|
Timur: Tingkat imej kraf tanah liat Jerantut
JERANTUT: Temin Kraf Enterprise pengeluar utama kraf berasaskan tanah liat berusaha menambah pengeluaran terutama membabitkan produk yang berimejkan daerah Jerantut.
Pengusahanya, Mohammad Zakaria, 40, berkata syarikatnya kini menghasilkan kira-kira 50 kraf tanah liat pelbagai saiz dan bentuk untuk digunakan hiasan, cenderamata dan bekas menyimpan air.
"Saya akan berusaha menambah seberapa banyak produk tanah liat terutama yang berimejkan daerah ini dalam usaha mengetengahkan kraf tanah liat Temin ke pasaran lebih luas.
"Selain bekas menyimpan air atau Terenang Pahang yang sudah terkenal, saya juga menghasilkan rekaan antaranya perahu panjang Tembeling, cawan, mangkuk, labu, tekoh, bekas telur dan pasu," katanya kepada Berita Harian.
Katanya, keunikan kraf Terenang Pahang ialah dibuat menggunakan tangan selain dikaitkan dengan pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu terutama di daerah ini.
Mohammad berkata, dengan kerjasama Kraftangan Malaysia, pejabat daerah dan Risda, beliau akan berusaha menghasilkan seberapa banyak produk baru seperti rakit, rumah tradisional dan buah-buahan.
Beliau berkata, setiap bulan beliau menggunakan kira-kira satu tan tanah liat yang dibeli daripada pengeluar di Selangor dengan harga RM850 setan.
"Setiap bulan saya mampu mengeluarkan lebih 3,000 unit produk tanah liat pelbagai saiz bergantung kepada permintaan dan bekalan tanah liat.
"Saya menjual pada harga antara RM3 dan RM100 seunit bergantung kepada saiz, reka bentuk dan warna," katanya yang menggunakan khidmat lima pekerja tempatan.
Katanya, walaupun boleh menggunakan teknologi moden untuk menghasilkan produk tanah liat, beliau masih menggunakan tangan terutama bagi proses membuat bunga dan ukiran bagi menghasilkan serta mengekalkan keunikan terenang. |
|