lama lagi ketika ditemui BERNAMA, baru-baru ini. - Gambar BERNAMA
KUCHING: Selama lebih lima dekad, kaligrafi Cina bukan sekadar hobi bagi Kho Kheng Hee tetapi disiplin sepanjang hayat bertunjangkan budaya dan pemantapan diri.
Menjelang Tahun Baharu Cina 2026 yang menyambut kedatangan Tahun Kuda, ahli kaligrafi berusia 71 tahun itu sibuk mencoret kata-kata indah dan aksara kemakmuran, suatu tradisi yang beliau percaya membawa makna lebih mendalam daripada hiasan biasa.
"Kaligrafi bukan sekadar tulisan. Ia mengandungi perasaan dan pengertian," katanya kepada Bernama.
Dilahirkan dalam keluarga sederhana pada 1955 di Kuching, Kho mula meminati lukisan dakwat China dan kaligrafi ketika belajar di di Sekolah Menengah Chung Hua No.1.
Kekangan kewangan mendorong beliau untuk menumpukan kerjaya dalam industri pengiklanan namun minatnya pada seni tersebut tidak pernah pudar. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|

Kho menunjukkan tulisan kaligrafi Cina yang dihasilkannya sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut tidak lama lagi ketika ditemui BERNAMA, baru-baru ini. - Gambar BERNAMA
"Bertahun-tahun saya menyukai kaligrafi namun saya tidak faham sepenuhnya teknik yang betul," kata Kho sambil menambah selepas beliau memperoleh ijazah sarjana dalam bidang pengurusan perniagaan pada awal 2000, beliau memutuskan untuk mendapatkan latihan formal dalam kaligrafi bagi memantapkan lagi pemahamannya.
Sekitar 2017 dan 2019, beliau pergi ke China setiap dua bulan untuk melanjutkan pengajian di Universiti Jinan di Guangzhou sebelum meraih ijazah sarjana kesenian dalam kesusasteraan di Universiti Northwest di Xi'an pada usia 64 tahun.
Presiden Persatuan Promosi Kebudayaan dan Kesenian China Kuching itu berkata beliau hanya mula mengajar kaligrafi kira-kira empat tahun lepas sambil menekankan bahawa keseimbangan dan fokus sama pentingnya dengan teknik.
"Anda tidak boleh mengajar jika tidak benar-benar faham. Ia bukan sekadar lulus universiti dan terus menjadi guru. Anda mesti benar-benar menguasai seni tersebut sebelum mengajar orang lain," kata bapa kepada tiga cahaya mata itu.
Bagi sambutan Tahun Baharu Cina kali ini, Kho berkata banyak bait-bait yang dikarangnya menerapkan elemen kuda atau "ma" dalam Mandarin yang membawa simbol kekuatan, kepantasan, ketabahan dan kemajuan. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|

Tulisan kaligrafi cina yang dihasilkan oleh Kho sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut tidak lama lagi ketika ditemui BERNAMA, baru-baru ini. - Gambar BERNAMA
Kho menekanan bahawa pemilihan kata-kata yang tepat bagi kuplet Tahun Baharu Cina sama pentingnya dengan menghasilkan goresan yang cantik serta menyamakan proses itu seperti mengarang pantun dalam budaya Melayu, iaitu pemilihan perkataan dengan teliti bagi memberikan makna dan nilai yang berlapis.
"Tahun Kuda membawa makna bergerak ke hadapan dengan tenaga dan tekad. Jadi, perkataan yang dipilih harus melambangkan semangat itu.
"Anda perlu memilih kata-kata terbaik. Ayatnya mesti mempunyai makna, tidak sekadar indah dipandang. Jika tiada perasaan atau emosi, penulisan itu tidak memiliki jiwa," kata Kho yang mempunyai kepakaran dalam tulisan separuh kursif atau "xingshu".
Antara pelajar beliau ialah Jeff Ng, 49, yang kembali mendalami kaligrafi selepas kali terakhir mempelajari lukisan dakwat Cina pada sekolah menengah. Bagi Ng, mempelajari kaligrafi meningkatkan penghargaannya pada struktur dan makna aksara.
"Satu manfaat bermakna adalah dapat mencipta karya eksklusif sebagai hadiah terutamanya ketika perayaan Tahun Baharu Cina. Tulisan tangan sebagai doa dirasakan lebih ikhlas," katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|

Kho menunjukkan antara karya seni lukisannya ketika ditemui BERNAMA, baru-baru ini. - Gambar BERNAMA
Menurut Kho, musim perayaan ialah masa paling sibuk baginya apabila beliau perlu menyiapkan 50 hingga 80 set kuplet dengan kata-kata yang membawa simbol kemakmuran, harmoni dan pembaharuan dengan tahun ini menekankan motif kuda.
Beliau berkata bait-bait yang ditampal pada pintu utama menjadi peringatan harian pada harapan dan nilai bagi tahun baharu yang mendatang sekali gus membantu dalam membentuk minda positif.
Meskipun hiasan bercetak kini mudah didapati, Kho percaya kaligrafi tulisan tangan mempunyai sentuhan peribadi yang tidak boleh ditiru secara digital.
Sebagai hakim pertandingan kaligrafi di sekolah, beliau menyaksikan peningkatan penyertaan termasuk daripada kalangan pelajar bukan Cina namun mengingatkan bahawa pembelajaran perlu diberikan keutamaan berbanding kemenangan.
"Saya harap lebih ramai orang muda akan terus menghargai kebudayaan dan falsafah mendalam kaligrafi Cina terutamanya semasa Tahun Baharu Cina," katanya.
Sumber : Utusan Borneo
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
KDN beri jaminan keselamatan perairan negara sentiasa dipertingkat, diperkasa
Februari 15, 2026, Ahad - 3:25pm

Shamsul Anuar menurunkan tandatangan atas plak bangunan Kompleks Zon Maritim Miri, sebagai simbolik perasmiannya, sambil disaksikan oleh Mohd Rosli (tiga kanan) dan yang lain.
MIRI: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan keselamatan perairan negara sentiasa dipertingkat dan diperkasakan, dengan tambahan aset dua kapal dan empat helikopter jenis Augusta Westland AW189 untuk skuadron udaranya.
Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan menerima kapal misi, Muliti-Purpose Mission Ship (MPMS) yang dijangka siap pertengahan 2027, manakala pembinaan sebuah lagi akan dilaksanakan selepas majlis menandatangani Surat Niat (LoA) antara KDN dan Desan Shipyard, Turkiye awal Januari lalu.
“Salah sebuah kapal yang diperoleh dari Turkiye ini kelak akan ditempatkan di Sarawak bagi menangani keperluan keselamatan di perairan negeri ini, di samping pertimbangan-pertimbangan lain yang relevan,” katanya ketika ditanya tentang jaminan keselamatan kerajaan berikutan peningkatan aktiviti dan operasi industri di luar pantai negeri ini.
“Manakala sebuah lagi akan ditempatkan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
“Kedua-dua kawasan ini memerlukan pemantauan yang lebih sistematik dan kita menjangkakan kapal-kapal ini akan siap serta diserahkan pada tahun ini.
“Bagi penempatan helikopter (diterima secara berperingkat bermula Julai 2026), perancangan semasa adalah untuk menempatkannya di Sabah, berdasarkan keperluan keselamatan dan penilaian ancaman.
“Penempatan aset di bawah KDN sentiasa dibuat berdasarkan pertimbangan menyeluruh, termasuk aspek keselamatan, ancaman semasa dan keperluan operasi, bukan secara sewenang-wenangnya,” ujarnya.
Shamsul Anuar menegaskan perkara itu pada sidang media di sini hari ini, selepas menyempurnakan majlis sambutan Hari Ulang Tahun Ke-21 APMM dan perasmian Kompleks Zon Maritim Miri bernilai RM118.3 juta yang terletak di Jalan Pulau Melayu di sini.
Beliau mewakili Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Kita percaya APMM akan terus menjadi tonggak utama kepada keselamatan maritim negara.
“Ini amat penting memandangkan keluasan perairan negara mencecah lebih 556,000 kilometer persegi, di mana lebih 90 peratus perdagangan negara bergantung kepada laluan laut dan sebahagian besar sumber protein rakyat pula datang daripada sektor perikanan.
“Oleh itu, pengukuhan keselamatan maritim merupakan satu keperluan yang amat penting sekali,” katanya lagi.

Shamsul Anuar (kanan) menyampaikan Piala Helang Emas kepada Ketua Skuadron AS365N3, Komander (M) Nor Azman Mohd Zahri, sambil disaksikan Mohd Rosli (tengah).
Shamsul Anuar memberitahu, seiring Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), beliau sekali lagi memberi jaminan pihaknya akan bekerja keras untuk memastikan para pelancong dapat menjalankan aktiviti laut dengan selamat dan yakin, seiring tema sambutan tahun ini iaitu '21 Tahun Maritim Malaysia: Maritim Diperkasa, Samudera Terpelihara' yang memberi penekanan kepada penguatkuasaan undang-undang dan menitikberatkan aspek kebajikan, kemanusiaan dan kepercayaan awam.
“Ini seterusnya merupakan satu sumbangan penting dalam meningkatkan ekonomi negara, termasuk di Sarawak.
“Tidak terkecuali, komuniti maritim seperti nelayan dan pihak-pihak berkaitan juga turut mendapat manfaat dengan kewujudan APMM yang sekali lagi memberi keyakinan kepada pelbagai pihak,” ujar beliau.
Sementara itu, Saifuddin dalam amanatnya pada majlis tersebut yang dibacakan oleh Shamsul Anuar memberitahu pada tahun 2025, hasil penguatkuasaan berterusan, kesiapsiagaan aset serta komitmen tinggi pegawai dan anggota APMM di lapangan, APMM telah berjaya merekodkan nilai rampasan berjumlah RM102.9 juta hasil daripada 248,058 pemeriksaan, melibatkan 1,124 kes tangkapan dan rampasan bagi pelbagai kesalahan undang-undang maritim.
Manakala, bagi Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT), APMM telah mengendalikan 255 kes insiden di laut dengan 1,765 nyawa berjaya diselamatkan.
“Berdasarkan rekod, insiden pada tahun 2025 yang lalu, mencatatkan peningkatan 10.18% berbanding tahun 2024 dengan jumlah 23 kes insiden yang dikoordinasikan.
“Manakala dari segi nilai harta selamat tahun 2025 adalah RM 1.8 billion. Peningkatan insiden pada tahun 2025 adalah dipengaruhi oleh beberapa kejadian seperti perubahan cuaca laut yang drastik, ekstrem dan luar biasa seperti rebut tropika senyr dan luluran monsun ekstrem,” katanya.
“Sepanjang saya menerajui Kementerian Dalam Negeri (KDN), saya telah menyaksikan sendiri komitmen tinggi, profesionalisme serta integriti warga APMM dalam melaksanakan amanah ini secara tegas, berhemah dan berdisiplin demi memastikan perairan negara kekal selamat dan sejahtera,” ujar beliau.
Turut hadir ialah, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man; Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting; Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr Awang Alik Jeman; Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah serta Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah.
Di majlis yang sama, Shamsul Anuar turut menyampaikan Pingat Anugerah Khas Maritim Malaysia kepada Leftenan Komander Maritim, Ts Mohd Nor Saifuddin Jamaludin; Piala Laksamana (Maritim Negeri Terbaik) yang diberikan kepada Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan; Piala Perkasa (Kapal Maritim Terbaik) yang diberi kepada Kapal Maritim Danga (Maritim Negeri Selangor); Piala Kesatria (Bot Maritim Terbaik) yang diberi oleh Bot Maritim Banggi 10 (Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan) dan Piala Helang Emas (Skuadron Udara Terbaik) yang diberikan kepada Skuadron AS365N3 (Stesen Udara Maritim Subang).
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Penunggang motosikal maut dalam kemalangan di lampu isyarat Jalan Batu Kawa
Februari 15, 2026, Ahad - 3:29pm
Penunggang motosikal meninggal dunia selepas terlibat kemalangan di lampu isyarat Jalan Batu Kawa pada petang Sabtu.
KUCHING: Seorang penunggang motosikal meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Batu Kawa di sini, petang Sabtu.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, kemalangan itu berlaku pada jam 5.50 petang ketika mangsa dipercayai membuat pusingan 'U' semasa lampu isyarat berwarna merah.
“Mangsa berumur 22 tahun telah dilanggar oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika dipercayai membuat pusingan ‘U’ semasa lampu isyarat berwarna merah,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo hari ini.
Akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Warga emas ditahan, disyaki terlibat judi dalam talian
Februari 15, 2026, Ahad - 3:33pm
MUKAH: Seorang warga emas lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti perjudian dalam talian dalam serbuan di kaki lima bangunan sebuah premis perniagaan di pasar baharu Selangau.
Ketua Polis Dearah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata, suspek warga tempatan berumur 60 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah pada jam lebih kurang 1.30 petang Sabtu.
“Hasil pemeriksaan telefon bimbit suspek telah menjumpai aplikasi 918 kiss yang dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian atas talian.
“Telefon bimbit suspek telah dirampas untuk dijadikan sebagai barang kes.
“Turut dirampas adalah wang tunai berjumlah RM50. Suspek dan barang kes dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut,” ujarnya menerusi kenyataan media, hari ini.
Katanya, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai tujuh rekod berkaitan dengan kesalahan jenayah dan dadah.
“Ujian urin ke atas suspek mendapati beliau negatif dadah. Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman denda RM5,000 hingga RM50,000 dan hukuman penjara hingga tiga tahun,” tegasnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
SUPP Dudong dan Sibu Jaya anjur Rumah Terbuka TBC 19 Februari
Februari 15, 2026, Ahad - 3:48pm

Wong (barisan depan, enam kanan) bersama ahli cawangan Dudong dan Sibu Jaya menjemput orang ramai hadir ke Majlis Rumah Terbuka TBC pada 19 Februari ini.
SIBU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong dan Sibu Jaya akan menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) pada 19 Februari ini bermula jam 9 pagi hingga 11 pagi di pejabat baharu Cawangan Dudong di Jalan Aman.
Majlis yang diadakan bersebelahan Babymoon Confinement Centre itu dijangka menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum bagi bersama-sama meraikan perayaan dalam suasana muhibah dan harmoni.
Pengerusi SUPP Cawangan Dudong Wong Ching Yong berkata, penganjuran rumah terbuka berkenaan merupakan tradisi tahunan yang signifikan dalam usaha memperkukuh perpaduan serta mempererat hubungan antara komuniti di Sibu yang berbilang bangsa dan budaya.
"Platform seumpama itu bukan sahaja membuka ruang kepada masyarakat untuk beramah mesra, malah turut menyemai semangat saling memahami dan menghormati antara satu sama lain.
"Justeru, kami dengan tulus ikhlas menjemput orang ramai tanpa mengira latar belakang untuk hadir bersama keluarga dan rakan-rakan bagi memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pelbagai pengisian menarik telah diatur sepanjang majlis tersebut, termasuk jamuan makanan dan minuman, persembahan tarian singa serta sesi interaksi komuniti dan penyampaian ucapan Tahun Baharu.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya penduduk sekitar Dudong dan Sibu Jaya dipelawa untuk hadir bagi bersama-sama menyemarakkan lagi semangat perayaan serta mengukuhkan jalinan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Karnival TBC pertingkat jumlah pengunjung dan hidupkan suasana bandar: Tiong
Februari 15, 2026, Ahad - 4:52pm

TIONG
BINTULU: Karnival Tahun Baharu Cina (TBC) dilihat sebagai platform terbaik bagi meningkatkan jumlah pengunjung untuk datang ke sesebuah kawasan dan menghidupkan suasana bandar, kata Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bintulu berkata, pada masa sekarang, jualan serta karnival menjelang sambutan TBC telah menjadi satu trend bagi memudahkan orang ramai khususnya kaum Cina mendapatkan pelbagai barangan serta keperluan yang diperlukan menyambut perayaan terpenting komuniti Cina.
"Menjelang sambutan TBC, saya berkesempatan turun padang menghadiri Karnival TBC di Negeri pada malam tadi yang mana kehadiran orang ramai jelas menggambarkan kemeriahan suasana sambutan perayaan yang dapat dirasai di setiap sudut," ujarnya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Menurut Tiong, karnival sedemikian bukan sekadar lokasi bagi membeli barangan untuk persiapan perayaan, malah turut berperanan sebagai platform penting usahawan kecil dan peniaga tempatan memperkenalkan produk serta menonjolkan kreativiti masing-masing.
"Dalam era pengeluaran berskala besar masa kini, produk buatan tangan dan hasil asli semakin dihargai kerana ia mencerminkan ketekunan, komitmen dan sentuhan peribadi pembuatnya" jelas beliau.
Inisiatif seperti ini katanya, membuka ruang kepada golongan muda dan pengusaha kreatif untuk mengetengahkan bakat serta menjadikan minat mereka sebagai sumber pendapatan.
Jelasnya, sokongan orang ramai terhadap produk tempatan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi komuniti dan menjamin kelestarian program sedemikian pada masa hadapan.
"Penganjuran acara seperti ini turut menyumbang kepada peningkatan jumlah pengunjung dan menghidupkan suasana perayaan sebenar tahun baharu di bandar.
"Karnival TBC kini semakin dikenali dan menjadi tarikan utama, sekali gus menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara untuk merasai sendiri keunikan sambutan perayaan di negara ini," tambahnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
sbh - Peruntukan RM559.85 juta perkasa keterjaminan makanan Sabah
swk - Perkukuh perpaduan, perbaharui iltizam sempena sambutan TBC 2026: Abang Johari
 |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|