CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: Vellfire

[Borneo] Rumah Borak Borneo~Auk ajaklah

[Copy link]
 Author| Post time 13-2-2026 05:30 PM | Show all posts
Lelaki mengaku mencuri dipenjara 12 bulan
Februari 12, 2026, Khamis - 5:56pm

MIRI: Seorang lelaki dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Ashok Linggam setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan bersalah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukan, kepentingan awam serta mengambil kira bahawa tertuduh turut mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan harta benda.

Tertuduh, Muhd Zakhry Najmie Zamhari, 29, didapati telah melakukan kecurian dengan mencuri sebuah mesin pengisar elektrik, satu plastik hitam mengandungi paku logam berwarna merah dan hitam, satu unit gegelung besi 3.6 inci, satu botol kecil mengandungi minyak pelincir, satu gelas plastik dan sepasang alat penyumbat telinga yang merupakan kepunyaan Hafiz Saimi.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1.16 pagi, 8 Februari lalu di sebuah lot di Jalan Tanjung Batu 3, Pujut Padang Kerbau di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,  jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Syafiq Samry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 13-2-2026 05:31 PM | Show all posts
Miliki barang kawalan tanpa lesen runcit, empat syarikat didenda RM1 juta
Februari 12, 2026, Khamis - 5:53pm

SIBU: Empat syarikat dikenakan denda RM1 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini setelah didapati bersalah atas enam pertuduhan memiliki barangan kawalan iaitu minyak diesel tanpa lesen runcit barang kawalan berjadual (CSA) dua tahun lepas.

Empat syarikat itu yang diwakili dua pengarahnya, terdahulu membuat pengakuan bersalah atas keenam-enam pertuduhan pindaan itu di hadapan hakim Musyiri Peet.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua, ketiga dan kelima, syarikat didakwa memiliki barangan kawalan yang juga barangan berjadual iaitu 2,729 liter, 38,000 liter, 15,897 liter dan 38,000 liter minyak diesel di dalam empat lori milik syarikat.

Sementara bagi pertuduhan keempat dan keenam, syarikat didakwa miliki barangan kawalan iaitu 94,750 liter dan 141,060 liter minyak diesel di dalam dua buah kapal milik syarikat, dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah bahawa suatu kesalahan terhadap Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di premis syarikat di Jeti Tanjung Engkilo, Batang Rejang pada 25 Ogos 2024, dan satu kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta dihukum di bawah Seksyen 22(2) Akta yang sama.

Sabit kesalahan di bawah seksyen ini boleh dikenakan denda tidak lebih RM2 juta, manakala denda tidak lebih RM5 juta bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya.

Mahkamah terdahulu menjatuhkan hukuman denda RM150,000 atau empat bulan penjara bagi pertuduhan pertama, RM300,000 atau enam bulan penjara bagi pertuduhan kedua dan RM400,000 atau penjara lapan bulan bagi pertuduhan ketiga.

Bagi pertuduhan keempat, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM90,000 atau penjara tiga bulan, RM50,000 atau penjara dua bulan bagi pertuduhan kelima dan RM10,000 atau penjara sebulan bagi pertuduhan keenam.

Mahkamah turut memerintahkan hasil jualan diesel yang dirampas dalam semua kes dilucut hak kepada kerajaan, manakala kenderaan dan kapal yang terlibat dipulangkan kepada pemilik berdaftar masing-masing.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Sarawak Iezzah Iburdanisha Ibrahim, manakala syarikat diwakili peguam bela Timothy Lim Teng.

Kedua-dua pengarah syarikat terbabit dibebaskan setelah membayar denda tersebut.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-2-2026 05:32 PM | Show all posts
Lelaki mengaku salah guna dadah dipenjara dan diawasi polis
Februari 12, 2026, Khamis - 4:45pm
  
MIRI: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan dadah berbahaya tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan pihak polis dua tahun mengikut Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Tertuduh, Muhammad Zulhilmi Zainal, 38, dari Kampung Pujut Padang Kerbau di sini didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama.

Mengikut kesalahan itu, tertuduh boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara hingga dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan oleh pegawai sebagaimana ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.

Menurut keterangan kes, tertuduh didapati menggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine dan Amphetamine yang tersenarai di dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh pada jam 12.05 tengah hari, 27 Ogos 2025 di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Miri.

Pendakwaan kes dikendalikan Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman di hadapan Majistret Ashok Linggam, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-2-2026 05:33 PM | Show all posts
Lelaki miliki lencana rasmi polis dipenjara dan didenda
Februari 12, 2026, Khamis - 4:43pm
  
MIRI: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan memiliki lencana rasmi polis.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Ashok Linggam setelah tertuduh, Mohamad Alfie Ramli, 32, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 89(a) Akta Polis 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 94 akta sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM500 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, tertuduh didapati ada memiliki suatu barang iaitu lencana rasmi polis yang telah dibekalkan kepada seorang pegawai polis untuk pelaksanaan tugas rasminya dan tertuduh gagal memberikan penjelasan munasabah berhubung pemilikan barang berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 11 pagi, 7 Februari lalu di sebuah rumah di Jalan Lambir, Miri-Bintulu di sini.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Syafiq Samry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-2-2026 05:33 PM | Show all posts
Pas lawatan sosial luput, wanita asing dipenjara dan diusir
Februari 12, 2026, Khamis - 3:58pm

MIRI: Seorang wanita warga asing dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan tinggal di negeri ini selepas pas lawatan sosial yang dikeluarkan kepadanya luput tarikh sah.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Tertuduh, Rosa Safitri, 18, dari Kalimantan, Indonesia, didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 15 (4) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut keterangan kes, tertuduh telah ditahan sekitar jam 4.20 petang, 3 Februari lalu di sebuah premis di Jalan Haji Lampam di sini untuk tujuan pemeriksaan kerana dipercayai warga asing.

Hasil pemeriksaan mendapati tertuduh merupakan warganegara Indonesia dan masih tinggal di negeri ini setelah pas lawatan sosial yang dikeluarkan kepadanya tamat tempoh sah.

Berikutan itu, tertuduh kemudian ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Marvind Kaliyani di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-2-2026 05:36 PM | Show all posts
Lelaki curi 150 batang aluminium milik majikan dipenjara dan denda
Februari 12, 2026, Khamis - 3:19pm

KUCHING: Mahkamah Majistret hari ini menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 terhadap seorang lelaki yang mencuri 150 batang aluminium dari stor simpanan milik majikannya di Jalan Bako di sini.

Majistret Ling Hui Chuan turut memerintahkan Muhammad Hanafi Hazmi, 35, untuk dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh mengaku bersalah sebaik didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama dua individu masih bebas didakwa melakukan kesalahan itu di fasiliti tersebut di Jalan Bako, Demak Laut Industrial Park di sini sekitar jam 3 petang pada 25 November 2025.

Berdasarkan fakta kes, satu laporan polis dibuat selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan tertuduh yang merupakan pekerja syarikat itu bersama dua lelaki lain mencuri 150 batang aluminium dan dua bangku sofa.

Susulan laporan polis itu, tertuduh ditangkap pada 25 November 2025, dan dia juga mengaku telah mencuri batang aluminium tersebut bersama dua rakannya.

Selain itu, tertuduh juga mengakui bahawa dia telah menjual bar-bar tersebut kepada pusat kitar semula.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fauzulutfi Suriani sementara tertuduh tidak diwakili peguam.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 13-2-2026 05:36 PM | Show all posts
Lelaki dipenjara 12 bulan kerana conteng tiang surau dengan cat
Februari 12, 2026, Khamis - 2:33pm
  
KUCHING: Seorang lelaki berusia 35 tahun dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menconteng tiang Surau Nurul Muslim, Kampung Sungai Bedil Besar dengan cat hijau.

Majistret Ling Hui Chuan menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Hafifi Jebeni selepas dia mengaku bersalah mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, pada 4 Januari 2026 sekitar jam 9.30 pagi, seorang penduduk kampung mendapati kedua-dua tiang surau telah diconteng dengan cat hijau oleh tertuduh.

Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat dan tertuduh kemudiannya ditangkap pada 5 Januari 2026.

Difahamkan, tertuduh telah melakukan khianat terhadap tiang surau tersebut untuk mendapatkan perhatian penghulu dan ketua kampung setelah mereka dikatakan tidak membantu menyelesaikan pertikaian antara tertuduh dengan abangnya yang didakwa sering mengejeknya.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin sementara tertuduh tidak diwakili peguam.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-2-2026 05:37 PM | Show all posts
Lelaki dipenjara 40 bulan gara-gara ceroboh rumah dengan niat mencuri
Februari 11, 2026, Rabu - 3:35pm

KUCHING: Padah memecah masuk sebuah rumah di Jalan Dagok di sini dengan niat untuk mencuri, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 40 bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Ling Hui Chuan terhadap Mohd Nurazan Mohamad Marwan, 34, yang mengaku bersalah mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan terbabit pada 6 Februari 2026, sekitar jam 7.50 malam.

Fakta kes mendedahkan pemilik rumah iaitu pengadu lelaki yang tiba di rumah menyedari kerusi di luar dialihkan ke tingkap hadapan.

Pada masa yang sama, pengadu juga melihat seorang lelaki yang tidak dikenali (tertuduh) keluar dari tingkap lalu terjun ke luar pagar rumah.

Sehubungan itu, pengadu mengejar tertuduh dan berjaya menahannya.

Pengadu seterusnya menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Hasil siasatan mendapati tertuduh telah melakukan pecah rumah dengan memasuki bangunan milik pengadu tanpa tujuan yang sah.

Siasatan polis turut mendedahkan ujian saringan awal air kencing tertuduh adalah positif Amphetamine dan Methamphetamine.

Tertuduh tidak diwakili peguam. Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fauzulutfi Suriani.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 13-2-2026 05:39 PM | Show all posts
Sukan pickleball gabungkan interaksi kesihatan dan sosial: Pang
Februari 12, 2026, Khamis - 11:05am



Pang (tengah) semasa berdialog dengan Persatuan Xinghua Bintulu.

BINTULU: Lebih banyak organisasi komuniti perlu menyertai sambil bersama-sama mempromosikan budaya gaya hidup sihat melalui sukan pickleball yang semakin berkembang di bahagian ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang berkata, sukan pickleball semakin diminati dan ia adalah trend sukan yang menggabungkan interaksi kesihatan dan sosial.

Katanya, ia mudah dipelajari dan juga membantu kecergasan fizikal dan dalam pengurusan kesihatan yang baik.

"Saya berharap Bintulu dapat mengikuti perkembangan sukan ini dan menggalakkan lebih banyak organisasi komuniti untuk menyertainya," katanya semasa menerima lawatan dan berdialog dengan Persatuan Xinghua Bintulu di Pusat Khidmat N68 Tanjong Batu semalam.

Pang berkata, sukan pickleball kini semakin berkembang dan diminati oleh pelbagai kelompok serta peringkat umur.

Dalam perkembangan lain beliau turut memperkatakan mengenai pembangunan persatuan itu, penambahbaikan premis dan hala tuju serta perancangan untuk acara berskala besar pada masa depan.

Katanya, Persatuan Xinghua antara persatuan aktif menganjurkan pelbagai acara berskala besar dalam beberapa tahun kebelakangan ini yang menyuntik kesejahteraan hidup dan perpaduan dalam komuniti.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-2-2026 09:58 PM | Show all posts
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-2-2026 10:48 PM | Show all posts
Kerajaan Negeri sumbang dua kenderaan pacuan empat roda kepada Polis Sabah
Februari 13, 2026, Jumaat - 6:23pm



SUMBANGAN: Hajiji menyerahkan replika kunci kepada Mohd Khalid.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah menyumbangkan dua kenderaan pacuan empat roda untuk kegunaan operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan replika kunci kepada Ketua Polis Negara Dato’ Sri Mohd Khalid Ismail sebagai gimik penyerahan sumbangan dalam satu majlis di Padang Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di Kepayan, dekat sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Pendidikan Tinggi Datuk James Ratib, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun serta pegawai-pegawai kanan polis dari Bukit Aman.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-2-2026 10:50 PM | Show all posts
Warga emas maut, dua cedera kereta terbabas
Februari 13, 2026, Jumaat - 6:07pm

KUCHING: Seorang lelaki warga emas maut, manakala dua penumpang cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di Kampung Lintang Baru, Batu 28, Jalan Kuching-Serian, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.52 petang.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian digerakkan ke lokasi untuk operasi menyelamat.

“Setibanya pasukan di tempat kejadian, didapati seorang mangsa warga emas lelaki  berusia 70 tahun tersepit di tempat duduk pemandu dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Manakala dua penumpang iaitu seorang warga emas serta kanak-kanak mengalami kecederaan dan tidak tersepit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba segera melakukan kerja-kerja mengeluarkan pemandu dari kenderaan menggunakan peralatan penyelamat dan pengusung.

“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian,” katanya.

Mangsa yang meninggal dunia kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Manakala, dua mangsa yang cedera dihantar ke hospital menggunakan ambulans untuk menerima rawatan lanjut.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-2-2026 10:51 PM | Show all posts
SJKC Su Lai adakan majlis TBC bertemakan 'Kuda Emas Bawa Tuah'
Februari 13, 2026, Jumaat - 6:17pm



(Dari empat kiri) Kapitan Lau, Lau, Kho bersama tetamu menggaul 'yee sang' sempena sambutan Tahun Baharu Cina di SJK(C) Su Lai, hari ini.

SIBU: Sekolah Jenis Kebangsaan SJK (C) Su Lai menyambut Tahun Kuda dengan penuh meriah menerusi majlis Tahun Baharu Cina bertemakan 'Kuda Emas Membawa Tuah' hari ini.

Temenggung Dato Vincent Lau Lee Ming yang mewakili lembaga pengurusan sekolah berkata, sambutan tersebut bukan sekadar acara perayaan, malah menjadi wadah untuk menilai hala tuju pendidikan sekolah rendah Cina dalam menghadapi cabaran semasa.

Menurutnya, simbol kuda melambangkan ketekunan dan keberanian, selaras dengan semangat untuk terus melangkah maju dengan perpaduan serta keazaman pada tahun baharu ini.

Beliau merujuk kepada laporan semakan 2025 mengenai sekolah rendah Cina yang menyorot isu penurunan enrolmen murid akibat kadar kelahiran rendah, kemunculan sekolah mikro di kawasan luar bandar serta tekanan terhadap sumber dan pembangunan.

"Situasi ini memerlukan pemikiran rasional dan pendekatan yang tenang.

"Kita tidak harus cemas, sebaliknya terus bersatu kerana kekuatan sekolah rendah Cina terletak pada sokongan komuniti," ujarnya.

Lau turut menyentuh pengumuman kerajaan bahawa mulai 2027, ibu bapa diberi pilihan untuk mendaftarkan anak ke Tahun Satu pada usia enam tahun secara tidak wajib.



Lau menyampaikan angpau kepada pasukan tarian singa sebagai simbolik tuah bagi Tahun Kuda.

Katanya, isu utama bukanlah kemasukan awal, tetapi tahap kesiapsiagaan sekolah dari segi mekanisme peralihan, latihan guru dalam pembelajaran berasaskan permainan serta komunikasi berterusan dengan ibu bapa.

"Pendidikan bukan perlumbaan mengejar kepantasan, sebaliknya menitikberatkan perkembangan holistik kanak-kanak," jelasnya.

Dalam pada itu, Lau menegaskan sekolah rendah Cina memainkan peranan penting dalam memelihara bahasa, warisan dan nilai budaya di negara berbilang kaum seperti Malaysia.

"Hari ini kita melihat murid daripada pelbagai latar belakang bersama-sama meraikan Tahun Baharu Cina.

"Perkongsian budaya ini menjadi jambatan yang memupuk persefahaman," katanya.

Beliau yakin dengan kerjasama erat antara lembaga pengurusan, pentadbiran sekolah dan ibu bapa, SJK(C) Su Lai akan terus berkembang meskipun landskap pendidikan sentiasa berubah.

Majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan dan tarian singa, sekali gus menyemarakkan suasana perayaan dalam kalangan murid dan guru.

Turut hadir Guru Besar Kho Kiat Hee dan Kapitan Lau Sei Kwong.



Lau menyampaikan angpau kepada para murid SJK (C) Su Lai hari ini.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-2-2026 10:52 PM | Show all posts
203 kanak-kanak OSEIC Kuching diraikan pada majlis graduasi
Februari 13, 2026, Jumaat - 6:19pm



Fatimah (tiga kiri) serta tetamu kehormat lain merakamkan kenangan bersama salah seorang kanak-kanak pada Majlis Graduasi OSEIC Sarawak 2026 di Kuching, petang Jumaat.

KUCHING: Seramai 203 kanak-kanak dari Pusat Sehenti Intervensi Awal Sarawak (OSEIC) Kuching diraikan pada Majlis Graduasi OSEIC Sarawak 2026 sebagai pengiktirafan kejayaan mereka menamatkan sesi intervensi awal sepanjang tahun lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 64 orang akan melangkah ke aliran perdana, 123 orang memasuki Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), manakala 16 orang akan meneruskan pembelajaran di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK).

“Bagi OSEIC Dalat, seramai 18 graduan telah diraikan lebih awal pada majlis graduasi tahun lalu bersama Sedidik Zon Mukah dengan 12 orang melangkah ke aliran perdana dan enam orang memasuki PPKI,” katanya ketika berucap merasmikan majlis tersebut di sebuah hotel di sini, petang Jumaat.

Fatimah berkata, sepanjang tempoh 2021 hingga 2025, sebanyak 28 peratus kanak-kanak OSEIC Sarawak berjaya memasuki aliran perdana dengan 58.5 peratus meneruskan pendidikan melalui PPKI, manakala 13.5 peratus mengikuti pendidikan di SKPK.

“Pencapaian ini bukan sekadar angka, tetapi melambangkan harapan, potensi dan masa depan anak-anak istimewa yang diraikan hari ini,” katanya.

Menurut beliau, sehingga 31 Januari tahun ini seramai 3,229 kanak-kanak telah dan sedang mengikuti program intervensi awal di OSEIC Sarawak, dengan 565 orang masih menjalani sesi intervensi melibatkan 497 kanak-kanak di Kuching dan Dalat (68 orang).

Namun katanya, OSEIC Kuching masih berdepan cabaran dengan 412 kanak-kanak berada dalam senarai menunggu walaupun sesi tambahan telah diadakan setiap hari Sabtu.

“Keadaan ini amat membimbangkan kerana fasa awal perkembangan kanak-kanak adalah tempoh kritikal dalam menentukan potensi masa depan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata kementeriannya memperkenalkan Program Transisi bermula Februari ini selain menambah sesi intervensi pada hujung minggu dengan sasaran mengurangkan tempoh menunggu kepada tidak melebihi enam bulan.

Mengenai peluasan perkhidmatan, beliau berkata dua cawangan OSEIC kini beroperasi di Kuching dan Dalat, manakala OSEIC Miri dijangka mula beroperasi penghujung tahun ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas sokongan berterusan kerajaan Sarawak dalam menyediakan kemudahan fizikal dan peruntukan bagi memperkukuh perkhidmatan OSEIC.

Selain itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada PETRONAS atas sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM4 juta bagi penubuhan OSEIC Kuching serta RM1.1 juta untuk pembelian peralatan OSEIC Miri.

“Sokongan ini amat signifikan dalam memastikan perkhidmatan intervensi awal dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh, sistematik dan berkesan demi kesejahteraan kanak-kanak berkeperluan khas di Sarawak,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua Pegawai Intervensi Awal yang berjaya menamatkan Latihan Intensif 15 Hari anjuran Australian Institute of Technology Transfer dalam bidang pengurusan dan pelaksanaan intervensi awal.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-2-2026 10:53 PM | Show all posts
JPJ Kuching sita lapan kenderaan termasuk tiga kereta mewah
Februari 13, 2026, Jumaat - 6:28pm



Antara kereta mewah yang disita dalam operasi di Kuching, semalam. – Gambar Facebook JPJ Negeri Sarawak

KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Kuching menyita lapan kenderaan termasuk tiga kereta mewah di bandar ini atas kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans dalam dua operasi yang dilaksanakan semalam.

JPJ Sarawak dalam laman rasmi Facebooknya berkata, kenderaan yang disita ketika Ops Luxury dan Ops Gempur Kenderaan Perdagangan terdiri daripada sebuah motosikal, lima kereta termasuk tiga kereta mewah, sebuah jip dan sebuah lori.

Menurutnya, operasi tersebut dilaksanakan menerusi rondaan serta pemantauan di sekitar bandar raya ini, selain penguatkuasaan secara statik di Jalan Datuk Bandar Mustapha yang melibatkan kedua-dua hala laluan.

“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 598 buah kenderaan terdiri daripada kenderaan perdagangan dan persendirian telah diperiksa.

“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan dikesan antaranya tiada lesen memandu, tiada Lesen Vokasional (GDL), Pemalsuan dokumen serta pelbagai kesalahan teknikal melibatkan keadaan dan spesifikasi kenderaan,”katanya.

JPJ Sarawak katanya, menegaskan bahawa penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa tanpa mengira jenis atau kategori kenderaan.

“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang jalan raya,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-2-2026 10:55 PM | Show all posts
Sarawak fokus tangani isu penuaan petani, pastikan pertanian lebih berdaya saing
Februari 13, 2026, Jumaat - 6:34pm



Dr Rundi berucap pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Penilaian Tahun 2025 di Sibu, hari ini.

SIBU: Sarawak menumpukan usaha menangani isu penuaan petani dan meningkatkan sumbangan sektor agromakanan kepada ekonomi melalui pelaksanaan RMK-13 bagi memastikan pertanian lebih berdaya saing.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dr Rundi Untom berkata, RMK-13 menuntut perubahan budaya kerja yang lebih dinamik serta keberanian membuat pembaharuan dalam semua aspek sektor agromakanan termasuk pengeluaran, pemasaran dan pengurusan sumber.

Beliau menegaskan bahawa pendekatan biasa tidak lagi sesuai kerana cabaran keselamatan makanan kini bersifat global dan memerlukan tindakan proaktif, berasaskan hasil serta penilaian prestasi yang jelas dan terukur.

Menurut Dr Rundi, tempoh Januari hingga Mac merupakan fasa kritikal pelaksanaan program pertanian supaya tidak terganggu oleh musim perayaan dengan setiap inisiatif diberi garis masa, keutamaan dan sasaran yang tersusun.

“Pascapandemik COVID-19, persoalan utama ialah sama ada kita mampu menjadi pengeksport bersih makanan.

“Ini hanya boleh dicapai jika kita memahami kapasiti, keupayaan, dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sektor padi, ternakan, dan tanaman,” katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Penilaian Tahun 2025 di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, sektor agromakanan menyumbang kira-kira 10 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang bersamaan hampir RM50 bilion setahun.

Antara sasaran jangka panjang ialah memperluas kawasan pengeluaran kepada sekurang-kurangnya 450,000 hektar dan memastikan 25 peratus keperluan ternakan dihasilkan sendiri menjelang 2030.

Dr Rundi menekankan pasaran perlu menjadi pemacu utama supaya setiap pengeluaran memberi pulangan sebenar kepada petani dan kegagalan mencapai sasaran menuntut pertanggungjawaban daripada jabatan serta agensi pelaksana.

Beliau turut menegaskan isu penuaan petani dan kurangnya minat golongan muda merupakan cabaran serius yang perlu ditangani segera.



Dr Rundi menyerahkan anugerah perkhidmatan cemerlang kepada salah seorang penerima pada majlis tersebut.

Antara langkah disarankan termasuk mekanisasi penuh, penggunaan teknologi pintar, dron dan pendekatan moden yang mengubah persepsi pertanian sebagai pekerjaan kotor, berbahaya dan sukar.

“Kerjasama profesional dengan petani amat penting.

“Kami mahu meningkatkan taraf hidup komuniti pertanian selain memperkasa Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sebagai tulang belakang sektor agromakanan,” tambah beliau.

Selain itu, Dr Rundi turut menekankan kepentingan memberi fokus kepada komoditi utama seperti kelapa, nanas, durian, dabai, ternakan dan akuakultur.

Beliau menambah, kelemahan dalam pengurusan data, nilai tambah produk, dan pemasaran perlu diperbaiki bagi memastikan rantaian bekalan berdaya saing serta memberi pulangan ekonomi optimum.

Beliau turut menyeru agar setiap peruntukan RMK-13 dibelanjakan secara berhemah dan berkesan dengan menekankan perubahan minda, amalan kerja dan penerimaan teknologi baharu sebagai kunci kejayaan.

Katanya, matlamat utama ialah memberi impak nyata kepada komuniti pertanian dan menjadikan Sarawak sebagai pengeluar makanan berdaya saing di peringkat global.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 13-2-2026 10:56 PM | Show all posts
Kawasan runtuh di Jalan Pahlawan ditutup sepenuhnya
Februari 13, 2026, Jumaat - 6:36pm



Tiang (kanan) dan Ting pada sidang media selepas mesyuarat berhubung insiden terbabit di bilik mesyuarat MPS, petang Jumaat.

SIBU: Aspek keselamatan awam menjadi keutamaan susulan kejadian runtuhan sebuah blok bangunan yang menempatkan lapan unit kedai di Jalan Pahlawan awal pagi Jumaat, dengan kawasan sekitarnya kini ditutup sepenuhnya sehingga dimaklumkan kelak.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee menegaskan keadaan struktur bangunan masih belum stabil dan sebarang akses ke kawasan tersebut adalah tidak dibenarkan buat masa ini.

"Kita faham ada kepentingan perniagaan dan barangan berharga yang masih berada di dalam bangunan namun keselamatan adalah keutamaan, kita tidak boleh mengambil risiko," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat berhubung insiden terbabit di bilik mesyuarat Majlis Perbandaran Sibu (MPS), petang Jumaat.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatian dan video yang tular, struktur bangunan jelas tidak stabil dan masih berpotensi bergerak.

"Pagi tadi kita masih mendengar bunyi retakan pada sisa runtuhan.

"Ini menunjukkan struktur belum benar-benar selamat," jelasnya.

Sehubungan itu katanya, laluan di kawasan sekitar telah ditutup termasuk kepada kenderaan berat bagi memastikan tiada orang awam menghampiri zon bahaya.

"Tindakan ini diakui menimbulkan kesulitan kepada pengusaha premis berhampiran termasuk sebuah restoran di sebelah bangunan berkenaan.

"Kita tahu ini menyusahkan peniaga dan penyewa, tetapi kita amat bersyukur kerana ketika runtuhan berlaku awal pagi tadi, tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

"Ini sesuatu yang patut kita syukuri," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu turut memaklumkan mesyuarat seterusnya akan diadakan pada 23 Februari ini bagi meneliti laporan teknikal yang akan dikemukakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pandangan pakar berkaitan.

Mengikut Undang-Undang Kecil Bangunan, orang berkelayakan yang mengemukakan pelan asal perlu mengenal pasti serta melaporkan punca kegagalan struktur dalam tempoh tujuh hari dari tarikh kejadian.

"Kita dimaklumkan orang berkelayakan asal telah hadir dalam mesyuarat hari ini dan akan mengemukakan laporan lanjut dalam tempoh ditetapkan atau membentangkannya pada mesyuarat akan datang," jelasnya.

Tambahnya, sekiranya siasatan mendapati bangunan itu tidak lagi selamat dari segi struktur, pihak berkuasa akan mengisytiharkannya sebagai bangunan berbahaya dan seterusnya mengarahkan kerja-kerja perobohan dilakukan oleh pemilik.

"Pemilik perlu meroboh dan membersihkan sisa runtuhan kawasan sebelum jalan boleh dibuka semula.

"Sama ada mahu membina semula atau tidak, itu terpulang kepada pemilik kerana ia adalah tanah persendirian," ujarnya.

Tiang memberitahu, tempoh penutupan kawasan bergantung kepada hasil siasatan dan keputusan teknikal, namun pihak berkuasa memberi jaminan tindakan lanjut akan dibuat secepat mungkin demi keselamatan orang awam.

Turut hadir ialah Pengerusi MPS Clarence Ting.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-2-2026 11:01 PM | Show all posts
Institusi sekolah tonggak pupuk nilai baik: Pang
Februari 13, 2026, Jumaat - 8:37pm



Pang (tengah) bersama guru-guru, tetamu lainnya dan murid-murid SJK Sebiew Chinese meraikan sambutan Tahun Baharu Cina hari ini.

BINTULU: Institusi sekolah diharap dapat menjadi tonggak dalam memupuk nilai-nilai baik yang dapat membantu golongan pelajar memelihara tradisi warisan dalam sambutan perayaan pada era baharu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang berkata, sekolah merupakan institusi penting untuk memupuk nilai tersebut dalam masyarakat dan mewariskan budaya dengan membolehkan tradisi diteruskan dalam era baharu ini.

"Sekolah yang meriah dengan suasana perayaan, persembahan tarian singa serta tarian-tarian indah yang lain melambangkan permulaan dan membawa harapan baharu," ujarnya sempena menjelangnya sambutan Tahun Baharu Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Sebiew Chinese di sini, hari ini.

Pang berkata, beliau gembira dapat berkumpul bersama guru-guru dan pelajar sekolah tersebut untuk meraikan Tahun Baharu Cina.

"Terima kasih kepada guru-guru dan pelajar atas sambutan mesra mereka dan mempersembahkan watak bertuah dengan penuh mesra," katanya.

Beliau mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada semua orang dengan harapan semuanya akan berjalan lancar, kemajuan berterusan dan hasrat yang diimpikan akan tercapai.

Kepada pelajar pula katanya, mereka diharap terus gigih dan berani, berusaha mencapai impian dan terus bersemangat dalam perjalanan menuju kejayaan dengan dokongan dan sokongan guru-guru.

Diharapkan katanya, para pelajar akan terus berkembang maju dan mencapai kejayaan yang melimpah ruah.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-2-2026 11:04 PM | Show all posts
Pengamal perubatan di Klinik Kesihatan Kota Sentosa dirai sempena sambutan TBC
Februari 13, 2026, Jumaat - 8:40pm



Wilfred (tengah baris kedua) bersama para doktor, jururawat dan kakitangan sokongan Klinik Kesihatan Kota Sentosa hari ini.

KUCHING: Pengamal perubatan dan petugas kesihatan diraikan dalam Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) 2026 oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap di Klinik Kesihatan Kota Sentosa, hari ini.

Majlis tersebut berlangsung dalam suasana penuh muhibah dengan kehadiran doktor, jururawat, kakitangan sokongan, pesakit serta anggota masyarakat setempat.

"Tahun Baharu Cina adalah waktu untuk kita berkumpul bersama keluarga, menyatakan kesyukuran dan menyemai harapan baharu namun ketika ramai meraikannya bersama insan tersayang, petugas kesihatan kita tetap setia menjalankan tanggungjawab.

"Komitmen mereka mencerminkan semangat sebenar keprihatinan dan kasih sayang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan komuniti sihat merupakan asas kepada masyarakat yang kukuh dan makmur.

Justeru, beliau memberi jaminan akan terus menyokong inisiatif penjagaan kesihatan di kawasan tersebut serta memastikan akses kepada perkhidmatan perubatan berkualiti kekal menjadi keutamaan.

"Sebagai wakil rakyat, saya akan terus bekerjasama rapat dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan klinik dan kemudahan kesihatan kita mendapat sokongan sewajarnya supaya penduduk Kota Sentosa menerima rawatan yang terbaik," tambah beliau.

Beliau turut meluangkan masa beramah mesra dengan pesakit dan kakitangan klinik sambil menyampaikan ucapan perayaan serta mengagihkan angpau dan buah limau sebagai tanda penghargaan dan galakan.

Kehadiran beliau turut disambut mesra warga klinik dan masyarakat mencerminkan pendekatan turun padang serta komitmen berterusan beliau dalam mendekati rakyat.

Majlis berkenaan bukan sahaja menyemarakkan sambutan perayaan, malah mengukuhkan hubungan antara komuniti kesihatan dan masyarakat setempat, sekali gus memperkukuhkan nilai perpaduan, ihsan dan saling menghormati di Kota Sentosa.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-2-2026 11:07 PM | Show all posts
sbh - Kerajaan Negeri sumbang dua kenderaan pacuan empat roda kepada Polis Sabah

swk - UTS galak lebih ramai menjadi penulis untuk kongsi pelbagai ilmu

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

15-2-2026 08:13 PM GMT+8 , Processed in 0.591842 second(s), 29 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list