Projek HSR KL-Singapura: MOT sedang muktamad parameter cadangan pelaksanaan

[size=14.399999618530273px]Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. - Foto BERNAMA
[size=14.399999618530273px]
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang memuktamadkan parameter utama cadangan pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dengan penyertaan sepenuhnya daripada sektor swasta. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata perkara itu akan dibuat secara bersama dengan kementerian dan agensi berkaitan. "Pada masa ini, MOT bersama kementerian dan agensi berkaitan sedang memuktamadkan parameter utama bagi cadangan pelaksanaan projek HSR secara private-led (dibiayai sepenuhnya sektor swasta)
"Parameter terbabit akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk mendapat persetujuan," katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan menerusi di laman sesawang Parlimen malam tadi.
Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) yang ingin tahu status terkini projek kereta api HSR susulan keputusan Malaysian Resources Corporation Bhd yang menarik diri daripada konsortium yang diketuai Berjaya Rail Sdn Bhd. Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu projek HSR Kuala Lumpur-Singapura boleh dihidupkan semula sekiranya terdapat penyertaan sepenuhnya daripada sektor swasta dengan penglibatan kerajaan yang sangat minimum. Katanya, kerajaan berhasrat mempelawa penyertaan sektor swasta kerana peruntukan perbelanjaan kerajaan mempunyai hadnya dan ketika ini masih menunggu cadangan yang berpotensi. Loke berkata MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) sudah melaksanakan penilaian terhadap tujuh cadangan konsep yang diterima daripada firma tempatan dan antarabangsa. Katanya, ia dibuat melalui Request For Information (RFI) atau 'permintaan maklumat'. "Perincian berkaitan butiran konsortium yang sudah disenarai pendek, kaedah pembiayaan dan kajian model projek akan diteliti pada fasa seterusnya, iaitu melalui proses Request For Proposal (RFP)," katanya. Untuk rekod pada Januari lalu, sebanyak tujuh konsortium tempatan dan antarabangsa dilaporkan menyerahkan cadangan konsep bagi projek HSR KL-Singapura kepada MyHSR. Tujuh konsortium itu terdiri daripada 31 firma yang mewakili spektrum penuh projek berkenaan. Penyerahan cadangan konsep untuk projek HSR KL-Singapura itu adalah sebagai maklum balas kepada Permintaan Maklumat (RFI) yang dilancarkan oleh MyHSR Corp pada Julai 2023 dengan tarikh akhir bagi penyerahan adalah 15 Januari 2024.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/02/1362638/projek-hsr-kl-singapura-mot-sedang-muktamad-parameter-cadangan
|