Kebiasaannya menjadi tuntutan kepada umat Islam pada setiap tanggal 10 zulhijjah meraikan Aidil Adha sekali gus menyempurnakan ibadah korban sesuai sunnah Nabi Ibrahim AS.
Umumnya definisi ibadah korban ialah (udhhiyyah) iaitu Binatang ternakan yang disembelih untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT pada Hari Raya haji dan tiga hari Tasyri‘.
Allah SWT memerintahkan ibadah korban seperti mana firmanNya dalam surah al-Kauthar: 2 yang bermaksud:
“Maka kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur”.
Fokus utama ibadah korban adalah untuk melihat sejauhmana keikhlasan dan ketakwaan kita sebagai seorang hamba, sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Daging dan darah binatang korban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yan sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa dari kamu”. (Surah al-Hajj: 37)
Nabi SAW bersabda dalam sebuah hadis, mafhumnya:
“Aku diperintahkan dengan menyembelih korban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu”. (Hadis Riwayat Tirmidzi).
Sejarah Ibadah korban yang pertama telah dirakam oleh Allah SWT dalam as-saaffat ayat 102 yang bermaksud:
(Ibrahim berkata) wahai anakku, sesungguhnya aku telah melihat di dalam mimpi bahawa aku menyembelih kamu, maka telitikanlah apa pandangan kamu. (Ismail berkata) wahai bapaku, lakukanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu. Nescaya kamu akan mendapati bahawa aku ini – Insha Allah – tergolong dari kalangan mereka yang sabar
(Surah as-Saffat: 102).
Antara fadhilat ibadah korban menurut Rasulullah SAW ialah menambah amal kebajikan, sesuai dengan sabda baginda:
“Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan”. (Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)
Dalam hadis yang lain ibadah korban boleh menjadi penebus dosa, Nabi SAW bersabda kepada putrinya Saidatina Fatimah RA, mafhumnya:
“Hai Fatimah, berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu”.
(Hadis riwayat al-Bazzar dan Ibnu Hibban)