|
|
Tiga kanak-kanak lemas di Sibu Jaya: MDLBS sedia beri kerjasama sepenuhnya
Februari 6, 2026, Jumaat - 10:27am
SIBU: Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada semua agensi serta pihak berkuasa berkaitan dalam siasatan berhubung insiden yang mengorbankan tiga kanak-kanak di Sibu Jaya, di sini, pada Rabu.
Dalam satu kenyataan hari ini, MDLBS merakamkan rasa dukacita yang mendalam atas kejadian tersebut serta menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan semua pihak yang terkesan.
“MDLBS mengambil maklum insiden yang berlaku dan merakamkan simpati kepada keluarga mangsa.
“Pada masa ini, majlis tidak akan mengulas lanjut berhubung butiran kejadian tersebut sementara siasatan rasmi masih dijalankan oleh pihak berkuasa berkaitan,” menurut kenyataan itu.
MDLBS memaklumkan insiden berkenaan berlaku di kawasan yang merupakan sebahagian daripada pembangunan yang sedang dilaksanakan dan berada di bawah bidang kuasa serta pemantauan pihak berkuasa berkaitan.
Menurut kenyataan itu, sebarang dapatan, kesimpulan atau pengesahan fakta hanya akan dibuat berdasarkan hasil siasatan rasmi oleh pihak berwajib.
“Sebarang spekulasi, andaian atau tafsiran awal adalah tidak wajar dan boleh mengganggu proses siasatan yang sedang berjalan,” menurut kenyataan tersebut.
MDLBS menegaskan pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada semua agensi terlibat selaras dengan peruntukan undang-undang, prosedur operasi standard serta bidang kuasa masing-masing.
“Majlis kekal komited untuk bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi menilai tahap keselamatan sedia ada serta mempertimbangkan penambahbaikan yang bersesuaian, tertakluk kepada hasil siasatan dan nasihat pihak berkuasa kompeten,” katanya.
Selain itu, orang awam diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan memastikan kanak-kanak berada di bawah pengawasan sewajarnya pada setiap masa, khususnya di kawasan pembinaan, berhampiran badan air serta lokasi lain yang berisiko.
MDLBS turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau membuat sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kegusaran awam.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
SPS anjur Pertandingan Fotografi Warga Emas sempena musim perayaan
Februari 6, 2026, Jumaat - 10:31am

Presiden Persatuan Jurugambar Sibu Edwin Ong Wee Kee, bersama Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Pertandingan Fotografi Warga Emas, Teo Yong Kiat, serta barisan ahli jawatankuasa bergambar selepas majlis pelancaran pertandingan tersebut.
SIBU: Bersempena sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, Persatuan Jurufoto Sibu (SPA) menganjurkan Pertandingan Fotografi Warga Emas bertemakan “Festival” bagi memberi peluang kepada penggemar fotografi berusia 50 tahun ke atas mempamerkan hasil karya mereka.
Pertandingan tersebut mendapat sokongan daripada Wan Seng Colour Photo Studio Centre dan kini dibuka kepada penyertaan orang ramai.
Tarikh tutup penyertaan ialah pada 30 April depan, jam 3 petang, dan terbuka kepada warganegara Malaysia berumur 50 tahun ke atas.
Menurut penganjur, peserta dibenarkan menggunakan telefon pintar atau kamera profesional untuk merakam gambar, dengan suntingan ringan dibenarkan.
Bagaimanapun, semua karya mestilah dirakam di Sarawak dalam tempoh Disember 2025 hingga 30 April 2026.
Bagi kategori hadiah, pemenang tempat pertama akan membawa pulang hadiah wang tunai RM800, diikuti RM500 bagi tempat kedua dan RM200 bagi tempat ketiga.
Selain itu, lima hadiah saguhati masing-masing bernilai RM100 turut disediakan.
Penyertaan adalah percuma dan tiada had bilangan karya yang boleh dihantar, namun setiap peserta hanya layak memenangi satu hadiah sahaja.
Karya yang dipertandingkan mestilah bersaiz 8R (8 inci × 12 inci) tanpa tera air atau bingkai putih.
Peserta perlu menghantar karya serta melengkapkan pendaftaran di Wan Seng Colour Photo Studio Centre yang terletak di Jalan Palah.
Keputusan juri adalah muktamad dan sebarang bantahan tidak akan dilayan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Op Tapis Khas Narkotik: 81 individu ditahan di Kuching
Februari 6, 2026, Jumaat - 10:42am

KUCHING: Seramai 81 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dalam Op Tapis Khas Narkotik yang dilaksanakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dari 29 Januari hingga 4 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata operasi khas selama tujuh hari itu dijalankan bagi mengekang aktiviti pengedaran serta penyalahgunaan dadah di sekitar kawasan Kuching.
Menurutnya, daripada jumlah tangkapan tersebut, seorang ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, seorang di bawah Seksyen 39A(1), 10 orang di bawah Seksyen 12(2), seorang di bawah Seksyen 6, manakala 68 orang lagi ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama.
“Dalam operasi ini, polis turut merampas pelbagai jenis dadah melibatkan 9.56 gram methamphetamine dan 504.05 gram ganja dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM2,551.60,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau menegaskan, kejayaan operasi berkenaan adalah hasil risikan berterusan pihak polis serta kerjasama orang awam yang menyalurkan maklumat.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran, pemilikan atau melindungi kegiatan dadah kerana ia merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang,” katanya.
Tambahnya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan terus komited memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah boleh menyalurkannya melalui Hotline JSJN di 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di 017-592 9211.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
BEDB adakan kunjungan hormat ke atas MINTRED, perkukuh hubungan ekonomi dua hala Brunei, Sarawak
Februari 6, 2026, Jumaat - 10:46am

Mussen (tengah) menerima kunjungan daripada Norlela (dua kiri) dalam usaha memperkukuhkan hubungan ekonomi dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Sarawak di pejabatnya di sini, pada Khamis.
KUCHING: Hubungan ekonomi dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Sarawak terus diperkukuh menerusi kunjungan hormat delegasi Lembaga Pembangunan Ekonomi Brunei (BEDB) ke atas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, pada Khamis.
Kunjungan hormat yang diketuai oleh Pengarah Pembangunan Perusahaan (DARe) BEDB, Norlela Suhailee itu mengesahkan hubungan erat dan jangka panjang antara kedua-dua pihak, khususnya dalam kerjasama ekonomi dan perdagangan serantau.
Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), perbincangan tertumpu kepada usaha mempertingkat pelaburan rentas sempadan serta memperluas kerjasama dalam beberapa sektor keutamaan.
“Antaranya tenaga, keselamatan makanan, akses pasaran bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pembangunan industri berpertumbuhan tinggi yang berpotensi memberi impak ekonomi jangka panjang.
“Turut dibincangkan ialah peluang untuk memperkukuh jaringan perniagaan antara syarikat-syarikat dari Brunei Darussalam dan Sarawak, sejajar dengan aspirasi kedua-dua pihak untuk meningkatkan daya saing ekonomi serantau di bawah kerangka kerjasama BIMP-EAGA,” menurut kementerian.
Susulan lawatan berkenaan, Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei Darussalam (STATOB) akan terus memainkan peranan aktif dalam memudah cara libat urus susulan antara syarikat-syarikat terlibat.
Jelasnya ia bagi memastikan potensi perniagaan yang dikenal pasti dapat diterjemahkan kepada hasil yang konkrit serta perkongsian yang saling menguntungkan.
Lawatan BEDB itu turut mencerminkan komitmen bersama Negara Brunei Darussalam dan Sarawak untuk memperdalam kerjasama ekonomi, memperkukuh keterhubungan perniagaan serta mewujudkan peluang pertumbuhan baharu bagi perusahaan di kedua-dua pasaran.
Lawatan tersebut juga memberi pendedahan kepada syarikat-syarikat dari Brunei mengenai persekitaran perniagaan di Sarawak, termasuk rangka kawal selia, struktur kos serta peluang pelaburan yang tersedia.
Lebih 15 buah syarikat daripada pelbagai sektor telah mengambil bahagian dalam siri libat urus yang merangkumi sesi padanan perniagaan dan jaringan, sekali gus membuka ruang kepada syarikat dari kedua-dua pihak untuk meneroka potensi kerjasama.
Hadir sama kunjungan Konsul Jeneral Negara Brunei Darussalam di Sarawak, Sheikh Abdul Mahdani Sheikh Abdul Gani dan Setiausaha Tetap MINTRED, Datu Lester Matthew.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Ops Bersepadu di Miri: 83 saman pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan
Februari 6, 2026, Jumaat - 10:51am

Sebanyak 83 notis saman dikeluarkan dalam Ops Bersepadu yang dijalankan IPD Miri dan JPJ Cawangan Miri, pada Rabu.
MIRI: Sebanyak 83 notis saman membabitkan pelbagai kesalahan trafik telah dikeluarkan sepanjang Ops Bersepadu yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Miri bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Miri di dua lokasi sekatan jalan raya di sini, pada Rabu.
Operasi yang berlangsung dari jam 3 petang hingga 5 petang itu dilaksanakan di Jalan Kuala Baram By Pass dan Jalan Permyjaya By Pass bagi memastikan pematuhan undang-undang serta meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Operasi bersepadu berkenaan melibatkan seramai 37 pegawai penguat kuasa, terdiri daripada 29 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri dan lapan pegawai dari JPJ Cawangan Miri.
Sepanjang tempoh operasi dijalankan, sebanyak 109 buah kenderaan telah diperiksa melibatkan pelbagai kategori pengguna jalan raya.

Sebanyak 83 notis saman dikeluarkan dalam Ops Bersepadu yang dijalankan IPD Miri dan JPJ Cawangan Miri, pada Rabu.
Hasil pemeriksaan, pihak polis telah mengeluarkan sebanyak 28 notis saman, manakala JPJ mengeluarkan 55 notis saman atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Operasi yang berlangsung selama dua jam itu berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku, selain keadaan cuaca yang baik sepanjang penugasan.
Dalam pada itu, JPJ Cawangan Miri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PDRM atas kerjasama strategik yang terjalin dalam usaha berterusan memperkukuhkan keselamatan jalan raya serta tahap pematuhan undang-undang di daerah ini.

Sebanyak 83 notis saman dikeluarkan dalam Ops Bersepadu yang dijalankan IPD Miri dan JPJ Cawangan Miri, pada Rabu.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Enam individu ditangkap disyaki terlibat sindiket penipuan dalam talian
Februari 6, 2026, Jumaat - 11:56am

Siasatan dilakukan oleh anggota operasi.-Gambar IPD Kuching
KUCHING: Polis menahan enam individu disyaki terlibat dalam sindiket penipuan dalam talian selepas menyerbu sebuah rumah kedai di Jalan Tun Jugah di sini, pada 4 Januari baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil itu dilakukan kira-kira jam 2.13 petang.
Katanya. seramai empat lelaki dan dua wanita warga tempatan berusia antara 18 hingga 35 tahun ditahan.
“Polis turut merampas beberapa peralatan termasuk komputer, telefon bimbit, kad SIM serta peranti berkaitan yang dipercayai digunakan bagi menjalankan aktiviti ‘calling centre’.
“Hasil semakan dan analisa awal mendapati sindiket ini beroperasi sebagai pusat panggilan yang menyebarkan iklan penipuan permainan tidak wujud melalui aplikasi Multi WhatsApp Warmer dengan menyasarkan warga tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua individu yang ditahan dipercayai bekerja sepenuh masa dalam kegiatan berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan mendorong secara tidak jujur supaya harta diserahkan.
Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, sebatan serta boleh dikenakan denda.
Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 120(b) Kanun Keseksaan berkaitan pakat jahat jenayah yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Semua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching dan permohonan reman telah diluluskan selama empat hari bagi membantu siasatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai agar tampil menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah dan bekerjasama dengan pihak polis dalam usaha mencegah jenayah.
Sebarang maklumat boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah Kuching di talian 082-244444.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kementerian terus pantau semua isu projek perumahan bermasalah: Tiang
Februari 6, 2026, Jumaat - 1:43pm

Tiang (berdiri tengah) semasa mengadakan lawatan tapak ke projek perumahan swasta di Bintulu pada Khamis. - Gambar Facebook YB Michael Tiang
BINTULU: Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak akan terus memantau semua isu projek perumahan yang bermasalah sehingga menjejaskan pembeli rumah.
Timbalan Menterinya Datuk Michael Tiang berkata, hak pembeli rumah sentiasa menjadi keutamaan dan akan mengambil semua tindakan yang perlu untuk menanganinya dengan cara yang sah, telus dan adil.
Katanya, kerajaan Sarawak tidak akan bertolak ansur dengan sebarang kelewatan projek perumahan yang menjejaskan orang ramai (pembelinya) dan pemaju mesti bertanggungjawab sepenuhnya, mematuhi undang-undang dan arahan jabatan.
"Kami mewajibkan pemaju komited, mempunyai perancangan dan melaksanakannya.
"Sebarang pelanggaran akan dikenakan penguatkuasaan yang tegas," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke tapak projek perumahan swasta Treetops dan Golden Hill Villa 2 di sini, pada Khamis.
Beliau berkata, kerajaan akan melindungi hak pembeli rumah sehingga akhir dengan semua saluran perundangan dan penguatkuasaan akan digunakan sepenuhnya untuk memastikan keadilan ditegakkan.
Beberapa perkara yang dikenal pasti ialah mengenai masalah teknikal dan pertikaian sempadan tanah sehingga menjejaskan proses pengeluaran Permit Menduduki (OP), faktor infrastruktur, pandemik COVID-19 serta kekangan tenaga kerja.

Tiang (duduk tengah) mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak berkaitan pada Khamis. - Gambar Facebook YB Michael Tiang
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lot niaga dibuka untuk Bazar Tahun Baharu Cina Taman Rejang
Februari 6, 2026, Jumaat - 1:49pm
SIBU: Pusat Khidmat P.212 Sibu mempelawa orang ramai terutama usahawan bagi menyertai Bazar Tahun Baharu Cina di Pusat Komersial Taman Rejang yang dibuka bermula 27 Februari hingga 1 Mac ini.
Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling dalam satu kenyataan berkata, bazar ini yang dibuka bermula jam 7 malam hingga 9.30 malam itu terbuka kepada semua peniaga dari pelbagai sektor.
"Kita mengalu-alukan penjual makanan dan minuman, kraftangan serta mereka yang menjual pelbagai jenis barangan untuk turut serta," ujarnya sambil menambah penyertaan adalah percuma.
Ling memberitahu, sejumlah 14 gerai disediakan dengan lokasi gerai ditetapkan penganjur tanpa sebarang perubahan.
Bagi penjual makanan dan minuman katanya, hendaklah menunjukkan bukti yang mereka telah mendapatkan suntikan tifoid.
"Sementara bagi tujuan kebersihan dan keselamatan, penggunaan api terbuka atau yang mengeluarkan banyak asap adalah dilarang.
"Peniaga hanya dibenarkan menggunakan peralatan bagi memanas atau mengukus, dan semua makanan hendaklah disediakan sepenuhnya sebelum program bermula," jelasnya.
Beliau menambah, tarikh tutup permohonan adalah pada 9 Februari ini, jam 12 tengah hari dan permohonan yang berjaya akan dimaklumkan melalui WhatsApp.
Untuk pertanyaan lanjut, boleh menghubungi Pusat Khidmat P.212 Sibu di talian 084-343333 atau 017-8331085.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Dua jalan di Bawang Assan siap diturap semula
Februari 6, 2026, Jumaat - 1:52pm

Kerja-kerja menurap semula Jalan Jelutong untuk kesejahteraan dan keselamatan komuniti setempat. - Gambar Pusat Khidmat PDP Bawang Assan
SIBU: Kerja-kerja penurapan semula Jalan New Maling dan Jalan Jelutong telah siap dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti serta keselamatan laluan penduduk setempat.
Kerja penyelenggaraan ini melibatkan penggunaan jentera khas bagi memastikan permukaan jalan diratakan dengan sempurna dan tahan lama, sekali gus memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya.
Tindakan pantas ini dilaksanakan susulan aduan masyarakat yang diterima melalui Pusat Khidmat Parti Demokratik Progresif (PDP) Cawangan Bawang Assan, membuktikan komitmen berterusan dalam memastikan setiap isu infrastruktur ditangani secara cekap dan berkesan.
Pusat Khidmat PDP Bawang Assan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada jurutera Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) serta semua kakitangan dan pihak yang terlibat atas usaha segera dan kerjasama yang diberikan dalam merealisasikan penambahbaikan ini.
"Dedikasi dan keprihatinan semua pihak amat dihargai demi kesejahteraan dan keselamatan komuniti setempat," ujar Pusat Khidmat itu dalam satu kenyataan semalam.

Pengerusi PDP Bawang Assan Kapitan Wong Hua meninjau kerja-kerja menurap Jalan Jelutong. - Gambar Pusat Khidmat PDP Bawang Assan
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
PBDS tegaskan lantikan KK dan JKKK bukan jawatan politik
Februari 6, 2026, Jumaat - 2:05pm

JERRY
MIRI: Pemuda Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) menegaskan bahawa pelantikan Ketua Kampung (KK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu dibuat atas pilihan rakyat dan bukan ditentukan sepenuhnya oleh kerajaan sehingga boleh dijadikan alat politik.
Menurut Ketua Pemuda PBDS Jerry Robert, jawatan KK dan JKKK merupakan suara akar umbi rakyat dan bukannya jawatan politik.
“Justeru, kami menuntut agar pemilihan secara demokratik perlu dilaksanakan setiap dua tahun sekali bagi menjamin keadilan, ketelusan serta mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran kampung.
“Ini kerana apabila proses pelantikan jawatan berkenaan dipolitikkan, ia bukan sahaja berpotensi memecah-belahkan masyarakat, malah melemahkan pentadbiran kampung dan menutup ruang kepada suara rakyat untuk didengari,” tegasnya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Pemuda PBDS Sarawak dengan tegas menolak sebarang bentuk lantikan berat sebelah yang didakwa hanya menguntungkan kepentingan politik tertentu.
“Biarlah rakyat memilih pemimpin mereka sendiri.
“Kampung milik rakyat, bukan milik politik,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kuat kuasa undang-undang berkaitan penggunaan kawasan rekreasi
Februari 6, 2026, Jumaat - 2:06pm

CHAMBAI
SIBU: Penguatkuasaan undang-undang berkaitan penggunaan kawasan rekreasi perlu dilaksanakan secara tegas dan konsisten susulan insiden lemas yang mengorbankan tiga kanak-kanak di Sibu Jaya pada Rabu, sekali gus menyaksikan berulangnya kejadian lemas di kawasan berkenaan pada 2019.
Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Sibu Chambai Lindong berkata, tragedi berkenaan tidak wajar dilihat sebagai kejadian terpencil.
Sebaliknya tegas beliau, insiden malang itu perlu dinilai secara menyeluruh dalam konteks perancangan bandar, penguatkuasaan undang-undang serta pengurusan keselamatan di kawasan berisiko.
Menurut beliau, penyalahgunaan kawasan rekreasi yang sepatutnya menjadi ruang selamat untuk kanak-kanak termasuk dijadikan kawasan parkir haram atau tapak pembinaan struktur tidak sah telah meningkatkan risiko keselamatan serta mendorong kanak-kanak mencari lokasi alternatif yang lebih berbahaya.
“Kanak-kanak akan bermain dan itu adalah sifat semula jadi mereka.
“Apabila ruang yang sepatutnya disediakan untuk mereka disalah guna, mereka akan mencari tempat lain dan keadaan ini boleh membawa kepada risiko yang tidak diingini,” katanya ketika ditemui hari ini.
Chambai berkata, sebarang dakwaan berkaitan penyalahgunaan kawasan rekreasi perlu disiasat secara terperinci mengikut peruntukan undang-undang sedia ada dan tindakan tegas perlu diambil sekiranya berlaku pelanggaran.
Beliau menegaskan siasatan berhubung insiden lemas tersebut juga perlu dijalankan secara neutral, objektif dan tidak memihak dengan meneliti semua aspek berkaitan, termasuk kawalan keselamatan, akses ke kawasan berisiko, pemantauan berkala serta peranan semua pihak terlibat.
“Siasatan tidak boleh tertumpu kepada satu sudut sahaja.
"Ia mesti dijalankan secara menyeluruh, berasaskan fakta dan mengikut prosedur supaya punca sebenar kejadian dapat dikenal pasti,” katanya.
Dalam pada itu, Chambai memuji sikap proaktif Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) yang menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan kes berkenaan.
Beliau menyifatkan pendekatan MDLBS itu sebagai wajar dan bertanggungjawab, selaras dengan prinsip ketelusan serta kepentingan awam bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara lancar dan berkesan.
“Kerjasama yang ditunjukkan oleh MDLBS wajar dijadikan contoh oleh semua pihak berkaitan agar siasatan dapat dilaksanakan tanpa halangan dan dengan penuh integriti,” katanya.
Chambai turut menegaskan bahawa hasil siasatan wajar diumumkan kepada orang ramai selepas selesai sebagai satu bentuk ketelusan dan akauntabiliti, selain membantu masyarakat memahami risiko yang wujud di persekitaran mereka.
“Apabila maklumat disampaikan secara rasmi, ibu bapa akan lebih berwaspada dan dapat menghalang anak-anak daripada bermain di kawasan berbahaya,” katanya.
Selain itu, beliau menekankan keperluan semua pihak berkaitan untuk menjaga dan memantau kawasan berisiko secara konsisten dan berkala dan bukan hanya bertindak selepas tragedi berlaku dengan tahap keselamatan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Chambai berkata langkah pencegahan tidak boleh bersifat sementara, sebaliknya perlu dilaksanakan secara berterusan termasuk kawalan akses, pemeriksaan keselamatan berkala serta penilaian semula tahap risiko.
Pada Rabu, tiga kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ke dalam sebuah kolam kumbahan berhampiran kawasan perumahan di Sibu Jaya dan kes tersebut kini di bawah siasatan pihak berkuasa berkaitan.
Beliau menegaskan, fokus utama ketika ini bukan untuk menuding jari sebaliknya memastikan undang-undang dikuatkuasakan, kelemahan dikenal pasti, langkah pembetulan dilaksanakan serta keselamatan kanak-kanak dilindungi secara menyeluruh.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Media berperanan penting dalam masyarakat: Tan
Februari 6, 2026, Jumaat - 2:29pm

Tan (duduk, tengah) bersama Lau (enam kiri), Phyllis (tujuh kiri) dan Wilfred Yap bergambar bersama media dari pelbagai organisasi pada Majlis Bersama Media di Kuching, malam Khamis. - Gambar Chimon Upon
KUCHING: Media memainkan peranan penting dalam masyarakat dan merupakan jambatan penting penghubung antara kerajaan, masyarakat dan rakyat.
Pemimpin masyarakat Cina Kuching Temenggung Dato Tan Joo Phoi menegaskan melalui profesionalisme, integriti dan rasa tanggungjawab media telah menyampaikan maklumat tepat pada masanya mencerminkan suara awam serta menegakkan ketelusan dan akauntabiliti.
"Tanpa media, masyarakat yang progresif, bermaklumat dan empati tidak mungkin wujud," katanya berucap pada Majlis Bersama Media sempena Tahun Baharu Cina di sini, malam Khamis.
Antara hadir ialah Presiden Kehormat Persekutuan Persatuan Tetap Fuzhou Ltd Datuk Seri Lau Wei Kiong, Dato Wong Say Khim dan Kapitan Dato Lau Sie Lok.
Tetamu lain ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Wilfred Yap, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Tan Kai serta Pengurus Besar The Borneo Post dan Utusan Borneo Phyllis Wong.
Tambah Tan, dalam memajukan pembangunan sosial, pembinaan komuniti dan usaha amal petugas media terutama di Sarawak sentiasa berada di barisan hadapan.
"Laporan anda memberi suara kepada mereka yang memerlukan, mengetengahkan inisiatif yang bermakna dan menguatkan nilai-nilai positif seterusnya membolehkan perbuatan baik memberi inspirasi kepada sokongan yang lebih luas dan impak yang lebih besar.
"Bagi pihak penganjur dan komuniti amnya, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua (media)," kata Tan.
Sementara itu, salah seorang penganjur majlis Kapitan Dato Lau Sie Lok yang turut berucap mahu media mengekalkan pelaporan berita yang profesional serta berintegriti dalam laporan seharian.
"Penulisan dan perspektif anda membolehkan setiap laporan sampai kepada setiap peringkat usia pembaca justeru mesti disampaikan dengan jujur dan beretika," katanya.
Beliau turut berharap agar kerjasama media dan persatuan dan pelbagai komuniti diteruskan untuk manfaat bersama.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Warga tempatan disyaki miliki bakakuk dan peluru ditangkap
Februari 6, 2026, Jumaat - 2:37pm
DARO: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Matu Daro berjaya menangkap seorang lelaki warga tempatan kerana disyaki memiliki dua laras senapang patah buatan sendiri atau bakakuk, komponen senapang patah dan enam butir peluru 12 bore tanpa permit yang sah di Kampung Sedi, di sini.
Ketua Polis Daerah Matu Daro DSP Rahim Mihos berkata, tangkapan tersebut dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Matu Daro dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.
"Hasil ujian saringan awal air kencing tangkapan juga dapati positif dadah jenis Amphetamine atau Methamphetamine," ujarnya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penahanan reman ke atas suspek berusia 35 tahun itu telah dibenarkan selama tempoh empat hari dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
"Pada hari ini (6 Februari), suspek telah dituduh di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 di Mahkamah Sarikei.
"Tiada pengakuan direkodkan dan tiada jamin ditawarkan terhadap tertuduh.
"Kes ditetapkan untuk sebutan lanjut pada 12 Februari ini.
"Sementara menunggu tarikh tersebut, tertuduh menjalani tahanan reman di penjara Sibu," jelasnya.
Tegasnya, memiliki senjata dan peluru tanpa permit yang sah boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Dua laras senapang patah buatan sendiri (bakakuk), komponen senapang patah dan enam butir peluru 12 bore tanpa permit yang sah dirampas dalam serbuan di Kampung Sedi, Daro.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Premis dipercayai jalankan kegiatan perjudian dipotong bekalan elektrik
Februari 6, 2026, Jumaat - 2:45pm

Sebuah premis di pekan Saratok dipotong bekalan elektrik semalam kerana dipercayai menjalankan kegiatan perjudian. (Gambar sisipan) DSP Mathew Manggie.
SARATOK: Sebuah premis yang dipercayai menjalankan kegiatan perjudian di Jalan Wawasan di sini, diperiksa semalam.
Ketua Polis Daerah (KPD) Saratok DSP Mathew Manggie berkata, pemeriksaan tersebut telah dijalankan melalui Ops Dadu.
“Operasi ini telah dilancarkan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok bersama pihak penguat kuasa SESCO Cawangan Saratok.
“Dalam operasi ini, pihak berkuasa telah bertindak membuat pemotongan sumber bekalan elektrik di premis berkenaan.
“Tujuan pemotongan bekalan elektrik tersebut adalah untuk langkah-langkah pencegahan jenayah bagi menyekat kegiatan penjualan perjudian di Daerah Saratok di bawah Peruntukan Seksyen 21a Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” kata Mathew kepada media, hari ini.
Menurut Mathew, pihak polis akan berusaha dalam membanteras sebarang kegiatan jenayah di kawasan ini.
“Justeru, kita memohon masyarakat agar bersama-sama dengan pihak polis dalam menjayakan matlamat ini dengan menyalurkan maklumat agar tindakan segera dapat diambil,” tegas Mathew lagi.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Edited by Vellfire at 6-2-2026 03:46 PM
Kebocoran gas dikesan semasa pembinaan bangunan di SK Tudan
Februari 6, 2026, Jumaat - 2:52pm

Anggota bomba memasang sawar keselamatan di tiang cerucuk terlibat sebagai langkah keselamatan. - Gambar BBP Lutong
MIRI: Kebocoran gas berkepekatan tinggi dikesan semasa kerja pemasangan tiang cerucuk di tapak pembinaan bangunan di SK Tudan, pagi Jumaat.
Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan atau kematian dilaporkan dalam kejadian itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong Henry Jugah memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.15 pagi.
Berikutan itu, sepasukan tujuh anggota bomba diketuai PBK II Edwin Siba selaku komander operasi bersama sebuah jentera FRT digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh lapan kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi, komander operasi berjumpa pemanggil yang memaklumkan terdapat gas keluar dari dua lubang tiang cerucuk dengan kedalaman masing-masing 3.6 meter dan 33.9 meter.
“Setakat ini, jenis gas berkenaan belum dapat dipastikan seperti dimaklumkan oleh pegawai dari Sarawak Gas,” katanya dalam satu kenyataan.
Difahamkan, tapak itu adalah untuk pembinaan bangunan baharu yang akan menempatkan blok pentadbiran, bilik kelas dan kantin sekolah.
Susulan itu, satu perbincangan bersama pihak kontraktor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sarawak Gas dan guru besar sekolah telah diadakan sebelum semua kerja pembinaan di tapak seluas 854 meter persegi dihentikan sementara.
Henry berkata, selepas penilaian situasi dijalankan, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak memasang sawar keselamatan di sekitar tiang cerucuk terlibat sebagai langkah berjaga-jaga.
“Semua kerja di tapak seluas 60 peter persegi dihentikan sementara atas faktor keselamatan mengikut arahan Ketua Polis Daerah (KPD) Miri.
“Kami akan melakukan pemantauan berterusan sementara menunggu ketibaan bantuan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dari BBP Bintulu,” katanya.
Dalam pada itu, Henry ketika ditemui di tempat kejadian memberitahu hasil pemeriksaan pertama yang dilakukan pihaknya sebaik tiba di lokasi mendapati kepekatan gas yang bocor itu amat tinggi dengan bacaan 99999.
“Selepas pemeriksaan kali pertama, kami perlu menunggu kira-kira 30 minit untuk melakukan pemeriksaan kedua dan sekiranya bacaan gas masih tinggi, tindakan lanjut akan diserahkan kepada pasukan HAZMAT,” katanya.

Alat bacaan menunjukkan kepekatan gas tinggi yang dikesan di tapak pembinaan bangunan baharu SK Tudan, pagi Jumaat. - Gambar BBP Lutong
Sumber : Utusan Borneo
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Projek Waste to Wealth UNIMAS perkasa komuniti Kg Baru melalui inovasi hijau
Februari 6, 2026, Jumaat - 3:12pm

Dr Mohd Farid (sepuluh dari kiri) bergambar bersama peserta yang memenangi pertandingan kreativiti serta prestasi jualan produk.
KUCHING: Pelaksanaan Projek Waste to Wealth – Empowering Community Through Green Innovation di Kampung Baru, Kota Samarahan memainkan peranan untuk memperkasakan komuniti setempat menerusi inovasi hijau.
Menurut kenyataan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) hari ini, projek berkenaan merupakan salah satu daripada 10 projek yang dijalankan di bawah inisiatif UniMADANI, iaitu program pendayaan komuniti yang dilaksanakan oleh universiti awam Malaysia dengan sokongan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan diselaraskan oleh Pusat Kelestarian UNIMAS.
"Ingin saya merakamkan penghargaan kepada penduduk Kampung Baru atas komitmen serta keterbukaan mereka menerima pemindahan ilmu dan latihan kemahiran yang diperkenalkan melalui projek ini.
"Pendekatan berasaskan komuniti ini yang digabungkan dengan inovasi hijau bukan sahaja membantu mengurangkan sisa buangan, malah mampu menjana nilai ekonomi baharu yang mampan untuk penduduk setempat," kata Timbalan Pengarah (Kelestarian) Pusat Kelestarian UNIMAS Dr Mohd Farid Atan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan projek tersebut mewakili Naib Canselor UNIMAS Profesor Ahmad Hata Rasit.
Melalui projek Waste to Wealth itu juga, para peserta dilatih memanfaatkan minyak masak terpakai bagi menghasilkan produk bernilai tambah seperti sabun botani dan lilin estetik.
Ini sekali gus membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar serta membuka peluang penjanaan pendapatan sampingan kepada komuniti, ujarnya.
Lebih menarik, peserta turut didedahkan kepada penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam strategi pemasaran digital bagi meningkatkan daya saing produk tempatan dan menembusi pasaran yang lebih luas.

Rakaman gambar kenang-kenangan pihak UNIMAS, para peserta dan penduduk Kampung Baru, Kota Samarahan pada majlis penutupan Projek Waste to Wealth – Empowering Community Through Green Innovation.
UNIMAS turut merakamkan penghargaan kepada pihak PETRONAS atas sokongan dan kerjasama strategik dalam memperkenalkan konsep pengumpulan minyak masak terpakai serta pendekatan 'waste-to-product.'
Kerjasama tersebut diharap dapat diperluaskan termasuk potensi pemasaran produk komuniti di kios Mesra PETRONAS sekitar Samarahan dan Kuching pada masa hadapan.
Projek itu diharap dapat membuktikan keberkesanan kerjasama tiga pihak iaitu universiti, komuniti dan rakan strategik dalam merealisasikan inovasi hijau dan ekonomi kitaran yang memberi impak jangka panjang dari aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar.
Tambah beliau, komuniti Kampung Baru turut diharapkan sebagai model perintis kepada komuniti luar bandar lain di Sarawak dalam melaksanakan pendekatan inovasi mampan berasaskan ekonomi kitaran.
Pada majlis itu, beberapa peserta telah menerima sijil penyertaan serta hadiah bagi pertandingan kreativiti dan prestasi jualan produk.
Antara pencapaian yang membanggakan adalah kumpulan peserta yang berjaya mencatatkan jumlah jualan keseluruhan sehingga RM6,486 dengan membuktikan potensi sebenar projek pihaknya dalam meningkatkan ekonomi komuniti setempat.
UNIMAS juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk pasukan penyelidik yang diketuai oleh fasilitator projek, Profesor Dr Zainab Ngaini, peserta komuniti, PETRONAS serta kepimpinan Kampung Baru atas sumbangan tenaga, idea dan komitmen sepanjang pelaksanaan projek itu.'
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Jalan Jiwa Murni di pedalaman Kapit perlu dinaik taraf segera
Februari 6, 2026, Jumaat - 3:21pm

Keadaan Jalan Jiwa Murni di Baleh (dekat Jambatan Baleh) yang rosak serta tidak diselenggara serta berbahaya kepada pengguna.
KUCHING: Jalan Jiwa Murni yang menjadi satu-satunya laluan penghubung ke kawasan pedalaman Merit, Belaga dan Baleh di Bahagian Kapit perlu dinaik taraf segera.
Ketua Cabang PKR Kapit Khusyairy Pangkas berkata, jalan tersebut berdepan banyak kerosakan dan tidak diselenggara dengan baik sehingga digelar 'Jalan Jiwa Merana' dan 'Jalan Maut.'
“Sebagai pemimpin akar umbi PKR di Kapit, saya amat simpati dengan keluhan masyarakat sehinggakan Jalan Jiwa Murni digelar 'Jalan Jiwa Merana' dan 'Jalan Maut.'
“Setiap hari, pengguna laluan ini terpaksa menerjah jalan rosak berlubang, licin dengan kemalangan persendirian kerap berlaku sehingga ada yang meragut nyawa,” katanya.
Tambah Khusyairy, difahamkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berjanji akan melaksanakan kerja naik taraf Jalan Jiwa Murni dengan anggaran kos RM85 juta di bawah peruntukan khas penyelenggaraan jalan Kerajaan Persekutuan melalui Sistem Maklumat Rekod Jalan Malaysia (MARRIS).

KHUSYAIRY
Yang menjadi persoalannya kini kata Khusyairy, adakah Jalan Jiwa Murni sudah didaftar dalam sistem MARRIS.
Kerajaan Sarawak juga katanya telah bercadang dan dalam proses mengambil alih 1,673.4 kilometer (km) jalan balak (aktif, tidak aktif dan terbiar) di Bahagian Kapit untuk diwartakan sebagai jalan negeri.
Apabila jalan balak menjadi jalan negeri, permohonan peruntukan MARRIS juga harus dipercepatkan, ujar Khusyairy.
Beliau turut menegaskan keperluan pemantauan rapi terhadap penggunaan dana MARRIS dan menggesa Audit Negara menjalankan pemeriksaan dan audit tahunan bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti serta pelaksanaan segera projek naik taraf Jalan Jiwa Murni.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Naik taraf saliran selesai, penduduk Jalan Kuching Ranger Depot lega
Februari 6, 2026, Jumaat - 3:23pm

Wilfred (tengah) merakamkan kenangan bersama pemimpin komuniti yang turut hadir menyaksikan penyiapan rasmi projek RTP naik taraf saliran di Jalan Kuching Ranger Depot, hari ini.
KUCHING: Penantian panjang penduduk dan pengguna jalan raya di kawasan Jalan Kuching Ranger Depot kini berakhir apabila projek naik taraf saliran di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) telah siap sepenuhnya.
Demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Wilfred Yap sambil menambah akhirnya penyelesaian kepada masalah saliran dan banjir kilat yang telah lama membelenggu kawasan tersebut selesai.
“Projek ini dilaksanakan bagi menangani masalah saliran dan banjir kilat yang sering berlaku, khususnya ketika hujan lebat yang sebelum ini menjejaskan pengguna jalan raya, premis perniagaan dan komuniti setempat.
“Keadaan tersebut bukan sahaja mengganggu pergerakan harian, malah turut menjejaskan keselamatan awam,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau sendiri telah turun padang untuk menyaksikan penyiapan rasmi projek berkenaan yang terletak di hadapan Sarawak Forestry Corporation, Wisma Lestari, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM250,000.
Tambah Wilfred lagi, projek tersebut merupakan satu intervensi praktikal yang sangat diperlukan oleh rakyat.
“Naik taraf saliran ini penting untuk memperbaiki aliran air, mengurangkan risiko banjir serta meningkatkan keselamatan dan keselesaan orang ramai.
“Ini adalah contoh pembangunan yang benar-benar menyelesaikan masalah sebenar di peringkat akar umbi,” tegasnya.
Wilfred pada masa sama merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), kontraktor yang dilantik serta semua pihak terlibat yang memastikan projek tersebut disiapkan mengikut skop dan keperluan teknikal yang telah diluluskan.
Tambahnya, pelaksanaan projek-projek RTP sentiasa berpandukan maklum balas masyarakat setempat dan keperluan sebenar di lapangan, khususnya projek yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian dan keselamatan awam.
“Keutamaan kami ialah memastikan setiap projek yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat. Infrastruktur bukan sekadar binaan fizikal, tetapi asas kepada kesejahteraan dan kualiti hidup komuniti,” ujar beliau.
Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan agensi pelaksana bagi memastikan semua projek RTP di kawasan Kota Sentosa dilaksanakan dengan cekap, berkesan serta memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
India pasaran berpotensi tinggi bagi Sarawak sempena TMM2026
Februari 6, 2026, Jumaat - 3:26pm

Abdul Karim (tiga kanan) bersama mengetuai delegasi Sarawak pada OTM 2026 di Mumbai, India.
KUCHING: India dikenal pasti sebagai pasaran berpotensi tinggi bagi Sarawak sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Susulan itu, India menjadi fokus utama Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) pada penyertaan di Outbound Travel Mart (OTM) 2026 di Pusat Konvensyen Dunia Jio, Mumbai, India.
STB dalam satu kenyataan berkata, Malaysia mengalu-alukan sasaran 43 juta pelawat antarabangsa di bawah Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), dengan India dikenal pasti sebagai pasaran pertumbuhan utama yang menyasarkan dua juta ketibaan.
"Disokong peningkatan minat pasaran termasuk lonjakan permintaan sebanyak lapan peratus dari India, Sarawak berhasrat menyumbang secara signifikan kepada sasaran nasional ini melalui pertumbuhan berkualiti dan mampan daripada pasaran India," katanya.
Di OTM 2026, Sarawak menampilkan dirinya sebagai destinasi unik berteraskan pengalaman yang mengetengahkan teras pelancongan Budaya, Penggembaraan, Alam Semula Jadi, Makanan dan Festival (CANFF).
Penekanan diberikan kepada pengalaman imersif berasaskan semula jadi dan kekayaan warisan yang sekali gus mendapat sambutan kukuh dalam kalangan pasaran India, termasuk Taman Negara Mulu serta Taman Negara Niah.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang mengetuai delegasi Sarawak turut menyampaikan ucaptama sebagai ahli panel semasa Sesi Perasmian OTM 2026.

Abdul Karim (dua kiri) tampil sebagai ahli panel semasa Sesi Perasmian OTM 2026.
Selain itu Ketua Pegawai Eksekutif STB Dr Sharzede Salleh Askor turut tampil sebagai ahli panel dalam sesi Forum OTM bertajuk ‘Beyond the Usual: Mapping Where Indian Travellers Will Go Next.’
Sharzede berkongsi pandangan mengenai kesiapsiagaan destinasi Sarawak dan strategi pembangunan produk bagi gelombang pelancong India seterusnya.
Sebelum pembukaan rasmi OTM 2026, delegasi Sarawak telah mengadakan lawatan peringkat tinggi bagi memperkukuh hubungan diplomatik dan akademik, termasuk kunjungan hormat ke Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai untuk bertemu Konsul Jeneral Ahmad Zuwairi Yusoff.
Lawatan itu diikuti dengan misi kerjasama akademik ke Universiti Somaiya Vidyavihar bersama Universiti USCI Kampus Sarawak bagi mempromosikan pelancongan pendidikan.
Turut serta dalam delegasi tersebut, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting, Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak Dato Dennis Ngau serta yang lain.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|