Sudirman Mohd Tahir
[email protected]
PENYANYI popular Hael Husaini, 32, mengakui berat badannya naik disebabkan pengambilan ubat akibat masalah pita suara yang dialaminya sejak April lalu.
Hael berkata, sejak beberapa bulan lalu dia kurang sihat dan suaranya juga tidak berapa bagus. Doktor kemudian memberikannya beberapa jenis ubat.
“Ubat itu menyebabkan saya berat badan saya cepat naik. Dalam seminggu boleh naik enam hingga lapan kilogram. Daripada berat 53 kilogram sekarang menjadi 61 kilogram.
“Jadi, sekarang saya fokus dulu pengambilan ubat hingga sembuh. Selepas itu saya cuba kembali kepada asal,” katanya.
Sebelum ini, penampilan Hael yang kelihatan berisi menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat.
Menurut Hael, masalah kesihatan dialami itu juga tidak menghalangnya untuk meneruskan ibadah puasa.
“Alhamdulillah, sekarang sudah beransur sembuh. Sikit saja lagi kena habiskan ubat. Selepas itu sudah boleh kurangkan dos.
“Saya tetap berpuasa. Ubat itu tak buatkan selera bertambah dan saya tak makan nasi pun, tapi badan tetap naik. Malah, semua seluar sudah ketat. Harap dapat turun balik sebelum Aidilfitri ini,” katanya.
Walaupun tidak sihat, Hael tetap meneruskan kerjaya nynayiannya seperti yang sudah dipersetujui.
“Saya tetap menyanyi sebab ia tuntutan kerja. Saya kena lunaskan juga,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 1:59 PM