Update:
NEW YORK: Hampir keseluruhan populasi Gaza berdepan kebuluran kronik jika bahan api masih tidak dibenarkan dibawa masuk ke wilayah bergolak itu dalam masa terdekat.
Bahan api penting untuk memastikan bekalan makanan di wilayah itu ‘kekal ada’, sekali gus mengelak krisis kebuluran terburuk.
Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP) memaklumkan, seramai 2.2 juta penduduk Gaza amat memerlukamn bekalan makanan untuk meneruskan kehidupan ketika ini.
Dengan musim sejuk menjelang tiba, pusat perlindungan sementara terlalu sesak dan kekurangan air bersih boleh menyebabkan mereka berdepan kebuluran serius.
Pegawai Kanan Komunikasi WFP bagi Asia Barat dan Afrika Utara, Abeer Etefa berkata, terputusnya bekalan makanan boleh mencetuskan ‘malapetaka’ di Gaza yang sudah pun berdepan dengan situasi sukar.
“Gaza merupakan tempat yang harmoni untuk diduduki sebelum perang, biarpun dikepung Israel, namun kini, keadaan di wilayah itu amat teruk.
“Jika keadaan ketika ini berterusan, kita akan lihat semakin banyak penduduk menjadi kurus, kanak-kanak terbantut akibat kekurangan nutrisi.
“Jika mereka bertuah, dapat makan sehari sudah amat memadai dan selalunya, makanan dalam tin menjadi pilihan kerana mudah dimakan tanpa perlu dimasak,” katanya.
Biarpun trak bantuan kemanusiaan sudah memasuki Gaza, namun bekalan makanan dan air yang dibawa masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan penduduknya.
Hal ini kerana, struktur jalan yang rosak di lintasan Rafah menyebabkan banyak trak sukar melaluinya, selain bahan api juga tidak dibenarkan oleh Israel.
“Sistem bekalan makanan di Gaza semakin runtuh. Pengeluaran makanan juga semakin hampir dihentikan. Pasar tidak lagi beroperasi, nelayan tidak boleh ke laut, petani tidak boleh bercucuk tanam.
“Kedai roti terakhir yang sebelum ini membekalkan makanan kepada penduduk sudah pun menghentikan operasinya kerana tiada bahan api,” ujar Abeer.
Sebelum ini, terdapat 130 kedai roti di seluruh Gaza sebelum perang berlaku dengan 11 daripadanya diketahui musnah dibedil bom Zionis. Kedai yang pula terpaksa ditutup kerana tiada bahan mentah dan bahan api.
Selain itu, WFP juga terpaksa menutup program makanan setempat sejak perang meletus.
Program itu sebelum ini membekalkan roti segar kepada 200,000 penduduk Gaza yang tinggal di pusat perlindungan.
Sementara itu, hanya 25 peratus premis perniagaan di Gaza masih beroperasi dengan kebanyakannya mempunyai bekalan yang amat terhad.
-Utusan
|