|
|
Seramai 47 KMKK bagi kawasan DUN Simanggang terima sijil pelantikan
Februari 9, 2026, Isnin - 3:52pm

Harden (tiga kanan) menyerahkan sijil pelantikan kepada salah seorang KMKK bagi kawasan DUN Simanggang.
SRI AMAN: Seramai 47 ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) bagi kawasan DUN Simanggang menerima sijil pelantikan masing-masing dalam satu majlis yang berlangsung di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN N.32 Simanggang di sini pada Jumaat.
Majlis penyerahan sijil tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Bakat merangkap ADUN Simanggang Datuk Francis Harden.
Daripada jumlah itu, empat ketua masyarakat disambung perkhidmatan, empat pelantikan baharu manakala 39 lagi merupakan pelantikan lanjutan melibatkan ketua kaum di bawah kawasan DUN berkenaan.
Dalam ucapan ringkasnya, ADUN Simanggang Datuk Francis Harden Hollis mengingatkan para KMKK agar melaksanakan tugas selaras dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Pejabat Daerah, termasuk mengemas kini profil kampung serta mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya enam kali setahun.
Harden turut berkata Kerajaan Sarawak telah bersetuju menaikkan gaji KMKK yang berkuat kuasa Januari 2026, sejajar dengan peningkatan beban tugas dan tanggungjawab mereka.
“Dengan komitmen diberikan kerajaan, KMKK perlu meletakkan diri mereka selayaknya untuk melaksanakan tugas seiring dengan polisi dan aspirasi kerajaan,” katanya.
Terdahulu sebelum sesi penyerahan sijil, semua KMKK melafazkan Ikrar Integriti diketuai Tuai Rumah Jubin Hilton Muda, sebagai komitmen untuk melaksanakan tugas dengan penuh amanah dan berintegriti.
Pada majlis itu, Sijil Penghargaan turut disampaikan kepada waris, iaitu isteri kepada Allahyarham Ketua Kaum Shara’ai Abdul Rahim, Ketua Kaum RPR Fasa 1 yang telah meninggal dunia pada 18 November 2025.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Seramai 47 KMKK bagi kawasan DUN Simanggang terima sijil pelantikan
Februari 9, 2026, Isnin - 3:52pm

Harden (tiga kanan) menyerahkan sijil pelantikan kepada salah seorang KMKK bagi kawasan DUN Simanggang.
SRI AMAN: Seramai 47 ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) bagi kawasan DUN Simanggang menerima sijil pelantikan masing-masing dalam satu majlis yang berlangsung di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN N.32 Simanggang di sini pada Jumaat.
Majlis penyerahan sijil tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Bakat merangkap ADUN Simanggang Datuk Francis Harden.
Daripada jumlah itu, empat ketua masyarakat disambung perkhidmatan, empat pelantikan baharu manakala 39 lagi merupakan pelantikan lanjutan melibatkan ketua kaum di bawah kawasan DUN berkenaan.
Dalam ucapan ringkasnya, ADUN Simanggang Datuk Francis Harden Hollis mengingatkan para KMKK agar melaksanakan tugas selaras dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Pejabat Daerah, termasuk mengemas kini profil kampung serta mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya enam kali setahun.
Harden turut berkata Kerajaan Sarawak telah bersetuju menaikkan gaji KMKK yang berkuat kuasa Januari 2026, sejajar dengan peningkatan beban tugas dan tanggungjawab mereka.
“Dengan komitmen diberikan kerajaan, KMKK perlu meletakkan diri mereka selayaknya untuk melaksanakan tugas seiring dengan polisi dan aspirasi kerajaan,” katanya.
Terdahulu sebelum sesi penyerahan sijil, semua KMKK melafazkan Ikrar Integriti diketuai Tuai Rumah Jubin Hilton Muda, sebagai komitmen untuk melaksanakan tugas dengan penuh amanah dan berintegriti.
Pada majlis itu, Sijil Penghargaan turut disampaikan kepada waris, iaitu isteri kepada Allahyarham Ketua Kaum Shara’ai Abdul Rahim, Ketua Kaum RPR Fasa 1 yang telah meninggal dunia pada 18 November 2025.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Platform Kecerdasan Buatan Berdaulat bakal dilaksana
Februari 9, 2026, Isnin - 4:17pm
Sebagai langkah strategik kerajaan perkukuh kedaulatan data, keselamatan maklumat negeri dalam era digital

Busiai memperkenalkan teknologi baharu daripada SAINS. – Gambar UKAS
KUCHING: Platform Kecerdasan Buatan Berdaulat (Sovereign AI) bakal dilaksanakan sebagai langkah strategik Kerajaan Sarawak memperkukuh kedaulatan data serta keselamatan maklumat negeri dalam era digital.
Memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) Busiai Seman berkata, inisiatif tersebut memastikan penggunaan kecerdasan buatan dalam operasi kerajaan dilaksanakan sepenuhnya di bawah kawalan Sarawak.
Ini katanya, khususnya dari aspek pemilikan data dan infrastruktur digital.
“Teknologi baharu yang ingin kami perkenalkan kepada Kerajaan Sarawak, khususnya AI, adalah bagi memastikan ia berada sepenuhnya di bawah kawalan kita sendiri.
"Itulah sebabnya SAINS melabur dalam Platform AI Berdaulat,” katanya dalam temu bual selepas majlis SAINS Spotlight 2026 di sini hari ini.
Beliau menambah, melalui platform tersebut, semua pemprosesan data dan aplikasi AI dilaksanakan di pusat data SAINS menggunakan infrastruktur GPU sedia ada, sekali gus menghapuskan kebergantungan kepada perkhidmatan awan awam serta mengurangkan risiko keselamatan data.
Busiai menjelaskan, kecerdasan buatan digunakan sebagai sokongan operasi bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti, khususnya dalam melaksanakan tugasan rutin supaya penjawat awam dapat memberi tumpuan kepada tugasan peringkat lebih tinggi.

Pengerusi SAINS Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam berucap semasa majlis. – Gambar UKAS
Selain AI Berdaulat, SAINS turut memperkenalkan teknologi Digital Twin yang membolehkan data divisualkan dalam bentuk tiga dimensi, sekali gus menyokong analisis maklumat dan pembuatan keputusan yang lebih berkesan.
Pengerusi SAINS Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan pula berkata, teknologi perlu dimanfaatkan sebagai pemacu strategik pembangunan dan bukan sekadar fungsi sokongan.
“Teknologi hari ini merupakan teras kepada perancangan, penyampaian perkhidmatan dan pembangunan ekonomi, justeru ia perlu digunakan secara bijaksana, bertanggungjawab dan berimpak bagi memastikan Sarawak terus berdaya saing,” katanya.
SAINS Spotlight 2026 yang bertemakan ‘Intelligence-Driven Applications: Designing the Future Today’ menghimpunkan lebih 400 peserta daripada kementerian dan agensi Kerajaan Sarawak sektor swasta dan institusi pengajian tinggi, dan berfungsi sebagai platform perkongsian teknologi serta inovasi digital terkini.
Secara keseluruhannya, penganjuran SAINS Spotlight 2026 mencerminkan komitmen SAINS dalam menerajui transformasi digital Sarawak melalui pendekatan berfokuskan kedaulatan data, keselamatan maklumat dan penggunaan teknologi berimpak tinggi.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
sbh - Wartawan harus utamakan kredibiliti dan integriti: Lichong
swk - Platform Kecerdasan Buatan Berdaulat bakal dilaksana
 |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
salam dan selamat pagi semua
 |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Ilmu pengetahuan pelaburan jangka panjang yang tidak pernah merugikan: Razi
Februari 9, 2026, Isnin - 4:24pm

Razi menyantuni para penerima sumbangan sempena Tahun Baharu Cina pada Majlis Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina di Sarikei, hari ini.
SARIKEI: Ilmu pengetahuan merupakan pelaburan jangka panjang yang tidak pernah merugikan kerana dengan ilmu kita dapat membina potensi diri dan membuka peluang untuk masa depan yang lebih baik.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, jangan sesekali biar anak-anak tercicir daripada persekolahan kerana kemiskinan.
“Tidak dapat kita menafikan hanya dengan menguasai pengetahuan dan kemahiran dapat membawa kita keluar dari kepompong kemiskinan, namun harapan yang tidak disertai dengan usaha tidak akan membuahkan hasilnya.
“Kita dimaklumkan bahawa pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak juga ada menawarkan kursus dan latihan untuk meluaskan ilmu pengetahuan dan memberikan persediaan alam pekerjaan kepada anak-anak klien jabatan dengan membiayai kos kursus dan latihan kepada pelatih Pembangunan Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) secara percuma, khusus kepada anak penerima bantuan JKM di institut kemahiran tempatan.

Razi menyampaikan ucapannya pada Majlis Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina di Sarikei, hari ini.
“Selaras dengan itu, pelbagai syarikat telah bekerjasama dengan jabatan untuk mengesyorkan dan menawarkan latihan kemahiran yang sesuai seterusnya membantu dari segi penawaran peluang pekerjaan dengan pendapatan yang lebih baik kepada anak-anak klien dan hal ini secara tidak langsung akan membantu penerima bantuan untuk mengubah sosioekonomi keluarga mereka,” kata Razi.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina di Dewan Serba Guna Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei, hari ini.
Menurut Razi, pada tahun ini, bagi bahagian Sarikei sejumlah 580 penerima bantuan berbangsa Cina yang menyambut perayaan Tahun Baharu Cina telah dikenal pasti untuk menerima sumbangan perayaan.
Kata Razi, kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat sentiasa berusaha menyalurkan bantuan sewajarnya kepada golongan sasar.
“Bantuan ini bukan sahaja bertujuan meringankan beban tetapi juga sebagai tanda sokongan agar mereka dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
“Secara keseluruhan, sepanjang tahun 2025, bagi lapan Skim Bantuan yang dilaksanakan, kita telah berjaya menyalurkan bantuan kepada seramai 57,073 kes dengan jumlah peruntukan keseluruhan mencecah RM299,784,350.00 .
“Dalam pada itu, kerajaan telah membelanjakan lebih daripada RM1.3 juta dalam sebulan yang merangkumi lapan skim bantuan utama seperti Bantuan Warga Emas (BWE), Bantuan Kanak-Kanak (BKK) dan lain-lain, adalah bukti yang jelas bahawa kerajaan sentiasa memastikan kebajikan golongan sasar kekal menjadi keutamaan,” kata Razi lagi.
Hadir sama ialah Residen Bahagian Sarikei Dato Michael Ronnie Langgong, wakil Ahli Parlimen Sarikei Pemanca Chan Pan Chan, wakil Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Nurin Chunggat dan wakil Pegawai Daerah Sarikei Saeh Han Rong.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kerajaan Sarawak terus pergiat usaha lahir modal insan yang cemerlang
Februari 9, 2026, Isnin - 4:49pm

Harden melakukan simbolik perasmian Program Pembangunan Komuniti di Rumah Reggie Beria, San Kemantan, Undop di Sri Aman baru-baru ini. - Gambar UKAS
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus mempergiat usaha melahirkan modal insan yang cemerlang bagi menyokong pembangunan negeri serta negara pada masa depan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan ialah pengenalan Ujian Penilaian Dual Language Programme Sarawak (UP-DLP) bagi pelajar peringkat sekolah rendah.
Menurut beliau, UP-DLP bertujuan menilai tahap penguasaan murid, khususnya dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, susulan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
"Pelaksanaan langkah terbabit akan membolehkan kerajaan mencari kelemahan dan seterusnya mewujudkan intervensi yang sesuai untuk mengatasi kelemahan terbabit bagi membantu pelajar membina keyakinan diri," katanya memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pembangunan Komuniti anjuran Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) di Rumah Reggie Beria, San Kemantan, Undop di Sri Aman baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu turut menjelaskan, usaha melahirkan modal insan turut diperkukuh menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif pendidikan oleh Kerajaan Sarawak.
Antaranya seperti Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), baucar buku, Skim Laptop Percuma, Skim Graduan Pulang Sarawak (GPS) serta Bantuan Khas Pelajar Sarawak dan sebagainya.
Menurutnya lagi, di Simanggang, kerajaan telah menubuhkan Sarawak Skills yang menawarkan pelbagai kursus bersesuaian dengan permintaan tenaga buruh masa kini kepada lepasan sekolah menengah.
Selain itu Harden berkata, Sarawak Skills turut menawarkan kursus jangka pendek kepada komuniti setempat bagi meningkatkan pengetahuan mereka dalam bidang tertentu.
Sehubungan itu, beliau berharap rakyat Sarawak terus memberi sokongan padu kepada Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg agar visi dan misi pembangunan negeri dapat direalisasikan.
Terdahulu, Program Pembangunan Komuniti MDSA memfokuskan kepada kesedaran mengenai kebersihan dan kesejahteraan komuniti di rumah panjang dengan penduduk turut disajikan dengan beberapa ceramah oleh agensi kerajaan.
Antara ceramah yang disampaikan dalam program berkenaan ialah penyalahgunaan dadah, pencegahan penyakit berjangkit, kemas kini skim bantuan kebajikan dan kepentingan lesen kedai kampung.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Program Dayung Warisan jadi platform wanita dokumentasi, pelihara, hidupkan warisan budaya
Februari 9, 2026, Isnin - 5:51pm

Nancy (enam kanan) merakam gambar bersama peserta Program Dayung Warisan. Turut kelihatan Steffany (lima kanan). - Gambar PENERANGAN
KUCHING: Program Dayung Warisan menjadi platform penting dalam memperkasakan wanita Sarawak untuk mendokumentasi, memelihara dan menghidupkan warisan budaya melalui pendekatan kreatif dan relevan dengan keperluan semasa.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri berkata, program itu bukan sekadar memelihara warisan masa lalu tetapi menjadikan budaya sesuatu yang hidup dan bermakna untuk generasi kini dan akan datang.
“Dayung Warisan diwujudkan untuk melengkapkan wanita dengan kemahiran, sumber dan keyakinan bagi menyelidik, mendokumentasi serta berkongsi warisan budaya dalam bentuk yang lebih dekat dengan masyarakat hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penutupan Program Dayung Warisan di Old Court House di sini hari ini.
Program Dayung Warisan (Dayung Young Heritage Leaders) ini telah dilaksanakan dari Disember 2025 hingga Februari 2026, dengan penekanan terhadap penglibatan beretika bersama komuniti, pembawa tradisi dan konteks peribadi peserta.

Nancy (tengah) melihat salah satu daripada projek yang berjaya disiapkan oleh peserta Program Dayung Warisan. - Gambar PENERANGAN
Pengarah Program Steffany Raymond Landong berkata, seramai 27 peserta berjaya menamatkan program dua bulan ini dengan 17 projek perintis berjaya disiapkan melibatkan pelbagai bentuk karya dan inisiatif seperti dokumentari, podcast, zine, arkib digital dan bengkel kraf tangan.
Kesemua karya dan inisiatif yang dihasilkan itu berkongsi matlamat sama iaitu menceritakan warisan Sarawak melalui suara komuniti sendiri.
Steffany turut berterima kasih kepada pasukan Dayung Warisan atas kerja keras dan kerjasama menjayakan program itu dengan bimbingan empat mentor, Juvita Tatan Wan, Eleanor Nandong, Sonia Luhong Wan dan Sarah Lois Dorai.
Tambah Nancy, impak Dayung Warisan bukan hanya terletak pada hasil dokumentasi budaya yang berkualiti, tetapi juga dalam memperkukuh keyakinan, keupayaan dan peranan peserta sebagai pengamal budaya, sekali gus menyumbang kepada kesinambungan warisan hidup yang boleh diakses, relevan dan dipelihara secara bertanggungjawab.
Beliau turut berharap jaringan persabahan dan kerjasama yang terjalin melalui Dayung Warisan akan berterusan serta melahirkan lebih ramai pemimpin wanita dalam bidang warisan budaya di Sarawak.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Wanita SUPP Senadin raikan 20 penghuni Rumah Warga Emas Miri
Februari 9, 2026, Isnin - 5:59pm

Lee (berdiri, 11 kiri) dan Thian (berdiri, enam kiri) bersama ahli-ahli Sayap Wanita SUPP Senadin serta penghuni Rumah Warga Emas Miri pada majlis makan tengah hari di Hotel Meritz, hari ini.
MIRI: Seramai 20 penghuni Rumah Warga Emas Miri diraikan pada majlis makan tengah hari awal sempena Tahun Baharu Cina di sebuah hotel tempatan di sini, hari ini, anjuran Sayap Wanita SUPP Senadin.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin berkata, ini merupakan tahun kedua berturut-turut Sayap Wanita SUPP Senadin menganjurkan program seumpama itu.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan bertujuan memberi peluang kepada para penghuni untuk menikmati suasana berbeza, menghirup udara segar serta menikmati hidangan istimewa di luar rutin harian mereka.
“Kami amat berterima kasih kepada Hotel Meritz kerana menaja majlis makan tengah hari pada hari ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis tersebut.
Lee turut memuji penglibatan aktif Sayap Wanita SUPP Senadin dalam program berasaskan komuniti, khususnya usaha mereka mendekati golongan kurang bernasib baik dan memerlukan, terutama semasa musim perayaan.
Turut hadir Ketua Wanita SUPP Senadin Kaunselor Thian Sew Lan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Penunggang motosikal maut selepas terlibat kemalangan
Februari 9, 2026, Isnin - 6:42pm
KUCHING: Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat kemalangan membabitkan dua kenderaan di jalan pekan Batu Kawa dekat sini, petang semalam.
Ketua Polis Derah Padawan Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata kemalangan itu berlaku pada jam 2.30 petang.
“Kejadian berlaku di jalan pekan Batu Kawa, melibatkan sebuah kereta dan motosikal.
“Mangsa penunggang motosikal, lelaki tempatan berumur 59 tahun meninggal dunia di hospital,” katanya ketika dihubungi.
Kes katanya disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lori sarat dengan muatan barang terbakar
Februari 9, 2026, Isnin - 7:33pm
BINTULU: Sebuah lori yang sarat dengan muatan barangan telah terbakar di Jalan Pesisir Pantai Bintulu-Miri, hari ini.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju bergegas ke lokasi setelah menerima panggilan berhubung kebakaran sekitar jam 3.53 petang.
"Sejurus sampai di lokasi pasukan bomba mendapati berlaku kebakaran yang melibatkan sebuah lori yang memusnahkan barangan berupa gulungan hos yang dibawa menggunakan lori berkenaan," jelasnya.
Pasukan bomba kemudiannya bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan dua aliran air salur bantu mula bagi mengelakkan kebakaran merebak.
Setelah hampir 10 minit memadam kebakaran api akhirnya berjaya dikawal sekitar jam 4.01 petang.
Mujurlah katanya, kebakaran tersebut tidak mendatangkan kecederaan atau kemalangan jiwa.
Setelah api berjaya dipadam dan tiada berlaku kebakaran berulang, pasukan bomba menamatkan operasi sebelum balik ke balai.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
MUT sedang menilai pelan bangunkan loji rawatan air baharu itu bagi perkukuh bekalan air di Samarahan, Serian
Februari 9, 2026, Isnin - 7:36pm

Julaihi bersama yang lain menunjukkan buku Pelan Tahunan 2026 dan buku ‘Key Facts and Figure 2025’ pada Majlis Amanat Bersama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak di sebuah hotel di Kuching hari ini - . Gambar Kong Jun Liung
KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) sedang menilai pelan untuk membangunkan loji rawatan air baharu di Sebuyau dan Tebedu bagi memperkukuh bekalan air di bahagian Samarahan dan Serian.
Menterinya Dato Sri Julaihi Narawi berkata, sebahagian kawasan di bahagian Samarahan tidak mempunyai loji rawatan air yang mampu memenuhi permintaan air bersih dan terawat yang semakin meningkat, meskipun kawasan itu pesat membangun.
Sebagai langkah sementara, beliau berkata, kawasan Samarahan kini menerima liputan bekalan air daripada Loji Rawatan Air Batu Kitang.
“Bahagian Samarahan tidak mempunyai sebarang fasiliti yang boleh menghasilkan air bersih dan terawat kecuali di Sebuyau. Namun, loji rawatan air di Sebuyau adalah kecil dengan kapasiti hanya 3.5 juta liter sehari.
“Oleh itu, saya telah mengarahkan Sarawak Water dengan kerjasama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) untuk menilai semula dan membuat kajian bagaimana kita boleh memenuhi permintaan air bersih dan terawat di bahagian Samarahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Bersama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak di sebuah hotel di sini, hari ini.
Menurut Julaihi, beliau turut meminta JBALB supaya menilai lokasi berpotensi di Samarahan untuk pembangunan fasiliti baharu yang boleh menjadi sokongan kepada Loji Rawatan Air Batu Kitang.
“Alhamdulillah, kita telah mengenal pasti kawasan di Sebuyau yang mempunyai bekalan air mentah yang mencukupi untuk menyokong pembinaan loji rawatan air baharu pada masa depan.
“Saya telah mengarahkan JBALB untuk menggunakan bekalan air mentah yang mencukupi ini bagi membina loji baharu dengan kapasiti sekurang-kurangnya 20 juta liter sehari, yang akan menyediakan sokongan kukuh kepada Loji Batu Kitang,” kata beliau.
Pada masa sama ujarnya, JBALB juga diminta menilai kesesuaian pembinaan loji rawatan air lain di Tebedu.
“Saya difahamkan kawasan Tebedu pun mempunyai bekalan air mentah yang mencukupi untuk pembangunan loji baharu di bahagian Serian, yang akan menjadi sokongan kepada Loji Rawatan Air Slabi,” katanya.
Menurutnya, Loji Slabi kini mempunyai kapasiti pengeluaran air terawat sebanyak 110 juta liter sehari.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan bahawa Sarawak akan mampu memenuhi permintaan air pada masa depan.
“Apatah lagi, kita (Sarawak) juga sedang melaksanakan sistem bekalan air alternatif menggunakan teknologi sesuai untuk memastikan bekalan air bersih dan terawat mencukupi untuk rakyat di seluruh negeri,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Acara Karnival Tahun Kuda 2026 semarakkan Miri
Februari 9, 2026, Isnin - 7:51pm

Chiew (dua kiri) menyampaikan cenderamata Tahun Melawat Malaysia 2026 daripada kementeriannya untuk para peniaga yang menjayakan karnival tersebut.
MIRI: Karnival Tahun Kuda 2026 yang berlangsung selama seminggu bermula 5 hingga 14 Februari di sini, menjadi tumpuan ribuan pengunjung apabila mengetengahkan pelbagai aktiviti kebudayaan, persembahan tradisional serta pasar malam yang meriah, sekali gus menyemarakkan sambutan Tahun Baharu Cina yang meraikan ketibaan Tahun Kuda.
Karnival yang diadakan di kawasan tempat letak kereta terbuka pusat beli-belah Boulevard itu menampilkan lebih 50 gerai menjual pelbagai juadah perayaan, makanan serta hasil kraf tangan, sekali gus mempamerkan keunikan warisan budaya Cina di samping mempromosikan identiti masyarakat majmuk Sarawak.
Program itu berlangsung setiap hari jam 5 petang hingga 11 malam.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man berkata, suasana ceria dan penuh kemeriahan yang dapat disaksikan sepanjang karnival tersebut jelas mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.
Berucap pada majlis perasmian karnival itu pada malam Sabtu lalu, beliau berkata penganjuran semula karnival berkenaan amat bermakna bagi menghidupkan kembali keceriaan sambutan Tahun Baharu Cina, selepas program tersebut sebelum ini dihentikan buat sementara waktu.
“Sambutan Tahun Baharu Cina di Miri seharusnya berlangsung dalam suasana meriah dan penuh kegembiraan. Semangat inilah yang melambangkan perpaduan serta perkongsian budaya dalam kalangan rakyat,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur dan para peserta atas komitmen mereka menjayakan acara berkenaan.
Chiew berkata, penganjuran acara berwarna-warni seperti karnival tersebut amat penting, khususnya dalam usaha menyokong inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi menarik lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa ke Miri.
Beliau memberi jaminan akan terus bekerjasama dengan lebih banyak organisasi bagi merancang penganjuran acara seumpama itu pada masa akan datang, sekali gus mempromosikan Miri sebagai sebuah bandar raya yang kaya dengan budaya serta terkenal dengan keramahan penduduknya.
Beliau turut menegaskan komitmennya sebagai Timbalan Menteri untuk terus memperkasa industri pelancongan Miri yang disifatkan sebagai antara pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
“Dengan meraikan detik perayaan ini bersama-sama, kita akan terus membangunkan Miri yang lebih meriah, harmoni dan makmur demi kesejahteraan keluarga serta generasi akan datang,” katanya.
Penganjur menyasarkan lebih 25,000 pengunjung sepanjang tempoh karnival, yang dijangka memberi limpahan ekonomi kepada sektor runcit dan pelancongan kulinari di bandar ini.
Sepanjang karnival, pengunjung bakal disajikan dengan persembahan kebudayaan Cina setiap malam yang menampilkan tema berbeza, termasuk lebih 60 persembahan tarian singa dan naga, tarian tradisional Cina serta persembahan etnik Sarawak seperti ngajat Iban dan tarian buluh Bidayuh.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
RM1.05 bilion diperuntuk kepada MUT di bawah Alternative Funding, RMK13 2026
Februari 9, 2026, Isnin - 7:54pm

Julaihi ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Bersama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak di Kuching semalam. - Gambar Kong Jun Liung
KUCHING: Sebanyak RM1.05 bilion diperuntukkan Kerajaan Sarawak kepada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) di bawah Alternative Funding dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tahun 2026.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata, peruntukan kewangan yang tinggi itu disalurkan bagi melaksanakan pelbagai projek dan program berkaitan utiliti serta telekomunikasi yang telah diluluskan.
“Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan kewangan yang tinggi kepada kementerian iaitu sebanyak RM1.05 bilion di bawah Alternative Funding dan RMK13 pada tahun 2026 bagi melaksanakan projek dan program utiliti serta telekomunikasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Bersama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi di sebuah hotel di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Julaihi menyeru semua agensi pelaksana supaya melaksanakan projek dan program yang telah diluluskan dengan segera serta mengikut peruntukan yang telah ditetapkan.
“Saya menyeru semua agensi melaksanakan projek dan program yang telah diluluskan dengan segera dan mengikut peruntukan yang ditetapkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Julaihi turut menegaskan kepentingan pemantauan berterusan di peringkat lapangan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dan sebarang isu dapat dikenal pasti lebih awal.
“Saya juga menyeru agar agensi kerap turun padang dan melakukan pemantauan rapi di tapak lapangan supaya tindakan penyelesaian dapat dilakukan segera sekiranya projek tersebut menghadapi masalah,” katanya.
Beliau menambah, tindakan tegas perlu diambil sekiranya prestasi kontraktor didapati tidak memuaskan bagi memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut perancangan dan mencapai objektif yang ditetapkan.
Mengenai inisiatif penambahbaikan infrastruktur fiber, Julaihi memberitahu SACOFA sedang melaksanakan inisiatif penambahbaikan rangkaian sedia ada yang melibatkan kerja naik taraf rangkaian fiber optik, peningkatan kapasiti rangkaian serta pengukuhan infrastruktur sokongan.
Menurutnya, inisiatif itu bertujuan menyokong penyediaan perkhidmatan oleh syarikat telekomunikasi seperti CelcomDigi, Maxis, U-Mobile dan lain-lain.
“Oleh itu, saya harap SACOFA melaksanakan inisiatif ini seperti yang telah dirancang bagi mengurangkan kesesakan rangkaian serta menyediakan kualiti sambungan Internet yang lebih stabil, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Hadir sama Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi) Datuk Liwan Lagang dan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Datu Jafri Lias.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
RM199 juta laksana projek bekalan elektrik di seluruh negeri tahun ini
Februari 9, 2026, Isnin - 8:11pm

Julaihi melakukan gimik pelancaran Pelan Tahunan 2026 sambil disaksikan yang lain pada pada Majlis Amanat Bersama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi di sebuah hotel di Kuching hari ini. - Gambar Kong Jun Liung
KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan sebanyak RM199 juta peruntukan di bawah Alternative Funding dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tahun 2026 untuk melaksanakan projek bekalan elektrik di seluruh negeri.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata, justeru Sarawak Energy perlu membuat perancangan dan pelan tindakan yang rapi di bawah peruntukan tersebut.
“Ia agar projek-projek di bawah peruntukan ini dilaksanakan mengikut jadual dan peruntukan dibelanjakan sepenuhnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Bersama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi di sebuah hotel di sini, hari ini.
Menurut Julaihi, liputan keseluruhan bekalan elektrik di Sarawak setakat ini telah mencapai 99.7 peratus dengan kapasiti penjanaan bekalan elektrik pula mencecah 5,898 megawatt.
“Selaras dengan aspirasi Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari, kapasiti penjanaan disasarkan meningkat kepada 10 gigawatt menjelang 2030 dan 15 gigawatt menjelang 2035.
“Sekurang-kurangnya 60 peratus campuran penjanaan daripada sumber tenaga boleh baharu seperti hidro, solar, Sumber Kuasa Melata (CPS), Hidroelektrik Simpanan Pam (PSH) dan biomas,” katanya.
Sehubungan itu, Julaihi berharap Sarawak Energy memainkan peranannya selaku pembeli tunggal dengan lebih proaktif bagi menggalakkan pelaburan dalam pembangunan yang berasaskan kepada sumber tenaga boleh baharu.
“Saya amat yakin usaha ini bukan sahaja dapat memperkukuh ekosistem tenaga boleh baharu di Sarawak, malah merealisasikan visi Kerajaan Sarawak untuk muncul sebagai hab tenaga boleh baharu di rantau ini,” katanya.
Mengenai program Pemohon Tambahan atau Lewat (ALAF), beliau menggesa Sarawak Energy mempercepatkan pelaksanaannya selaras dengan perancangan yang telah ditetapkan.
“Kita perlu menyedari bahawa gaya hidup penduduk di luar bandar telah banyak berubah seiring dengan pembangunan yang pesat, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap bekalan elektrik.
“Kita juga sedia maklum bahawa beberapa kawasan terutama di luar bandar sering mengalami gangguan bekalan elektrik, termasuk semasa musim perayaan di sesetengah tempat.
“Oleh itu, saya harap Sarawak Energy meneruskan usaha menambah baik kualiti bekalan elektrik terutama di luar bandar dengan lebih agresif lagi agar masalah ini dapat ditangani dan diatasi dengan segera,” tambahnya.
Sementara itu, beliau menzahirkan keyakinan bahawa pelaksanaan 77 program yang digariskan dalam Pelan Tahunan 2026 mampu dilaksanakan dengan lebih cemerlang berdasarkan rekod pencapaian sebelum ini.
“Pencapaian Pelan Tahunan 2025 adalah sebanya 99 peratus berbanding 98 peratus pada tahun 2024.
“Pencapaian ini bukan sekadar angka, malah mencerminkan perancangan dan pelaksanaan yang berkesan serta tahap kerjasama dan sinergi yang amat baik antara kementerian dan agensi-agensi di bawahnya.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua yang terlibat. Pencapaian ini wajar dijadikan pemangkin untuk melonjakkan prestasi kementerian ke tahap yang lebih tinggi pada masa depan,” ujarnya.
Tambahan pula katanya, Pelan Tahunan yang diperkenalkan sejak tahun 2023 telah terbukti berkesan dalam membantu Utiliti dan Telekomunikasi merangka dan melaksanakan pelan tindakan serta inisiatif yang telah dirancang dengan lebih efektif dan efisien.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Transformasi digital modenkan pentadbiran tanah
Februari 9, 2026, Isnin - 8:14pm
Pendigitalan bukan untuk ganti pegawai, sebaliknya perkasa keupayaan perkhidmatan

Abang Johari (duduk di tengah) bersama tetamu kehormat yang lain serta para peserta LANDAS SUMMIT 2026 di Bintulu, hari ini.
BINTULU: Transformasi digital dilihat sebagai elemen terpenting dalam memodenkan pengurusan tanah di negeri ini, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, pendigitalan bukan bertujuan menggantikan peranan pegawai, sebaliknya bagi memperkasakan keupayaan perkhidmatan termasuk meningkatkan kecekapan sistem.
"Sebagaimana semua maklum, penggunaan sistem maklumat tanah bersepadu, pemetaan digital, teknologi GIS, permohonan dalam talian serta perkongsian data antara agensi akan membantu mempercepatkan proses, mengurangkan kesilapan dan meningkatkan tahap ketelusan," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Land and Survey (LANDAS) SUMMIT 2026 di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Pada masa sama katanya, beliau mengingatkan agar aspek keselamatan data dan privasi juga perlu diberi perhatian serius.
Semua usaha ini katanya, harus sejajar dengan hala tuju pembangunan Sarawak di bawah PCDS 2030 yang mana pengurusan tanah memainkan peranan penting dalam menyokong pertanian moden.
"Ia merangkumi industri bernilai tinggi, pelancongan mampan, ekonomi digital serta pembangunan sosial," jelasnya.
Dalam pada itu katanya, setiap keputusan berkaitan tanah sebenarnya membentuk landskap ekonomi dan sosial Sarawak pada masa depan.
Mengulas mengenai modal insan dan budaya organisasi bagi memastikan keberkesanan sistem, modal insan merupakan aset paling berharga yang mana kekuatan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) terletak pada kompetensi, integriti dan dedikasi warganya.
Menurutnya, pelaburan dalam latihan berterusan, pembangunan kepimpinan, peningkatan kemahiran teknikal serta pengukuhan nilai etika perlu terus diperkasakan.
"Pegawai bukan sahaja harus mempunyai kemahiran dari segi teknikal, malah mesti bersifat mesra rakyat, berfikiran terbuka, inovatif dan berorientasikan perkhidmatan," jelasnya.
Pada masa sama katanya, penglibatan komuniti dan kerjasama pelbagai pihak juga amat penting dalam pengurusan tanah.
Dialog yang berterusan ujarmya dengan masyarakat setempat, ketua adat, pemaju, institusi akademik dan pertubuhan masyarakat sivil akan membantu membina persefahaman serta mengurangkan konflik.
"Apabila rakyat merasa dihormati dan didengari, proses pembangunan akan berjalan dengan lebih lancar dan harmoni," tambahnya.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Pengarah Tanah dan Survei Sarawak Datu Awang Zamhari Awang Mahmood, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua dan Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti antara yang hadir.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|