Penolong Pegawai Dakwah PERKIM, Amran Anberasu Abdullah mengislamkan Teoh Hui Kein di Pejabat PERKIM. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Kisah 2
Membesar dengan tanggapan salah terhadap Islam membuatkan Teoh Hui Kein takut menyuarakan hasrat memeluk Islam kepada keluarganya.
Teoh, 37, berkata, keluarganya yang berpegang kepada ajaran Buddha tidak dapat menerima Islam kerana melihat pelbagai isu negatif membabitkan Muslim.
"Saya tertarik dengan Islam sejak dulu lagi kerana tenang mendengar azan dan bacaan surah pendek di surau dan masjid.
"Tetapi saya takut dengan keluarga yang sering dimomokkan dengan banyak salah faham contohnya kes bunuh dan rompak dilakukan orang Islam," katanya selepas mengucap dua kalimah syahadah di Perkim di sini, baru-baru ini.
Namun katanya, segalanya berubah sejak bakal isteri, Yuni Rustini Herawati Harun Hermawan, 27, memberi dorongan dan menyakinkan keluarganya berhubung niat memeluk Islam.
"Bakal isteri banyak memainkan peranan dalam pengislaman saya. Dia bukan saja mengajar saya asas Islam, malah menunjukkan contoh termasuk melayan orang tua saya dengan baik sehingga mereka mengubah persepsi negatif tentang Islam.
"Selepas mendapat restu orang tua, saya nekad memeluk Islam," katanya.
Katanya, dia tidak rasa terbeban mendalami Islam termasuk perlu menghadiri kelas fardu ain dan mengaji.
"Saya belajar fardu ain dan mengaji di bawah Lembaga Zakat Selangor di Masjid Bukit Indah, Ampang.
"Walaupun masih banyak tak tahu tentang Islam, saya tak rasa beban kerana memang ini jalan saya pilih tanpa paksaan sesiapa.
"Saya juga meneruskan rutin membantu golongan memerlukan tanpa mengira warna kulit yang saya lakukan sejak beberapa tahun lalu," katanya.
|