KUALA LUMPUR: Aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) arah timur semakin tinggi hingga menyebabkan kesesakan lebih 15 kilometer (km) dari arah Gombak ke Genting Sempah, petang ini.
Pengurus Besar Kanan, Ketua ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi, berkata jumlah kenderaan yang semakin bertambah pada sebelah petang menyebabkan aliran trafik semakin perlahan.
"Setakat jam 5.15 petang, trafik masih perlahan sejauh 15.3 kilometer dari Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) hingga ke Plaza Tol Gombak, seterusnya ke arah Genting Sempah dari Kilometer 21.7 hingga KM37.0.
"Tiga lokasi di kawasan Bukit Tinggi juga dilaporkan mengalami kesesakan iaitu dari KM39.3 hingga KM42.7, dari KM43.6 hingga KM45.6 dan dari KM47.0 hingga KM48.5," katanya kepada BH, hari ini.
Radzimah berkata, trafik kini perlahan sejauh 5.3 km dari KM49.5 hingga KM54.8 arah dari Bukit Tinggi ke Lentang dan trafik juga perlahan sejauh satu km di KM56.7 hingga KM57.7 dari Lentang ke Bentong.
Bagaimanapun, katanya, aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) masih lancar di kedua-dua arah.
Dalam pada itu, katanya, aliran trafik menghala ke ibu negara kini mengalami kesesakan lebih enam km dari KM55.8 hingga KM49.7 berikutan kemalangan yang berlaku di KM49.7 arah dari Lentang ke Bukit Tinggi.
Kemalangan dilaporkan berlaku pada jam 3.18 petang tadi membabitkan dua kereta menyebabkan lorong perlahan dan lorong kecemasan terhalang.
Difahamkan, kemalangan tidak membabitkan kecederaan kepada pemandu dan penumpang kedua-dua kenderaan.