|
|
Pusat Pengkomposan Komuniti Kg Kiau Nuluh beri nilai tambah
Februari 14, 2026, Sabtu - 2:21pm

RASMI: Ewon semasa merasmikan majlis berkenaan.
KOTA BELUD: Pusat Pengkomposan Komuniti Kampung Kiau Nuluh yang dibangunkan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu memberi nilai tambah kepada aktiviti ekonomi dan keusahawanan desa kampung itu.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Ewon Benedick berkata, inisiatif UMS yang dikenali sebagai 'The Brain of Borneo' wajar dihargai kerana bukan sahaja membantu mengurus sisa secara lestari, malah berpotensi memperkasa ekonomi komuniti setempat.
“Saya percaya usaha ini akan memberi nilai tambah kepada aktiviti ekonomi dan keusahawanan desa di kampung ini.
“Saya juga berharap lebih ramai usahawan dapat membangunkan potensi kampung masing-masing dan seterusnya memperluaskan perusahaan ke tempat lain,” katanya ketika berucap menyempurnakan perasmian pusat berkenaan di Kg. Kiau Nuluh, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, inisiatif di Kampung Kiau Nuluh membuktikan sisa pemprosesan nanas yang sebelum ini dianggap bahan buangan boleh ditukar menjadi baja organik melalui kaedah pengkomposan.
Katanya, pendekatan itu bukan sahaja mengurangkan masalah sisa, malah menyokong kelangsungan sektor pertanian tempatan.
“Inisiatif pengkomposan komuniti ini mencerminkan amalan ekonomi kitaran di peringkat akar umbi, di mana sumber tempatan dimanfaatkan secara optimum untuk memberi nilai tambah kepada komuniti,” katanya.
Beliau berharap tapak pengkomposan komuniti berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan diurus secara berterusan oleh penduduk setempat agar menjadi contoh komuniti lestari serta inspirasi kepada kampung lain di seluruh negeri.
Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, projek berkenaan merupakan hasil pelaksanaan Geran UniMADANI melalui Program Pendayaan Komuniti yang menekankan peranan universiti awam sebagai rakan pembangunan masyarakat.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Prof. Dr. Coswald Stephen Sipaut @ Mohd Nasri, Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri & Komuniti) merangkap Pengarah Pusat Kolaborasi dan Libatsama Industri.
“Universiti bukan sekadar pusat pengajian dan penyelidikan, malah turut turun padang berkongsi kepakaran dan teknologi bagi membantu komuniti meningkatkan kesejahteraan hidup serta memperkukuh ekonomi setempat,” katanya.
Program UniMADANI di UMS diselaraskan oleh Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat dengan pelaksanaan projek diketuai Fakulti Kejuruteraan.
Projek bertemakan Pengkomposan sebagai Sumber Pendapatan Komuniti Tertumpu Kampung Kiau, itu memanfaatkan sisa organik daripada aktiviti pemprosesan nenas yang giat dijalankan di kampung berkenaan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Stor penyimpanan kayu musnah dalam kebakaran di Bintulu
Februari 14, 2026, Sabtu - 8:24am
BINTULU: Sebuah stor penyimpanan kayu di kawasan Batu 6 Jalan Sibiyu musnah dalam kebakaran yang berlaku malam tadi.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak, seramai lapan angggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dikerahkan ke lokasi setelah menerima panggilan berhubung kebakaran sekitar jam 9.55 malam.
"Sejurus sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati api sedang marak memusnahkan stor jenis tidak kekal itu yang mana sudah memusnahkan keseluruhan struktur bangunan berkenaan," ujarnya.
Pasukan bomba kemudiannya bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan satu aliran air dan dua nozel yang mana sumber air diperoleh dari pam jentera.
Setelah bertungkus-lumus memadam kebakaran dalam tempoh dua jam , api akhirnya berjaya dipadam sepenuhnya sekitar jam 11.59 malam.
"Mujurlah kebakaran yang berlaku tidak mendatangkan kecederaan atau kemalangan jiwa," jelasnya.
Punca kebakaran serta anggaran kerugian yang dialami oleh pemilik stor bagaimanapun masih lagi dalam siasatan.
Setelah keadaan didapati benar-benar selamat dan tiada berlaku kebakaran berulang, pasukan bomba menamatkan operasi sebelum bertolak balik ke balai.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kekurangan dana jejas kelancaran projek pembinaan bangunan baharu
Februari 14, 2026, Sabtu - 9:23am

Chiew (dua dari kiri) melakukan simbolik perasmian sambutan Tahun Baharu Cina SAA, disertai Ngu (kiri), sambil yang lain melihat sama.
SIBU: Kekurangan dana berjumlah RM6 juta masih menjadi cabaran mendesak kepada Persatuan Autisme Sibu (SAA) ketika persatuan itu meneruskan projek pembinaan bangunan baharunya yang kini hampir siap.
Berucap pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina SAA di sini pada malam Jumaat, Pengerusinya, David Ngu, berkata walaupun kos projek pembinaan bangunan baharu itu melebihi RM7 juta, setakat ini hanya kira-kira RM1 juta berjaya dibayar.
“Pada masa yang sama, projek bangunan baharu kami kini hampir siap — satu impian yang telah kami pikul selama bertahun-tahun. Projek ini menelan kos melebihi RM7 juta dan akan meningkatkan keupayaan kami untuk berkhidmat kepada lebih ramai kanak-kanak dan keluarga pada masa hadapan. Namun sehingga hari ini, kami hanya mampu membayar sekitar RM1 juta. Beban kewangan yang menanti masih berat,” katanya.
“Sehubungan itu, saya dengan rendah hati dan ikhlas merayu kepada semua rakan serta penyokong SAA agar terus bersama kami supaya bangunan ini bukan sekadar berdiri sebagai sebuah struktur, tetapi menjadi pusat harapan yang hidup untuk generasi akan datang,” tambah Ngu.
Beliau menegaskan bahawa tanpa sokongan kewangan yang diperlukan, walaupun sebuah bangunan yang indah tidak akan dapat berfungsi, dan perkhidmatan SAA tidak dapat terus berkembang.
“Sebuah bangunan sahaja tidak mampu mengubah kehidupan; komitmen manusialah yang memberi tujuan dan makna kepadanya. Jadi malam ini, selain meraikan Tahun Baharu Cina, saya ingin dengan lembut namun ikhlas menyeru semua — jangan kita menunggu hingga esok.
“Jika SAA pernah menyentuh kehidupan anda, jika anda percaya kepada misi ini, inilah masanya untuk kita berdiri bersama dan memastikan usaha yang telah kita mulakan ini dapat diteruskan untuk tahun-tahun mendatang.”
Terdahulu, Ngu turut mengetengahkan satu pencapaian penting yang melibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Ibu pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah melawat Sarawak dan memulakan kerjasama dengan SAA menerusi projek Pusat Perkhidmatan Autisme (PPA),” katanya.
“Pengiktirafan ini mencerminkan kepercayaan terhadap profesionalisme dan pengalaman SAA, serta membuka lembaran baharu untuk kami mengembangkan perkhidmatan autisme dan memperkukuh sistem sokongan kepada komuniti.”
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau, dengan mengimbas bagaimana pada tahun lalu, apabila status pengecualian cukai SAA hampir tamat tempoh, Lau campur tangan secara peribadi dengan Kementerian Kewangan dan melalui satu panggilan tegas, SAA berjaya memperoleh lanjutan pengecualian cukai selama 10 tahun lagi.
Menyambut Tahun Kuda, Ngu mengumpamakan SAA sebagai seekor kuda yang kuat yang terus mara ke hadapan walaupun berdepan pelbagai cabaran.
“SAA terus melangkah ke hadapan dengan keazaman, visi dan harapan untuk masa depan,” katanya.
Pada majlis tersebut, Lau diwakili oleh setiausaha peribadinya, Stanley Chiew.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Seorang maut dalam kemalangan lori di Jalan Sibu-Bintulu
Februari 14, 2026, Sabtu - 9:29am
SELANGAU: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas lori muatan ais krim yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan kendiri di Batu 40, Sungai Kua, Jalan Sibu-Bintulu, petang Jumaat.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.30 petang.
Menurutnya, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) yang tiba di lokasi mendapati kemalangan kendiri melibatkan sebuah lori ais krim yang terbabas di tengah jalan. Dua mangsa lelaki dewasa mengalami kecederaan.
“Seorang mangsa berjaya dikeluarkan oleh pihak polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans APM.
“Seorang lagi mangsa masih tersepit di dalam kenderaan dan tidak sedarkan diri,” ujarnya menerusi satu kenyataan.
Operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dilakukan menggunakan peralatan khas sehingga mangsa berjaya dikeluarkan.
“Mangsa berusia 41 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di tempat kejadian.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Edited by Vellfire at 14-2-2026 03:27 PM
Tiga projek naik taraf jalan kampung dilaksanakan di Parlimen Sarikei
Februari 14, 2026, Sabtu - 9:35am

Majlis ringkas penyerahan tapak projek PMR di Parlimen Sarikei bagi projek menaik taraf jalan kampung.
SARIKEI: Kerajaan terus fokus dalam memantapkan kemudahan infrastruktur di Parlimen Sarikei dengan meluluskan dan melaksanakan tiga projek menaik taraf jalan kampung di kawasan ini.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, projek ini akan dilaksanakan di bawah Program Mesra Rakyat (PMR).
“Dalam projek ini, tiga batang jalan kampung yang menjadi laluan utama ke beberapa buah rumah penduduk di kawasan ini yang berbatu akan dinaik taraf ke jalan simen.
“Projek ini dilaksanakan bagi memastikan pengguna jalan tersebut berasa selesa dan selamat.
“Usaha ini juga bertujuan memastikan jaringan perhubungan di kawasan terlibat berada dalam keadaan lebih baik dan mampu menyokong perkembangan sosioekonomi penduduk,” kata Huang, semalam.
Terdahulu Huang yang diwakili oleh Pegawai Pusat Khidmat Parlimen Sarikei, Wong Soon Mee telah menghadiri dan menyaksikan majlis serah tapak di antara wakil agensi pelaksana dengan pihak kontraktor yang terlibat dengan projek berkenaan.
Menurut Huang, pelaksanaan projek tersebut mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam menambah baik kemudahan asas yang menjadi keperluan harian masyarakat.
“Kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar, agar kemudahan yang disediakan memberi manfaat kepada komuniti setempat.
“Pelaksanaan projek ini diharap dapat memberi kesan positif kepada pembangunan setempat serta meningkatkan tahap kemudahan awam di kawasan Parlimen Sarikei,” tegas Huang lagi.
Antara jalan yang terlibat dalam projek berkenaan ialah Jalan Yek Nai Chie, Ting Heng Ing serta Jalan Yii Ung Ngie di Kilometer 11, Jalan Kelupu Bintangor.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pegawai Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (SDO), Kumpang serta kakitangan dari Pusat Khidmat Parlimen Sarikei.
Sumber : Utusan Borneo
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
BDA terima Anugerah Bandar Rendah Karbon 2025
Februari 14, 2026, Sabtu - 1:38pm

Abdul Rahim (kanan) menerima Anugerah Bandar Rendah Karbon 2025 untuk BDA daripada Arthur (tengah).
BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) menerima Anugerah Bandar Rendah Karbon 2025 di bawah program Low Carbon Cities 2030 Challenge (LCC2030C) Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) pada Khamis lalu.
Anugerah tersebut yang juga di bawah agensi pelaksana Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) turut diterima oleh rakan-rakan strategik BDA.
Ia disampaikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup kepada Timbalan Pengurus Besar BDA Abdul Rahim Abdullah yang mewakili BDA pada Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2025 di Hotel Hilton, Kuala Lumpur.
Pengiktirafan 'Diamond' yang turut diterima termasuk kategori zon ialah Bintulu Bandar Hijau, manakala kategori rakan kongsi pula terdiri BDA dan Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), BDA dan Pejabat Perkhidmatan Perbandaran (PERBINDA) serta BDA dan Hospital Bintulu.
Jurucakap BDA berkata, pengiktirafan ini membuktikan komitmen berterusan BDA dan rakan-rakan strategik dalam mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG), meningkatkan kecekapan tenaga serta memperkukuh usaha sekuestrasi karbon (penangkapan dan penyimpanan karbon dioksida dari atmosfera dalam jangka lama untuk mengurang impak pemanasan global) melalui pendekatan pembangunan bandar mampan.
"Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara agensi, institusi pendidikan dan fasiliti kesihatan dalam merealisasikan aspirasi Bintulu sebagai Bandar Rendah Karbon menjelang 2030," katanya dalam kenyataan di sini.
Justeru, BDA merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan inisiatif tersebut.
"Pencapaian ini diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif hijau dan lestari demi kesejahteraan masyarakat Bintulu dan kelestarian alam sekitar untuk sama-sama membina Bintulu yang lebih hijau, rendah karbon dan mampan untuk generasi akan datang," tambahnya.

Abdul Rahim (tengah) merakam gambar bersama beberapa pihak yang turut menerima anugerah.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Program MM2H letak Malaysia kepada dasar lebih terbuka: Tiong
Februari 14, 2026, Sabtu - 2:32pm

TIONG
BINTULU: Program Malaysia My Second Home (MM2H) bukan sekadar satu polisi, malah mesej jelas bahawa Malaysia bersedia membuka pintu kepada dunia, kata Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Datuk Seri Tiong King Sing.
Jelasnya, program MM2H ini akan dilaksanakan dengan tadbir urus yang lebih kukuh termasuk proses yang lebih telus dan sistem yang lebih efisien.
"Sejak kerangka baharu MM2H diluluskan Kabinet pada 21 Mei 2024 dan pengambilalihan rasmi oleh MOTAC pada 15 Oktober 2023, dan operasi dimulakan oleh Pusat Sehenti (OSC) MM2H pada 18 Disember 2023, kita menyaksikan lonjakan keyakinan yang sangat ketara," ujarnya dalam satu lontaran di laman Facebook miliknya, hari ini.
Sehingga 11 Februari tahun ini katanya, sebanyak 255 lesen pengendali telah dikeluarkan dan yang lebih penting, prestasi sebenar dapat dilihat melalui angka penyertaan yang meningkat dengan signifikan pada tahun 2025.
Bagi tahun 2024 dan 2025 sahaja ujarnya, sejumlah 9,511 peserta telah diluluskan di bawah pelbagai kategori termasuk Platinum, Gold, Silver dan Zon Ekonomi Khas/Zon Kewangan Khas.
Ini katanya, bukan sekadar angka semata-mata, malah diterjemahkan kepada sumbangan ekonomi nyata yang memberi impak langsung kepada ekonomi negara.
"Pada tahun 2024, program ini telah memberikan sumbangan signifikan kepada ekonomi negara melalui fi penyertaan berjumlah RM 3.3 juta dan akaun simpanan tetap mencecah RM550.8 juta," katanya.
Pada tahun 2025 pula jelas Tiong, program ini telah memberikan sumbangan dengan fi penyertaan berjumlah RM10.5 juta, akaun simpanan tetap mencecah RM1.8 bilion, serta pembelian rumah berjumlah RM1.5 bilion.
Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada semua ejen dan syarikat pengendali yang bekerja keras mempromosikan MM2H ke peringkat antarabangsa.
"MM2H bukan hanya tentang persaraan atau pemilikan hartanah, tetapi juga tentang membina komuniti antarabangsa yang memilih Malaysia sebagai rumah kedua kerana kestabilan, kepelbagaian budaya, kemudahan perkhidmatan dan kualiti hidup yang kita tawarkan," tambahnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Murid SK Encik Buyong digalak berpuasa, sertai pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan
Februari 14, 2026, Sabtu - 2:33pm

Rosnah (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada penceramah jemputan sempena perasmian Program Ihya Ramadan SK Encik Buyong pada Jumaat.
KUCHING: Murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Encik Buyong digalakkan berpuasa serta menyertai pelbagai aktiviti yang dirancang sepanjang bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.
Guru Besar SK Encik Buyong Rosnah Posa berkata, ibadah puasa merupakan kewajipan bagi setiap Muslim dan murid yang belum mampu berpuasa perlu belajar melaksanakannya.
“Tidak lama lagi kita akan menyambut Ramadan. Sempena itu, saya minta murid-murid terutama yang beragama Islam supaya berpuasa dan memanfaatkan peluang menyertai program yang telah dirancang.
“Bagi murid yang belum boleh berpuasa, hendaklah belajar berpuasa kerana puasa merupakan kewajipan kita sebagai seorang Muslim,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Program Ihya’ Ramadan di SK Encik Buyong di sini, pada Jumaat.
Sementara itu, Rosnah menzahirkan rasa syukur kerana Program Ihya’ Ramadan itu berjaya dilancarkan serta menzahirkan keyakinan bahawa segala aktiviti yang dirancang dapat dijalankan dengan lancar.
“Saya juga ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh warga sekolah yang beragama Islam dan mendoakan agar bulan yang mulia ini membawa keberkatan serta meningkatkan ketakwaan,” tambahnya.
Beliau menegaskan semua warga sekolah perlu mengambil bahagian bagi memeriahkan program-program yang dirancang.
“Tahniah kepada Panitia Pendidikan Islam atas usaha mereka merancang pelbagai program yang bermanfaat kepada seluruh warga sekolah,” ujarnya.
Rosnah berharap agar program tersebut dapat membentuk sahsiah murid yang lebih cemerlang serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan warga SK Encik Buyong.
Antara program yang dirancang sepanjang bulan Ramadan termasuk Audio Bacaan al-Quran, Tadarus al-Quran Guru dan Murid, Program Bubur Lambuk, Pertandingan Mewarna Tahap 1, Pertandingan Kuiz Ramadan Tahap 2, Penyerahan Bakul Ramadan dan Sumbangan Raya serta Majlis Iftar Jamaie.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lebih 2,000 penduduk Sibu sertai gotong-royong bersih Tanah Perkuburan Al-Qadim
Februari 14, 2026, Sabtu - 2:35pm
SIBU: Lebih 2,000 penduduk Sibu membanjiri Tanah Perkuburan Al-Qadim seawal jam 7 pagi tadi bagi menjayakan program tahunan gotong-royong bersih kubur.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapa'ee berkata, penglibatan luar biasa masyarakat kali ini membuktikan semangat kerjasama yang tinggi dalam memelihara antara tapak perkuburan tertua di bandar ini.
"Program ini merupakan anjuran bersama Pejabat Residen Bahagian Sibu, Jawatankuasa Perayaan Islam Sibu dan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu (LAKIS).
"Saya amat berpuas hati dengan kehadiran yang amat menggalakkan pagi ini, ditambah pula dengan faktor cuaca yang cukup baik.
"Terima kasih diucapkan kepada semua jabatan kerajaan, agensi, serta badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat, termasuk para penderma yang telah menyumbang kepada jawatankuasa bagi memastikan kelancaran program ini," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi program.
Beliau menambah, meskipun Tanah Perkuburan Al-Qadim tidak lagi digunakan untuk pengebumian baharu, kawasan tersebut tetap menjadi keutamaan untuk dijaga secara berkala oleh pihak LAKIS.
Dalam pada itu, Dr Annuar turut mencadangkan inisiatif baharu iaitu program infak penanaman pokok bagi mengindahkan lagi landskap kawasan berkenaan.
"Kita bercadang untuk melaksanakan program penanaman pokok yang akan diterajui oleh Jawatankuasa Masjid Al-Qadim. Mereka akan mengenal pasti lokasi sesuai untuk menanam spesies pokok Bucida yang mampu memberikan teduhan.
"Langkah ini bukan sahaja akan menjadikan kawasan perkuburan lebih redup, malah kelihatan lebih indah dan tenang," jelasnya lagi.
Walaupun program gotong-royong melibatkan orang awam ini diadakan setahun sekali, Dr Annuar memberi jaminan bahawa aspek kebersihan kawasan tersebut sentiasa dipantau.
Katanya, petugas daripada LAKIS sentiasa menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan rutin bagi memastikan setiap sudut tanah perkuburan tersebut sentiasa berada dalam keadaan bersih dan terjaga.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
MPS disaran percepat kerja naik taraf Kolam Renang Bukit Lima
Februari 14, 2026, Sabtu - 2:37pm

Tiang (tengah) bergambar bersama perenang muda. Turut kelihatan di sebelah kanan beliau ialah Tan dan Ung.
SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) disaran agar mempercepatkan kerja-kerja naik taraf di Kolam Renang Bukit Lima dan membuka semula kemudahan itu untuk latihan oleh para perenang secepat mungkin.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang berkata, ramai pengguna terutama para perenang sedang menanti dengan penuh semangat untuk kembali menggunakan kolam bagi menjalani latihan, menyertai pertandingan dan meraih pingat emas demi mengharumkan nama Sibu.
“Diharapkan MPS dapat mempercepatkan kerja-kerja penyelenggaraan supaya perenang Sibu dapat berlatih bersungguh-sungguh untuk mengembalikan zaman kegemilangan ketika Sibu sentiasa digeruni sebagai kuasa besar renang negeri,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan Persatuan Renang Amatur Sibu (SASA) di sini, malam Jumaat.
Turut hadir ialah Presiden Persatuan Renang Amatur Sarawak (ASAS) Pemanca Tan Kun Gee dan Presiden SASA Joseph Ung.
Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) baru-baru ini telah menyerahkan projek pengubahsuaian serta Kawasan Pembelajaran Luar Berbumbung (COLA) yang siap dibina di Kolam Renang Bukit Lima kepada MPS.
Bagaimanapun, Pengerusi MPS Clarence Ting berkata, kolam renang tersebut masih ditutup kepada orang awam buat masa ini kerana pihak majlis perlu melaksanakan beberapa kerja penyelenggaraan tambahan bagi tujuan keselamatan.
Menurutnya, kerja-kerja naik taraf itu melibatkan penggantian jubin di kolam kanak-kanak, menaik taraf bilik persalinan dan tandas serta penambahbaikan lain termasuk pemasangan pagar.
Mengimbas kembali zaman mudanya, Tiang berkata Sibu suatu ketika dahulu begitu unggul dalam sukan renang.
“Pada zaman saya, renang sangat popular dan menjadi kebanggaan seluruh warga Sibu kerana sukan ini sentiasa melahirkan ramai juara, sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan.
“Kita juga pernah menyertai pertandingan antarabangsa dan mencipta nama di pentas dunia.”
jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu.
Tiang berkata, beberapa perenang veteran kini menjadi usahawan dan pemimpin berjaya dalam bidang masing-masing.
Katanya, ketekunan dan konsistensi yang diwarisi serta dipupuk sejak zaman mereka bergiat aktif dalam sukan renang telah membentuk mereka menjadi individu yang berdisiplin, bertanggungjawab, berintegriti dan berwibawa.
“Kejayaan atau kegagalan bukan lagi masalah bagi mereka kerana mereka telah melalui pelbagai cabaran sepanjang bergelar perenang,” tambah beliau.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kembali kepada semangat 'Konsensus Najib-Dong Zong 2013' tangani isu pengiktirafan UEC: SUPP
Februari 14, 2026, Sabtu - 2:38pm
SIBU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) melalui Sekretariat Publisiti Pusatnya hari ini menggesa Kerajaan Persekutuan supaya kembali kepada semangat dan kerangka 'Konsensus Najib-Dong Zong 2013' dalam menangani isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), sambil menyifatkan cadangan mewajibkan subjek Sejarah SPM sebagai satu langkah ke belakang.
Dalam kenyataan tujuh perkara yang dikeluarkan, SUPP merujuk kepada pertemuan pada 1 April 2013 antara Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Mohd Najib Razak, dengan delegasi Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) di Putrajaya.
Pertemuan tersebut menyentuh secara khusus isu pengiktirafan UEC untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Menurut SUPP, berdasarkan konsensus berkenaan, syarat tambahan yang dipersetujui ketika itu hanyalah keperluan memperoleh sekurang-kurangnya Kepujian dalam Bahasa Malaysia pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tanpa sebarang keperluan tambahan lain.
"Sebaliknya, cadangan terkini yang diterajui Pakatan Harapan mewajibkan pelajar UEC menduduki subjek Sejarah SPM, sekali gus mengenakan syarat tambahan yang tidak terkandung dalam konsensus asal," menurut kenyataan itu.
SUPP turut menekankan bahawa dalam perbincangan 2013, Najib bersetuju dengan pelaksanaan tempoh peralihan selama tiga tahun.
Dalam tempoh tersebut, pelajar UEC perlu memperoleh Kepujian Bahasa Malaysia dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi melayakkan diri memohon ke universiti awam.
Pada masa sama, pegawai daripada Lembaga Peperiksaan dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dicadangkan untuk menilai standard subjek Bahasa Malaysia dalam kurikulum enam tahun UEC.
Hasil penilaian itu, menurut SUPP, bertujuan menjadikan subjek Bahasa Malaysia UEC sendiri sebagai penanda aras, tanpa perlu lagi bergantung kepada keputusan SPM pada masa hadapan.
Bagaimanapun, SUPP menyatakan konsensus tersebut tidak sempat dilaksanakan susulan pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, selain dilaporkan tidak dipersetujui oleh Menteri Pendidikan ketika itu.
SUPP berpandangan bahawa Kerajaan Perpaduan yang diterajui Pakatan Harapan sepatutnya lebih proaktif dan mesra pendidikan Cina berbanding pentadbiran terdahulu.
Namun, mereka mendakwa pendekatan semasa bukan sahaja tidak menepati semangat konsensus 2013, malah menambah syarat baharu yang menimbulkan ketidakpastian.
Parti itu juga merujuk manifesto PRU 2018 Pakatan Harapan yang menyatakan komitmen untuk mengiktiraf UEC sebagai kelayakan kemasukan ke universiti awam.
"Tindakan menambah syarat Sejarah SPM tanpa pelan pelaksanaan menyeluruh bukan sahaja lebih lemah daripada pendekatan 2013, malah boleh dianggap sebagai pengingkaran terhadap janji pilihan raya,” menurut kenyataan itu, yang turut menggesa 40 Ahli Parlimen daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) agar memainkan peranan lebih tegas dalam isu berkenaan.
SUPP turut mempersoalkan rasional mewajibkan subjek Sejarah SPM, dengan alasan bahawa kandungan buku teks sejarah di sekolah menengah persendirian Cina dirangka mengikut garis panduan dan kelulusan Kementerian Pendidikan.
"Mewajibkan pelajar menduduki Sejarah dalam SPM sekali lagi adalah berlebihan, membazir masa dan tenaga, serta menimbulkan persepsi campur tangan terhadap sistem peperiksaan UEC," jelas kenyataan itu.
Sebagai perbandingan, SUPP menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak telah mengiktiraf UEC sejak 2015 dengan hanya mensyaratkan Kepujian Bahasa Malaysia dalam SPM, tanpa keperluan tambahan lain.
Graduan UEC, menurut mereka, layak melanjutkan pengajian di institusi milik kerajaan negeri, memohon pinjaman dan biasiswa Yayasan Sarawak, serta berkhidmat dalam perkhidmatan awam negeri.
"Selama lebih sedekad, dasar ini berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Kerajaan Persekutuan wajar mencontohi model pengiktirafan yang jelas dan tegas seperti di Sarawak," menurut kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, SUPP menegaskan tekanan terhadap kerajaan agar melaksanakan pengiktirafan rasmi UEC tidak harus dikendurkan, sambil mempersoalkan kesungguhan kepimpinan DAP dalam merealisasikan janji tersebut.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
TBC wadah pererat hubungan keluarga, hargai pengorbanan generasi terdahulu
Februari 14, 2026, Sabtu - 2:40pm

Tiang (sepuluh kanan), Ling (lapan kiri), Wong (sembilan kiri), Chieng (lapan kanan), Ngieng (sepuluh kiri) merakamkan kenangan pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina 2026 Persatuan Klan Zhuang dan Ngieng Sibu.
SIBU: Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) menjadi wadah untuk berkongsi kegembiraan, merapatkan hubungan kekeluargaan serta menyemai rasa syukur terhadap pengorbanan generasi terdahulu.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee menyeru agar nilai kekeluargaan dipelihara, jasa nenek moyang dihargai serta perpaduan diperkukuh demi kelangsungan persatuan klan.
“Kita harus sentiasa mengingati sejarah perjuangan nenek moyang yang telah membuka jalan sehingga kita dapat menikmati kejayaan hari ini. Tanpa pengorbanan mereka, kita tidak akan mampu mencapai kedudukan seperti sekarang,” ujarnya.
Tiang berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina 2026 Persatuan Klan Zhuang dan Ngieng Sibu di Hotel Kingwood, malam Jumaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan berkata, kekuatan sesebuah klan bergantung kepada perpaduan dan kerjasama tiga generasi iaitu golongan tua, pertengahan dan muda dalam mempertahankan semangat kekeluargaan serta meneruskan legasi warisan.
“Saya harap lebih ramai ahli keluarga menyertai persatuan bagi memahami asal usual dan sumbangan besar nenek moyang, selain melahirkan generasi pelapis yang cemerlang dan mampu mengharumkan nama keluarga,” jelasnya.
Beliau berkata, kemunculan teknologi AI membawa perubahan besar dalam landskap sosial dan teknologi dunia, justeru masyarakat perlu sentiasa bersedia dan terus menimba ilmu agar tidak ketinggalan.
“Kita mesti berusaha merealisasikan impian tersebut kerana setiap individu berpotensi mencapai kejayaan luar biasa dengan usaha dan semangat yang tidak mudah mengalah,” tambahnya.
Tiang turut menyeru masyarakat agar melangkah ke tahun baharu dengan perancangan rapi, tekad yang kuat dan komited menyumbang kepada pembangunan komuniti, khususnya di Sibu dan Sarawak.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew, ADUN Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh, ADUN Bukit Assek Joseph Chieng Jin Ek dan Pengerusi Persatuan Klan Zhuang dan Ngieng Sibu Ngieng Hock Teck.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Media rakan strategik penting jayakan visi dan misi SFC
Februari 14, 2026, Sabtu - 3:01pm

Abang Arabi (duduk, enam kanan) merakamkan kenangan bersama pengamal media dan jemputan lain pada Majlis Apresiasi Media di Kuching, malam Jumaat. - Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Sarawak Forestry Corporation (SFC) menyifatkan media sebagai rakan strategik penting kepada pihaknya dalam usaha memelihara alam sekitar, melindungi hidupan liar dan memastikan pengurusan sumber asli negeri ini dilaksanakan secara lestari.
Pengurus Besar SFC yang juga Kontroler Taman Negara dan Rizab Alam Semula Jadi serta Hidupan Liar, Abang Arabi Abang Aimran berkata, tanpa sokongan dan peranan media, suara serta usaha SFC dalam konservasi, perlindungan hidupan liar dan pengurusan kawasan perlindungan tidak akan dapat disampaikan secara menyeluruh kepada rakyat Sarawak.
“Peranan media bukan sahaja sebagai penyampai berita, tetapi juga sebagai rakan strategik dalam menjayakan visi dan misi SFC.
“Setiap laporan, artikel dan perkongsian membantu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemuliharaan biodiversiti,” katanya pada Majlis Apresiasi Media di sini, malam Jumaat.
SFC tegasnya, bertanggungjawab sepenuhnya untuk menguruskan taman negara, rizab alam semula jadi, santuari hidupan liar serta kawasan perlindungan khas di seluruh Sarawak bagi memastikan kelestarian sumber asli terus terpelihara.
Justeru, beliau merakamkan penghargaan ke atas komitmen pengamal media dari seluruh Kuching dan bahagian lain termasuk Sri Aman dan Miri yang sentiasa membantu menyalurkan maklumat tepat kepada masyarakat, walaupun berdepan kekangan masa dan tugasan semasa.
Katanya lagi, maklum balas dan cadangan membina daripada media amat dihargai pihaknya kerana ia menjadi petunjuk penting dalam menambah baik perkhidmatan serta meningkatkan keberkesanan program konservasi yang dilaksanakan.
“Kami sentiasa terbuka menerima kritikan, sama ada positif atau negatif. Kritikan membina inilah yang membantu kami melihat ruang penambahbaikan dan bergerak maju demi Sarawak yang kita cintai,” ujarnya.
Beliau berkata, sejak diberi amanah menerajui SFC pada Januari 2024, antara perkara utama yang difikirkan adalah memperkukuhkan hubungan dengan media kerana sepanjang lebih tiga dekad berkecimpung dalam bidang konservasi, beliau menyedari peranan besar media dalam membentuk kefahaman masyarakat terhadap kepentingan perlindungan hutan dan hidupan liar.
Tambahnya, tahun 2024 dan 2025 merupakan tempoh transformasi penting bagi SFC susulan perubahan struktur pentadbiran.
Justeru katanya, kerjasama erat dengan media amat diperlukan untuk memastikan segala inisiatif dan pembaharuan dapat difahami rakyat.
Pada masa sama, beliau turut memaklumkan program lawatan media ke kawasan taman negara dan santuari hidupan liar akan terus dilaksanakan bagi memberi pendedahan secara langsung kepada pengamal media mengenai kekayaan biodiversiti Sarawak.
“Ini bukan sekadar lawatan santai, tetapi peluang untuk kita bersama-sama mengetengahkan keunikan Sarawak sebagai antara wilayah yang kaya dengan biodiversiti di dunia,” katanya.
Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti santai, persembahan muzik dan cabutan bertuah sebagai tanda penghargaan kepada rakan-rakan media atas sokongan berterusan mereka terhadap usaha SFC.
Beliau berharap kerjasama antara SFC dan media akan terus diperkukuhkan demi memastikan Sarawak kekal sebagai nadi biodiversiti dunia untuk generasi kini dan akan datang.
Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Ali Suhaili, wakil pejabat Premier Sarawak serta barisan pengurusan kanan SFC dan ketua-ketua jabatan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Dua lelaki ditahan, disyaki terlibat dadah di Bau
Februari 14, 2026, Sabtu - 3:08pm
BAU: Dua lelaki tempatan ditahan dalam Ops Angkasa yang dijalankan di daerah ini kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Bau Superintenden Mohd Haide A. Rahman berkata, kedua-dua suspek berusia 24 dan 31 tahun itu ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bau.
Menurutnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek kini ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah boleh menyalurkannya melalui Hotline JSJN Bukit Aman di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di talian 017-592 9211.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lima individu positif dadah ditahan di Kampung Pangkalan
Februari 14, 2026, Sabtu - 3:10pm
BAU: Lima individu termasuk tiga wanita ditahan selepas didapati positif dadah dalam satu operasi khas di Kampung Pangkalan, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bau Superintenden Mohd Haide A. Rahman berkata tangkapan dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah Bau menerusi Ops Tapis sekitar jam 5 hingga 6 pagi.
Menurutnya, seramai dua lelaki dan tiga wanita berusia antara 31 hingga 46 tahun diperiksa di tepi jalan Kampung Pangkalan.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
“Kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kini direman untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tiada sebarang rampasan dadah atau harta berkaitan dibuat dalam operasi berkenaan.
Tambahnya, semakan mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan sama manakala tiga lagi tidak mempunyai rekod jenayah.
Kesemua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Bau bagi tindakan lanjut.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Operasi cegah jenayah 24 jam IPD Bau tanpa kejadian tidak diingini
Februari 14, 2026, Sabtu - 3:16pm
BAU: Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar daerah ini sejak pagi semalam berakhir awal pagi tadi tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Ketua Polis Daerah Bau Superintenden Mohd Haide A. Rahman berkata, operasi bermula jam 8 pagi 13 Februari hingga 3 pagi 14 Februari itu melibatkan kekuatan seramai 12 pegawai dan anggota pelbagai bahagian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau.
Menurutnya, antara lokasi rondaan dan pemeriksaan termasuk Pekan Bau, Jalan Suba Buan, kawasan Singai, Siniawan serta Serikin, selain pemantauan di Night Market Siniawan.
“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 31 kenderaan telah diperiksa membabitkan 15 kereta, enam motosikal dan 10 pacuan empat roda.
“Seramai 50 individu turut diperiksa terdiri daripada 35 lelaki dan 15 perempuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, satu saman dikeluarkan atas kesalahan lalu lintas menggunakan borang PDRM (K) 257, manakala tiada sebarang tangkapan, rampasan atau sitaan direkodkan.
Tambahnya, operasi turut memberi tumpuan kepada rondaan pencegahan kecurian kenderaan, cegah kecurian kabel telekomunikasi oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) serta pemantauan kawasan tumpuan awam.
“Penugasan berjalan dengan baik dan lancar mengikut perancangan serta tiada perkara tidak diingini berlaku,” ujarnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Wanita cedera kereta terbabas dalam kemalangan awal pagi
Februari 14, 2026, Sabtu - 3:19pm
KUCHING: Seorang wanita cedera ringan selepas kenderaan dipandunya terbabas dalam kemalangan di Jalan Crookshank di sini, awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.41 pagi.
Katanya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Setiba di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah kereta yang terbabas ke tepi jalan dengan seorang wanita berada di dalamnya dalam keadaan sedar.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) telah bertindak mengeluarkan mangsa dengan membuka bahagian belakang kenderaan bagi tujuan akses dan keselamatan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Tambahnya, mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
Operasi yang melibatkan lapan anggota bersama sebuah jentera FRT itu tamat sepenuhnya pada jam 4.10 pagi selepas keadaan di lokasi disahkan selamat dan terkawal.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Isnin saran NADMA, JKM jalin kerjasama dengan UPPM, pejabat ADUN Klias demi kelancaran proses pendaftaran mangsa banjir
Februari 14, 2026, Sabtu - 3:28pm

ALBUM: Isnin dan rombongan merakamkan gambar kenangan di Pekan Beaufort sejurus selesai walkabout Tahun Baharu Cina 2026.
BEAUFORT: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) disaran supaya menjalin kerjasama dengan Pejabat Daerah Beaufort demi kelancaran proses pendaftaran mangsa banjir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias, Datuk Isnin Aliasnih berkata, kerjasama itu bukan sahaja penting tetapi juga harus melibatkan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) serta Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi mengelakkan daripada sebarang masalah.
Mengulas lanjut, Isnin berkata pembukaan satu pusat pendaftaran saja di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon menyebabkan kesesakan teruk dari Pekan Beaufort hingga ke lokasi berkenaan, sekali gus menyukarkan pengguna jalan raya dan mangsa banjir yang ingin mendaftar.
"Pendaftaran Bantuan Wang Ihsan (BWI) kini dibuat secara dalam talian menerusi sistem MyIBJKM, namun hanya satu pusat dibuka iaitu di PPK Selagon, menyebabkan mangsa banjir berpusu-pusu datang.
"Justeru, NADMA wajar bekerjasama dengan Pejabat Daerah, UPPM dan pejabat ADUN bagi memudahkan urusan pendaftaran. Kita mempunyai maklumat lengkap kampung dan mangsa terjejas untuk mempercepatkan proses bantuan RM1,000 ini,” katanya selepas mengadakan Walkabout sempena Tahun Baharu Cina 2026 di sekitar Pekan Beaufort.

MESRA: Isnin bersalaman dengan sebahagian masyarakat Cina yang ditemui sekitar Pekan Beaufort sempena walkabout Tahun Baharu Cina 2026.
Dalam pada itu, Isnin berkata pengalaman menguruskan banjir yang berlaku sehingga 20 kali dalam setahun di kawasan itu membolehkan pihaknya membantu melancarkan agihan bantuan tanpa sebarang unsur penyelewengan.
Katanya, penyelarasan tidak sistematik menyebabkan keciciran penerima, sekaligus mencetuskan rasa tidak puas hati dan tuduhan tidak berasas di media sosial, sedangkan bantuan itu disalurkan sepenuhnya agensi Persekutuan.
Bercakap mengenai program 'Walkabout', Isnin yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata, sebanyak RM80,000 diperuntukkan bagi menjayakan program sempena Tahun Baharu Cina tahun ini.
Menurutnya, antara pengisian program termasuk sumbangan kepada tokong, sekolah rendah dan menengah Cina serta lebih 100 warga emas masyarakat Cina, selain majlis sambutan peringkat DUN yang diadakan setiap tahun.
"Saya berharap semangat keharmonian antara kaum, khususnya di DUN Klias, terus diperkukuh kerana inilah keunikan Sabah berbanding negeri lain,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
sbh - Sabah perlukan lebih RM200 bilion untuk pembangunan, tuntutan geran khas 40 peratus
swk - Wanita cedera kereta terbabas dalam kemalangan awal pagi
 |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|