|
Satu per tiga Pakistan ditenggelami banjir, PBB lancar rayuan bantuan kecemasan AS$160 jutaOgos 30, 2022 @ 3:56pm
[url=][/url][url=][/url][url=][/url][url=][/url][url=][/urSekitar keadaan banjir di Pakistan. - FOTO REUTERS
GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kerajaan Pakistan melancarkan rayuan bantuan kecemasan mencecah AS$160 juta, hari ini, untuk rakyat negara itu yang sedang berdepan ancaman banjir terburuk dalam tempoh lebih sedekad.
Puluhan juta penduduk terjejas apabila hujan monsun berterusan sejak Jun lalu mengakibatkan banjir yang menenggelami satu per tiga daripada Pakistan. Setakat ini, bencana itu telah meragut lebih 1,100 nyawa, memusnahkan banyak tanaman dan merosak atau memusnahkan lebih sejuta kediaman.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres yang menyifatkan bencana itu sebagai 'krisis besar', berkata dana diperoleh akan digunakan untuk membantu 5.2 juta penduduk paling rentan serta paling terkesan, dengan keperluan bekalan makanan, air bersih, sanitasi, pendidikan kecemasan, perlindungan dan sokongan kesihatan.
"Pakistan sedang menderita. Rakyatnya berdepan detik genting kesan musim tengkujuh yang membawa hujan berterusan dan banjir besar," katanya dalam satu kenyataan melalui video.
Sambil menyifatkan banjir terbabit sebagai 'malapetaka iklim', Guterres berkata, Asia Selatan ialah antara 'hotspot' di dunia yang mana penduduknya adalah '15 kali lebih berkemungkinan mati akibat kesan iklim.'
Secara umum, bantuan berkenaan yang meliputi enam bulan pertama tindak balas krisis itu, akan dimanfaatkan untuk mencegah wabak penyakit seperti taun, di samping menyediakan makanan berkhasiat kepada kanak-kanak dan ibu mereka.
Selain itu, ia juga akan memberikan bantuan kepada pelarian dan usaha menyatukan semula keluarga yang terpisah akibat bencana berkenaan.
Jurucakap Pejabat untuk Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) bawah PBB, Jens Laerke, berkata rakyat Pakistan sedang berdepan kecemasan, dan amat memerlukan sokongan serta solidariti antarabangsa.
Beliau berkata, kira-kira 500,000 mangsa kehilangan tempat tinggal akibat banjir dan terpaksa berlindung di kem bantuan, manakala ramai lagi menumpang sementara di kediaman keluarga tuan rumah.
Kira-kira 150 jambatan pula dihanyutkan arus deras, manakala 3,500 kilometer jalan mengalami kerosakan akibat banjir dan tanah runtuh, sekali gus menyekat akses laluan.
"Hujan lebat dijangka berterusan, manakala air di banyak empangan dan sungai telahpun mencecah paras banjir. Justeru, bencana banjir ini berkemungkinan akan semakin buruk," kata Laerke pada taklimat media di Geneva.
Sementara itu jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Christian Lindmeier, berkata banyak fasiliti kesihatan di Pakistan terjejas teruk akibat banjir berkenaan, termasuk 180 kemudahan 'musnah sepenuhnya'.
Agensi pelarian PBB pula memaklumkan, terdapat kira-kira 1.3 juta pelarian Afghanistan berdaftar di Pakistan, dan pihaknya sudah menyalurkan bantuan kecemasan dan barangan perlindungan bernilai AS$1.5 juta, namun banyak lagi yang diperlukan pada minggu-minggu mendatang. - AFP
https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2022/08/994816/satu-tiga-pakistan-ditenggelami-banjir-pbb-lancar-rayuan-bantuan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|