CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: Vellfire

[Borneo] Rumah Borak Borneo~Auk ajaklah

[Copy link]
 Author| Post time 7-2-2026 03:45 PM | Show all posts
KPDN sertai jawatankuasa khas tangani salah guna pas lawatan sosial, lambakan produk asing
Februari 7, 2026, Sabtu - 3:37pm



DAKWAT: Armizan menitikkan dakwat ke mata kepala singa sebagai simbolik membuka mata kepala singa semasa majlis terbabit.

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyertai Jawatankuasa Khas Antara Kementerian bagi menangani isu penyalahgunaan pas lawatan sosial serta risiko lambakan produk asing dalam pasaran tempatan.

Penubuhan jawatankuasa itu diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 6 Februari 2026 seperti diumumkan Menteri Komunikasi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, jawatankuasa berkenaan diselaraskan Kementerian Kewangan dengan penglibatan beberapa kementerian utama termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta KPDN.

Menurutnya, isu berkenaan dibangkitkan wakil badan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan yang mendakwa berlaku penyalahgunaan pas lawatan sosial untuk tujuan perniagaan dan pekerjaan.

“Situasi ini memberi kesan langsung kepada peluang ekonomi dan perniagaan pemain tempatan.

“Ada pihak menggunakan pas lawatan sosial untuk bekerja atau menjalankan perniagaan. Perkara ini menjejaskan peniaga serta usahawan PMKS yang mematuhi peraturan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Pelancaran dan Pecah Tanah Kinarut Palm Avenue iatu satu lagi projek pembangunan oleh WSG Group.

Pada masa sama, Kabinet bersetuju dengan cadangan KPDN supaya jawatankuasa sama turut meneliti risiko lambakan produk asing dalam negara.

Armizan berkata, kebimbangan timbul susulan kemasukan barangan dari luar sama ada melalui jualan dalam talian oleh pengguna atau import oleh pelabur dalam dan luar negara untuk kegunaan projek serta perusahaan masing-masing.

Menurutnya, senario itu berpotensi mewujudkan lambakan produk luar sekali gus menjejaskan pasaran barangan keluaran tempatan.

“Keadaan berkenaan boleh mengancam kelangsungan perniagaan PMKS yang bergantung kepada pasaran domestik.

“Selain itu, terdapat kebimbangan berkaitan aspek keselamatan pengguna, khususnya membabitkan standard serta kualiti produk yang masuk tanpa kawalan menyeluruh.

“Produk yang tidak memenuhi piawaian boleh menimbulkan risiko keselamatan dan menjejaskan keyakinan pengguna terhadap pasaran tempatan,” katanya.

Sehubungan itu katanya, penyelarasan antara kementerian dan agensi berkaitan penting memandangkan isu berkenaan merentasi pelbagai bidang kuasa termasuk perundangan, dasar, penguatkuasaan dan pemantauan.

Armizan berkata, pendekatan bersepadu diperlukan bagi memastikan tindakan lebih berkesan dapat dilaksanakan.

Beliau menegaskan KPDN mengalu-alukan penubuhan jawatankuasa khas itu kerana selari dengan agenda kementerian untuk menggalakkan serta mengutamakan pembelian barangan tempatan.

Katanya, langkah berkenaan mampu melindungi kepentingan peniaga dan usahawan tempatan selain memastikan pasaran domestik kekal mampan.

“Kita mahu ekosistem perniagaan yang adil, selamat dan memberi ruang kepada produk tempatan berkembang,” katanya.



Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 7-2-2026 03:46 PM | Show all posts
Sbh - KPDN sertai jawatankuasa khas tangani salah guna pas lawatan sosial, lambakan produk asing

Swk - Gotong-royong perlu dijadikan amalan berterusan di peringkat kampung: Hasidah

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 03:47 PM | Show all posts
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 10:24 PM | Show all posts
Pembangunan Kinarut Palm Avenue lengkapkan ekosistem bandar baharu Papar
Februari 7, 2026, Sabtu - 3:46pm



RASMI: Armizan dan tetamu lain memotong reben sebagai simbolik perasmian Kinarut Palm Avenue.

PAPAR: Kinarut Palm Avenue bakal menjadi pemangkin baharu pertumbuhan ekonomi setempat sekali gus melengkapkan ekosistem pembangunan Kinarut New Township yang digerakkan oleh WSG Group.

Projek komersial berkenaan menampilkan 52 unit lot kedai bersama pelbagai kemudahan sokongan termasuk gimnasium, pasar raya, ballroom dan pawagam Ten Star Cinema, sekali gus menambah nilai gaya hidup penduduk sekitar Papar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kehadiran komponen perniagaan dan hiburan berkenaan mencerminkan keyakinan pelabur swasta terhadap potensi Papar sebagai kawasan yang terus berkembang.

Menurutnya, pembangunan baharu itu menyusul kejayaan fasa terdahulu iaitu Kinarut Palm Square dan Kinarut Palm City yang memacu perubahan landskap bandar di kawasan berkenaan.

“Saya ucap tahniah kepada WSG Group kerana bergerak pantas melaksanakan projek dengan kemajuan kerja yang lancar.

“Ini bukti pemaju tempatan mampu memacu transformasi perbandaran secara konsisten,” katanya semasa menyempurnakan Majlis Pelancaran dan Pecah Tanah Kinarut Palm Avenue iatu satu lagi projek pembangunan oleh WSG Group.

Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan WSG Datuk Susan Wong Siew Guen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang Datuk Sri Ghulam Haidar Khan Bahadar.

Armizan berkata, Papar tidak lagi dilihat sebagai kawasan luar bandar semata-mata, sebaliknya berkembang sebagai zon pinggir bandar dengan limpahan pembangunan moden yang semakin ketara.

“Dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, Papar dijangka menikmati lebih banyak pelaburan baharu yang membuka ruang kepada pertumbuhan ekonomi serta peningkatan taraf hidup masyarakat.

“Manfaat paling utama daripada pembangunan berkenaan ialah peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan untuk berniaga selain mewujudkan lebih banyak pekerjaan kepada belia setempat,” katanya.

Beliau turut menggesa pemaju supaya memberi keutamaan kepada anak tempatan dalam pengambilan pekerja bagi memastikan limpahan ekonomi kekal dalam komuniti Papar.

Pada masa sama, Armizan menegaskan setiap projek pembangunan perlu bergerak seiring dengan penyediaan infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik, jalan raya serta utiliti lain bagi mengelakkan kesesakan dan isu keselamatan.

Katanya, beberapa projek naik taraf jalan utama termasuk laluan dari Putatan hingga ke SMK Kinarut kini menunggu keputusan lembaga perolehan Kementerian Kerja Raya sebelum pelaksanaan dapat dipercepat.

“Selain itu, cadangan pembinaan jambatan baharu dan penambahbaikan rangkaian jalan sekitar kawasan berkenaan juga diberi perhatian bagi mengelakkan kesesakan apabila lebih banyak projek siap kelak.

“Dalam aspek bekalan air, kebergantungan kepada sumber sungai sahaja tidak mampan, justeru kerajaan meluluskan cadangan pengambilan air kedua di Kampung Kabang bagi menampung permintaan masa depan.

“Perancangan jangka panjang penting supaya pertumbuhan pesat tidak menimbulkan tekanan terhadap kemudahan awam dan kualiti hidup penduduk,” katanya.

Dalam sektor pelancongan pula, kerajaan negeri disaran menilai penglibatan pelabur luar dalam pengoperasian resort dan chalet supaya pemain tempatan tidak terpinggir daripada rantaian perniagaan.

Mengulas aspek komuniti, Armizan mencadangkan pemaju menyediakan ruang riadah awam seperti trek berjalan kaki dan joging agar kawasan komersial berkenaan mesra keluarga.

“Pembangunan bukan hanya bangunan dan kedai, tetapi juga ruang untuk masyarakat beriadah dan berinteraksi. Ini penting untuk kesejahteraan penduduk,” katanya.

Dengan gabungan kemudahan komersial, sokongan infrastruktur dan peluang pekerjaan, Kinarut Palm Avenue dilihat mampu memperkukuh kedudukan Papar sebagai hab pertumbuhan baharu di pantai barat Sabah.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 10:26 PM | Show all posts
Residensi SMJ, solusi baharu atasi setinggan berisiko di Tawau
Februari 7, 2026, Sabtu - 4:07pm



SUMBANGAN: Lo bersama Nizam menyampaikan sumbangan kepada 80 keluarga mangsa kebakaran.

TAWAU: Kerajaan negeri bercadang membina Residensi SMJ, projek baharu secara berkelompok dan bertingkat bagi menangani masalah kebakaran serta isu penempatan setinggan berisiko tinggi di Tawau.

Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui berkata, projek itu adalah lanjutan daripada inisiatif Rumah Mesra SMJ yang banyak membantu rakyat di negeri ini terutamanya golongan kurang berkemampuan.

Katanya, projek Residensi SMJ itu akan memberi keutamaan kepada mangsa kebakaran serta penduduk setinggan yang tinggal di kawasan berisiko.

“Kita telah meneliti masalah setinggan di Tawau dan sudah tiba masanya untuk menangani isu kebakaran, kecurian elektrik, bekalan air serta masalah sosial lain yang menjejaskan keselamatan penduduk,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi mangsa kebakaran di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kompleks Sukan Tawau bersama ADUN Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, hari ini.

Menurutnya, cadangan projek Residensi SMJ telah dibincangkan dalam kunjungan hormat bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor pada bulan lalu dan mendapat sokongan penuh.

“Projek ini bukan sahaja untuk Tawau, tetapi akan diperluaskan ke seluruh Sabah dan lokasinya juga sedang diteliti.

“Kita mahu membina projek ini bukan sekadar sesuai untuk pembinaan rumah, malah turut mengambil kira peluang pekerjaan, pembangunan komuniti dan kemudahan pergerakan penduduk,” katanya.

Lo berkata, kerajaan negeri memberi perhatian khusus kepada kawasan yang dikenal pasti sebagai ‘black spot’ kebakaran, termasuk Batu 2, Batu 4 dan sebahagian kawasan Balung, yang akan diberi keutamaan untuk pembinaan Residensi SMJ.

Katanya, projek baharu itu akan dibina secara berkelompok dan bertingkat, menyerupai Program Perumahan Rakyat (PPR), namun menekankan ciri keselamatan yang lebih baik serta kemudahan asas yang lengkap.

“Kita yakin pembinaan Residensi SMJ akan bermula dalam tahun ini. Projek ini diharap dapat meringankan beban mangsa kebakaran dan penduduk setinggan yang selama ini terdedah kepada pelbagai risiko,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa projek Residensi SMJ dijangka menjadi penyelesaian jangka panjang bagi masalah kebakaran, keselamatan dan isu sosial lain di kawasan berisiko tinggi di Tawau.

“Kerajaan negeri akan terus meneliti lokasi-lokasi lain yang sesuai untuk projek Residensi SMJ agar dapat memberi manfaat kepada lebih ramai keluarga, terutama mereka yang terkesan akibat kebakaran dan masalah setinggan,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 10:30 PM | Show all posts
Masalah peniaga didengari, MBKS sedia membantu: Wee
Februari 7, 2026, Sabtu - 3:50pm



Wee (tengah) bergambar kenangan bersama para penjaja kecil di Pasar Bintawa, hari ini.

KUCHING: Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng (gambar) memberi jaminan bahawa setiap isu dan keperluan para peniaga kecil serta penjaja di pusat-pusat penjaja sekitar bandar ini sentiasa didengari dan diberi perhatian serius.

Beliau berkata, inisiatif turun padang serta perjumpaan bersama komuniti penjaja bukan sekadar program simbolik, malah bertujuan memastikan hubungan dua hala yang lebih rapat antara MBKS dan komuniti setempat dan membuka ruang berkomunikasi secara langsung.



“Program ini bermula di Pasar Sungai Apong minggu lalu dan kini diteruskan di Pasar Bintawa di sini seterusnya ke Pasar Kenyalang dan juga Pasar Stutong.

"Ini adalah tanda penghargaan kepada para penjaja yang telah beroperasi di kawasan ini selama bertahun-tahun dan banyak membantu membangunkan bandar serta menyediakan makanan pada harga yang berpatutan kepada penduduk sekitar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina bersama Penjaja Pasar Bintawa di sini, hari ini.

Menurut beliau, MBKS komited untuk memastikan kelestarian perniagaan penjaja terus terpelihara termasuk mengekalkan kadar sewaan tanpa kenaikan serta melaksanakan penambahbaikan infrastruktur dan persekitaran pasar dari semasa ke semasa bergantung kepada peruntukan dan geran yang diperoleh.

“Kami tidak pernah menaikkan kadar sewaan dan setiap kali ada peruntukan kami akan berusaha menambah baik persekitaran dan kemudahan di kawasan pasar dan pusat penjaja. Ini adalah sokongan berterusan kami kepada mereka,” jelasnya.

Beliau turut menyatakan bahawa program perjumpaan sedemikian dianjurkan sebagai platform untuk menghubungkan semua penjaja, kaunselor serta pegawai MBKS dalam suasana yang lebih santai dan mesra untuk menggalakkan perkongsian pandangan, cadangan penambahbaikan dan penyelesaian masalah.

“Kami mahu semua orang berhubung, berkongsi apa yang perlu diperbaiki termasuk masalah dan apa sahaja yang ingin disampaikan kepada kami.

“Kami mahu mereka tahu bahawa mereka tidak perlu pergi jauh untuk mencari kami kerana kami sentiasa ada di sini,” katanya.

Tambah beliau, kehadiran perkhidmatan bergerak MBKS di kawasan pasar dan pusat penjaja juga membuktikan keterbukaan pihak majlis dalam memudahkan urusan serta mengelakkan salah faham berkaitan aduan dan komunikasi.

“Saya mahu mereka tahu, kami dengar, kami lihat dan kami ada untuk mereka. Masalah mereka didengari dan kami sedia membantu,” tegasnya.

Wee pada masa yang sama turut menekankan kepentingan mewujudkan rasa kekitaan dan semangat kekeluargaan dalam kalangan komuniti penjaja dengan MBKS sebagai sebahagian daripada ‘keluarga’ tersebut.

“Tempat ini milik mereka. Mereka adalah sebahagian daripada keluarga ini dan kami sebagai majlis bandar raya juga adalah sebahagian daripada keluarga mereka. Apa sahaja keperluan, kami ada bersama mereka,” ujarnya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 7-2-2026 10:33 PM | Show all posts
Chong seru penerima lesen subsidi B2 berhemah ketika menunggang motosikal
Februari 7, 2026, Sabtu - 3:52pm



Chong ditemani Norizan (tiga kiri) menunjukkan tanda bagus bersama peserta Program BLM MyLesen Kelas B2 yang berjaya menamatkan program disertai pada majlis penutupan di Kuching hari ini.

KUCHING: Semua penerima lesen memandu di bawah Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) MyLesen Kelas B2 dinasihatkan mengamalkan sikap bertanggungjawab ketika menunggang motosikal di jalan raya.

Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen berkata, pemilikan lesen ini bukan sekadar memberi kebenaran menunggang secara sah, malah membawa tanggungjawab besar terhadap keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

“Kita tidak mahu melihat peserta ini tidak mematuhi undang-undang jalan raya mahupun terlibat dengan samseng jalanan atau lumba haram yang boleh membahayakan nyawa.

“Jika berlaku kemalangan, kesannya bukan hanya menimpa diri sendiri, malah keluarga termasuk ibu bapa turut terjejas.

“Jadi, gunakan lesen yang disubsidi kerajaan ini untuk tujuan yang baik seperti menjana pendapatan dalam sektor logistik dan pengangkutan serta memudahkan urusan harian lain, misalnya ke sekolah atau tempat kerja dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) Kelas B2 Motosikal anjuran Parlimen P.196 Stampin di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina (C) Sam Hap Hin, Kota Sentosa di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Chong berkata program BLM ini bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah dan B40 memperoleh lesen memandu secara sah dan selamat.

“Di bawah program ini, peserta hanya perlu membayar yuran RM250, manakala selebihnya ditanggung kerajaan melalui subsidi.

“Jumlah ini jauh lebih rendah berbanding kadar biasa yang boleh mencecah sehingga RM700 ke atas,” jelasnya.

Katanya, pelajar yang terpilih akan menjalani latihan teori dan praktikal termasuk latihan 16 jam sebelum menduduki ujian praktikal lesen motosikal kelas B2.

“Justeru, saya rasa gembira kerana program ini berjaya membantu 911 peserta mendapatkan lesen memandu motosikal ini.

“Saya harap inisiatif seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang, bagi memberi lebih ramai rakyat peluang memiliki lesen secara sah dan selamat,” ujar Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak itu lagi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak Norizan Jili meminta peserta BLM supaya menghargai lesen yang diperoleh serta menjauhi daripada aktiviti menyalahi undang-undang seperti lumba haram.

Beliau berkata, lesen memandu boleh digantung atau dibatalkan sekiranya individu terbabit dikesan menyertai kegiatan berkenaan.

“JPJ Sarawak akan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sekiranya menerima laporan daripada pihak polis, senarai individu yang ditahan akan diserahkan kepada JPJ untuk dikenal pasti dan tindakan pembatalan lesen akan diambil mengikut prosedur sedia ada,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 10:36 PM | Show all posts
Empat organisasi terima sumbangan daripada Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina Sibu
Februari 7, 2026, Sabtu - 3:56pm



Janet (tujuh kanan) menerima sumbangan daripada Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina Bahagian Sibu.

SIBU: Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina Bahagian Sibu menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina (TBC) kepada empat organisasi kebajikan di sini, hari ini.

Organisasi berkenaan ialah Persatuan Autisme Sibu (SAA), Persatuan Kanak-Kanak Istimewa Sibu (ACSNS), Rumah Kanak-Kanak Methodist Sibu dan Sibu Benevolent Society Care Centre.

Kunjungan amal itu disertai kira-kira sembilan ahli persatuan.

Lokasi pertama kunjungan ialah Pusat Agape Sibu, di mana sumbangan diserahkan kepada Pengerusi ACSNS Datuk Janet Lau dan Pengerusi SAA David Ngu.



Penyampaian sumbangan kepada SAA yang diterima oleh pengerusinya, Ngu (lima kanan).
Sementara itu, ketibaan rombongan persatuan disambut mesra Penguasa Rumah Kanak-Kanak Methodist Sibu Lau Sie Tung dan Timbalannya Tie Ling Ling.

Pihak persatuan menyampaikan sumbangan angpau kepada anak-anak dan kakitangan sempena TBC.

Persatuan turut meraikan warga emas penghuni Sibu Benevolent Society Care Centre dengan jamuan makan tengah hari dan agihan limau mandarin.

Mereka dihiburkan dengan persembahan nyanyian dan tarian TBC.



Ahli Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina Bahagian Sibu mengagihkan limau mandarin kepada penghuni Sibu Benevolent Society Care Centre.



Penyampaian sumbangan kepada Rumah Kanak-Kanak Methodist Sibu.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 7-2-2026 10:38 PM | Show all posts
Persatuan Kwang Tung Kapit hulur angpau kepada 155 ahli
Februari 7, 2026, Sabtu - 3:59pm



Ambose (empat kiri) menyerahkan angpau kepada Loh sementara James (tujuh kiri) menyerahkan angpau kepada Hu sambil diperhatikan ahli-ahli Persatuan Kwang Tung Kapit yang lain.

KAPIT: Seramai 155 ahli Persatuan Kwang Tung Kapit menerima angpau daripada persatuan pada Majlis Makan Malam Pra Tahun Baharu Cina di Restoran Lok Lok di sini, malam tadi.

Pengerusi persatuan Kapitan Kong Chak He berkata, pemberian itu merupakan tradisi persatuan kepada ahli yang berumur 65 tahun ke atas sebagai tanda penghargaan dan juga ucapan Tahun Baharu Cina kepada mereka.

"Ini berfungsi sebagai tanda ketaatan kepada ibu bapa dan menghormati orang yang lebih tua," ujarnya.

Pengerusi penganjur Liew Mee Kiong yang merupakan Ketua Wanita berkata, mengambil berat dan menghormati ahli tua adalah satu tindakan tanggungjawab dan komitmen yang tulus bahawa generasi muda benar-benar menghargai usaha dan sumbangan mereka terhadap kesejahteraan persatuan.

Beliau berkata, angpau yang diberikan kepada ahli lama itu juga membawa maksud semoga mereka sihat, aman, makmur dan panjang umur.

Sementara itu, persatuan turut meraikan dua ahli tertua iaitu Loh Yuan Yam, berusia 92 tahun, dan Hu Muk Mui, 90.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ambrose Abong Bugek mewakili Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan Penghulu James Sandak mewakili Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang Anak Negeri dan Adat Istiadat) Datuk Jefferson Jamit Unyat.

Turut hadir ialah Naib Pengerusi persatuan Kong Siau Shi, Pemanca Wong Kie Ing, Penghulu Sia Shui Poh, Penghulu Jenny Yu Si Geok, Penghulu Sng Chee Hun, Kapitan Ling Hang Pin, Kapitan Teo Tian Chai, Kapitan Yap Hui Li dan Kapitan Lee See Fong.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 10:40 PM | Show all posts
Ahli Persatuan Kwang Tung Kapit diseru sokong penuh Nanta, Jamit
Februari 7, 2026, Sabtu - 4:01pm



Kong (lima kanan) bersama ahli-ahli Persatuan Kwang Tung Kapit ketika menyuarakan sokongan kepada Nanta dan Jamit pada Majlis Makan Malam Pra Tahun Baharu Cina, malam tadi. Turut kelihatan, Ambose (enam kanan) dan James (tujuh kiri).

KAPIT: Pengerusi Persatuan Kwang Tung Kapit Kapitan Kong Chak Hee menyeru ahli-ahli persatuan untuk menyokong sepenuhnya Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang dan Adat Istiadat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat.

Menurut beliau, Ahli Parlimen Kapit dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram itu sentiasa menyokong persatuan dengan memperuntukkan dana Projek Kecil Luar Bandar Kecil (MRP) bagi menjalankan aktiviti sosial.

"Kedua-dua mereka telah membantu kita dan sebagai balasannya, kita mesti membalas bantuan tersebut.

"Tahun ini adalah tahun pilihan raya negeri (PRN), marilah kita memberi sokongan kepada Jamit dan semasa pilihan raya umum (PRU) akan datang kita menyokong Nanta," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pra Tahun Baharu Cina Persatuan Kwang Tung Kapit, malam tadi.

Kong turut menyeru ahli-ahli untuk menyokong Nanta yang baru-baru ini berucap untuk melindungi keistimewaan dan hak Sarawak yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

"Kita harus sebulat suara menyokong kenyataan Nanta baru-baru ini yang menyatakan kebimbangan rakyat Sarawak terhadap hak-hak mereka," tambahnya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ambrose Abong Bugek mewakili Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan Penghulu James Sandak mewakili Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang Anak Negeri dan Adat Istiadat) Datuk Jefferson Jamit Unyat.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 10:45 PM | Show all posts
IPD Limbang adakan gotong-royong bersama komuniti bersih Tanah Perkuburan Sg Kudong
Februari 7, 2026, Sabtu - 4:31pm



Pegawai dan anggota IPD Limbang bergotong-royong membersihkan kawasan Tanah Perkuburan Sungai Kudong di Limbang, hari ini.

LIMBANG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang mengadakan Program Gotong-Royong Perdana Bersama Komuniti membersihkan Tanah Perkuburan Sungai Kudong di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot berkata, ia merupakan sebahagian aktiviti tahunan pihaknya yang disertai 101 pegawai dan anggota dan penduduk kampung berhampiran.

"Aktiviti membersih kubur merupakan program tradisi sebelum ketibaan bulan puasa.

"Aktiviti ini juga adalah serampang dua mata bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara pegawai dan anggota IPD Limbang dan penduduk kampung terutama Kampung Bunga Raya," katanya kepada media.

Katanya lagi, aktiviti gotong-royong itu dapat memastikan kawasan perkuburan tersebut sentiasa bersih dan selesa.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 10:47 PM | Show all posts
Wanita FORCA Bintulu adakan jamuan makanan tradisional
Februari 7, 2026, Sabtu - 4:42pm



Steven (tiga kanan) merakamkan kenangan bersama sebahagian daripada ahli wanita FORCA Bintulu semasa menghadiri acara berkenaan.

BINTULU: Sempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) tidak lama lagi, Bahagian Wanita Persatuan Cina Berdaftar (FORCA) Bintulu telah menganjurkan Jamuan Makanan Tradisional Tahun Baharu Cina 2026 di sebuah restoran terkemuka di sini, malam tadi.

Menurut Pegawai Khas Ahli Parlimen Bintulu Steven Kong Kai Seng acara sebegini merupakan antara platform terbaik bagi memperkenalkan jualan serta hidangan tradisi agar dapat diwarisi generasi muda.

"Melalui program sebegini secara tidak langsung akan membolehkan golongan wanita saling berkongsi rasa serta pandangan berhubung masakan lama sekali gus menghidupkan semula juadah tradisi, " ujarnya.

Steven berkata beliau sendiri amat teruja dengan kehebatan kaum hawa memasak yang mana setiap masakan mempunyai keistimewaan serta cerita yang tersendiri.

Acara sebegini katanya, bukan hanya memfokuskan kepada keunikan serta sedapnya setiap hidangan, malah lebih daripada itu yang mana generasi baharu berpeluang melihat serta mempelajari resipi serta teknik masakan orang lama kaum Cina.

"Justeru, saya amat menghargai acara anjuran Wanita FORCA ini kerana ia diadakan tepat pada masanya tatkala menjelang sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

"Setiap ahli keluarga sudah semestinya akan balik ke rumah keluarga di kampng halaman masing-masing bagi menjamu selera bersama-sama, " tambahnya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 10:53 PM | Show all posts
Lee bangga JCI Miri terus lahirkan pemimpin berwibawa, berintegriti
Februari 7, 2026, Sabtu - 5:00pm



Lee (tengah) menyaksikan sesi angkat sumpah oleh Wee (kanan) yang mengambil alih tugas sebagai Presiden JCI Miri yang baharu daripada Yong (kiri).

MIRI: Junior Chamber International (JCI) Miri terus membuktikan peranannya sebagai platform penting dalam melahirkan barisan pemimpin muda berwibawa yang berteraskan nilai, khidmat dan akauntabiliti, kata Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin.

Beliau berkata, kelangsungan JCI Miri selama 64 tahun merupakan satu pencapaian membanggakan yang mencerminkan kekuatan kepimpinan, nilai teras yang kukuh serta komitmen berterusan terhadap pembangunan belia dan masyarakat.

“Menjadi sebuah organisasi belia yang mampu bertahan lebih enam dekad bukanlah sesuatu yang mudah. Ia membuktikan JCI Miri bukan sekadar relevan, malah terus berkembang dan memberi impak besar kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada jamuan makan tengah hari sempena Majlis Pelantikan dan Anugerah Ke-64 JCI Miri di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Lee, yang juga seorang Senator JCI, berkata penglibatannya dalam JCI telah membentuk kefahaman beliau mengenai kepimpinan sebenar yang tidak bersandarkan jawatan, sebaliknya berpaksikan tanggungjawab, khidmat dan kesediaan untuk tampil apabila diperlukan.

Menurutnya, JCI telah berkembang menjadi saluran pembangunan kepimpinan yang melahirkan individu berkaliber untuk berkhidmat dalam bidang perniagaan, masyarakat sivil dan perkhidmatan awam, sekali gus menyumbang kepada pembangunan Sarawak dan negara.

“Lebih-lebih lagi ketika ini, kita sudah mempunyai penerbangan kita sendiri dan banyak lagi pembangunan yang memerlukan penyertaan golongan belia, dalam mencetuskan idea, tenaga kerja mahir dan yang berkaitan dengannya,” ujar beliau.

Mengulas hala tuju JCI Miri bagi 2026, Lee memuji fokus organisasi itu terhadap pembangunan kepimpinan belia, impak komuniti melalui inisiatif Borneo SDG 4.0 serta pengukuhan jaringan perniagaan menerusi penganjuran Pameran Perdagangan 2026.

Katanya, inisiatif tersebut selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya dalam bidang pendidikan, keterangkuman dan kelestarian, selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak dan rantau Borneo melalui pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Sehubungan itu, beliau menyeru semua ahli JCI agar terus bangkit sebagai pemimpin berteraskan nilai, penyumbang yang berkhidmat dengan tujuan serta rakan kerjasama yang mampu melangkaui sempadan cawangan dan negeri.

“Apabila pemimpin muda bangkit dengan tujuan yang jelas, masyarakat akan menjadi lebih kukuh dan negara mampu bergerak ke hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan tahniah kepada semua penerima anugerah JCI Miri 2025 yang disifatkan sebagai cerminan komitmen, pengorbanan serta konsistensi dalam kepimpinan sukarela yang memberi kesan besar kepada organisasi dan masyarakat.

“Anugerah yang diterima bukan sekadar trofi, tetapi melambangkan masa yang dicurahkan, pengorbanan keluarga serta tanggungjawab yang dipikul demi kepentingan bersama,” tambah beliau lagi.

Turut hadir ialah Presiden JCI Malaysia Senator JCI Vincent Leng, Presiden JCI Miri yang baru dilantik Steven Wee Ee Ming dan bekas Presiden Sam Yong.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 10:57 PM | Show all posts
Lelaki ditemui meninggal dunia dalam kereta di Jalan Batu Kawa
Februari 7, 2026, Sabtu - 5:41pm

KUCHING: Seorang lelaki berusia 69 tahun disahkan meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam sebuah kereta di Jalan Batu Kawa, Moyan-Malihah di sini, tengah hari tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.16 tengah hari.

Katanya, sejurus itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya digerakkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, pihak bomba mendapati mangsa masih berada di dalam kenderaan yang terkunci dari dalam dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak membuka pintu kenderaan menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala operasi ditamatkan setelah keadaan disahkan selamat.

Seramai 10 anggota JBPM terlibat dalam operasi tersebut dengan kekuatan sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS, dibantu agensi lain termasuk KKM dan Polis Diraja Malaysia.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 11:05 PM | Show all posts
Edited by Vellfire at 7-2-2026 11:06 PM

Polis Miri pergiat usaha banteras jenayah harta benda
Februari 7, 2026, Sabtu - 6:06pm



Semua tandan buah kelapa sawit yang dicuri ditemui semula dari kenderaan yang digunakan oleh suspek.

MIRI: Polis Miri mempergiatkan usaha penguatkuasaan terhadap jenayah berkaitan harta benda susulan penahanan dua suspek dalam dua kes kecurian berasingan.

Pada 5 Februari, polis Batu Niah menahan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun berhubung kecurian 23 tandan buah kelapa sawit bernilai kira-kira RM200 di sebuah ladang di Niah.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan semua tandan buah yang dicuri telah ditemui semula dari kenderaan yang digunakan oleh suspek.

Dalam kejadian berasingan, polis menahan seorang wanita tempatan berusia 41 tahun pada Jumaat kerana disyaki mencuri sebuah mesin pencuci bertekanan tinggi bernilai RM250 dari sebuah pasar raya tempatan.

Kesalahan yang berlaku pada 2 Februari itu disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, dengan barang yang dicuri ditemui semula dari kediaman suspek.

Polis Miri menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan memperkukuhkan langkah keselamatan, khususnya di ladang serta premis komersial.

Pengusaha ladang turut digesa meningkatkan pemantauan dan memastikan pondok pengawal berfungsi dengan berkesan, manakala pemilik kedai digalakkan memasang sistem televisyen litar tertutup (CCTV) serta segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak polis.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 11:08 PM | Show all posts
Projek naik taraf tingkat keselamatan, persekitaran SJK (C) Yak Tee: Fatimah
Februari 7, 2026, Sabtu - 8:01pm



Fatimah menandatangani buku pelawat sekolah semasa lawatannya ke SJK (C) Yak Tee, Oya hari ini. Turut kelihatan, Magdalene (dua kanan) dan Lo (kanan).

DALAT: Kerja-kerja pembinaan tembok penahan serta mengecat semula Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK (C)) Yak Tee, Oya telah siap sepenuhnya hari ini, sekali gus menandakan peningkatan ketara terhadap aspek keselamatan dan persekitaran pembelajaran sekolah tersebut.

Penyiapan projek berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026 sekolah hari ini.

Fatimah berkata, kerja-kerja naik taraf tersebut amat penting bagi menangani risiko hakisan di samping memperindah serta meningkatkan keselesaan persekitaran sekolah.

“Selepas meninjau tembok penahan itu, kita dapat melihat bahawa sekolah ini kini lebih bersih, selamat dan selesa.

“Persekitaran yang selamat dan selesa amat penting bagi memastikan anak-anak kita dapat belajar dengan baik dan penuh keyakinan,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu turut menegaskan walaupun SJK (C) Yak Tee dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM), kelangsungan operasinya tetap penting khususnya bagi komuniti luar bandar yang bergantung kepada sekolah berhampiran untuk akses pendidikan.

“Sekolah seperti SJK (C) Yak Tee mungkin kecil dari segi saiz, namun peranannya amat besar, terutama bagi keluarga luar bandar yang memerlukan sekolah berdekatan bagi memastikan anak-anak mereka menerima pendidikan yang konsisten dan berkualiti,” katanya.

Menurut Fatimah, usaha mengekalkan sekolah-sekolah sedemikian mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memastikan tiada kanak-kanak tercicir, tanpa mengira lokasi atau saiz sekolah.

Beliau turut menekankan kelebihan sekolah jenis kebangsaan yang menawarkan pendidikan pelbagai bahasa serta membekalkan murid dengan penguasaan bahasa Mandarin, Bahasa Inggeris dan bahasa ibunda masing-masing.

“Pendedahan pelbagai bahasa ini memberikan asas yang kukuh dan kelebihan daya saing kepada anak-anak kita untuk pendidikan serta peluang pekerjaan pada masa hadapan,” jelasnya.

Fatimah menegaskan pelaburan berterusan dalam infrastruktur sekolah, disertai pengajaran berkualiti serta kerjasama erat antara ibu bapa dan guru, adalah penting bagi pembangunan jangka panjang murid.

“Apabila kita melabur dalam infrastruktur sekolah, kita bukan sahaja menambah baik kemudahan fizikal, malah melabur untuk masa depan anak-anak dan kekuatan komuniti secara keseluruhan,” tambahnya.

Pada majlis tersebut, Fatimah turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada SJK (C) Yak Tee bagi menyokong pembelian peralatan pendidikan dan aktiviti kokurikulum.

Turut hadir ialah Pegawai Pendidikan Daerah Dalat Magdalene Jon, Guru Besar SJK (C) Yak Tee Lo Leh Na, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Ong Sii Wei, Kapitan Ong Hock Hoon serta yang lain.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 7-2-2026 11:11 PM | Show all posts
Dua motosikal ditahan dalam operasi penguatkuasaan polis trafik di Saratok
Februari 7, 2026, Sabtu - 8:04pm



Operasi penguatkuasaan trafik yang dijalankan di Daerah Saratok, semalam.

SARATOK: Dua motosikal yang diubah suai ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Lalu Lintas oleh Balai Polis Daerah Saratok bersama Bahagian Siasatan Polis Trafik Daerah (BS PTD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok semalam.

Ketua Polis Daerah Saratok DSP Mathew Manggie (gambar) berkata, operasi itu melibatkan beberapa kawasan termasuk Pekan Saratok, laluan Pesisir Borneo dan Pekan Kabong.



“Operasi yang dijalankan dari jam 10 pagi hingga 1 petang ini menyaksikan 56 keping saman telah dikeluarkan.

“Ia bertujuan memberikan kesedaran dan mendidik para pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya,” kata Mathew kepada media, hari ini.

Seramai dua pegawai bersama dengan tujuh anggota telah terlibat dalam operasi ini, katanya.



Operasi penguatkuasaan trafik yang dijalankan di Daerah Saratok, semalam.
Menurut Mathew lagi, terdapat pelbagai kesalahan telah dikesan sepanjang operasi tersebut.

“Kesalahan paling banyak dikesan dan dikeluarkan saman ialah pemandu kenderaan yang memasuki laluan 'Dilarang Masuk' atau 'No Entry'.

“Ini diikuti oleh kesalahan dilakukan oleh penunggang motosikal yang tidak menggunakan topi keledar serta ubah suai motosikal.

“Operasi sebegini akan terus dilaksanakan bagi memastikan undang-undang dan peraturan jalan raya sedia ada dipatuhi dan bukan untuk menghukum pesalah,” tegas Mathew lagi.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 11:16 PM | Show all posts
Sbh-Residensi SMJ, solusi baharu atasi setinggan berisiko di Tawau

Swk-Menara AFFIN di TRX 'enjin' strategik Sarawak

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 11:17 PM | Show all posts
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 11:40 PM | Show all posts
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

14-2-2026 07:57 PM GMT+8 , Processed in 1.116546 second(s), 28 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list