Bab 4
Baru hari Rabu Ainul sudah panas punggung duduk di kampung. Macam-macam cerita yang sampai di telinganya. Penyampai berita jika bukan Puan Sarah adalah adik-adiknya, sementelah Pak Hashim Ainul lihat riak wajahnya macam biasa. Seolah-olah apa yang berlaku ke atas Ainul tidak terkesan langsung kepadanya.
“Assalamualaikum…Asaalamualaikum…Kak Sarah..oooo..Kak Sarah, ada kat rumah ke?” Pagi-pagi lagi kedengaran suara seseorang memberi salam di muka tingkap. Ainul yang sedang membaca di dalam bilik menyahut dan menjongolkan dirinya di tingkap melihat siapa yang datang.
“Waalaikumsalam…oh Mak Idah, naiklah…mak tengah mengemas dekat dapur tu.” Ainul mempersilakan perempuan separuh umur lebih kurang sebaya ibunya itu naik ke rumah. Mak Idah, jiran yang rumahnya selang dua buah dari rumah Ainul.
“Apa kamu buat memerap dalam rumah tu Ain? Ingatkan kereta kamu rosak, tak bergerak-gerak Mak Idah tengok. Macam-macam Mak Idah dengar tentang kamu, tak tahu versi mana agaknya yang boleh percaya. Agak betul ke semua tu?” Mak Idah sudah menapak ke atas tangga. Ainul membuka pintu yang sememangnya tidak berkunci.
Ainul mengeluh kecil. Soalan Mak Idah di biar tidak berjawab. “Duduk dulu Mak Idah, biar Ain panggil mak kat dapur tu.” Biar Puan Sarah saja yang melayan. Melihatkan Puan Sarah sudah duduk bersembang dengan Mak Idah, Ainul kembali ke dalam bilik dan meneruskan pembacaannya. Teringat sudah berhari-hari tidak memeriksa e-mail pejabat, Ainul mengaktifkan pakej data internet di handphonenya. Berebut-rebut email masuk. Kebanyakannya email dari pejabat, dan yang paling teratas terbaru sekali dari Zayn Eskandar Rozali. Zayn hantar Email?
Subject : Galau
Email kosong dari Zayn Eskandar. Pelik. Ainul memutuskan untuk tidak membalasnya. Mungkin tersalah hantar. Biarkan saja.
Ainul berkemas-kemas. Kalau Zayn rasa galau, yang Ainul tahu dia juga galau tentang segala yang sedang berlaku di sekelilingnya. Dia harus pergi dari sini, lagi orang kampung nampak dia ada di rumah, lagi galak mereka berkata.
Menjelang tengahari apabila Pak Hashim sudah ada di rumah, Ainul menyampai hajat kepada ibu dan ayahnya yang dia sudah siap berkemas dan akan bertolak ke Subang Jaya sekejap lagi. Mula-mula Puan Sarah membantah kerana dia tahu yang Ainul bercuti sepanjang minggu. Bila melihatkan Ainul sudah tidak makan di pujuk, Puan Sarah akhirnya mengalah. Selepas makan tengahari dan Solat Zuhur Ainul bertolak.
*****
Sekembalinya Syifa dari pejabat, dia ternampak kereta Ainul di tempat parkir. Mereka menyewa sebuah apartment di Tingkat 3. Menunggu butang lif bertukar ke huruf G, terasa sangat lama bagi Syifa. Dia sudah tidak sabar-sabar hendak berjumpa dengan Ainul. Ainul langsung tidak membalas pesanan-pesanan ringkas yang di hantar.
Ting! Pintu lif terbuka. Ada tiga kanak-kanak lelaki berebut-rebut keluar dari pintu lif dan terus berlari-lari. Hampir-hampir melanggar Syifa yang sedang tercegat berdiri betul-betul di depan pintu lif. Hendak marah pun tidak boleh, nama pun budak-budak, bukannya makan saman.
Masuk saja ke rumah Syifa terus mencari-cari kelibat Ainul. Rupa-rupanya Ainul tertidur di depan TV. Syifa tidak jadi hendak mengejutkan Ainul, kasihan sebab Ainul nampak macam letih. Bila sudah menginjak pukul 7.30 petang Syifa naik geram. Dia mengerak-gerakkan bahu Ainul. Tiada respon. Dia mencuit-cuit dagu Ainul, masih tiada respon. Ainul kalau tidur memang tidur mati.
“Wahai Ainul Hayatt binti Sarah, bacaan Surah Yaasin ini khas ku tujukan untuk dirimu!!” Syifa menjerit kuat-kuat di telinga Ainul.
“Yaasin!” Syifa melagukan bacaan Surah Yaasin ke telinga Ainul.
“Tolong Encik, tolong! Ini semua kesalahan teknikal..lepaskan tangan saya Encik….” Tangan Ainul mengapai-gapai ke langit. Ainul mengingau, macam drama swasta.
“Hahahaha……” Syifa sudah pecah perut ketawa. “Encik mana pulak ni beb…oooooiiiii…bangun!! Siapa suruh tidur time senja-senja ni!!” Syifa mengoncang-goncangkan badan Ainul. Barulah Ainul terpisat-pisat duduk.
“Nyenyaknya kau tidur beb, sampai mengigau bagai…Encik mana yang masuk dalam mimpi kau tadi tu, aduh..sakit perut aku tau tak?”…Syifa masih lagi ketawa sambil menekan-nekan perut.
“Hahahaha..lawak-lawak. Nanti aku cerita yang part tak lawak eh, aku mandi dulu..nanti kita story mory.” Ainul terus berlalu dari situ.
Syifa yang sudah memusatkan tumpuannya ke slot drama petang-petang di TV3 hanya mengangguk.
Terlopong-lopong mulut mendengar cerita Ainul. Berapa kali Ainul tolong tutupkan mulut Syifa dengan tangannya. Mula-mula dia tidak percaya, tetapi bila Ainul menunjukkan kertas pertuduhan yang ada pada dia berserta cop rasmi Jabatan Agama Islam Melaka barulah dia yakin yang Ainul bukan main-main.
“Zayn Eskandar, amboi nama..handsome ke dia beb?” Tertera nama Zayn sebagai orang yang kena tuduh.
“Bolehlah, ala kadar.” Ainul Mencebik.
“Ni name card dia, aku rasa office dia dekat dengan office kau lah..cuba kau tengok address ni, sama business centre dengan kau kan?..”
“Hmm…yelah ni, tapi aku tak perasan pulak lorong yang mana satu, esok aku ushar office dia ni.”
“Ada gambar tak?” Syifa sudah terlebih.
“Dahlah…mengarut betul kau ni kan, kalau nak jumpa dia kau temankan aku hari perbicaraan nanti ya..dua minggu dari sekarang bulan ni 29 hari bulan.”
“Esok jugak aku apply cuti.” Syifa berjanji.
I'm just a little bit caught in the middle
Life is a maze and love is a riddle
I don't know where to go, can't do it alone
I've tried and I don't know why
Slow it down, make it stop or else my heart is going to pop
'Cause it's too much, yeah it's a lot to be something I'm not
I'm a fool out of love 'cause I just can't get enough
Lirik lagu The Show by Lenka berkumandang dari handphone Ainul. Ainul mengambil handphonenya dan melihat pemanggilnya. Dia menayang telefon ke muka Syifa. Zayn Eskandar rupanya. Syifa mengambil telefon tersebut dari tangan Ainul dan menekan butang hijau.
“Assalamualaikum…sayang.” Syifa terkedu.Amboi! siapa Zayn ni dengan Ainul sampai bersayang bagai.
Last edited by CikMerah on 20-8-2013 05:37 PM
|