Pertama kali di Hot FM….kami memberikan anda drama mengisahkan kehidupan, percintaan dan pergolakan keluarga.
Membariskan artis-artis terkenal seperti Farah Diana, Shawal, Afiq, Farish Aziz juga penyampai-penyampai HOT FM!
Ikuti 20 episod RADIOPERA ini…
Mulai 8 September, dari Isnin hingga Jumaat…jam 8.40 pagi dan ulangan pada pukul 3.40 petang.
Sinopsis:
Macam-macam Cinta mengisahkan tentang persahabatan, percintaan, kasih sayang, pergolakan dan kekeluargaan. Berkisar tentang enam orang remaja pertengahan 20an melalui liku-liku hidup di bandaraya. Nina adalah watak yang menghadapi konflik apabila dia dipaksa oleh keluarganya untuk mengikat tali pertunangan dengan pilihan keluarga. Ibu Nina meninggal dunia ketika dia berumur 10 tahun dan lima tahun kemudian ayahnya berkahwin lain. Terperangkap dalam klise bahawa ibu tiri sentiasa jahat, Nina menghabiskan masanya untuk belajar dan berjaya menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi di ibu negara. Tamat belajar, Nina terus mendapat pekerjaan di ibu negara dan sememangnya amat jarang pulang ke kampung kecuali untuk berhari raya.
Nina tinggal di rumah sewa di ibu negara bersama dua orang rakan, Leen dan Yati. Nina juga mempunyai teman karib sekampung iaitu Arif yang sama-sama menuntut di institusi pengajian tinggi. Persahabatan mereka kekal kerana masing-masing menjadi tempat untuk mengadu antara satu sama lain.
Berita mengenai Nina dipaksa mengikat tali pertunangan atas pilihan keluarga meninggalkan banyak kesan kepada semua yang terlibat. Leen yang sentiasa membenci status ibu tiri menganggap ianya satu perbuatan yang sangat kejam. Sebaliknya untuk Arif, sebuah kehidupan yang bahagia akan wujud jika sentiasa menghormati orang tua. Namun di sebalik berita tersebut, Arif mula terasa akan kehilangan Nina. Perasaan sayang kepada Nina yang sebelum ini dianggap sebagai sayang seorang teman menjadi lebih kuat. Tetapi perasaan itu hanya dipendam dan diluahkan kepada teman rapatnya sahaja.
Pada waktu yang sama, watak Mail, seorang playboy yang juga kawan rapat Arif turut memporak porandakan persahabatan antara Leen dan Yati. Namun semuanya berakhir dengan baik apabila Yati hanya mahukan Mail berubah dan perubahan Mail membuatkan dia kembali kepada kekasihnya Suzy. Leen pula masih terus mencari cinta.
Nina akhirnya membuat keputusan untuk menerima nasihat Arif dan pulang ke kampung pada hari raya untuk mengikat tali pertunangan dengan pilihan keluarganya. Nina juga merasakan kehilangan Arif dan perasaan rindunya pada sebuah persahabatan menjadi perasaan rindu pada seseorang. Hanya pada hari raya ketiga ketika rombongan meminang datang, barulah Nina sedar bahawa keluarga yang datang meminang itu adalah keluarga Arif.
credit to : hotfm.com.my
[ Last edited by seriperak25 at 3-9-2008 01:32 PM ] |