Pelik apabila sebelum ini dramatis popular, Rita Rudaini menjelaskan tidak suka berniaga tetapi membuka perniagaan menjual produk kecantikan wajah dan makanan kesihatan.
Produk untuk mengurangkan berat badan keluaran syarikatnya, RS Magic Slim dilancarkan semalam. Ternyata Rita ada sebab menceburi perniagaan itu.
Kata Rita, ia bermula apabila ramai pihak bertanya apa yang akan dilakukan jika bidang lakonan tidak lagi menjanjikan pendapatan tetap. Ramai memberi pendapat sebagai ibu tunggal kepada dua cahaya mata lelaki sedang membesar, adalah penting untuknya mempunyai sumber kewangan kukuh. “Bidang perniagaan adalah jawapannya. Memang saya tidak pernah berminat dalam perniagaan. Malah saya pernah gagal dalam pengajian gara-gara terpaksa mengikuti beberapa mata pelajaran membabitkan perniagaan dan pemasaran. “Tapi apa yang orang sekeliling kata, membuka minda saya. Saya tidak rasa kerjaya lakonan akan merudum seperti pandangan diberikan kerana saya percaya sekali menjejakkan kaki dalam dunia seni, sampai bila-bila pun kita akan menjadi anak seni. “Cuma bidang perniagaan yang dilakukan ini ada kaitan dengan diri sendiri. Sebelum ini ramai menasihati saya memulakan perniagaan butik atau salun rambut. Tapi kerana tidak berminat, saya mendiamkan diri,” katanya.
Hendak dikatakan dia tidak pernah berniaga sebelum ini tidak juga kerana pernah menjual minyak wangi keluaran tempatan. Tapi katanya, ia dilakukan secara suka-suka untuk membantu saudaranya yang turut terbabit dalam penjualan pemasaran berperingkat itu. “Saya tidak pernah terfikir untuk melakukannya secara serius. Tetapi tidak dinafikan waktu itu ia dapat menambahkan pendapatan. Hati saya terbuka untuk membuka perniagaan produk kecantikan apabila bertemu rakan kongsi yang juga rakan lama, Siti Saleha yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang perniagaan.
“Saya kagum dengan kemampuan sahabat saya yang memulakan perniagaan kek bermula di pasar tani. Sekarang dia mempunyai kedai dan pengedaran roti dalam skala besar. Antara faktor saya berani menceburi perniagaan produk kecantikan ini juga kerana Saleha,” katanya.
Sebagai ahli perniagaan berpengalaman, Saleha mencadangkan mereka membuka perniagaan yang dekat dengan dirinya. Lebih penting, dirinya cukup kenal dengan produk yang mahu diketengahkan.

RITA bersama buah hati kesayangannya.
“Itu sebabnya apabila ada yang menyarankan saya membuka butik atau salun, saya tidak mahu. Memanglah saya selalu bergaya, tetapi tidak bermakna saya mempunyai pengalaman luas mengenai apa yang saya gayakan. Menggayakan dengan menjual apa yang saya pakai itu jauh berbeza.
“Apabila Saleha mencadangkan saya menjadikan rutin kecantikan sebagai satu produk, menyebabkan saya bersetuju kerana saya kenal sangat dengan apa yang saya pakai. Tambah pula peminat sebelum ini selalu bertanya bagaimana saya menjaga kecantikan wajah dan tubuh,” katanya.
Jelasnya, dia yakin dengan produk kecantikan dikeluarkan kerana dia dan rakan kongsi turut menggunakannya. Sebagai pengeluar, penting untuk mereka tahu bahan digunakan dan kesannya. “Saya bimbang jika saya memasarkan barangan yang bahan pembuatannya tidak diketahui memberi kesan. Pada saya biarlah saya menjual barang yang saya tahu. Kalau hendak mati kerana menggunakan produk kecantikan ini biarlah saya dulu dan bukan pelanggan kami,” katanya.
Produk RS Magic Slim ini bukanlah produk langsing tetapi lebih kepada mengurangkan berat badan. Ia sangat berkesan kerana Rita dan Saleha sudah mencubanya.
Mengenai perkembangan kes mahkamah, jelas Rita sekarang dia berhadapan dengan tuntutan anak yang dibuat bekas suami.
Mengecewakan sebaik mahkamah bersidang, Aidil tidak hadir kerana terikat dengan perlawanan bola sepak. Sedangkan tarikh untuk bertemu dan bersidang diberikan Aidil. 


Perkara itu jelas Rita sedikit sebanyak membuatkan tumpuannya terhadap kerja terganggu.