Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku enam negeri sehingga 6 petang ini.
Berdasarkan kenyataan MetMalaysia hari ini, negeri yang dijangka berdepan cuaca buruk itu adalah Perlis, Wilayah Persekutuan Labuan, Kedah, Terengganu, Sarawak dan Sabah membabitkan beberapa kawasan.
"Di Kedah ia membabitkan Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap dan Sik; Terengganu di Marang dan Dungun dan Sarawak pula di Mukah, Bintulu, Miri serta Limbang.
"Sementara di Sabah pula membabitkan di Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort dan Nabawan), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat," katanya.
MetMalaysia memaklumkan, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter (mm) setiap jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," katanya.