“Merdeka itu bukanlah suatu benda yang mudah didapati, melainkan ia dikehendaki untuk mendapatkannya itu iaitu pengorbanan yang sebenar.” – Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.
“Mari kita bersama-sama menghargai kemerdekaan ini dengan mendidik anak bangsa menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan cinta akan negara. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang 67 tahun!”
“Selamat Hari Kemerdekaan yang ke 67! Pada hari bersejarah ini, marilah kita bersama-sama menghargai kebebasan dan kemakmuran yang kita nikmati hari ini. Terima kasih kepada semua pahlawan yang telah berkorban demi negara. Semoga Malaysia terus berkembang maju, aman dan bersatu padu!”
“Selamat Hari Kemerdekaan yang ke 67! Kebebasan yang kita nikmati ini tidak datang dengan mudah, tetapi melalui perjuangan, pengorbanan, air mata, darah dan keberanian para pahlawan. Marilah kita sebagai generasi baru teruskan legasi ini dengan memelihara keamanan dan membina Malaysia yang lebih cemerlang.”
“Selamat Hari Merdeka kepada seluruh rakyat Malaysia! Mari kita bersatu hati menghayati erti sebenar kemerdekaan dan menghargai segala usaha yang dilakukan untuk mencapai kebebasan. Dengan semangat yang sama, marilah kita membina masa depan yang lebih baik dan lebih cemerlang untuk Malaysia.”
PM Anwar mahu Hari Kebangsaan 2024 dimanfaatkan untuk tingkat perpaduan dalam kalangan rakyat
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap sambutan Hari Kebangsaan 2024 dimanfaatkan sebagai permulaan untuk semua rakyat berpaut antara satu sama lain demi memartabatkan Malaysia menjadi negara yang hebat.
Perdana Menteri berkata, Malaysia sebagai negara yang merdeka memiliki potensi yang hebat dan perkara itu mampu direalisasikan jika semua rakyatnya berpakat dan bersatu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertepuk tangan mengikut alunan gendang selepas menyampaikan amanat di Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 di Putrajaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
"Apa kurangnya di negara kita, kesedaran, pencerahan, keupayaan menarik pelaburan, tingkat pendidikan harus diperbaiki untuk yang paling kaya kepada paling miskin.
"Jadi jangan pinggirkan sesiapa kerana semangat perpaduan sangat penting dan tidak boleh diremehkan," katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 di sini, hari ini.
Anwar berkata, perpaduan amat penting dan tidak boleh diremehkan kerana dengan semangat itu mampu mengangkat darjat negara ke peringkat lebih tinggi.
Katanya, Malaysia kini berada di landasan yang sangat baik dan mampu diangkat dengan lebih cemerlang.
"Kita beri nasihat, anjuran, desakan tapi saya nak guna kesempatan beri amaran bahawa negara ini di tapak landasan sangat baik.
"Andai kata ada mana-mana kelompok kecil yang bawa hasutan kaum ke arah keganasan dan kebencian permusuhan satu sama lain, saya tidak peduli media antarabangsa ke, tugas kita selamatkan negara Malaysia tercinta ini," katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mahu budaya baharu dimulakan dengan menoktahkan amalan keterlanjuran rasuah dan penyelewengan serta sikap khianat kepada negara.
Tegasnya, pimpinan negara harus lebih bertanggungjawab, tidak mengizinkan amalan merompak kekayaan negara dan menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadi.
"Apa erti kemerdekaan, setiap tahun ribuan anak beratur mengibarkan bendera keramat (Jalur Gemilang) menjerit 'Merdeka' tetapi jiwa dirasuk kerana kita mengizinkan dan sistem mengizinkan keterlanjuran yang berterusan.
"Kita belajar dari sejarah, buta sejarah, buta hati, buta perasan, buta ciri kemanusiaan akan menyebabkan negara ini menerima dendangan hasut, dengki, khianat, mengizinkan keterlanjuran rasuah dan penyelewengan, dan bila keadaan sampai ke tahap yang sudah parah dan rosak, tidak mungkin mudah diperbaiki lagi," katanya.
Pada masa sama, Anwar menggesa semua rakyat untuk menerima kenyataan bahawa kemerdekaan negara dicapai kerana kekuatan dan kesepaduan rakyat.
Walaupun berbeza pendapat dalam hal kecil, Perdana Menteri menegaskan, setiap rakyat mesti diberi perlindungan, ditunjuk kasih sayang dan diberikan pembelaan yang secukupnya.
Tetamu mendengar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Amanat Perdana sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. -BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil selepas menyampaikan amanat di Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 di Putrajaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Suasana sekitar acara perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 bertemakan ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ di Dataran Putrajaya hari ini.
PUTRAJAYA: Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 dengan tema 'Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka' bakal berlangsung di Dataran Putrajaya di sini untuk tontonan rakyat bermula 8 pagi ini.
Setiap tahun rakyat tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama pasti berhimpun untuk tujuan yang sama iaitu menyemarakkan semangat patriotik.
Sambutan tahun ini diserikan dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah selain kehadiran barisan Jemaah Menteri serta perwakilan asing.
Kontinjen ATM membuat persiapan seawal jam enam pagi sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya hari ini. - Foto BERNAMA
Sambutan kemuncak itu menyajikan perbarisan dan perarakan melibatkan lebih 17,000 peserta, 59 kontinjen, 24 pasukan pancaragam serta 439 aset ketenteraan.
Antara kelainan sambutan kali ini ialah perbarisan Kontinjen Komuniti Malaysia MADANI yang diterajui Kementerian Perpaduan Negara dengan memperagakan pakaian etnik lengkap beraksesori bagi melambangkan kepelbagaian budaya masyarakat di negara ini.
Peserta perarakan dan perbarisan membuat persiapan seawal jam enam pagi sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya hari ini. - Foto BERNAMA
Keunikan kontinjen itu ditonjolkan melalui alatan dan persembahan khas sebagai simbolik perpaduan masyarakat antaranya kumpulan kompang, chingay, tarian naga dan singa, tarian merak, perarakan kuda serta pahlawan Bajau sekali gus mewarnai sambutan kali ini.
Selain itu, kekuatan aset pelbagai agensi antaranya Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Agensi Penguatkuasaan Maritim turut ditonjolkan bagi mencerminkan kesiapsiagaan pasukan keselamatan dalam menjaga kedaulatan negara.
Persembahan tarian bertajuk 'Cuci Rasuah' turut dipersembah sebagai penutup tirai majlis yang mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan membanteras gejala rasuah.
Dua gangsa Kejohanan Dunia bukan jaminan Yusof Hafizi
Atlet berbasikal para negara Yusof Hafizi Sharuddin ketika beraksi dalam acara kejar mengejar 3,000m individu lelaki C1 (kecacatan fizikal) pada Sukan Paralimpik Paris 2024 kelmarin. – Foto BERNAMA
PARIS: Kejayaan meraih dua gangsa acara 1,000 meter ujian masa lelaki C1 (kecacatan fizikal) pada Kejohanan Berbasikal Para Dunia sebelum ini tidak menjamin peluang Yusof Hafizi Shaharuddin untuk menyinar pada Sukan Paralimpik Paris 2024 hari ini.
Jaguh berbasikal para negara itu dijangka berdepan rintangan untuk mengulangi magis pernah dilakarnya pada kejohanan dunia edisi 2022 dan 2024 selepas saingan kali ini menggabungkan kelas C1 hingga C3 (kecacatan fizikal).
Catatan masa 1 minit 14.860 saat pada kejohanan dunia 2022 di venue sama pada Sukan Paralimpik kali ini Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines lebih baik daripada aksi kejohanan sama di Rio de Janeiro, Brazil, Mac lalu menerusi catatan 1:15.572s.
Bagaimanapun, catatan dilakukan pelumba dari Kuala Kangsar, Perak itu agak jauh jika dibandingkan dengan pemegang rekod dunia C1 dari China, Li Zhangyu (1:08.347s) selain jaguh C2 Alexandre Leaute dari Perancis (1:08.358s) serta Briggs Devon dari New Zealand yang memegang rekod masa terpantas dunia dalam saingan C3 (1:05.529s).
Yusof Hafizi, yang terkandas pada pusingan kelayakan acara 3,000m kejar-mengejar, akan ditemani rakan sepasukan Adi Raimie Amizazahan dalam saingan 1,000m ujian masa C1-3, hari ini.
Sementara itu, kecemerlangan pemain badminton para negara, Muhammad Fareez Anuar pula mencuri tumpuan aksi hari kedua kontinjen Malaysia.
Selepas mengejutkan pilihan kedua Fang Jen-Yu dari Taiwan 21-14, 21-18 dalam aksi Kumpulan B kelmarin, pemain keempat dunia itu menampilkan aksi mengagumkan dengan bangkit daripada ketinggalan sebelum menumpaskan pemain ketiga dunia dari Indonesia, Dheva Anrimusthi 14-21, 21-19, 21-19 sekali gus mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.
Turut mengikut jejak langkahnya pemenang emas edisi lalu, Cheah Liek Hou yang mudah mengetepikan cabaran Meril Loquette dari Perancis 21-10, 21-16 dalam saingan Kumpulan A.
Dalam pada itu, antara aksi lain semalam menyaksikan dua pemanah para negara G Daneshen dan Nur Jannaton Abdul Jalil tersingkir dalam acara masing-masing di Invalides.
Daneshen hampir mengejutkan pemenang emas edisi lalu di Tokyo 2020, He Zihao dari China, 142-144 sekali gus mengakibatkan langkahnya terhenti di peringkat penyingkiran 1/16 dalam acara compound individu lelaki terbuka manakala tangan kebas susulan cuaca hujan menjejaskan panahan Nur Jannaton yang terpaksa akur tewas kepada Sarita dari India 124-138 bagi pusingan sama saingan compound individu wanita terbuka.
Perenang negara Nur Syaiful Zulkafli yang beraksi dengan gugup susulan sorakan padu penonton di Paris La Defense Arena hanya menamatkan final 100m gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) dengan catatan masa 1:16.60s di tempat keenam. – BERNAMA
'Kamu pendakwah, perbuatan itu tak dapat diterima akal' - Hakim
SHAH ALAM: Tindakan pendakwah selebriti, Da'i Syed merogol mangsa disifatkan suatu yang tidak dapat diterima akal secara munasabah kerana mempergunakan mangsa yang lemah.
Hakim Mahkamah Sesyen, Norazlin Othman, berkata demikian sebelum menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan ke atas Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 29, atas tuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun, lima tahun lalu.
Norazlin dalam penghakimannya berkata, tertuduh dalam masyarakat sebagai seorang pendakwah selebriti yang memberi impak besar kepada orang awam terutama masyarakat Islam di negara ini, anak-anak muda dan penuntut universiti.
"Mahkamah mengambil kira peranan yang sering dimainkan oleh tertuduh dalam memberikan ceramah agama dan motivasi.
"Mahkamah juga mempertimbangkan kesan trauma kepada mangsa kerana membabitkan wanita dan kehormatan.
"Pastinya mangsa mengalami trauma kerana perlu kumpulkan kekuatan untuk tampil membuat laporan dan melalui setiap proses perundangan yang panjang dan bukan mudah, kejadian ini akan terus berada dalam ingatan mangsa hingga akhir hayat," katanya.
Norazlin berkata, mahkamah mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan itu.
"Pembelaan tertuduh bersifat penafian dan tidak cukup mematahkan kes pendakwaan bahawa kejadian rogol sememangnya berlaku.
"Pihak pendakwaan membuktikan bahawa tertuduh adalah orang yang mula-mula mengajak mangsa keluar dan membawa pergi ke rumahnya.
"Selain itu, mangsa yang lemah dan lurus bendul dibuktikan tidak boleh membuat keputusan serta melawan tertuduh ketika kejadian," katanya.
Mahkamah ambil kira peranan tertuduh sebagai pakar motivasi
Menurutnya, mahkamah turut mengambil kira faktor peranan tertuduh sebagai penceramah dan pakar motivasi yang memberi impak besar kepada masyarakat terutama golongan muda.
"Kes ini membabitkan mangsa yang masih muda dan kesan trauma itu akan terus berada dalam ingatannya sehingga akhir hayat.
"Justeru, hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan bukan saja pengajaran kepada tertuduh malah bagi orang awam lain secara keseluruhannya," katanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memohon hukuman berat dengan mengambil kira faktor kepentingan awam dan kekerapan kes rogol yang semakin berleluasa.
"Kredibiliti tertuduh yang mempunyai latar belakang agama dipandang tinggi namun dia menggunakan kedudukan itu untuk mengambil kesempatan ke atas mangsa.
"Saya memohon hukuman penjara tertuduh sekurang-kurangnya selama 12 tahun," katanya.
Bagaimanapun, peguam Syed Amirul Syed Edros yang mewakili tertuduh memohon pelaksanaan penangguhan hukuman kerana anak guamnya itu sudah berkahwin dan baru saja menimang cahaya mata baru berusia 16 hari.
"Ini kesalahan pertama tertuduh, justeru saya memohon penangguhan hukuman dan akan memfailkan rayuan. Jika tertuduh berada dalam penjara, ia menimbulkan kesan signifikan," katanya.
Hakim tolak tangguh hukuman
Norazlin bagaimanapun menolak permohonan penangguhan itu kerana tiada keadaan khas untuk mempertimbangkan perkara berkenaan dan hukuman penjara berkuat kuasa mulai hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, Syed Shah Iqmal didakwa merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) dalam bilik sebuah kondominium di i-City, Seksyen 7 di sini, kira-kira jam 1.35 pagi, 11 September 2019.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada 10 April tahun lalu, Mahkamah Sesyen di sini, melepas dan membebaskan daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.
Namun, Mahkamah Tinggi di sini, pada 7 Mac lalu memerintahkan dia membela diri selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.
Seramai 18 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang dijalankan bermula April 2022 dan Syed Shah Iqmal sebagai satu-satunya saksi pembelaan.
Pendakwah selebriti, Da’i Syed dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen, Shah Alam hari ini kerana merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu. - Foto NSTP/Faiz Anuar
“31 Ogos adalah hari di mana seluruh rakyat Malaysia bersatu hati mengingati perjuangan kemerdekaan negara. Semoga kita terus menghargai dan mempertahankan kemerdekaan ini dengan penuh rasa cinta pada tanah air. Selamat Hari Kemerdekaan yang ke 67!”