PETALING JAYA, 19 MAC 2008: Penyanyi remaja kontroversi Mila terharu kerana album solonya mempunyai banyak keistimewaan dan kenangan bersifat peribadi.
Sebagai contoh, penyanyi kecil molek dari Pulau Pinang itu sempat merakamkan 4 lagu ciptaan Allahyarham Loloq sebelum penulis lirik itu menghembuskan nafas terakhir.
"Lagu-lagu itu adalah
Persis Mutiara, Ilham Di Matamu, Aku Lebih Tahu dan
Demi Cinta Selamanya. Mila rasa bertuah kerana menjadi antara penyanyi yang terakhir dapat menyanyikan lagu ciptaan Loloq," kata Mila pada majlis pelancaran album solonya itu di sini semalam.
Melalui album ini, pihak Maestro banyak menggabungkan nama-nama besar industri
muzik tempatan seperti Ajai, Roslan Aziz dan Audi Mok sebagai penerbit termasuk bos Maestro sendiri, Freddie Fernadez.
Selain penerbit, Freddie juga ada menyumbangkan nukilan kreatif melalui lagu Pergimu yang menggandingkannya dengan penulis lirik veteran Habsah Hassan.
Apapun, lagu Persis Mutiara bukan saja mampu menawan hati peminat AF malah berjaya menjuarai beberapa carta radio sehingga dipilih menjadi lagu paling popular pada Anugerah Era tahun lalu.
Ketika pelancaran album itui, turut ditayangkan rakaman
video 30 minit yang menunjukkan di sebalik tabir penggambaran video klip lagu
Ilham Di Matamu dan
Aku Lebih Tahu yang dijalankan di Indonesia.
"Saya paling suka lagu Ilham Di Matamu walaupun proses rakaman lagu ini memakan masa. Semasa shooting juga, saya perlu belajar menari ballet dan menangis," jelas Mila.
Istimewa buat pembaca,
murai.com.my menyiarkan sedikit sedutan dari video tersebut. Sila ke
Media Galeri untuk menonton sedutan berkenaan.
Namun selepas menonton video klip tersebut,
aksi Mila dalam lagu
Ilham Di Matamu agak dibayangi video klip Datuk Siti Nurhaliza manakala jalan cerita video klip
Aku Lebih Tahu ada persamaan dengan lagu
Pudar (Rossa). Mungkin inilah hasilnya apabila
shooting dijalankan di negara seberang.
Sementara itu, konsep tengok
wayang menjadi pilihan Maestro untuk pelancaran album Mila. Majlis itu dilancarkan oleh Fredie sendiri dan dihadiri ibu dan ayah Mila serta ahli kelab peminat (FC) Mila.