CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: Vellfire

[Borneo] Rumah Borak Borneo~Auk ajaklah

[Copy link]
 Author| Post time 16-1-2026 03:06 PM | Show all posts
349 pek bantuan makanan diagihkan kepada mangsa banjir di Limbang
Januari 16, 2026, Jumaat - 3:01pm



APM Limbang dan JKM Bahagian Limbang melakukan penghantaran pek bantuan bakul makanan kepada mangsa banjir semalam.

LIMBANG: Sebanyak 349 pek bantuan bakul makanan diagihkan kepada mangsa banjir di daerah ini semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang yang juga Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Daerah (JPBD) Limbang Leftenan (PA) Jumaat Akasas berkata, pek bakul makanan itu diagihkan kepada Kampung Lagon Limbun, Ranggu dan Tanjung.

“Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Limbang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkolaboratif membuat penghantaran bantuan bakul makanan kepada mangsa banjir di kawasan terjejas.

“Daripada jumlah itu sebanyak 61 pek bakul makanan diagihkan ke Kampung Lagon Limbun, 108 pek diagihkan ke Kampung Ranggu dan Kampung Tanjung 180 pek,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, sepasukan anggotanya menggunakan sebuah kenderaan membuat penghantaran ke kawasan terjejas bermula 12 tengah hari.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 16-1-2026 03:09 PM | Show all posts
Dua suspek kes edar dadah direman lanjut hingga 23 Januari
Januari 16, 2026, Jumaat - 2:45pm

KUCHING: Mahkamah Majistret di sini, hari ini membenarkan permohonan polis untuk menahan reman lanjut dua lelaki berusia 42 dan 38 tahun bagi membantu siasatan kes pengedaran dadah, susulan rampasan dadah dan harta bernilai hampir RM1 juta, baru-baru ini.

Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Salina Sahrom membenarkan permohonan pegawai penyiasat kes, Inspektor Scully Natalie Syed untuk menjalankan siasatan lanjut dan menetapkan reman terhadap kedua-dua suspek sehingga 23 Januari ini.

Terdahulu, suspek-suspek ditahan reman bermula 9 Januari yang berakhir hari ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kedua-dua suspek diwakili oleh peguam Patrick Voon dan Amarprit Singh.

Pada 13 Januari lalu, media melaporkan polis menahan dua lelaki tempatan berusia 42 dan 38 tahun serta merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM328,173.50 dalam satu operasi sekitar jam 3.40 petang hingga 7.50 malam pada 8 Januari 2026.

Antara dadah yang dirampas ialah 5,662.90 gram syabu, 819 gram ketamin, 602 gram ekstasi serta bahan disyaki dadah lain.

Polis turut menyita harta yang disyaki hasil aktiviti pengedaran dadah dengan nilai keseluruhan RM604,000, merangkumi beberapa kenderaan, sebuah motosikal dan seutas jam tangan berjenama menjadikan jumlah keseluruhan rampasan mencecah RM932,000.

Media turut melaporkan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek berusia 42 tahun positif Methamphetamine dan Amphetamine, manakala suspek berusia 38 tahun positif Benzodiazepine.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 16-1-2026 03:11 PM | Show all posts
AADK Sibu adakan aksi persahabatan pickleball menentang SEB Wilayah Sibu
Januari 16, 2026, Jumaat - 1:56pm



Faizal (kiri) dan Jabu bergambar bersama ahli SKUAD Antidadah Sibu serta pasukan Sarawak Energy Berhad (SEB) Wilayah Sibu pada Perlawanan Persahabatan Pickleball yang berlangsung di Gelanggang Pickleball SEB, Sibu semalam. - Gambar AADK

SIBU: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sibu dengan kerjasama SKUAD Antidadah Sibu (SKUAD) telah menganjurkan Perlawanan Persahabatan Pickleball menentang pasukan Sarawak Energy Berhad (SEB) Wilayah Sibu di Gelanggang Pickleball SEB, semalam.

Menurut kenyataan medianya hari ini, perlawanan itu diadakan bagi memupuk semangat kesukanan dan gaya hidup sihat dalam kalangan penjawat awam, sukarelawan serta syarikat berkaitan kerajaan.

“Objektif utama perlawanan itu adalah untuk memupuk semangat kesukanan dan gaya hidup sihat dalam kalangan penjawat awam, sukarelawan dan syarikat berkaitan kerajaan.

“Selain itu, ia juga berfungsi sebagai platform untuk memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara AADK bersama pemegang taruh penting di daerah Sibu,” kata kenyataan itu.

Di samping itu, keunikan penganjuran itu dapat dilihat melalui komposisi ahli-ahli SKUAD yang terdiri daripada gabungan pelbagai agensi kerajaan, badan korporat dan badan berkanun.

Antara yang terlibat dalam pasukan SKUAD termasuklah wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), SMK Bukit Lima, SMK Rosly Dhoby, Telekom Malaysia (TM) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Dalam pada itu, program berkenaan membuktikan komitmen AADK dalam menggembleng tenaga pelbagai agensi bagi menyokong aspirasi Dadah Terkawal 2030.

“Ia bukan sahaja dilaksanakan melalui penguatkuasaan dan pendidikan, malah menerusi aktiviti riadah yang membina hubungan baik sesama agensi,” kata kenyataan itu lagi.

Turut hadir ialah wakil Ketua Daerah AADK Daerah Sibu Mohamad Farizal Mohamad Buang, Pengurus Wilayah Tengah SEB Jabu Ngumbang, Pengerusi Jawatankuasa SKUAD Raden Khairulzaman Raden Bustari, Timbalan Pengerusi SKUAD Mohamad Mostapha Lasot, kakitangan dari pejabat AADK Daerah Sibu serta SEB dan ahli-ahli SKUAD.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 16-1-2026 03:12 PM | Show all posts
Sukan tidak boleh bergantung kepada dana awam
Januari 15, 2026, Khamis - 6:40pm

Penglibatan swasta dan pentadbir sukan penting pastikan pembangunan mampan badminton di Sarawak



Abdul Karim (empat kanan) bersama Presiden Persatuan Badminton Sarawak Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar (tiga dari kiri), pegawai SBA tetamu serta penerima insentif Sukan Borneo Kuching.

“Dalam membangunkan mana-mana sukan, sokongan tidak boleh datang daripada kerajaan sahaja... sebaliknya persatuan sukan sendiri perlu aktif menjalin kerjasama dengan sektor swasta,” katanya kepada pemberita sambil menyifatkan Persatuan Badminton Sarawak (SBA) sebagai contoh yang baik.”

Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan

KUCHING: Penglibatan kukuh sektor swasta bersama pentadbir sukan yang proaktif penting dalam memastikan pembangunan badminton di Sarawak dapat diteruskan secara mampan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, meskipun kerajaan kekal komited dalam menyokong persatuan sukan, pertumbuhan jangka panjang tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada dana awam.

“Dalam membangunkan mana-mana sukan, sokongan tidak boleh datang daripada kerajaan sahaja... sebaliknya persatuan sukan sendiri perlu aktif menjalin kerjasama dengan sektor swasta,” katanya kepada pemberita sambil menyifatkan Persatuan Badminton Sarawak (SBA) sebagai contoh yang baik.

Menurut Abdul Karim, SBA menunjukkan perkembangan memberangsangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan berjaya mendapatkan sokongan syarikat swasta termasuk syarikat tersenarai awam bagi menjayakan program sukannya.

Kerjasama terbaharu antara SBA dan Yonex Sunrise, satu jenama badminton bertaraf global mencerminkan pendekatan yang lebih profesional dalam usaha memperkukuh pembangunan pemain serta daya saing.

“Kerjasama seperti ini memberi manfaat bukan sahaja kepada pemain malah kepada keseluruhan ekosistem sukan, termasuk sokongan peralatan dan keperluan prestasi,” katanya sambil berharap persatuan sukan lain turut mencontohi pendekatan berkenaan.

Menyentuh mengenai peruntukan kerajaan, beliau menjelaskan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan menyediakan geran permulaan tahunan kepada semua persatuan sukan berdaftar bagi membolehkan mereka berfungsi dengan baik.

Tegasnya, sokongan kewangan tambahan boleh dipertimbangkan kepada persatuan yang aktif, diurus dengan baik serta mampu menganjurkan pertandingan secara berkala.

“Peruntukan geran bergantung kepada tahap keaktifan persatuan, sejauh mana sukan itu dimainkan di seluruh Sarawak serta jumlah kejohanan yang dianjurkan.

"Sukan yang lebih besar dan popular secara semula jadi menerima peruntukan lebih tinggi,” katanya sambil menambah bahawa geran lazimnya disalurkan pada awal tahun.

Abdul Karim turut menekankan kekuatan asas badminton di Sarawak dengan menyatakan hampir setiap kampung mempunyai gelanggang badminton, walaupun kebanyakannya digunakan untuk tujuan rekreasi.

“Daripada aktiviti rekreasi, pemain boleh berkembang ke peringkat kompetitif sekiranya terdapat laluan pembangunan yang jelas serta kemudahan yang mencukupi,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa dengan tadbir urus yang baik, sokongan sektor swasta serta bantuan berterusan kerajaan, badminton Sarawak berada pada kedudukan yang kukuh untuk terus berkembang dan melahirkan pemain yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 16-1-2026 03:13 PM | Show all posts
Akar umbi badminton Sarawak kukuh, menjadi asas pembangunan masa depan: Abdul Karim
Januari 15, 2026, Khamis - 6:28pm



Abdul Karim (tiga kanan) dan tetamu menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Wan Lizozman (kiri duduk) dan Deepu.

KUCHING: Badminton kekal berakar umbi dalam budaya sukan Sarawak dan terus menjadi fokus utama dalam agenda pembangunan sukan jangka panjang negeri, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Katanya, Sarawak mempunyai sejarah panjang dalam melahirkan bakat badminton cemerlang yang telah mengharumkan nama negeri dan negara, selain kekal sebagai sukan paling popular dalam kalangan golongan muda di seluruh negeri.

“Badminton mempunyai tempat yang sangat istimewa di Sarawak dan hampir setiap kampung mempunyai gelanggang badminton di dewan kampung.

"Walaupun gelanggang ini bukan bertaraf prestasi tinggi, kewujudannya mencerminkan minat akar umbi yang kuat serta sokongan meluas terhadap sukan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Persatuan Badminton Sarawak (SBA) dan Yonex-Sunrise Sports Sdn Bhd di sebuah hotel di sini, hari ini.

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata, walaupun sukan baharu seperti pickleball semakin mendapat perhatian kebelakangan ini namun badminton masih mendominasi khususnya dalam kalangan generasi muda.

Menurut beliau, keadaan itu menyediakan asas kukuh bagi pembangunan bakat secara berstruktur.

Sehubungan itu, beliau memuji SBA atas langkah proaktif dalam memartabatkan sukan badminton terutama melalui usaha memperkukuh standard kejurulatihan, memperbaiki laluan pembangunan pemain serta memperluas peluang pendedahan.

Kerjasama persatuan itu dengan Yonex, jenama badminton bertaraf global disifatkan sebagai langkah positif ke arah membina persekitaran yang lebih profesional dan berdaya saing.

“Kerjasama ini menyokong penyediaan peralatan, keperluan prestasi tinggi serta pembangunan teknikal yang kesemuanya penting untuk mencapai kejayaan,” katanya sambil menyatakan keyakinan bahawa kepimpinan baharu SBA mampu membawa persatuan itu ke arah yang lebih stabil dan bersatu.

Abdul Karim turut menekankan kepentingan menganjurkan lebih banyak kejohanan di peringkat daerah, bahagian dan negeri, sambil menegaskan bahawa pertandingan secara konsisten penting bagi atlet menilai kemajuan serta memperoleh pengalaman perlawanan yang bermakna.

“Pembangunan bakat mesti bermula di peringkat akar umbi. Pemain muda perlu diberi peluang untuk berlatih, bertanding dan mendapatkan pendedahan di luar Sarawak.

"Persaingan dengan lawan yang lebih kuat akan mempertajam kemahiran dan membina keyakinan diri pemain,” katanya.

Beliau memberi contoh pemain perseorangan wanita kebangsaan nombor dua, Wong Ling Ching, anak jati Sarawak yang mencatat kejayaan di peringkat serantau, sebagai bukti kemampuan pemain tempatan dengan sokongan, latihan dan pendedahan yang betul.

Menyentuh peranan kerajaan, Abdul Karim menegaskan komitmen kementeriannya untuk terus menyokong badminton dan sukan lain selaras dengan aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai kuasa sukan nasional.

Beliau turut menekankan pelaburan dalam kemudahan sukan termasuk Kompleks Sukan Sarawak serta pembangunan kompleks sukan mini di seluruh negeri.

Selain itu, beliau menyeru kerjasama lebih erat antara persatuan sukan, sekolah, kelab, agensi kerajaan dan sektor swasta sambil menegaskan bahawa jurulatih merupakan tulang belakang kepada ekosistem sukan.

Pada akhir ucapan, Karim mengucapkan tahniah kepada SBA dan Yonex-Sunrise atas kerjasama tersebut dan berharap ia menjadi asas kukuh untuk meningkatkan prestasi serta membuka lebih banyak peluang kepada pemain dan jurulatih badminton Sarawak pada masa depan.

Antara yang hadir ialah Presiden SBA Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar, Setiausaha Tetap MYSED Dzulkornain Masron dan Pengurus Negara Yonex-Sunrise Sports Sdn Bhd Deepu Sree Omar.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 16-1-2026 03:14 PM | Show all posts
KESIJA pelawa penyertaan bagi Pertandingan Sepak Takraw Piala DUN N.52 Dudong 2026
Januari 15, 2026, Khamis - 1:18pm



Hassan (duduk, tengah) bersama jawatankuasanya mengalu-alukan pasukan takraw untuk menyertai Pertandingan Sepak Takraw Piala DUN N.52 Dudong 2026 pada 31 Januari hingga 1 Februari ini.

SIBU: Pasukan-pasukan sepak takraw di sini atau dari daerah berdekatan dijemput untuk mengambil bahagian dalam Pertandingan Sepak Takraw Piala DUN N.52 Dudong 2026 yang bakal berlangsung pada 31 Januari hingga 1 Februari ini.

Presiden Kelab Sepak Takraw Sibu Jaya (KESIJA) Hassan Abdul Hamid berkata, pertandingan itu dianjurkan oleh KESIJA dengan sokongan penuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Datuk Seri Tiong King Sing, sebagai usaha berterusan untuk memartabatkan sukan sepak takraw serta mencungkil bakat baharu di peringkat akar umbi.

"Pertandingan yang akan diadakan di Dewan Stadium Azman Hashim, Sibu Jaya ini terbuka kepada semua pasukan yang berminat dengan yuran penyertaan sebanyak RM80 bagi setiap regu.

"Penganjuran kejohanan ini bukan sahaja bertujuan mengeratkan silaturahim dalam kalangan pasukan, malah menjadi platform penting untuk meningkatkan tahap persaingan dan mutu permainan sepak takraw di kawasan ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kejohanan itu menawarkan hadiah lumayan kepada para pemenang, iaitu johan akan membawa pulang wang tunai RM700 berserta piala dan medal, manakala naib johan menerima RM500 serta piala dan medal.

Tempat ketiga bersama pula akan menerima RM250 bagi setiap regu, termasuk piala dan medal.

Hassan turut memaklumkan bahawa tarikh akhir pembayaran yuran penyertaan adalah pada 29 Januari ini.

"Cabutan undi pertandingan akan diadakan pada hari yang sama di Gelanggang Sepak Takraw Sibu Jaya pada jam 6 petang," tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pasukan sepak takraw yang berminat agar segera mendaftar dan tidak melepaskan peluang untuk menyertai kejohanan berprestij ini.

Untuk maklumat lanjut dan urusan pendaftaran, orang ramai boleh menghubungi Hassan di talian 014-8944785 atau Hussein Abdul Hamid (014-5992369).


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 16-1-2026 03:15 PM | Show all posts
Kota Samarahan dipilih venue pertarungan Rentap Fighting Championship 7.0
Januari 14, 2026, Rabu - 9:09pm



Orang ramai dipelawa menyaksikan para pertarung sensasi Sarawak sempena Rentap Fighting Championship 7.0 yang diadakan di The Summer Shopping Mall, Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN: The Summer Shopping Mall bakal dibanjiri bintang-bintang pertarung Sarawak selepas dipilih menjadi venue untuk Rentap Fighting Championship (RFC) edisi 7.0.

Kejohanan yang berlangsung dari 16 hingga 18 Januari itu terbuka kepada atlet lelaki dan wanita daripada pelbagai peringkat usia.

Menurut penganjur dalam satu kenyataan, RFC merupakan acara muay thai sentuhan penuh bertaraf antarabangsa yang menampilkan perlawanan melibatkan atlet amatur, separa profesional dan profesional termasuk pertandingan 'submission grappling'.

Tambah kenyataan itu lagi, RFC turut mengumumkan kerjasama strategik dengan TVS sebagai penyiar utama, dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.

"Infightstyle dilantik sebagai penaja pakaian rasmi manakala Kahf sebagai rakan penampilan diri lelaki.

"Kejohanan itu mendapat kelulusan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) serta disahkan oleh Persatuan Muaythai Sarawak dan Persatuan Muaythai Malaysia," kata kenyataan itu.

Selain itu katanya, WBC Muaythai Malaysia akan mempertandingkan satu tali pinggang kejuaraan profesional pada acara berkenaan.

Menurut penganjur lagi, penganjuran RFC 7.0 bertujuan mempamerkan aksi muay thai dan 'submission grappling' bertaraf dunia kepada komuniti setempat sejajar dengan usaha mempromosikan gaya hidup sihat, disiplin serta semangat kesukanan.

"Selain aspek pertandingan, RFC turut memberi penekanan terhadap elemen pendidikan," katanya.

Dalam pada itu, pada 18 Januari, Imran daripada Discover Muaythai (DMT) akan mengendalikan sesi perbincangan bertajuk 'More Than a Fight: Muay Thai Against Bullying'.

Sesi itu akan disusuli ceramah kesedaran keselamatan dan perlindungan kanak-kanak oleh DSP Angela Ladie daripada Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak yang akan mengupas tajuk 'Breaking the Silence'.

Program akan diakhiri dengan sesi ramah mesra bersama Kilat Boy, Kabilan Jelevan dan Miki Ghazali.

Setakat ini, sambutan orang ramai amat menggalakkan dengan kemasukan adalah percuma dan tempat duduk disediakan secara terbuka berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat.

Penganjur menjangkakan kehadiran penuh khususnya pada malam Sabtu yang menampilkan perlawanan Super Pro.

Justeru, orang ramai dijemput hadir menyaksikan kejohanan berkenaan hujung minggu ini di The Summer Shopping Mall.

Orang ramai yang mahu mengetahui lanjut pertandingan boleh mengunjungi laman Facebook, Instagram dan TikTok Rentap Fighting Championship.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 16-1-2026 03:52 PM | Show all posts
Lokasi baharu dikenal pasti untuk tambat bot nelayan kotak di Sg Apong: Milton Foo
Januari 16, 2026, Jumaat - 3:31pm



Foo (kanan) bersama Presiden Persatuan Kotak Tangkap Ikan Sungai Apong Lau Hong Joong ketika meninjau tapak tambatan sedia ada bot nelayan di Sungai Apong. – Gambar Chimon Upon

KUCHING: Penyediaan tapak baharu bagi penambatan bot nelayan kotak di Sungai Apong sedang diusahakan, dengan satu lokasi telah dikenal pasti susulan perancangan pembangunan semula kawasan tambatan sedia ada.

Ketua Biro Aduan Awam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Milton Foo berkata,

kawasan tambatan sedia ada itu merupakan tanah milik Koperasi Kemajuan Henghua Kuching Berhad yang telah membenarkan Persatuan Kotak Tangkap Ikan Sungai Apong menggunakannya tanpa sebarang bayaran sejak lebih 50 tahun lalu.

Menurutnya, pemilik tanah kini merancang untuk membangunkan kawasan tersebut bagi tujuan komersial atau perumahan, sekali gus memerlukan bot nelayan berpindah ke lokasi lain.

“Persatuan Kotak Tangkap Ikan Sungai Apong amat menghargai kebenaran daripada Koperasi Kemajuan Henghua Kuching Berhad untuk menggunakan tapak ini secara percuma selama lebih setengah abad.

“Pihak persatuan juga bersedia memberi kerjasama penuh supaya projek pembangunan semula ini dapat berjalan dengan baik, sambil berusaha mencari penyelesaian terbaik bagi proses perpindahan yang terlibat,” katanya kepada media semasa lawatan ke lokasi berkenaan di Sungai Apong di sini, hari ini.



Foo bercakap kepada pemberita ketika meninjau tapak yang dikenal pasti di belakang Pasar Sungai Apong sebagai cadangan lokasi baharu penambatan bot nelayan. – Gambar Chimon Upon

Mengulas lanjut, Foo berkata notis rasmi perpindahan telah dikeluarkan sebelum ini dengan tarikh akhir pada 31 Disember 2025, namun persatuan nelayan telah memohon lanjutan masa berikutan kesukaran mencari lokasi baharu.

Katanya, pihak koperasi bersetuju memberikan lanjutan tempoh sehingga 3 Mac depan bagi membolehkan persediaan perpindahan dilakukan secara teratur.

Berikutan itu juga kata Foo, pihak persatuan mengemukakan perkara berkenaan kepadanya, dengan satu tapak baharu dikenal pasti di belakang Pasar Sungai Apong yang mempunyai kawasan tebing sungai sesuai untuk penambatan bot.

Kawasan baharu itu bagaimanapun memerlukan kerja pembersihan tumbuhan liar, penambakan tanah serta pembaikan jeti uzur sebelum dapat digunakan sepenuhnya, selain campur tangan pihak berkuasa berkaitan.

Justeru, Foo memaklumkan beliau telah membawa perkara itu kepada pengetahuan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) merangkap Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian untuk tindakan selanjutnya.

Dedah beliau, pada kemuncaknya sekitar era 1980-an, kawasan tambatan lama itu pernah menempatkan hampir 100 bot nelayan, namun jumlah tersebut kini berkurangan kepada sekitar 10 hingga 20 bot sahaja.

“Faktor pemodenan, kekurangan tenaga kerja tempatan serta minat generasi muda yang semakin berkurangan terhadap sektor perikanan tradisional menyumbang kepada penurunan tersebut.

“Walaupun jumlah bot semakin berkurangan, keperluan menyediakan lokasi tambatan yang selamat dan teratur tetap penting bagi menjamin kelangsungan sumber pendapatan nelayan,” katanya.



Tapak tambatan bot nelayan di Sungai Apong yang menempatkan sekitar 10 bot pada kebiasaannya, dengan kapasiti maksimum sehingga kira-kira 20 bot pada satu-satu masa. – Gambar Chimon Upon


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 16-1-2026 03:53 PM | Show all posts
Ops Harian JPJ Limbang memeriksa 157 kenderaan
Januari 16, 2026, Jumaat - 3:36pm



Ops Harian dijalankan JPJ Cawangan Limbang semalam.

LIMBANG: Sebanyak 157 kenderaan diperiksa semasa Ops Harian yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Limbang di beberapa jalan utama di daerah ini semalam.

JPJ Negeri Sarawak dalam kenyataannya berkata, operasi itu melibatkan pemeriksaan ke atas kenderaan perdagangan dan persendirian, sekali gus mengesan pelbagai kesalahan.

Katanya, Ops Harian dilaksanakan menerusi penguatkuasaan secara rondaan dan pemantauan di sekitar bandar serta penguatkuasaan secara statik di Jalan Buansiol/Jalan Terabang By-Pass, Jalan Pendaruan dan Jalan Kubong.

“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 157 buah kenderaan membabitkan kenderaan perdagangan dan persendirian telah diperiksa.

“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan telah dikesan, antaranya, lesen memandu tamat tempoh, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans serta kesalahan lain yang melibatkan aspek teknikal kenderaan,” menurut kenyataan itu.

JPJ Sarawak menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memastikan lesen memandu dan dokumen kenderaan adalah sah serta diperbaharui, di samping memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan mematuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 16-1-2026 03:54 PM | Show all posts
91 kenderaan diperiksa dalam OKIM-Ops BTS di Sibu
Januari 16, 2026, Jumaat - 3:39pm



JPJ laksanakan OKIM dan Ops BTS di Sibu semalam. - Gambar Facebook JPJ Sarawak

SIBU: Sebanyak 91 buah kenderaan perdagangan dan persendirian telah diperiksa dalam Ops Khas Institut Memandu (OKIM) dan Ops Back To School (BTS), semalam.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menerusi kenyataan di Facebook memberitahu, penguatkuasaan operasi tersebut secara rondaan dan pemantauan di sekitar bandar Sibu termasuk institut memandu serta kawasan sekolah.

"Hasil pemeriksaan mendapati kesalahan yang dikesan adalah melibatkan aspek teknikal kenderaan yang tidak mematuhi spesifikasi serta peraturan yang ditetapkan," menurut kenyataan itu.



JPJ laksanakan OKIM dan Ops BTS di Sibu semalam. - Gambar Facebook JPJ Sarawak

Kenyataan itu memberitahu, operasi ini dilaksanakan bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang jalan raya berada pada tahap yang selamat dan terkawal.

"JPJ Sarawak akan terus komited dalam melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan bagi meningkatkan keselamatan jalan raya dan melindungi pengguna jalan raya, khususnya pelajar dan orang awam," tegas kenyataan itu.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 16-1-2026 03:55 PM | Show all posts
100 pelajar menjayakan Program STI 1003 MOSTI di SMK Engkilili
Januari 16, 2026, Jumaat - 3:44pm



Para pelajar dan guru SMK Engkilili bersama pasukan UNIMAS menjayakan Program STI 1003 Kitaran 1.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 16-1-2026 03:55 PM | Show all posts
ENGKILILI: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engkilili baru-baru ini mencatat satu detik bersejarah apabila hampir 100 pelajar Tingkatan 4 dan 5 menyertai Program STI 1003 (Sains, Teknologi Kuasa Tiga), satu inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Malaysia.

Program Kitaran 1 yang bertemakan 'Perjalanan STEM' ini dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Tenaga Sustainabiliti, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Program ini memberi tumpuan kepada pendekatan kolaboratif yang menghubungkan komuniti saintis secara langsung dengan pelajar sekolah, khususnya di luar bandar, bagi tujuan perkongsian ilmu, pendedahan awal serta pemupukan minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Pengetua Hamdan Juli menyatakan rasa syukur dan bangga kerana sekolahnya terpilih sebagai lokasi penganjuran program.

"Kami mewakili seluruh warga SMK Engkilili berasa amat bertuah kerana terpilih untuk Program STI 1003.

"Walaupun sekolah kami terletak agak jauh dari UNIMAS dan berdepan kekangan dari segi fasiliti, program ini tetap dapat dilaksanakan dengan lancar," katanya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 16-1-2026 03:55 PM | Show all posts


Sesi ceramah STEM oleh Dr Nazeri Abdul Rahman bersama pelajar SMK Engkilili di pusat sumber sekolah.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 16-1-2026 03:56 PM | Show all posts
Beliau turut menegaskan, program ini sangat menyokong agenda Kerajaan Sarawak yang berhasrat melihat lebih ramai pelajar memilih aliran sains dalam pembelajaran mereka.

Sementara itu, saintis dan pensyarah kanan Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Kelestarian Tenaga Fakulti Kejuruteraan UNIMAS Dr Nazeri Abdul Rahman menyifatkan pemilihan sekolah luar bandar sebagai langkah yang tepat.

"Alhamdulillah, pemilihan SMK Engkilili sebagai lokasi penganjuran program STEM berimpak tinggi ini adalah satu keputusan yang sangat tepat.

"Selain memberi pendedahan STEM, program ini juga memperkenalkan UNIMAS kepada pelajar sebagai salah satu destinasi pengajian tinggi dalam bidang STEM.

"Kami berharap suatu hari nanti mereka dapat melawat kampus UNIMAS dan melihat sendiri persekitaran pembelajaran di universiti," jelas beliau.

Sepanjang penganjuran program, pelbagai aktiviti STEM berasaskan pembelajaran secara amali telah dijalankan, antaranya, demonstrasi rawatan air paya menggunakan teknologi elektrokoagulasi, eksperimen penitratan asid dan bes serta pembentukan garam, penghasilan biodiesel menggunakan minyak masak terpakai, proses pembuatan sabun dan pengekstrakan minyak pati daripada tumbuhan semulajadi.

Kesemua aktiviti ini dirangka selari dengan silibus pembelajaran sekolah dan membolehkan pelajar mengaitkan konsep teori dengan aplikasi sebenar dalam kehidupan harian.

Program ini turut mendapat sokongan padu daripada Skuad STEM Yellowhippo UNIMAS yang terdiri daripada 25 pelajar Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Tenaga Lestari.

Wakil pelajar UNIMAS Emylia Erick yang berasal dari Sabah, menyifatkan pengalaman tersebut sebagai amat bermakna.

"Program ini amat bermanfaat kepada pelajar sekolah luar bandar.

"Pada masa yang sama, kami sebagai pelajar UNIMAS dapat berinteraksi dan berkomunikasi secara langsung dengan pelajar sekolah.

"Ini juga merupakan peluang yang sangat baik untuk kami mengasah kemahiran kepimpinan dan penganjuran program-program STEM berimpak tinggi," katanya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 16-1-2026 03:56 PM | Show all posts


Demonstrasi rawatan air paya menggunakan teknologi elektrokoagulasi bersama pelajar SMK Engkilili.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 16-1-2026 03:56 PM | Show all posts
Penyelaras Program STEM SMK Engkilili Norasikin Roslan pula melihat program tersebut sebagai selari dengan dasar pendidikan negara.

"Dasar pendidikan Malaysia menyasarkan 60 peratus pelajar dalam aliran STEM berbanding 40 peratus aliran sastera bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir," jelas beliau.

"Pada masa ini, ramai pelajar masih berasa takut untuk mempelajari subjek seperti fizik, kimia dan biologi, walaupun mereka sebenarnya mempunyai potensi yang tinggi.

"Program seperti ini mempunyai hala tuju yang jelas untuk membina keyakinan pelajar terhadap STEM," jelasnya lanjut.

Guru STEM SMK Engkilili Cheryl Kuan Mei turut berkongsi pandangan positif terhadap penganjuran program tersebut.

"Saya sangat gembira kerana program ini memberi pendedahan STEM kepada pelajar luar bandar yang sebelum ini kurang peluang untuk melihat aplikasi sebenar mata pelajaran mereka.

"Selepas menyertai program ini, saya dapat melihat perubahan yang ketara apabila pelajar mula menunjukkan minat dan keyakinan terhadap bidang STEM," katanya.

Secara keseluruhan, Program STI 1003 di SMK Engkilili telah berjalan dengan lancar dan berjaya menyemai minat serta keyakinan pelajar terhadap STEM.

Program ini akan diteruskan dengan Kitaran 2 dan 3 yang dijadualkan pada Februari depan, dengan penekanan khusus kepada konsep dan amalan menjalankan kajian sains.

Fokus ini merangkumi pemahaman asas metodologi penyelidikan, pembentukan soalan kajian, pemerhatian saintifik serta pelaksanaan kajian secara berperingkat, bagi membimbing pelajar memahami proses sains secara lebih sistematik dan berfikir secara kritis.

Inisiatif berterusan ini diharap dapat menyumbang kepada pencapaian aspirasi Kerajaan Negeri Sarawak untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dan berpengetahuan dalam bidang STEM pada masa hadapan.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 16-1-2026 03:58 PM | Show all posts


Pelajar terpegun menyaksikan demonstrasi pengekstrakan minyak pati daripada tumbuhan secara langsung.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 16-1-2026 03:59 PM | Show all posts


Pelajar bekerjasama secara aktif menyelesaikan aktiviti kuiz STEM melalui perbincangan kumpulan.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 16-1-2026 04:00 PM | Show all posts
Edited by Vellfire at 16-1-2026 04:01 PM

MBKS terus komited bangunkan bandar selamat selari CFCI: Wee
Januari 16, 2026, Jumaat - 3:55pm



Wee menunjukkan getah SBR yang menjadi lantai Kuching Park ketika tinjauan hari ini. Turut kelihatan, Zaiedi (empat kiri), wakil kontraktor Era Rafiqa Sdn Bhd (tiga kiri) serta para kaunselor MBKS. - Gambar Mohd Faisal Ahmad

KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) terus komited membangunkan bandar selamat, inklusif dan mesra keluarga, selari dengan Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI), kata Dato Wee Hong Seng.

Datuk Bandar MBKS itu menegaskan, pihak majlis di bawah pentadbiran beliau dan pasukan akan berusaha mewujudkan persekitaran bandar yang menyokong kesejahteraan generasi masa depan.

"Sehubungan itu, saya gembira Kuching Park kini menjadi antara taman awam yang paling aktif dikunjungi orang ramai khususnya keluarga dan kanak-kanak sama ada pada hujung minggu mahupun hari bekerja," ujarnya kepada media hari ini semasa membuat tinjauan ke atas taman riadah itu yang sedang menjalani naik taraf kemudahan.

Wee berkata, pihaknya mendapati masih ramai yang keliru dengan nama lokasi tersebut sambil menjelaskan kawasan rekreasi itu dikenali sebagai Kuching Park, bukannya hotel yang terletak berhampiran.

“Apabila orang bertanya di mana Kuching Park, inilah kawasan yang dimaksudkan dan bukan hotel di sebelahnya,” katanya sambil berseloroh.

Beliau berkata, peningkatan jumlah pengunjung dari tahun ke tahun menunjukkan keperluan untuk menaik taraf kemudahan sedia ada bagi memastikan keselamatan, keterangkuman dan keselesaan semua lapisan masyarakat, khususnya kanak-kanak.

Sehubungan itu katanya, satu projek naik taraf dilaksanakan sebagai sebahagian daripada komitmen MBKS dalam membangunkan bandar yang selamat, inklusif dan mesra keluarga, selari dengan inisiatif CFCI.

Menurut beliau, projek pembangunan tersebut turut menyokong kedudukan Kuching dalam rangkaian bandar antarabangsa, termasuk rangkaian CFCI dan Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO yang memerlukan pelaksanaan pelan tindakan khusus bagi mengekalkan status berkenaan.

“Apabila sesebuah bandar diterima dalam rangkaian ini, kita perlu melaksanakan pelan tindakan empat tahun. Status itu tidak boleh dikekalkan sekiranya tiada penambahbaikan dibuat,” jelasnya.

Beliau berkata, antara keperluan utama ialah peningkatan kemudahan awam, penyediaan fasiliti baharu serta memastikan semua pembangunan selari dengan pelan tindakan yang telah dipersetujui bagi memenuhi piawaian CFCI.

Bagi projek di Kuching Park katanya, naik taraf melibatkan penggantian permukaan permainan lama yang licin dengan permukaan keselamatan baharu berasaskan bahan getah sintetik (EPDM) yang lebih selamat dan tahan lasak.

"Permukaan tersebut dihasilkan menggunakan bahan tempatan dari Sarawak iaitu getah Stirena-Butadiena (SBR) kitar semula dan akan disiapkan dengan granul SBR bersalut warna bagi menghasilkan permukaan yang lebih selamat, menarik serta tahan lama.

"Ia sejajar dengan konsep 'kehidupan hijau' yang menekankan penggunaan bahan lestari serta sokongan kepada industri tempatan," katanya sambil menambah bahan yang digunakan di kawasan awam menyokong kelestarian alam sekitar dan pada masa sama membantu industri tempatan.

Wee menambah, penggunaan bahan tersebut turut membantu mengurangkan sisa getah yang sebelum ini berisiko dilupuskan melalui pembakaran.

"Untuk makluman bersama, Era Rafiqa Sdn Bhd diberi tanggungjawab melakukan kerja-kerja naik taraf melibatkan kos sebanyak RM319,000 merangkumi dua bahagian utama taman dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 21 Februari depan.

"Bagaimanapun, kawasan Taman Autisme yang baharu tidak terlibat kerana masih berada dalam keadaan baik," jelasnya.

Ujar beliau, Kuching Park telah digunakan lebih 20 tahun, justeru memerlukan penambahan kemudahan yang akan dilakukan secara berperingkat mengikut peningkatan jumlah pengunjung dan penilaian berterusan bagi memastikan kemudahan sentiasa relevan dan selamat.

Hadir sama membuat tinjauan terhadap kerja-kerja naik taraf Kuching Park itu ialah Timbalan Datuk Bandar MBKS Dato Dr Zaiedi Suhaili serta para kaunselor.

Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

Post time 16-1-2026 08:35 PM | Show all posts
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

6-2-2026 01:18 PM GMT+8 , Processed in 0.249474 second(s), 30 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list