|
source:budiey.com
KAMAL ADLI DUTA HANDYCAM SONY
Pengeluar produk elektronik Jepun, Sony telah melantik Kamal Adli sebagai duta Handycam HDR-TG1 selama setahun dan membuka peluang kepadanya mengacarakan rancangan TV log perjalanan, Pandanganku Ceritaku, terbitan Sony sendiri yang menemui penonton Astro Ria setiap Isnin jam 5 petang, siaran ulangan 10 malam. Kamal Adli juga muncul setiap hari jam 3.30 petang di TV3 sebagai Johan dalam drama bersiri Impian Sunsilk, siaran ulangan Sabtu jam 12.30 tengah hari. Kamal Adli juga asalnya seorang model muncul dalam iklan KFC dan di pentas peragaan.
Pastinya Sony mahukan Negara matahari terbit Jepun diteroka kerana penggambaran diakukan di sana selama hampir dua minggu. Namun, Sony juga tidak lupa memartabatkan Malaysia dengan mencari persamaan budaya pada dua Negara ini. Selebriti Jojo turut dilantik sebagai duta Handycam dan mengacarakan MyView MyStory dalam bahasa Cina untuk tayangan Astro Wah Lai Ton.
“Kamal melihat kehidupan yang cukup berbeza di sana. Masyarakat Jepun sangat tekun, pantas dan berdisiplin. Mereka patuh pada undang-undang. Jika hendak merokok, mereka akan berdiri di tempat yang dikhususkan. Mengacara rancangan Pandanganku Ceritaku memberi satu pengalaman baru,” ujar Kamal Adli.
Penggambaran untuk rancangan Pandanganku Ceritaku sudah selesai dilakukan di Jepun dan Malaysia cuma sibuk dengan proses memasukkan suara latar. Manakala, untuk drama Impian Sunsilk masih lagi dalam proses penggambaran. “Kesibukan sangat ketara pada bulan Julai kerana saya terpaksa bergilir-gilir membahagikan masa untuk mengacara dan berlakon. Buat masa ini saya merindukan dunia modeling. Kesibukan ini juga membataskan waktu saya bertemu kawan-kawan,” ujar Kamal.
Pada Ogos pula jadual Kamal Adli penuh dengan road tour untuk Sony dan Impian Sunsilk. Jelajah pertama Sony di Pulau Pinang pada 21 Jun, seterusnya ke Kota Kinabalu, Sabah pada 23 Ogos dan Melaka pada 20 September 2008.
“Bersama-sama Sony pastinya tugas saya adalah untuk memperkenalkan Sony Handycam HDR-TG1 yang sangat nipis dengan pelbagai fungsi malah ringan. Hanya berukuran 32 x 119 x 63mm pastinya mudah sekali digunakan. Direka dengan konsep ‘My HD to Go’, HDR-TG1 bersaiz poket, dicipta juga Full HD camcoder dengan kualiti video paling hebat,” ujar Kamal Adli.
Jadual Ogos juga dipenuhi dengan road tour Impian Sunsilk yang bermula di Giant Kinrara pada 27 Julai. Seterusnya di Senawang pada 3 Ogos, Plentong pada 10 Ogos, Bayan Baru pada 17 Ogos, Batu Cave pada 24 Ogos dan Melaka pada 31 Ogos.
Harapan Kamal Adli adalah meneruskan kerjaya seni sebagai pengacara, pelakon dan model. Kalau boleh dia mahu dikenali menerusi hasil kerja. Sokongan semua sangat dihargai.
|
|