PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) akhirnya akur menawarkan juara remaja dunia, Zulfadli Zulkifli menjalani latihan untuk pemilihan skuad Piala Thomas negara Mei ini.
Bagaimanapun tiada jaminan kerana hanya pemain yang menunjukkan prestasi terbaik saja terpilih.
Keputusan itu dibuat Ahli Majlis BAM, dipengerusikan Presiden Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh selepas mesyuarat semalam.
“Kami mahu Hafiz (Hashim) dan Zulfadli menyertai latihan BAM bermula 5 Mac sebagai persediaan menghadapi kejohanan Piala Axiata. Kami juga tawarkan kepada mereka untuk meneruskan latihan Piala Thomas,” kata Nadzmi.
Menurut beliau, Zulfadli ditawarkan selepas ahli majlis memutuskan untuk menyenaraikan hanya pemain terbaik mewakili negara di Wuhan, China.
“Kami akan pastikan hanya pemain terbaik dipilih tanpa mengira pemain itu bernaung di bawah BAM ataupun bebas, semua berpeluang.
“Keputusan akhir pemilihan pemain akan dibuat pada akhir April nanti.” Tawaran memanggil Zulfadli menyertai latihan skuad Piala Thomas itu hadir selepas pelbagai pihak mempersoalkan ketelusan BAM yang sering mengutarakan ‘kepentingan negara’ sedangkan tindak tanduk mereka lebih menjurus ke arah menjaga ego persatuan itu yang enggan mengiktiraf kemampuan kelab.
Sepanjang tahun lalu, Zulfadli muncul juara remaja Asia, Komanwel dan Dunia selain membantu pasukan campuran remaja dunia negara muncul juara.
Malah Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sendiri terpaksa bersuara demi memastikan bakat besar Zulfadli tidak berkubur sia-sia seperti pemain berbakat sebelum ini, Mohd Arif Latif yang ‘diperam’ sedangkan pemain China, Chen Long dan Kenichi Tago dari Jepun yang seangkatan dengannya kini berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.
Mesyuarat Majlis BAM itu juga memutuskan menghantar pasukan terkuat di kejohanan Piala Axiata yang menawarkan hadiah lumayan RM3.03 juta (AS$1 juta) bermula 23 Mac ini.
Malaysia dan Indonesia ditawar menghantar dua pasukan, justeru BAM memutuskan menyenarai pemain senior dan remaja Bawah 21 Tahun.
Pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei akan mengetuai skuad Malaysia A selain Hafiz, Liew Daren, Arif, Koo Kien Keat, Tan Boon Heong, Goh V Shem, Lim Khim Wah.
Manakala Malaysia B pula diketuai Zulfadli, Iskandar Zulkifli, Misbun Ramdan Misbun, Loh Wei Sheng, Ow Yao Han, Chooi Kah Ming, Teo Eei Yi dan Nelson Heg.
Selain itu, Pengarah Cawangan Elit MSN, Ariffin Ghani dilantik sebagai anggota terbaru dalam Pasukan Prestasi Tinggi (HPT) yang dipengerusi Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai.
APA lagi helah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menggugurkan Mohd Arif Latif yang berada dalam senarai kelayakan Seluruh England, kejohanan berstatus Siri Super Premier ketika mereka menuntut pemain itu mendapatkan keputusan yang baik di peringkat antarabangsa sebelum badan induk badminton negara itu memutuskan senarai pemain yang akan memperkuat skuad Piala Thomas negara di Wuhan, China Mei depan.
Dikhabarkan pengguguran Arif itu disebabkan persembahan hambar pada pusingan kelayakan Piala Thomas, di Macau bulan lalu namun mengapa cuma Arif yang menjadi mangsa ketegasan BAM? “Saya dapat tahu digugurkan dari Seluruh England Sabtu minggu lalu, saya akui dengan hukuman itu tapi saya berang mengapa saya dihukum dua kejohanan dengan hanya menilai prestasi saya di satu kejohanan,” kata Arif ketika dihubungi.
Selain Seluruh England yang akan bermula esok, Arif juga ditarik semula penyertaannya di Terbuka Switzerland yang akan berlangsung minggu depan.
Jika benar BAM mahu menjatuhkan hukuman mengapa mesti Arif seorang menjadi mangsa sedangkan Liew Daren juga gagal menyumbang mata kepada skuad negara dalam kempen kelayakan Piala Thomas lalu.
Malah pencapaian Arif sepanjang 2011 juga lebih baik berbanding Daren apabila melangkah ke separuh akhir GP Emas Terbuka Korea dan beraksi di final Kejohanan Cabaran Antarabangsa Malaysia, kejohanan yang turut disertai Daren dan Chong Wei Feng yang diserapkan ke Seluruh England.
Wei Feng yang berada di ranking dunia lebih rendah berbanding Arif berada dalam senarai simpanan pertama di Seluruh England, dengan tindakan menggugurkan Arif secara automatik Wei Feng layak beraksi di kejohanan berprestij itu meskipun sekadar pusingan kelayakan.
Dengan penggugurannya daripada dua kejohanan Eropah itu, Arif mula mengesan ada tangan yang cuba menafikan peluangnya beraksi di Piala Thomas kerana sebelum ini BAM berkata mahu menilai pemain terbaik untuk diserapkan ke dalam kejohanan berpasukan itu dan akan mengumumkan nama pemain terpilih pada akhir April.
“Saya kesuntukan masa dan kekurangan kejohanan untuk membuktikan kemampuan kerana saya hanya akan beraksi di GP Emas Terbuka Australia April depan.” Apa yang berlaku pada Arif ini mungkin membenarkan khabar angin yang bertiup kencang sebelum ini yang mengatakan dua jurulatih Rashid Sidek dan Tey Seu Bock serta pemain nombor satu negara Datuk Lee Chong Wei tidak “sebulu” dengan Arif.
Dikatakan wujud polemik antara Arif, Rashid, Seu Bock dan Chong Wei mengenai satu tuduhan terhadap pemain itu tanpa usul periksa sehingga menyebabkan Arif enggan berlatih dengan tiga individu penting dalam badan induk badminton negara itu.
Menjelang kelayakan Piala Thomas di Macau, Arif ada memohon kepada BAM meminta jurulatihnya Hendrawan turut di bawa ke Macau untuk melatihnya dan Muhd Hafiz Hashim namun BAM menolak.
Malah tindakan menggugurkan Arif dan memasukkan Wei Feng juga mungkin disebabkan BAM mahu Daren dan Wei Feng “sparring” bersama Chong Wei di sepanjang kejohanan di London, bukannya Arif.
Lebih mudah untuk diperkatakan lagi, Daren dan Wei Feng adalah anak didik Rashid sedangkan Arif dilatih Hendrawan.
Jika benar tindakan menggugurkan Arif sekalipun, apa rasional BAM menghukum pemain daripada menyertai sesuatu kejohanan hanya berdasarkan satu kejohanan, malah pemain seangkatan Arif sebelum ini juga pernah menyuarakan rasa tidak senang dengan peraturan itu.
Malah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong sendiri mempertikai tindakan BAM dengan berasakan badan induk badminton negara itu tidak tahu hala tuju.
“Arif lebih muda berbanding Daren dan Wei Feng malah BAM sudah banyak memberi peluang kepada dua pemain itu tapi tetap gagal membuktikan aksi yang baik di pentas antarabangsa. Mengapa mereka masih melakukan eksperimen ke atas dua pemain ini untuk mencipta masa depan gemilang?” kata Zolkples.
“Antara Arif dan Daren, kedua-duanya tidak boleh mengakui diri mereka lebih baik.” Daren dan Wei Feng memasuki usia 25 tahun pada tahun ini sedangkan Arif dua tahun lebih muda berbanding mereka.
aku benci betul dengan politik BAM ni..
orang atas berpolitik, atlit jadi mangsa
sama kes dengan KOAM, dah semua tak suka si Karim, tapi masih duk megah kat atas tu..
Rashid takut anak buah Hendrawan lebih menyinar?? Seeloknya Ketua Jurulatih takde pelatih dok bawah dia. Jurulatih je dok bawah dia. Baru tak de istilah anak tiri atau anak kandung..
Yg kes Karim tu aku musykil sikit..awat sorang je pelatih yg kantoi..kawan2 dia tak kantoi lak.. aku pun tak berapa faham kes dadah tu..