|
|
Lori bawa muatan berat menyebabkan dua lubang besar di jalan raya
Februari 3, 2026, Selasa - 5:49pm

Lubang jalan di lorong belakang berhampiran Lorong Ulu Oya 11B, Sibu, yang disifatkan sebagai ‘perangkap maut’ kepada kenderaan dan orang awam.
SIBU: Sebuah lori berat yang dipercayai membawa muatan besi buruk telah menyebabkan dua lubang di lorong belakang deretan kedai berhampiran Lorong Ulu Oya 11B di sini, sekali gus mengundang risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya dan orang awam.
Seorang pengusaha kedai kopi yang menyedari kerosakan tersebut pagi semalam berkata, lubang berkenaan amat berbahaya terutama kepada kenderaan yang melalui lorong sempit itu serta pejalan kaki yang sering menggunakannya.
“Lorong belakang ini digunakan setiap hari oleh pelanggan, penduduk dan kenderaan penghantaran.
"Keadaan jalan yang rosak ini seolah-olah perangkap maut yang boleh menyebabkan kemalangan pada bila-bila masa,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, kerosakan jalan itu dipercayai berlaku selepas sebuah lori sarat dengan muatan berat melalui kawasan tersebut, menyebabkan permukaan jalan mendap dan pecah.
Beliau berkata, keadaan itu menjadi lebih berbahaya pada waktu malam atau ketika hujan kerana lubang berkenaan sukar dikesan oleh pengguna jalan raya.
Sehubungan itu, beliau berharap Majlis Perbandaran Sibu (MPS) yang mempunyai bidang kuasa di kawasan berkenaan, dapat mengambil tindakan segera bagi memeriksa dan membaiki jalan rosak tersebut demi keselamatan orang ramai.

Lubang jalan di lorong belakang berhampiran Lorong Ulu Oya 11B, Sibu, yang disifatkan sebagai ‘perangkap maut’ kepada kenderaan dan orang awam.
“Saya bimbang jika tiada tindakan segera diambil, ia boleh mengakibatkan kecederaan atau kerosakan kenderaan.
“Saya merayu agar pihak berkuasa tempatan bertindak sebelum berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.
Dalam pada itu, peniaga dan penduduk sekitar turut menggesa pemantauan lebih ketat terhadap pergerakan kenderaan berat yang menggunakan lorong belakang yang tidak dibina untuk menampung beban berlebihan.

Lubang jalan di lorong belakang berhampiran Lorong Ulu Oya 11B, Sibu, yang disifatkan sebagai ‘perangkap maut’ kepada kenderaan dan orang awam.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tun Wan Junaidi terima kunjungan hormat delegasi MIS
Februari 3, 2026, Selasa - 5:57pm

Tun Wan Junaidi (tengah) merakam kenangan bersama delegasi MIS yang diketuai Dr Abdul Rahman (tujuh kiri) hari ini. -Gambar Astana Negeri Sarawak
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Majlis Islam Sarawak (MIS) yang diketuai Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi di kediaman rasmi beliau di sini, hari ini.
Memetik kenyataan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), hadir sama dalam lawatan itu adalah Yang Dipertua MIS Datuk Misnu Taha, Ketua Hakim Syariah Sarawak Datu Awang Suhaili Ledi, Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Islam Sarawak dan Setiausaha MIS Ustaz Mual Suaud, Pengarah Jabatan Mufti Sarawak Ustaz Ahmad Sukarno Saini serta barisan pemimpin dan pegawai kanan MIS dan jabatan berkaitan.
Lawatan hormat berkenaan katanya, menjadi platform rasmi bagi memperkukuhkan hubungan kerjasama antara MIS dan institusi Yang di-Pertua Negeri, selain membuka ruang untuk bertukar pandangan mengenai pentadbiran dan pembangunan Islam di Sarawak.
Pada sesi itu, Tun Wan Junaidi diberi penerangan menyeluruh mengenai hala tuju strategik, peranan dan fungsi MIS termasuk Jabatan Hal Ehwal Islam Sarawak, Jabatan Mufti, Jabatan Kehakiman Syariah serta Tabung Baitulmal Sarawak.
Juga, inisiatif semasa bagi memastikan pengurusan hal ehwal Islam dijalankan secara terancang dan berlandaskan undang-undang sedia ada.
Lawatan tersebut juga membolehkan MIS menerima nasihat dan panduan daripada beliau bagi tujuan penyelarasan dasar dan hala tuju, terutama dalam pelaksanaan program, pengisytiharan fatwa dan pengurusan institusi Islam selaras dengan kepentingan umat Islam dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Tun Wan Junaidi menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada MIS serta agensi berkaitan atas komitmen berterusan dalam memartabatkan pentadbiran hal ehwal Islam di negeri ini, selain memainkan peranan memelihara kesucian Islam dan kesejahteraan masyarakat secara inklusif.
Beliau turut menekankan kepentingan tadbir urus yang berhemah, berpandukan undang-undang dan mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Enam sekolah rendah di Sibuti terima bantuan makanan, peralatan sekolah
Februari 3, 2026, Selasa - 6:31pm

Simbolik penyerahan bantuan di SK Beliau Ahad, Subis semalam yang turut disaksikan Jekaria (dua kiri).
MIRI: Enam sekolah rendah di kawasan Sibuti menerima bantuan makanan dan peralatan sekolah menerusi program kebajikan anjuran sukarelawan Miri, semalam.
Menerusi program tersebut, sebanyak 400 bungkusan makanan diagihkan kepada penerima yang terdiri daripada murid, guru serta kakitangan sokongan sekolah terlibat.
Kerja-kerja pembungkusan makanan dilaksanakan sehari lebih awal oleh sukarelawan yang terdiri daripada ahli-ahli protem Persatuan Kebajikan Transformasi Sukarelawan Miri bagi memastikan kelancaran agihan.
Sekolah yang terlibat dalam program itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bulau Bekenu, SK Kampung Masjid Bekenu, SK Beliau Ahad, SK Rumah Undi, SK Rumah Essau dan SK Kampung Tegageng.
Program berkenaan diketuai Dato Jekaria Abdul Pata daripada syarikat Bright Star Resources Sdn Bhd dan Noble Dominance Sdn Bhd bersama Pengarah Syarikat Noble Dominance Sdn Bhd Kho Lian Whui.
Program itu turut dijayakan dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Transformasi Sukarelawan Miri serta Persatuan Kebajikan Sanggar Suri Malaysia.
Menurut penganjur, sumbangan tersebut diharap dapat membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga, khususnya dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.
Turut hadir pada program itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Protem Persatuan Kebajikan Transformasi Sukarelawan Miri Matassan Rohani.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Program Promosi Turun Padang JOM@coop IKMa di Sibu, 12 Februari
Februari 3, 2026, Selasa - 8:02pm

SIBU: Institut Koperasi Malaysia (IKMa) akan mengadakan Program Promosi Turun Padang JOM@COOP Mempromosi Latihan dan Pendidikan Koperasi 2026 akan diadakan di Hotel Kingwood Sibu pada 12 Februari ini.
Pensyarah Kanan IKMa Zon Sarawak Mohamad Suandi Mortadza (gambar) berkata, program itu juga diadakan sempena Sambutan Jubli Platinum IKMa 70 Tahun.
"Program ini merupakan salah satu aktiviti tahunan yang dijalankan oleh Institut Koperasi Malaysia bagi meningkatkan kefahaman komuniti koperasi serta ahli dalam membangunkan ekonomi komuniti mereka dan seterusnya memberi impak kepada negara.
"Selain itu program ini dapat mempromosikan kelebihan dan keistimewaan koperasi kepada masyarakat serta menghebahkan perkhidmatan dan produk yang ditawarkan oleh IKMa," ujarnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Antara pengisian program termasuk taklimat Program IKMa Zon Sarawak 2026 oleh Mohamad Suandi, selain perkongsian pengalaman bekas peserta program bimbingan IKMa Zon Sarawak, perkongsian video evolusi IKMa, pameran agensi, gerai jualan serta pameran koperasi dan usahawan.

Mohamad Suandi menjelaskan, objektif program itu bagi menerangkan program latihan dan pendidikan yang ditawarkan IKMa sepanjang tahun 2026, memberi pendedahan kepada warga koperator khasnya di bahagian Sibu dan kawasan sekitar tentang peranan IKMa Zon Sarawak dalam pembangunan modal insan koperasi serta berkongsi pengalaman menguruskan kejayaan perniagaan koperasi berasaskan bimbingan yang dihadiri dalam program IKMa.
"Pelaksanaan program ini menyasarkan penyertaan 150 peserta dari bahagian Sibu, Sarikei, Kapit, Mukah dan kawasan sekitar yang terdiri daripada Anggota Lembaga Koperasi (ALK), anggota koperasi dan kakitangan koperasi, usahawan serta masyarakat umum," katanya sambil menambah, penyertaan adalah percuma.
Bagi yang berminat, boleh mengisi pautan pendaftaran https://forms.gle/FVUi7BApNwWAA1P99 atau menghubungi talian 082-552408 atau 082-552405 atau e-mel [email protected].
"Program ini diharap mendapat sambutan daripada gerakan koperasi dan masyarakat setempat agar mencapai objektif program yang telah dinyatakan," ujar Mohamad Suandi sambil mempelawa orang ramai mendaftar beramai-beramai untuk hadir pada program tersebut.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Terapkan langkah penggunaan api dan elektrik selamat semasa musim perayaan
Februari 4, 2026, Rabu - 9:27am

Dr Sim (duduk di tengah) bersama-sama tetamu kehormat yang lain merakam gambar bersama-sama warga bomba serta hadirin yang hadir sejurus selesai majlis.
BINTULU: Orang ramai sentiasa dinasihatkan agar mempraktikkan penggunaan elektrik dan api secara selamat terutamanya menjelang musim perayaan bagi menggelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Jelasnya, musim perayaan sering dikaitkan dengan peningkatan penggunaan elektrik dan api disebabkan ramai ahli keluarga serta sanak-saudara balik ke rumah atau kediaman keluarga.
"Senario ini menyebabkan penggunaan elektrik meningkat apatah lagi pada zaman sekarang penggunaan barangan elektrik dan elektronik yang banyak sudah menjadi norma biasa bagi setiap isi rumah berbanding masa dahulu," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Komuniti Prihatin Kediaman Selamat Bersama Bomba Sarawak Tahun 2026 Peringkat Zon Bintulu, di sini, pada petang Selasa.
Jelasnya, musim perayaan sering dikaitkan dengan peningkatan aktiviti memasak, penggunaan peralatan elektrik secara berlebihan termasuk pemasangan hiasan, serta penggunaan bahan mudah terbakar.
"Justeru, keselamatan kebakaran bukan sahaja tanggungjawab pihak berkuasa, malah merupakan tanggungjawab bersama seluruh komuniti di bahagian ini bagi memastikan yang musim perayaan bermula dengan baik dan berakhir dengan baik juga sehingga semua orang balik ke kediaman masing-masing, bukannya tragedi kebakaran yang memberikan kenangan pahit dan trauma buat seluruh keluarga,” katanya.
Dr Sim menambah pencegahan awal, pendidikan, kesedaran komuniti dan sikap berwaspada dalam kalangan ahli keluarga dan komuniti secara keseluruhannya amat penting bagi mengelakkan berlakunya musibah kebakaran.
Program ini katanya sebagai tepat pada masanya kerana diyakini mampu mengurangkan risiko kebakaran sekali gus memastikan sambutan Tahun Baharu Cina yang selamat, walaupun dalam tahun kuda api.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu Johnny Pang Leong Ming, Pegawai Daerah Bahagian Bintulu Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan dan Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Nixon Joshua Ali, antara yang hadir.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
sbh - Kerajaan Sabah jalin kerjasama strategik dengan Jabatan Penyiaran
swk - Paras bekalan darah di Hospital Sibu sangat rendah, dijangka berlanjutan sehingga April
 |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
11 pegawai agensi penguat kuasa di Bintulu direman bagi bantu siasatan kes rasuah
Februari 4, 2026, Rabu - 9:17am
BINTULU: Sebelas pegawai sebuah agensi penguat kuasa di bahagian ini direman bagi membantu siasatan kerana disyaki terbabit dalam kes rasuah berjumlah RM239, 000.
Perintah reman telah dipohon oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Bintulu pada Selasa yang mana perintah tahanan reman dikeluarkan oleh kesemua suspek berumur 20 hingga 40 tahun itu dikenakan tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Kasyfurrahman Abang Ahmad.
Pihak mahkamah kemudiannya memutuskan bahawa enam suspek dikenakan tahanan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini nanti manakala empat lagi selama lima hari sehingga Ahad ini nanti bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, seorang lagi suspek dikena tahanan reman selama tiga hari hingga Khamis ini nanti.
Turut difahamkan bahawa kesemua suspek ditahan semalam antara jam 11.50 pagi dan 4 petang semasa hadir bagi memberikan keterangan di Pejabat SPRM Bintulu di sini.
Siasatan awal yang dijalankan mendapati bahawa perbuatan rasuah itu dipercayai berlaku antara tahun 2020 hingga tahun lepas (2025) dengan meminta sejumlah wang dari RM2, 400 hingga RM45, 000 dari ahli keluarga banduan sebagai habuan menjaga keselamatan serta memudahkan urusan mereka.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Bekas setiausaha agung FAS dilepas dan dibebas daripada tuduhan pecah amanah
Februari 3, 2026, Selasa - 4:49pm
KUCHING: Bekas setiausaha agung Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Razali Dolhan, hari ini dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Sesyen Kuching atas tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM191,298.70.
Hakim Musli Ab Hamid menetapkan demikian mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Setelah meneliti dan mempertimbangkan semua keterangan saksi, bukti serta hujahan kedua-dua pihak di akhir kes pendakwaan, Musli antara lainnya berpendapat bahawa kes pendakwaan sarat dengan percanggahan material dan menimbulkan keraguan yang substansial.
“Sehubungan itu, mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh bagi semua pertuduhan yang dikemukakan.
“Oleh demikian, tertuduh dibebaskan dan dilepaskan tanpa perlu dipanggil membela diri. Wang jaminan tunai, jika ada, diperintahkan dikembalikan,” ujar Musli ketika memberikan keputusan mengenai kes tersebut hari ini.
Mengikut pertuduhan pertama, Razali yang pada ketika itu merupakan Setiausaha Agung FAS didakwa melakukan pecah amanah wang tunai berjumlah RM139,920 milik persatuan berkenaan pada 4 Februari 2017 di Stadium Negeri Sarawak, Jalan Stadium, Petra Jaya.
Bagi pertuduhan kedua pula, beliau didakwa pecah amanah wang tunai berjumlah RM21,378.70 di Lea Sport Centre, Wisma Hopoh pada 13 Februari 2017.
Manakala bagi pertuduhan ketiga, beliau didakwa melakukan pecah amanah membabitkan cek RM30,000 juga di Stadium Negeri pada 18 Januari 2017.
Ketiga-tiga pertuduhan masing-masing dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu hingga 14 tahun, dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Menurut laporan terdahulu, Razali mengaku tidak bersalah apabila dituduh di Mahkamah Sesyen di sini pada Ogos 2019 dan diberi ikat jamin RM8,000 berserta dua penjamin warga tempatan, selain perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap dua minggu.
Semasa perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil seramai tujuh saksi termasuk bekas Presiden FAS Datuk Posa Majais selaku pengadu, untuk membuktikan kes terhadap Razali.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki hilang ketika cari hasil hutan ditemukan lemas di sungai
Februari 4, 2026, Rabu - 10:14am
PAPAR: Lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar mencari hasil hutan berhampiran Kampung Mandugi, di sini, ditemukan lemas di sungai kampung terbabit petang Selasa.
Mangsa berusia 58 tahun ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bersama penduduk kampung pada jam 4.12 petang di kawasan sungai, kira-kira 300 meter dari Pos Kawalan Bomba (PKB).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pihak polis pada jam 10.02 pagi bagi membantu usaha mengesan mangsa yang dipercayai hilang di kawasan hutan Kampung Mandugi.
Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada pihak polis, mangsa keluar dari rumah di Kampung Langkawit, Papar pada 1 Februari kira-kira jam 3 petang untuk berjumpa rakan di Kampung Mandugi.
“Mangsa kemudian dipercayai masuk ke kawasan hutan berhampiran bagi mencari hasil hutan namun tidak pulang ke rumah sehingga laporan kehilangan dibuat kepada pihak berkuasa.
“Operasi SAR bermula pada jam 12.21 tengah hari dengan penglibatan 10 anggota bomba bersama pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta kira-kira 25 penduduk kampung,” katanya.
Katanya, pasukan pencarian membahagikan operasi kepada empat sektor iaitu kawasan kampung, kebun, sungai dan hutan bagi meluaskan liputan pencarian.
“Unit dron milik PDRM turut digerakkan bagi membantu menjejak pergerakan mangsa dan mempercepat usaha mengesan lokasi.
“Mangsa akhirnya ditemukan di sektor sungai oleh pasukan penyelamat bersama penduduk kampung pada jarak kira-kira 300 meter dari PKB.
“Mayat mangsa dibawa keluar menggunakan bot penduduk kampung sebelum diusung ke PKB menggunakan pengusung oleh pasukan penyelamat,” katanya.
Beliau berkata, mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke hospital bagi pengesahan kematian serta proses bedah siasat.
Tambahnya, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.26 petang selepas semua prosedur selesai.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
10 warga China gagal kemuka dokumen sah ditahan JIM di Labuan
Februari 4, 2026, Rabu - 10:22am
LABUAN: Seramai 10 individu warganegara China ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Labuan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah dalam Operasi Sapu di empat kediaman sekitar kawasan taman perumahan, di sini, Selasa.
Pengarah JIM Wilayah Persekutuan Labuan Raymond Entalai berkata, operasi bermula kira-kira jam 12 tengah malam hingga 1.30 pagi hasil maklumat awam serta risikan dijalankan pihaknya.
Operasi diketuai Ketua Timbalan Penolong Pengarah (KTPP) Fatrick James bersama 18 pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Penguatkuasaan.
Menurutnya, seramai 20 individu diperiksa membabitkan 15 lelaki dan lima wanita, kesemuanya warganegara China.
“Hasil pemeriksaan mendapati 10 individu gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah sebelum ditahan bagi siasatan lanjut.
“Ketika pemeriksaan dijalankan, beberapa individu cuba melarikan diri melalui pintu belakang rumah.
“Pasukan penguatkuasa terpaksa mengejar suspek dan hasil tindakan pantas berjaya menahan kesemua individu yang cuba melarikan diri tanpa sebarang insiden tidak diingini,” katanya.
Beliau berkata, selain tangkapan, empat saman kepada saksi turut dikeluarkan bagi membantu siasatan.
“Semua individu yang ditahan dibawa ke Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan bagi proses dokumentasi serta tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.
Raymond berkata, operasi penguatkuasaan terus dipergiat secara berkala bagi mengesan, menangkap, mendakwa serta mengusir warganegara asing yang melanggar peraturan imigresen.
Beliau mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi atau menggaji pendatang tanpa izin kerana tindakan tegas boleh diambil.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan PTI atau aktiviti menyalahi undang-undang imigresen digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha penguatkuasaan,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
sbh - 10 warga China gagal kemuka dokumen sah ditahan JIM di Labuan
swk - Paras bekalan darah di Hospital Sibu sangat rendah, dijangka berlanjutan sehingga April
 |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
HPN dan masa depan kewartawanan serantau
Februari 4, 2026, Rabu - 11:22am

DISKUSI MEDIA: Penulis bersama Charlie merakam gambar kenangan di pejabat Utusan Borneo Sabah.
INDUSTRI persuratkhabaran global kini berada di persimpangan paling kritikal dalam sejarah kewujudannya, berdepan tekanan berlapis akibat perubahan teknologi, ekonomi digital dan dominasi media sosial.
Fenomena ini bukan terhad di Malaysia atau rantau ASEAN, sebaliknya melanda seluruh dunia, termasuk negara maju yang suatu ketika dahulu memiliki industri akhbar yang kukuh dan berpengaruh.
Dalam konteks ini, penganjuran Hari Pers Nasional (HPN) di Banten, Indonesia, harus dilihat sebagai platform strategik untuk pemain industri media dan wartawan menilai semula hala tuju, kelangsungan dan masa depan persuratkhabaran.
HPN tidak boleh kekal sebagai acara seremonial semata-mata, sebaliknya perlu menjadi medan wacana kritikal tentang survival industri persuratkhabaran dalam landskap media yang semakin tidak terkawal.
Hakikatnya, media sosial telah mengubah ekosistem maklumat dunia dengan mempercepatkan penyebaran berita, namun sering mengorbankan prinsip ketepatan, etika dan tanggungjawab.
Dalam arus ini, industri persuratkhabaran sering dilabel sebagai usang dan ketinggalan zaman, namun penilaian tersebut terlalu simplistik dan gagal melihat fungsi sebenar kewartawanan profesional.
Realitinya, industri persuratkhabaran tidak akan mati sepenuhnya kerana masyarakat kini semakin menyedari nilai kandungan yang sahih, berfakta dan melalui proses tapisan editorial yang ketat.
Kesedaran ini dipacu oleh lambakan berita palsu dan maklumat mengelirukan yang tersebar luas melalui media sosial sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Media sosial cenderung mengejar sensasi, emosi dan viraliti bagi memancing klik dan tanda suka, tanpa kebertanggungjawaban terhadap implikasi sosial dan politik.
Akibatnya, kepercayaan awam terhadap maklumat digital semakin rapuh, sekali gus membuka ruang kepada kebangkitan semula media arus perdana sebagai sumber rujukan yang lebih dipercayai.
Justeru, HPN wajar mengupas fenomena ini secara mendalam, termasuk keperluan kepada anjakan paradigma kewartawanan dan pengukuhan kerjasama media serantau.
Pengalaman industri media global turut mengesahkan cabaran ini, seperti yang dikongsikan oleh Charlie Elder, Editor Western Morning News, yang merupakan antara akhbar terbesar dan berpengaruh di England.
Charlie sedang bercuti dua minggu ke Malaysia dan memilih Sabah sebagai destinasi percutian. Katanya, ini kali kedua berkunjung ke Sabah kerana meminati keindahan alam semulajadi negeri ini.
Dia berkunjung ke pejabat Utusan Borneo Sabah, yang letaknya bersebelahan tempat penginapannya di Kota Kinabalu dua hari lepas, sebelum meneruskan percutian ke Lahad Datu di pantai timur Sabah.
Menurut beliau, akhbar yang dipimpinnya itu pada suatu ketika dahulu mencatat edaran ratusan ribu naskhah sehari, tetap kini menjunam sangat drastik -- situasi yang sama dihadapi akhbar di Malaysia dan Indonesia.
Kejatuhan ini, kata Charlie, memaksa Western Morning News beralih secara agresif ke platform digital bagi mengekalkan relevansi dan kelangsungan operasi.
Namun peralihan digital bukan penyelesaian mutlak, apabila pendapatan iklan turut merosot akibat kecenderungan pengiklan beralih kepada media sosial dan pempengaruh digital.
Situasi ini membuktikan bahawa cabaran industri persuratkhabaran bukan sekadar soal teknologi, tetapi juga melibatkan struktur ekonomi media dan perubahan tingkah laku pengguna.
Oleh itu, sudah tiba masanya pemain industri persuratkhabaran di peringkat serantau memperkukuh kolaborasi strategik bagi membina ekosistem media yang lebih mampan.
Kerjasama antara Malaysia dan Indonesia khususnya amat signifikan, memandangkan kedua-dua negara berkongsi cabaran, budaya dan tanggungjawab kewartawanan yang sama.
Di sinilah letaknya peranan HPN di Indonesia dan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) di Malaysia sebagai pemangkin kepada pengukuhan kewartawanan sejati.
Sempena HPN di Banten, satu sesi dialog melibatkan pengarang kanan Malaysia dan Indonesia melalui ISWAMI wajar dimanfaatkan sepenuhnya bagi merangka strategi bersama demi masa depan persuratkhabaran yang berintegriti, berwibawa dan dipercayai masyarakat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Ketua Kampung, Pengerusi JKKK di Tongod kini lantikan, bukan pilihan undi
Februari 4, 2026, Rabu - 12:44pm

HADIR: Masiung disambut oleh Nordin ketika hadir dalam majlis berkenaan.
TONGOD: Jawatan Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di daerah ini tidak lagi ditentukan melalui pemilihan undi, sebaliknya dilantik oleh Wakil Rakyat bersama kepimpinan di peringkat daerah.
Keputusan itu diumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah selepas merasmikan penutupan Kursus Transformasi Kepimpinan Ketua-ketua Adat Cemerlang daerah Tongod di Dewan Simpang Entalibon, semalam.
Masiung berkata, pengalaman selama lima penggal sebagai Wakil Rakyat menunjukkan pemilihan melalui undi tidak membawa banyak kebaikan, sebaliknya mewujudkan perpecahan dalam kalangan komuniti.
“Kita pernah melakukan pemilihan Ketua Kampung dan Pengerusi JKKK secara undi, tetapi jika berlaku pertandingan dua atau tiga penjuru, ia akan menimbulkan perpecahan antara kumpulan menang dan kalah. Hasilnya, keharmonian komuniti tidak terbentuk,” katanya.

TAHNIAH: Masiung menyampaikan sijil tamat kursus kepada peserta.
Beliau berkata, kaedah lantikan adalah pilihan paling tepat kerana ia membolehkan individu berpengalaman dan berkelayakan memimpin serta mengutamakan kepentingan komuniti.
Kursus sehari itu dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS) dan dihadiri seramai 57 ketua adat, termasuk Ketua Daerah Tongod, Josison Saidin, Ketua-ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri serta Ketua-ketua Kampung.
Turut hadir, Pegawai Daerah Tongod, Hadzlan Jablee; Pengarah JHEANS, Nordin Lossin dan Ketua Polis Daerah, Inspektor Edwan Dollah.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki disyaki terlibat kes curi di Pusat Komersial Saberkas, Miri ditangkap
Februari 4, 2026, Rabu - 12:59pm
MIRI: Seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat kes kecurian dalam bangunan di kawasan Pusat Komersial Saberkas di sini berjaya diberkas polis dalam satu operasi pada pagi Selasa.
Suspek, 38, telah ditahan pada jam 9.40 pagi di tepi Jalan Pujut Corner di sini oleh sepasukan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Pusat Miri dengan diketuai Ketua Polis Balai Pusat Miri, ASP Goldy Jangan.
Menurut pihak polis, tangkapan ke atas suspek dilakukan kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan curi dalam bangunan di kawasan tersebut sepertimana yang dilaporkan pengadu.
Semasa tangkapan dilakukan, polis turut merampas pakaian yang dipakai suspek semasa melakukan jenayah serta sekeping papan lapis (plywood) untuk dijadikan bahan bukti.
Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan boleh dedenda, jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, polis menyeru orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang, menghormati hak milik orang lain serta mencari sumber rezeki melalui jalan yang sah.
Dalam masa sama, orang awam diminta supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah di daerah ini.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
sbh - Ketua Kampung, Pengerusi JKKK di Tongod kini lantikan, bukan pilihan undi
swk - Lelaki disyaki terlibat kes curi di Pusat Komersial Saberkas, Miri ditangkap
 |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
DPTLD lancar kutipan dana urus pengebumian penghuni RSP
Februari 4, 2026, Rabu - 2:08pm

PENGHARGAAN: Tan (lima kanan) menerima sijil penghargaan daripada Sampadan, bersama Liaw Jia Hwa, Chong Chun Kiong, Tee Kang Poh dan Lim Yit Joon.
LAHAD DATU: Dewan Perniagaan Tionghua Lahad Datu (DPTLD) melancarkan kempen kutipan dana bagi menguruskan pengebumian seorang penghuni Rumah Sinar Pelangi (RSP), yang meninggal dunia di hospital di sini pada 27 Januari lalu.
Berikutan itu, abu mayat mendiang kini disimpan sementara di Dewan Persatuan Che Yee Khor sementara urusan pengebumian diselesaikan.
Ketua Rumah Sinar Pelangi, Sampadan Talanjor merakamkan penghargaan kepada Presiden DPTLD, Tan Cheng Teng serta ahli-ahli dewan perniagaan berkenaan atas keprihatinan dan bantuan yang dihulurkan.
Tan berkata, RSP adalah rumah kebajikan yang menempatkan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) tanpa sokongan keluarga di daerah ini.
Katanya, DPTLD bertindak segera selepas menerima permohonan bantuan daripada Ketua RSP bagi menguruskan pengebumian mendiang berkenaan.
“DPTLD bersetuju melancarkan kempen kutipan dana bagi menampung perbelanjaan pengebumian dan kami berterima kasih kepada ahli perniagaan serta komuniti setempat yang tampil menghulurkan sumbangan.
“Saya memuji semangat keprihatinan dan kesediaan masyarakat setempat membantu golongan memerlukan,” katanya.
Terdahulu, rombongan DPTLD turut meluangkan masa melawat penghuni serta kemudahan RSP selain bertukar pandangan dengan pihak pengurusan bagi memahami keperluan dan cabaran dihadapi penghuni rumah kebajikan berkenaan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|