|
|
Ewon turun padang tinjau tapak Rumah SMJ Mukim Kiau
Februari 14, 2026, Sabtu - 3:58pm

TINJAU: Ewon semasa membuat tinjauan itu, hari ini.
KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick turun padang meninjau tapak Rumah SMJ di Mukim Kiau serta pelaksanaan beberapa projek infrastruktur kampung, hari ini.
Dalam lawatan itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan mengunjungi dua keluarga di Kampung Kiau Nuluh dan Kampung Kiau Taburi yang memohon Rumah SMJ dan dibawa meninjau tapak yang telah tersedia bagi pembinaan rumah berkenaan.
Kedua-dua keluarga berkenaan tersenarai dalam daftar e-Kasih dan tinggal dalam keadaan sesak apabila rumah sedia ada dihuni sehingga 15 hingga 16 ahli keluarga yang tinggal sebumbung.
Beliau berharap pembinaan Rumah SMJ yang dijadualkan tahun ini akan memberi keselesaan serta meningkatkan kualiti kehidupan keluarga terbabit.
Selain itu, Ewan turut meninjau hasil pelaksanaan pembinaan saliran parit konkrit di kawasan perumahan Kampung Kiau Nuluh.
Pembinaan tersebut dilaksanakan di bawah Program Kampung Angkat MADANI oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi mengatasi masalah hakisan.
Beliau berkata usaha akan diteruskan bagi mendapatkan lebih banyak peruntukan untuk membina saliran konkrit di perumahan kampung khususnya di kawasan perbukitan bagi mengelak hakisan serta menjamin keselamatan penduduk.
Dalam lawatan sama, Ewon turut menghadiri sambutan ulang tahun ke-50 Kedai Kobujang Kampung Kiau Taburi.
Perusahaan kedai runcit berkonsepkan koperasi itu bermula dengan enam ahli dan kini berkembang kepada 50 ahli.
Modal asal sebanyak RM10, lima dekad lalu kini dianggarkan bernilai sekitar RM32,000 berdasarkan aset yang dimiliki.
Selain menyediakan perkhidmatan kedai runcit kepada penduduk kampung, perusahaan berkenaan turut berkembang dengan memiliki bangunan kedai di daerah lain serta mengusahakan perladangan kelapa sawit.
Koperasi tersebut juga menyediakan bantuan khairat kepada ahli-ahlinya.
“Saya berharap lebih banyak perusahaan berkonsepkan koperasi dapat dibangunkan oleh rakyat Sabah khususnya di kawasan luar bandar bagi memperkukuh ekonomi komuniti setempat,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Hari Kekasih: Perniagaan berjalan baik, penjual bunga harap jualan meningkat
Februari 14, 2026, Sabtu - 4:49pm

JASON
KUCHING: Beberapa penjual bunga tempatan melaporkan jualan yang memuaskan sempena sambutan Hari Kekasih 2026 dan berharap akan berlaku peningkatan pelanggan menjelang waktu malam.
Tinjauan Utusan Borneo di beberapa gerai jualan Hari Kekasih di sepanjang Jalan Tun Jugah, Jalan Batu 3 termasuk sepanjang laluan di MJC mendapati para penjual bunga muda berkongsi pengalaman mengenai prestasi perniagaan dan sambutan pelanggan tahun ini.
Bagi Jason Jong, 22, yang telah membantu perniagaan keluarga dalam bidang gubahan bunga dan hadiah, Angel Secrets Florist sejak dua tahun lalu, mendapati jambangan bunga segar masih menjadi pilihan utama pelanggan.
“Produk paling laris kami masih gubahan jambangan bunga segar dan bekalan bunga diperoleh daripada pembekal tempatan.
“Menjaga kesegaran dan kualiti merupakan keutamaan terutama ketika musim puncak seperti ini,” katanya.
Beliau berkata setakat ini perniagaan berjalan lancar namun mengakui mengharapkan jumlah pelanggan yang lebih ramai pada sebelah petang dan malam.

CHIAM
“Semalam, kami menerima ramai pelanggan, namun jualan tahun lalu jauh lebih baik.
“Lokasi juga memainkan peranan penting kerana kami menjual hadiah dan jambangan berhampiran hotel di sekitar GalaCity,” katanya.
Menurutnya, Hari Kekasih tahun lalu jatuh pada hari Ahad sekali gus menyumbang kepada kehadiran pelanggan yang lebih tinggi dan jualan yang lebih memberangsangkan kerana ramai orang tidak bekerja dan mempunyai lebih masa untuk membeli-belah berbanding hari Sabtu.
“Namun saya menjangkakan lebih ramai pelanggan malam ini kerana kebanyakan mereka mungkin akan keluar makan malam atau meraikan Hari Kekasih,” tambahnya.
Selain Hari Kekasih, beliau turut berkongsi bahawa perniagaan mereka biasanya menerima permintaan tinggi sempena Hari Ibu serta pada 20 Mei yang dikenali sebagai Hari Kekasih bagi masyarakat Cina.

RICHARD
Sementara itu, Chiam Tat Chun, 28, yang telah terlibat dalam perniagaan bunga keluarganya sejak tiga tahun lalu, berkata jambangan bunga turut menjadi produk paling popular termasuk yang digandingkan dengan patung beruang.
“Perniagaan berjalan baik sejak semalam, tetapi secara keseluruhannya jualan tahun lalu lebih baik.
“Prestasi jualan tahun ini sederhana berbanding sambutan Hari Kekasih sebelum ini,” katanya sambil menyatakan bahawa corak perbelanjaan pelanggan mungkin telah berubah.
Walaupun begitu, beliau kekal optimis dan menyifatkan Hari Kekasih sebagai antara musim paling penting dalam industri bunga setiap tahun.

Gerai Chiam yang menjual jambangan bunga dan patung beruang
Bagi Richard Wong, 18, seorang pelajar yang turut membantu perniagaan tersebut, jambangan bunga masih menjadi hadiah pilihan pelanggan.
“Bagi saya, perniagaan berada pada tahap biasa. Berdasarkan pemerhatian saya, kebanyakan pembeli sempena Hari Kekasih adalah lelaki yang ingin membuat kejutan terhadap pasangan mereka,” katanya.
Walaupun terdapat perbezaan jangkaan serta perbandingan dengan tahun-tahun sebelumnya, para usahawan muda ini kekal optimis dan terus melayani pelanggan sepanjang hari dengan mengharapkan kemungkinan lonjakan pembeli pada saat-saat akhir pada sebelah malam.

Produk paling laris Jason sempena Hari Kekasih.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kejayaan Kg Merembeh bukti keberkesanan kepimpinan akar umbi
Februari 14, 2026, Sabtu - 4:53pm

Miro ketika berucap pada pada Majlis Kesyukuran dan Perhimpunan KMKK Bidayuh Daerah Bau di Kampung Merembeh, semalam.
KUCHING: Kejayaan Kampung Merembeh meraih tempat pertama dalam Pertandingan Kampung Lestari Peringkat kebangsaan menjadi bukti jelas keberkesanan kepimpinan ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) serta kerjasama padu komuniti dalam memacu pembangunan akar umbi.
Demikian menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep ketika menjelaskan pengiktirafan tersebut pada Majlis Kesyukuran dan Perhimpunan KMKK Bidayuh Daerah Bau yang diadakan di Kampung Merembeh, semalam.
Majlis tersebut menghimpunkan kepimpinan KMKK Zon Bidayuh Daerah Bau bersama wakil rakyat dan agensi kerajaan bagi memperkukuhkan kerjasama strategik ke arah pembangunan daerah yang lebih sistematik dan berimpak tinggi.
“Kejayaan Kampung Merembeh di peringkat kebangsaan membuktikan peranan KMKK sebagai pemangkin pembangunan setempat amat signifikan,” katanya memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), hari ini.
Tambahnya, pelbagai projek pembangunan yang dilaksanakan di Daerah Bau adalah hasil kerjasama berterusan antara KMKK, pentadbiran daerah dan wakil rakyat serta usaha tersebut akan terus diperkasakan demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan mampan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Dato Miro Simuh menzahirkan penghargaan kepada KMKK yang telah menjadi tulang belakang dalam membantu pentadbiran daerah serta merancakkan pembangunan.
Beliau turut memaklumkan bahawa kelulusan kenaikan elaun KMKK merupakan satu bentuk pengiktirafan terhadap komitmen dan khidmat bakti mereka.
Di samping itu, beliau juga menggesa kepimpinan tempatan agar terus berfikiran progresif dalam memperkasa pembangunan infrastruktur, ekonomi dan pendigitalan serta bersama-sama menangani isu sosial.
Pegawai Daerah Bau Eddy Nayoi pula menyifatkan majlis berkenaan sebagai wadah menyatukan kepimpinan KMKK di seluruh daerah, sekali gus memperkukuh penyelarasan pelaksanaan dasar dan penyaluran peruntukan pembangunan di peringkat kampung.
Majlis kesyukuran tersebut merupakan inisiatif KMKK Bidayuh Daerah Bau sebagai tanda penghargaan atas nikmat yang dikurniakan serta peluang untuk terus berbakti kepada komuniti.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tiga suspek kes curi di Limbang turut positif dadah
Februari 14, 2026, Sabtu - 4:57pm
LAWAS: Tiga penganggur lelaki yang ditahan dipercayai terlibat dalam kes kehilangan penebat tembaga kilat di Stesen Pam Penggalak milik Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) di Ulu Merapok pada Sabtu lepas, didapati positif dadah.
Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan berkata, kejadian itu menyebabkan kerugian RM2,000 dan satu laporan polis diterima pihaknya berhubung insiden itu pada jam 2.32 petang.
“Bertindak atas laporan berkenaan, pihak polis telah menjalankan siasatan dan risikan lanjut.
“Tiga orang lelaki tempatan berusia 31, 33 dan 42 tahun yang juga penganggur ditahan pada Rabu lepas di kawasan Merapok Lawas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata Liong, pemeriksaan telah dibuat di tempat tangkapan dan tidak menemui barang kes daripada suspek.
“Ketiga-tiga suspek telah ditahan dan perintah tahanan reman telah diperolehi hingga Ahad (esok).
“Hasil ujian air kencing mendapati kesemua saspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Dalam kes lain katanya, seorang pemilik syarikat kerugian RM59,500 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket pengendalian telekomunikasi pada Rabu lepas.
Jelasnya mangsa mendakwa telah diperdaya dalam ‘phone scam’ oleh individu yang menyamar sebagai pihak sekolah untuk membekalkan meja kantin di sebuah sekolah di Lawas.
“Mangsa telah diarahkan untuk membayar kepada pembekal terlebih dahulu dan pihak sekolah akan buat pembayaran semula kepada mangsa.
“Mangsa kemudiannya berasa ditipu apabila tiada pembayaran diterima dan semakan telah dibuat kepada sekolah berkaitan mendapati tiada transaksi dan tiada bekalan melibatkan pengadu,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam kes berasingan katanya, polis merampas dadah jenis syabu dengan anggaran berat 0.30 gram dengan penahanan seorang buruh lelaki, 42, di tepi jalan Banting Lawas pada Rabu lepas.
Beliau berkata hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine dan semakan kesalahan lampau mendapati suspek mempunyai satu kesalahan lampau berkaitan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Rumah Terbuka TBC Parlimen Miri di Eastwood pada 18 Februari
Februari 14, 2026, Sabtu - 4:59pm

CHIEW
MIRI: Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man menjemput seluruh warga Miri untuk bersama-sama memeriahkan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) 2026 Parlimen Miri yang akan diadakan pada 18 Februari ini.
Aktiviti akan berlangsung bermula jam 5 petang hingga 8 malam bertempat di Musical Corridor 2, Eastwood Valley Golf & Country Club.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia itu berkata, majlis tersebut merupakan platform untuk mengeratkan silaturahim serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di bandar raya ini.
Orang ramai dijemput hadir bersama keluarga, sahabat dan jiran tetangga bagi memeriahkan lagi sambutan tersebut.
“Majlis ini bukan sahaja sebagai sambutan perayaan, malah menjadi medan untuk kita bertemu mesra, berkenalan dan mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan warga Miri,” katanya.
Beliau berharap sambutan itu dapat diraikan dalam suasana penuh harmoni, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan dan keharmonian masyarakat setempat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Ripin ingatkan peserta SYStartUP waspada tawaran palsu untuk elak kerugian modal
Februari 14, 2026, Sabtu - 5:01pm

Ripin (duduk, tiga kiri barisan tengah) bersama tetamu kehormat dan peserta Program Meet & Greet SYStartUP Zon Utara.
MIRI: Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Dr Ripin Lamat mengingatkan peserta program Sarawak Youth StartUp (SYStartUP) agar tidak mudah terperdaya dengan tawaran pekerjaan kontrak atau perkongsian perniagaan tanpa perjanjian bertulis.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Meet & Greet SYStartUP Zon Utara 2026 yang berlangsung hari ini.
Menurutnya, terdapat kes dalam kalangan peserta Kohort Satu yang menjadi mangsa penipuan, termasuk membabitkan kerugian mencecah ratusan ribu ringgit
“Saya ingin mengingatkan peserta supaya jangan terperdaya apabila menerima tawaran kerja kontrak, perkongsian tanpa hitam putih atau perkhidmatan konsultansi yang meragukan.
“Kita dapati ada juga peserta yang menyamar sebagai ‘fake consultant’ bagi urusan dokumentasi dan lesen.
“Jika ada sebarang tawaran, sila rujuk dahulu kepada kementerian (MYSED) sebelum membuat keputusan. Jangan apabila sudah menjadi mangsa, baru hendak merujuk,” katanya.
Ripin mendedahkan, seorang peserta dilaporkan mengalami kerugian lebih RM500,000 berkaitan permohonan lesen pembinaan.
“Kes seperti ini benar-benar berlaku dalam Kohort Satu, manakala bagi Kohort Dua setakat ini belum ada laporan diterima.
“Jika ada rakan yang menawarkan perkhidmatan seperti kerja kontrak pembangunan, konsultansi atau urusan lesen, sila maklumkan kepada pihak kementerian supaya kami boleh memberi nasihat.
“Kadang-kadang nama kementerian turut digunakan bagi meyakinkan mangsa,” jelasnya.
Beliau turut menasihatkan peserta agar berwaspada dengan tawaran perniagaan yang kelihatan terlalu mudah atau ‘terlalu manis.’
“Kalau boleh, maklumkan kepada Beloya2u atau pejabat kementerian untuk semakan lanjut. Kita memang ada membuat semakan latar belakang dan mendapati ada individu yang mempunyai rekod penipuan.
“Paling penting, kita mahu elakkan kerugian dan memastikan peserta tidak menjadi mangsa 'scam,' khususnya dalam kalangan mereka yang baharu dan teruja memulakan perniagaan,” tegasnya.
Ripin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir berkata, program itu merupakan sesi interaksi rasmi anjuran MYSED sebagai sokongan berterusan kepada peserta SYStartUP Kohort Satu dan Dua.
Lebih 50 alumni SYStartUP menghadiri program berkenaan yang bertujuan memantau perkembangan perniagaan peserta, mengenal pasti cabaran dihadapi serta mencari penyelesaian bersama.
Selain itu, program tersebut turut mengukuhkan jaringan antara peserta, mentor, agensi kerajaan dan sektor swasta bagi memastikan sokongan berterusan kepada usahawan belia.
Secara keseluruhannya katanya, Meet and Greet SYStartUP menjadi platform strategik dalam membantu usahawan muda berkembang dan berdaya saing.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan peserta menceburi bidang berasaskan industri seperti TVET, industri berat dan pembangunan teknologi yang dilihat berpotensi besar untuk pertumbuhan jangka panjang.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
SUPP Bawang Assan dan JKKK Bandar Sibu kunjungi TTG Sibu sempena TBC
Februari 14, 2026, Sabtu - 5:02pm

Lau (tengah) bersama ahli parti dan JKKK Bandar Sibu ketika menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina di TTG Sibu, hari ini.
SIBU: Menjelang sambutan Tahun Baharu Cina (TBC), Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan Kaunselor Kevin Lau, bersama Pengerusi JKKK Bandar Sibu Kapitan Ngu Ing Huong serta barisan jawatankuasa, menganjurkan program kebajikan 'Kehangatan Tahun Baharu Cina' khusus untuk membantu golongan gelandangan di bandar ini, hari ini.
Rombongan berkenaan telah mengunjungi Tempat Transit Gelandangan (TTG) Sibu atau 'Save Haven for the Homeless Sibu Sarawak' bagi menyampaikan sumbangan berupa limau mandarin, makanan dan minuman sempena perayaan kepada para penghuni.
Inisiatif tersebut bertujuan memastikan komuniti yang kurang bernasib baik turut merasai kemeriahan dan kehangatan sambutan TBC.
Menurut Lau, perayaan itu bukan sekadar tradisi tahunan, malah membawa mesej perpaduan, perkongsian rezeki dan semangat keprihatinan.
Beliau berkata, usaha berkenaan diharap dapat menyuntik semangat serta memberi sokongan moral kepada golongan gelandangan agar mereka tidak berasa terpinggir daripada perhatian masyarakat.
"Kita mahu memastikan tiada sesiapa yang dilupakan, khususnya ketika musim perayaan.
"Sokongan berterusan daripada pelbagai pihak amat penting dalam membina masyarakat yang lebih penyayang dan inklusif," katanya.
Sementara itu, wakil TTG Winnie Wong, menzahirkan penghargaan atas sumbangan yang diterima.
Beliau memaklumkan semua barangan akan diagihkan secara teratur kepada penghuni bagi membolehkan mereka menyambut perayaan dalam suasana yang lebih selesa dan bermakna.
Program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan pihak penganjur dalam memperkukuh semangat kebersamaan serta menyemai nilai kemanusiaan dalam kalangan masyarakat setempat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
SUPP Bawang Assan, empat JKKK adakan program agihan muhibah
Februari 14, 2026, Sabtu - 5:06pm

Lau (empat kanan, barisan depan) bersama ahli parti dan JKKK yang terlibat dalam program tersebut.
SIBU: Sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) yang bakal tiba, Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan Kaunselor Kevin Lau mengetuai satu program agihan muhibah bersama empat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam usaha menyemarakkan lagi suasana perayaan di kawasan setempat, hari ini.
Program tersebut menyaksikan penglibatan aktif Ahli Jawatankuasa, sayap Pemuda dan Wanita dari cawangan parti tersebut yang turun padang mengunjungi beberapa terminal feri utama iaitu Jeti JKR, Jeti Hock Ming dan Jeti Baru Ma Ling.
Mereka mengagihkan limau mandarin, sampul angpau serta hiasan perayaan kepada para penumpang feri yang berulang-alik dari Sungai Bidut ke bandar, selain orang ramai di sekitar bandar.
Suasana di sepanjang tebing sungai bertukar meriah dengan kehadiran para pemimpin masyarakat yang tidak melepaskan peluang beramah mesra serta menyampaikan ucapan perayaan kepada orang ramai.
Empat JKKK yang terlibat ialah JKKK Bukit Igu diketuai Kapitan Tang Chuo Ging, JKKK Sungai Sadit Kiri (Kapitan Hii Sie Nguok), JKKK Sungai Sadit Kanan (Kapitan Chew Hoo Kiong) dan JKKK Bandar Sibu (Kapitan Ngu Ing Huong).
Turut sama hadir memeriahkan program ialah Penghulu Wong Ung, Penghulu Steven Tiew, Penghulu Yong King Sung serta Kapitan Tan Ching Teck yang bersama-sama menyantuni masyarakat.

Lau (berdiri, empat kiri) merakamkan kenangan bersama penumpang feri ketika mengagihkan pemberian Tahun Baharu Cina.
Berucap pada program berkenaan, Lau berkata penganjuran aktiviti seumpama itu mencerminkan kerjasama erat antara pemimpin masyarakat bandar dan luar bandar dalam menyantuni rakyat tanpa mengira latar belakang.
"TBC bukan sekadar perayaan, tetapi juga simbol penyatuan, kesyukuran dan permulaan baharu. Melalui program ini, kita dapat menyampaikan sendiri ucapan dan berkongsi kegembiraan bersama masyarakat," katanya.
Beliau menegaskan peranan pemimpin akar umbi tidak terhad kepada pembangunan fizikal dan penyelesaian isu setempat semata-mata, malah perlu sentiasa mendampingi rakyat, khususnya pada musim perayaan.
"Interaksi secara bersemuka memberi ruang kepada kami mendengar pandangan dan maklum balas penduduk, sekali gus memperkukuh hubungan serta semangat kebersamaan dalam komuniti," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan selamat menyambut TBC kepada semua lapisan masyarakat dengan harapan agar tahun baharu membawa kesihatan yang baik, kebahagiaan, kejayaan dan kemakmuran berpanjangan.
Beliau berharap perpaduan dan sikap saling menghormati terus menjadi asas kepada keharmonian serta pembangunan berterusan di kawasan berkenaan.
Menurut jawatankuasa penganjur, persiapan telah dilakukan lebih awal termasuk penyediaan limau mandarin dan hiasan perayaan, penentuan lokasi strategik pengagihan serta penyelarasan logistik bagi memastikan kelancaran program.

Lau (kanan) mengagihkan limau mandarin kepada orang ramai di sebuah kedai kopi.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
PBDS perkukuh kedudukan, tubuh cawangan baharu di Batang Ai
Februari 14, 2026, Sabtu - 5:13pm

Andrew (dua kiri) dan Kipli (kanan) menerima surat lantikan rasmi mereka yang disampaikan oleh Dr Bernard (tiga kiri).
MIRI: Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) terus memperkukuh kedudukannya apabila cawangan baharu ditubuhkan secara rasmi di kawasan DUN N.34 Batang Ai pada Jumaat, sekali gus menjadi cawangan ke-29 parti itu di seluruh Sarawak.
Ketua Penerangan parti Sigie Badang dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Biro Penerangan PBDS di sini hari ini memberitahu, penubuhan cawangan tersebut mencerminkan sokongan kukuh dan memberangsangkan daripada masyarakat setempat di kawasan Batang Ai terhadap perjuangan PBDS.
Menurut beliau, sambutan positif itu menunjukkan keyakinan akar umbi yang semakin meningkat terhadap PBDS sebagai wadah memperjuangkan keadilan, hak sama rata serta perwakilan yang adil bagi masyarakat Dayak.
Pada mesyuarat penubuhan berkenaan, ahli-ahli cawangan sebulat suara memilih Andrew Bugie Ipang sebagai Pengerusi, manakala Ambun Nyanggah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi.
PBDS merakamkan ucapan tahniah kepada kepimpinan baharu yang dipilih dan menzahirkan keyakinan bahawa mereka akan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, integriti serta komitmen tinggi terhadap perjuangan parti.
Majlis penubuhan itu turut disaksikan Timbalan Presiden PBDS Dr Bernard Tahim dan Naib Presiden PBDS Kipli Ayom yang mana kehadiran mereka mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan tertinggi parti dalam memperkukuhkan struktur organisasi di seluruh negeri.
Dalam pada itu, PBDS memaklumkan tiga lagi cawangan baharu dijangka ditubuhkan sebelum akhir Februari 2026, sekali gus menandakan momentum pertumbuhan serta peluasan sokongan akar umbi yang berterusan.
Parti itu turut menegaskan komitmen berterusan terhadap prinsip demokrasi dan percaya bahawa kemajuan politik yang bermakna perlu dibina atas asas perpaduan, disiplin serta sokongan majoriti rakyat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lee adakan Rumah Terbuka TBC di dua lokasi tahun ini
Februari 14, 2026, Sabtu - 5:14pm

Lee menyampaikan buah lima dan sampul angpau kepada Clare yang mewakili akhbar The Borneo Post dan Utusan Borneo, sambil disaksikan wartawan kedua-dua akhbar terbabit.
MIRI: Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap ADUN Senadin Dato Sri Lee Kim Shin akan mengadakan rumah terbuka beliau sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) 2026 di dua lokasi berbeza bagi membolehkan orang ramai dari dua kawasan berkenaan meraikan perayaan bersama beliau.
“Berbeza daripada tahun-tahun sebelum ini, pada 2026 ini, saya akan mengadakan Rumah Terbuka TBC di dua lokasi iaitu di Permyajaya dan satu lagi di Riam,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, hari ini.
Lee mendedahkan dengan konstituensi yang sangat besar, terbentang dari Kuala Baram hingga ke Riam dan mengadakan rumah terbuka di satu lokasi sahaja tidak mencukupi.
“Ini kerana kebiasaannya Rumah Terbuka TBC saya diadakan di Permyjaya dan penduduk dari kawasan Riam sukar untuk datang kerana kedudukan yang agak jauh dari mereka.
“Justeru saya mengadakan sambutan di dua lokasi tahun ini, agar penduduk kedua-dua kawasan ini berpeluang mengunjungi Rumah Terbuka TBC dan saya berpeluang bertemu dengan rakyat di kawasan saya,” katanya lagi.
Lee memberitahu Rumah Terbuka TBC beliau yang pertama akan diadakan di pada Rabu, 18 Februari bertempat di Dewan Dato Permaisuri, di Permyjaya di sini, bermula dari jam 9 pagi hingga 3 petang.
Manakala Rumah Terbuka TBC beliau yang kedua diadakan di pada Sabtu, 21 Februari bertempat di Dewan Sekolah Menengah Riam Road (RRSS) di Jalan Riam, bermula dari jam 3 petang hingga 9 malam.
“Sehubungan itu, saya mengalu-alukan semua rakyat dan pengundi di kawasan Senadin untuk datang beramai-ramai memeriahkan sambutan TBC kali ini,” katanya lagi.
Terdahulu, Lee hadir di pejabat akhbar Utusan Borneo, The Borneo Post dan See Hua Daily News di Wisma Rela Aman di sini untuk mengagihkan buah limau kepada para wartawan dari ketiga-tiga akhbar tersebut sebagai tanda penghargaan beliau sempena musim perayaan ini.
Hadir menyambut ketibaan Lee ialah Timbalan Ketua Pemberita Clare Cinderella dan Ketua Pemberita See Hua Daily News Vicky Chang.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Hari Kekasih: Kedai bunga di Sibu saksikan peningkatan mendadak penjualan bunga
Februari 14, 2026, Sabtu - 5:17pm

Pauline, pemilik Kedai Bunga Lieng Tee, merakamkan kenangan. - Gambar Maxwel
SIBU: Kedai-kedai bunga di sekitar bandar Sibu menyaksikan peningkatan mendadak penjualan bunga hari ini apabila sambutan Hari Kekasih bertembung dengan hari-hari terakhir menjelang Tahun Baharu Cina (TBC).
Tinjauan The Borneo Post ke beberapa kedai bunga di Sibu pagi ini mendapati kehadiran pelanggan berterusan, dengan ramai membuat pembelian saat akhir bunga ros dan gubahan segar lain sempena Hari Kekasih.
Di Kedai Bunga Lieng Tee, pemiliknya Pauline berkata permintaan meningkat dengan ketara berbanding hari biasa, melibatkan pembelian bunga segar dan bunga tiruan.
“Kami menjual pelbagai jenis bunga, sama ada segar atau tiruan. Bunga ros dan bunga pom-pom sentiasa menjadi pilihan.
“Biasanya kami tidak terlalu sibuk, tetapi hari ini memang ramai pelanggan,” katanya.
Pauline, yang keluarganya telah mengusahakan kedai tersebut lebih tiga dekad, berkata pihaknya mengekalkan harga berpatutan sebagai menghargai pelanggan setia.

Pauline menyediakan gubahan bunga mengikut tempahan pelanggan dari Kuching. - Gambar Maxwel
“Kami tidak mengenakan harga tinggi. Kebanyakan jambangan kami berharga antara lapan hingga sembilan ringgit, dan hari ini saya hanya menjual pada harga sebelas ringgit.
“Semua orang sedang berdepan kesukaran, jadi selagi saya tidak rugi, itu sudah memadai. Pelanggan kami tahu kami menawarkan nilai yang baik,” katanya.
Beliau menambah, pembeli golongan muda cenderung memilih gaya jambangan moden dan berhias, manakala pelanggan lebih berusia masih menggemari susunan tradisional.
Sementara itu, di Li Florist, pemilik kedai Madam Koh berkata bunga ros kekal sebagai pilihan utama sempena Hari Kekasih.
“Untuk Hari Kekasih, orang memang mahukan bunga ros. Semuanya bunga segar. Hanya untuk Tahun Baharu Cina pelanggan membeli bunga plastik,” katanya.
Persiapan untuk sambutan berkenaan dilakukan lebih awal di kedainya.

Madam Koh, pemilik Li Florist, menerangkan situasi di kedainya sempena Hari Kekasih. - Gambar Maxwel
“Setiap hari kami bersedia, tetapi untuk acara besar seperti ini, kami mula seminggu lebih awal. Anda sendiri boleh lihat betapa sibuknya hari ini,” katanya sambil menambah jualan tahun ini sedikit lebih tinggi berbanding tahun lalu.
Di Meet Florist pula, Quenna berkata beban kerja mereka meningkat dua kali ganda berikutan pertindihan sambutan Hari Kekasih dan TBC.
“Ia sangat sibuk. Pesanan kami berganda dalam tempoh ini. Semua pekerja kami tidak berhenti, hari ini kami akan bekerja hingga lewat malam,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan pembeli adalah pelanggan tetap yang biasanya meminta rekaan jambangan yang sudah biasa, sekali gus memudahkan proses penyediaan.
Persiapan Hari Kekasih di kedai itu bermula seawal sebulan lebih awal dan merangkumi gubahan bunga segar serta jambangan wang yang memerlukan lipatan rapi.

Quenna, florist di Meet Florist (dua dari kanan), membantu rakan sekerjanya menyiapkan gubahan bunga. - Gambar Maxwel
“Berbanding tahun lalu, jualan kami tahun ini lebih baik,” tambahnya.
Para peniaga bunga berkata walaupun sambutan Hari Kekasih bertindih dengan TBC, permintaan terhadap jambangan bunga kekal tinggi, didorong oleh pelanggan yang hadir secara terus, pelanggan tetap serta tempahan awal.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Gotong-Royong Perdana Kg Tupong Tengah perkukuh semangat komuniti
Februari 14, 2026, Sabtu - 5:19pm

Fazzrudin (tengah) merasmikan upacara pelepasan sebagai simbolik bermulanya kerja-kerja pembersihan dan keceriaan kawasan di Kampung Tupong Tengah, pagi Sabtu. - Gambar UKAS
KUCHING: Semangat kebersamaan dan budaya berganding bahu jelas terpancar menerusi penganjuran Program Gotong-Royong Perdana Kampung Tupong Tengah yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana muafakat dan penuh harmoni.
Memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), program anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dengan kerjasama Kejiranan Mesra (KJM) N.6 Tupong itu berlangsung di pekarangan Dewan Masyarakat Kampung Tupong Tengah seawal jam 7 pagi Sabtu.
Majlis disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Dato Fazzrudin Abdul Rahman dan turut dihadiri Datuk Bandar Kuching Utara Dato Hilmy Othman, Pengarah DBKU Ramzi Abdillah serta Penghulu Kampung Tupong Penghulu Ramden Putit.
Program berkenaan bukan sahaja digerakkan oleh penduduk tempatan, malah turut mendapat penyertaan mahasiswa Kolej Universiti i-CATS serta murid-murid sekolah rendah sekitar Tupong yang bersama-sama menyertai aktiviti mengutip sampah dan membersihkan kawasan kampung.
Aktiviti dimulakan dengan sesi senamrobik yang membangkitkan semangat peserta sebelum diteruskan dengan taklimat gotong-royong.
Upacara pelepasan kemudiannya disempurnakan sebagai simbolik bermulanya kerja-kerja pembersihan dan keceriaan kawasan.
Sepanjang program berlangsung, sebanyak 248 kilogram sampah berjaya dikutip hasil kerjasama erat peserta yang menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan persekitaran kampung sentiasa bersih dan selesa.
Penganjuran program seumpama itu bukan sahaja menzahirkan komitmen terhadap aspek kebersihan dan kelestarian persekitaran, malah menjadi platform mengeratkan silaturahim antara pihak berkuasa tempatan dan komuniti, di samping menyemai nilai tanggungjawab sosial serta kesedaran sivik dalam kalangan generasi muda.
Inisiatif berterusan seperti ini mencerminkan usaha kolektif dalam membudayakan amalan hidup bersih, sihat dan harmoni demi kesejahteraan bersama.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Ratusan penduduk meriahkan Miri City Car-Free Day Edisi Pertama 2026
Februari 14, 2026, Sabtu - 5:21pm

Yii mengangkat bendera untuk pelepasan peserta yang mengambil bahagian berjalan kaki dan berbasikal di sepanjang laluan jalan yang terlibat.
MIRI: Program Miri City Car-Free Day Edisi Pertama 2026 yang berlangsung di jalan-jalan sekitar Marina ParkCity hari ini berjaya menghimpunkan ratusan warga bandar raya ini dalam suasana penuh semangat dan harmoni sempena tema 'Ride with Love, Walk with Prosperity.'
Program anjuran Majlis Bandaraya Miri (MBM) itu diadakan bermula jam 7 hingga 10 pagi melibatkan laluan sepanjang 4.4 kilometer, dari Jalan Bandaraya hingga Jalan Marina Utama yang ditutup sepenuhnya kepada kenderaan.
Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang ketika merasmikan program itu berkata, acara tersebut bukan sekadar menutup jalan kepada kenderaan, malah membuka ruang kepada orang ramai untuk memanfaatkan jalan raya sebagai kawasan mesra rakyat.
“Pagi ini kita mewujudkan ruang yang lebih selamat, sihat dan bertenaga untuk keluarga, penunggang basikal, pelari serta seluruh komuniti Miri,” katanya.
Menurut beliau, tema 'Ride with Love' membawa mesej perpaduan, kasih sayang dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat, manakala 'Walk with Prosperity' melambangkan harapan ke arah masa depan Miri yang makmur, lebih sihat, hijau dan mampan.

Yii (baris depan, tiga kanan) turut menyertai senamrobik yang diadakan sempena program hari tanpa kereta, untuk edisi pertama tahun 2026 di Marina ParkCity, Miri.
Katanya lagi, program itu memberi tumpuan kepada tiga agenda utama iaitu menggalakkan gaya hidup sihat, mewujudkan ruang awam berteraskan rakyat serta meningkatkan kesedaran alam sekitar melalui pengurangan penggunaan kenderaan dan pelepasan karbon.
Pada masa sama, inisiatif berkenaan turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan), SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan), SDG 13 (Tindakan Iklim) serta SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat).
Beliau menambah, program tersebut juga selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menekankan pembangunan mampan, rendah karbon dan berteraskan rakyat.
Yii turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan, rakan strategik, sukarelawan serta peserta yang menjayakan penganjuran edisi pertama tahun ini.
Hadir sama Timbalan Datuk Bandar Miri Ariffin Mohamad, Jurutera Bandaraya Ts Che’ Abu Bakar Che’ Said, Pengerusi Jawatankuasa Tetap SDG MBB Kr Jamil Bujang, ahli-ahli majlis, ketua jabatan serta rakan strategik daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
sbh - Buku apa yang rakyat Sabah harus tahu tawarkan pemahaman sejarah politik Sabah
swk - Ratusan penduduk meriahkan Miri City Car-Free Day Edisi Pertama 2026
 |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Peranan PBS, Bomba Komuniti terus diperkasa
Februari 14, 2026, Sabtu - 5:27pm

(Dari kiri) Ramlan, Dr Rahman, Hamdani (tiga kanan) serta yang lain pada perasmian Program SURI Zon Tujuh Limbang, hari ini.
LIMBANG: Peranan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan Bomba Komuniti terus diperkasa sebagai benteng awal sebelum ketibaan pasukan bomba dalam insiden kebakaran dan kecemasan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, dua pasukan itu sedang diperkasakan melalui suntikan dana, latihan dan peralatan baharu untuk bertindak sebagai responden pertama yang efektif.
Pada masa sama katanya, pemerkasaan ini bertujuan mempercepatkan tindak balas awal kebakaran dan kecemasan sebelum ketibaan pasukan bomba tetap.
“Usaha ini melibatkan peruntukan yang agak besar untuk kelengkapan, geran kewangan, insurans kelompok serta menaik taraf balai bagi menyokong operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Melalui kemudahan ini, PBS dan Bomba Komuniti dapat membantu bomba kalau ada bencana dan sebagaianya,” ujarnya pada Program Sedia Urus Isi Rumah (SURI) Peringkat Bahagian Limbang Tahun 2026 di Dewan KEMAS di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Bomba Zon Tujuh Penguasa Bomba Ramlan Marajan dan Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat Limbang merangkap Penyelaras Program Timbalan Penguasa Bomba Dua Mohamad Hamdani Madon.
ADUN Bukit Kota itu berkata lagi, penyerahan geran PBS serta bot Bomba Komuniti mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memperkasa komuniti, khususnya di kawasan yang mempunyai cabaran geografi, sungai dan akses kecemasan yang terhad.
“Saya berharap kemudahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya, dijaga dengan baik dan digunakan secara berhemah demi keselamatan bersama,” katanya.
Sementara itu, Dr Abdul Rahman berkata program SURI amat bertepatan dengan keperluan semasa kerana ia memberi penekanan kepada pencegahan awal, kesiapsiagaan dan tindakan pantas sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
Pada program itu, para peserta turut didedahkan dengan pengisian yang amat penting seperti sains kebakaran, bahaya kebakaran di rumah, amalan 'good housekeeping' serta risiko kebakaran yang sering berlaku dalam kehidupan seharian.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Projek jalan permudah penduduk seberang pekan Bintangor untuk ke bandar Sibu
Februari 14, 2026, Sabtu - 5:54pm

Len (lima kiri) menyampaikan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 KTN kepada seorang penerima. Turut kelihatan (dari kiri) Abang Mohamad Porkan, Chieng, Safiee, Gira dan Chua.
SIBU: Projek pembinaan Jalan Nanga Bangkit/Muara Lebaan ke Jalan Sibu/Tanjung Manis setelah siap nanti akan memudahkan penduduk di seberang pekan Bintangor untuk ke bandar Sibu.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, projek 'missing link' itu akan memberi manfaat kepada penduduk di Sungai Sian, Selemas dan di Kampung Bundung, Bintangor untuk ke Sibu melalui Jambatan Lebaan.
"Mengenai projek 'missing link' ini, kalau kita ingat RM45 juta yang telah diluluskan di bawah kepimpinan Allahyarham Adenan Satem dulu digunakan untuk pembinaan jalan raya ke Tanjung Manis dari Sarikei.
"Tetapi peruntukan itu tidak mencukupi, oleh sebab itulah peruntukan itu digunakan untuk menaik taraf Jalan Rentap di Sarikei, dari Jambatan Sarikei sampai ke Hospital Sarikei," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah, Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun tanah Negeri (KTN) dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN Bahagian Sibu di Dewan Kompleks Islam Sibu, hari ini.
Len yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belawai berkata, perancangan seterusnya adalah bagi membangunkan 'missing link' itu dari Selemas ke Lebaan yang jaraknya kira-kira lima kilometer, melibatkan peruntukkan lebih RM80 juta.
Oleh sebab itu katanya, pelaksanaan projek tersebut adalah penting terutama kepada penduduk di seberang pekan Bintangor yang pada masa ini masih menggunakan perkhidmatan feri Sungai Sian untuk ke Bintangor.
"Dan perlu ditekankan, projek ini juga satu daripada rangkaian jalan raya yang mana pada tahun lepas, Premier Sarawak telah merasmikan Jambatan Tuanku Bujang di Jalan Pasi, Sarikei.
"Ia merupakan satu rangkaian jalan raya untuk memastikan mereka yang bermastautin di seberang Bintangor dapat dihubungkan melalui jalan raya itu nanti dan juga dengan jambatan yang telah siap di Jalan Pasi," jelasnya.
Beliau menjangkakan projek tersebut dapat disiapkan dalam masa dua tahun setengah atau 30 bulan, bergantung kepada proses pembayaran pampasan tanah di Bahagian Sarikei.
Terdahulu, Len mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan menyampaikan cek pampasan tanah kepada 92 pemilik tanah yang terlibat dalam tiga projek pembangunan kerajaan, membabitkan pampasan keseluruhan sebanyak RM9,312,149.96.
Daripada jumlah itu, 32 pemilik tanah menerima pampasan RM3,256,768 bagi pelaksanaan projek naik taraf Jalan Oya Fasa II, 44 pemilik tanah bagi projek jalan penghubung dari Taman Permai ke Jalan Ulu Sungai Merah dengan pampasan RM5,209,162.70 dan 16 pemilik tanah lagi bagi projek 'missing link' Jalan Nanga Bangkit/Muara Lebaan ke Jalan Sibu/Tanjung Manis dengan pampasan berjumlah RM846,219.26.
Pada majlis sama, beliau turut menyerahkan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 KTN kepada 59 rumah panjang di Bahagian Sibu dan Selangau, membabitkan kawasan seluas 13,119 hektar.
Sementara itu, seramai 85 orang menerima Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN, membabitkan kawasan seluas 242 hektar.
Hadri sama ialah Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta, ADUN Tamin Christopher Gira Sambang, ADUN Daro Dr Safiee Ahmad, ADUN Bukit Assek Joseph Chieng Jin Ek, Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sibu Chua Soh Kee serta yang lain.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
JPJ Sarawak pergiat rondaan dan pemantauan di kawasan ‘hot spot’
Februari 14, 2026, Sabtu - 6:27pm

Antara kawasan yang telah dilaksanakan aktiviti rondaan dan pemantauan oleh JPJ Sarawak. - Gambar Facebook JPJ Sarawak
KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan Sarawak (JPJ) Sarawak terus mempergiatkan aktiviti rondaan dan pemantauan berkala di kawasan dikenal pasti sebagai ‘hot spot’ di seluruh negeri ini.
Menurut catatan Facebook JPJ Sarawak, ia merupakan sebahagian usaha memperkukuh tahap pematuhan undang-undang jalan raya serta meningkatkan keselamatan pengguna.
“Operasi berkenaan melibatkan kawasan tumpuan trafik tinggi, laluan utama antara bandar, kawasan perindustrian serta lokasi yang sering menerima aduan awam berkaitan kesalahan lalu lintas.
“Rondaan ini bagi memastikan pematuhan terhadap peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta kaedah-kaedah dibawahnya dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987,” menurutnya.
Katanya, JPJ Sarawak akan terus komited melaksanakan pendekatan penguatkuasaan bersepadu dan berterusan.
“Ia khususnya di lokasi berisiko tinggi, selaras dengan aspirasi jabatan untuk mengurangkan kadar kemalangan dan memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya sentiasa terjamin.
“Sehubungan itu, orang awam diseru agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta merancang perjalanan dengan berhemah demi keselamatan bersama,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Projek mitigasi atasi banjir, bawa pelbagai faedah kepada komuniti Desa Wira: JPS
Februari 14, 2026, Sabtu - 6:52pm

Law memberi penerangan kepada penghuni Taman Desa Wira pada sidang media mengenai Projek Tebatan Banjir Fasa Dua di Dewan Serbaguna Taman Desa Wira, hari ini. - Gambar Chimon Upon
KUCHING: Projek Tebatan Banjir Fasa Dua di Taman Desa Wira bukan sahaja bertujuan mengatasi masalah banjir, malah dijangka membawa pelbagai faedah kepada komuniti setempat.
Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak Law Wee berkata, penduduk yang tinggal berhampiran kawasan tersebut perlu memahami bahawa projek itu amat penting, khususnya dalam menangani masalah banjir berulang di kawasan berkenaan.
Tambahan pula katanya, kajian menyeluruh berhubung projek itu termasuk pembinaan kolam takungannya telah dijalankan bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan rumah penduduk terjamin.
“Terdapat bantahan daripada beberapa pemilik rumah yang tinggal berhampiran projek itu kerana kedudukan rumah mereka berdekatan dengan kolam takungan tersebut.
“Mereka berpendapat pembinaan kolam itu akan menyebabkan harga rumah mereka menurun selain menjejaskan struktur kediaman serta mengakibatkan pencemaran bau dan sampah.
“Bagaimanapun kami (JPS) telah cuba menjelaskan kepada mereka bahawa kajian menyeluruh telah dijalankan, termasuk pembinaan kolam dan tembok penahan di sekelilingnya.
“Ini bermakna tidak ada kemungkinan rumah mereka akan rosak, tenggelam atau sebagainya kerana kajian menyeluruh telah pun dilaksanakan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Projek Tebatan Banjir Fasa Dua di Dewan Serbaguna Taman Desa Wira di sini, hari ini.
Selain itu kata Law, dakwaan projek itu juga akan menyebabkan nilai rumah mereka jatuh adalah tidak tepat.
Namun katanya, umum mengetahui bahawa masalah banjir yang sekian lama berlaku di Desa Wira telah lama menjejaskan pasaran hartanah di kawasan tersebut.
“Jadi kita sekarang ini mahu melaksanakan projek tebatan banjir itu untuk mengatasi masalah banjir.
“Sekiranya masalah banjir dapat ditangani, kemungkinan besar harga rumah akan meningkat kerana kawasan Desa Wira terletak di lokasi utama di Batu Kawa, bersebelahan dengan kawasan pesat membangun seperti MJC dan Pine Square,” ujarnya.

Law memberi penerangan kepada penghuni Taman Desa Wira pada sidang media mengenai Projek Tebatan Banjir Fasa Dua di Dewan Serbaguna Taman Desa Wira, hari ini. - Gambar Chimon Upon
Law menegaskan projek itu bukan sahaja mengenai mitigasi banjir, tetapi juga meningkatkan kualiti hidup penduduk.
“Kawasan ini akan ditanam dengan pokok-pokok serta dilengkapi laluan joging, sekali gus menjadikannya ruang rekreasi di sekitar kolam berkenaan.
“Jika memiliki rumah bersebelahan kawasan kolam itu, suasananya akan kelihatan seperti pusat peranginan dan secara tidak langsung meningkatkan nilai hartanah,” katanya.
Apatah lagi tambahnya, kolam takungan itu akan dilengkapi sistem automatik penapis sampah serta penyelenggaraan berkala.
“Projek Fasa Dua ini menelan kos RM44 juta, manakala Fasa Pertama melebihi RM20 juta, menjadikan jumlah perbelanjaan kerajaan Sarawak melebihi RM60 juta.
“Projek ini disasarkan siap menjelang Julai 2027 dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 20,000 penduduk, dengan kira-kira 3,800 orang terjejas teruk akibat banjir setiap tahun.
“Jadi kita perlu memastikan projek ini dapat dilaksanakan dengan jayanya,” kata Law lagi.
Sebelum ini, Persatuan Kebajikan Penduduk Desa Wira (KPDW) Batu Kawa memohon supaya Projek Tebatan Banjir Fasa Dua termasuk pembinaan kolam takungan atau tadahan yang sedang dirancang berhampiran kawasan perumahan mereka digantung sementara.
Pengerusinya Dr Chang Li Kuin berkata, permohonan itu dibuat susulan ketiadaan maklumat lengkap berkaitan aspek kejuruteraan, keselamatan dan alam sekitar projek berkenaan.
“Kami bukan menolak projek ini, tetapi kami menuntut penggantungan segera sehingga semua kebimbangan kami dijawab.
“Setakat ini, penduduk tidak diberikan laporan teknikal terperinci termasuk laporan alam sekitar dan semakan keselamatan bebas,” katanya semasa sidang media pada 10 Februari lalu.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Penduduk, pemimpin komuniti mahu projek tebatan banjir Taman Desa Wira diteruskan
Februari 14, 2026, Sabtu - 6:58pm

Stanley. - Gambar Chimon Upon
KUCHING: Beberapa penduduk dan pemimpin komuniti yang menetap berhampiran kawasan pelaksanaan Projek Tebatan Banjir di Taman Desa Wira meminta agar kerja-kerja projek diteruskan dan dipercepatkan bagi menangani masalah banjir berlarutan di kawasan itu.
Penghulu Iban Kawasan Batu Kawa Stanley Repon berkata, projek tersebut amat penting untuk mengurangkan risiko banjir serta melindungi keselamatan dan nyawa penduduk.
“Kalau kita lihat, kolam takungan fasa pertama pun belum siap 100 peratus. Jadi kalau ada yang mengatakan banjir semakin teruk, itu kerana projek ini belum selesai,” katanya ketika ditemui pada sidang media mengenai Projek Tebatan Banjir Fasa Dua di Dewan Serbaguna Taman Desa Wira di sini, hari ini.
Beliau menambah, meskipun projek itu tidak menjamin 100 peratus penyelesaian banjir, sekurang-kurangnya ia akan mengurangkan kejadian banjir di kawasan Desa Wira.
“Itu yang kita mahu dan sebab itulah kita mahu projek ini diteruskan lebih-lebih lagi Batu Kawa merupakan antara kawasan paling kerap dilanda banjir, selain Bau dan Padawan.
“Sekiranya dihentikan projek ini rakyat yang menderita. Jadi, kita adakan sidang media ini untuk memaklumkan bahawa projek ini mesti diteruskan. Jangan dilengah-lengahkan lagi, jangan hentikan,” tegasnya.
Sehubungan itu, Stanley merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak serta agensi berkaitan atas usaha yang dilaksanakan.
Sementara itu, Tuai Rumah Taman Desa Ria Batu Kawa Robert James berkata, penduduk di kawasan tersebut sebulat suara menyokong projek berkenaan.

Robert (kiri) dan Muhamad Azman
“Kami dari Taman Desa Ria menyokong penuh projek ini. Kami mahu ia diteruskan. Jangan hentikan,” katanya.
Bagi salah seorang penduduk, Muhamad Azman Abdullah berkata, kesan pelaksanaan fasa pertama sudah mula dirasai apabila air banjir lebih cepat surut berbanding sebelum ini.
“Banjir mungkin tidak dapat dihentikan sepenuhnya, tetapi sekurang-kurangnya projek ini dapat mengurangkan risiko kejadian banjir yang teruk,” ujarnya.
Beliau menjelaskan setiap kali banjir berlaku, penduduk terpaksa menanggung pelbagai kesukaran termasuk membersihkan rumah dan menguruskan keluarga.
“Apabila banjir berlaku, penduduk yang menanggung kesusahan. Walaupun kerajaan ada memberi bantuan kewangan, ia tetap sukar bagi kami.
“Oleh itu, saya harap projek tebatan banjir ini diteruskan demi kebaikan semua penduduk,” ujar Muhamad Azman.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|