CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
Author: Vellfire

[Borneo] Rumah Borak Borneo~Auk ajaklah

[Copy link]
 Author| Post time 28-1-2026 11:30 AM | Show all posts
Sarawak harap terima bahagian adil peruntukan RM50 Juta RIBI Persekutuan
Januari 28, 2026, Rabu - 9:42am



Dr Sim (kiri) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa antara wakil rakyat menerima cek dana bantuan Rumah Ibadat Agama-Agama Lain daripada Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada majlis di Wisma Bapa pada Selasa. Turut kelihatan Pengarah UNIFOR, Datu Georgina Apphia Ngau (kanan). - Gambar Facebook Dr Sim Kui Hian

KUCHING: Sarawak berharap dapat menerima sebahagian yang adil dan munasabah daripada peruntukan RM50 juta Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) di peringkat Persekutuan.

Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata ia memandangkan negeri ini mempunyai rekod kukuh serta keperluan sebenar yang tinggi dalam pembangunan dan penyelenggaraan rumah-rumah ibadat bukan Islam.

Beliau berkata harapan itu bersandarkan kepada pengalaman Sarawak melalui Unit Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) yang telah membuktikan keberkesanan pendekatan inklusif negeri ini sejak penubuhannya pada tahun 2017.

“Peruntukan RIBI Persekutuan itu telah dimaklumkan oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, kepada saya pada Oktober 2025 semasa Mesyuarat Menteri/EXCO Kerajaan Tempatan.

“Saya amat gembira apabila dimaklumkan bahawa KPKT Malaysia telah memperuntukkan RM50 juta bagi RIBI di seluruh negara.

“Ini satu perkembangan positif dan menunjukkan Kerajaan Persekutuan kini mengiktiraf keperluan rumah ibadat bukan Islam, sebagaimana yang telah lama dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak,” katanya,” katanya menerusi catatan Facebook beliau, pada Selasa.

Dr Sim berkata Sarawak mempunyai asas yang kukuh untuk dipertimbangkan menerima peruntukan tersebut, mengambil kira komposisi penduduk dan jumlah permohonan yang diterima saban tahun.

Menurut beliau, sekitar 65 peratus daripada penduduk Sarawak adalah bukan Islam, menjadikan keperluan terhadap sokongan infrastruktur rumah ibadat bukan Islam jauh lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain.

Tambahnya, pada tahun 2025 sahaja, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM90 juta kepada UNIFOR, dengan 380 projek menerima manfaat.

Katanya ia termasuk 71 projek terakhir yang melibatkan baki RM13.63 juta, merangkumi pembinaan baharu serta kerja naik taraf gereja dan tokong di seluruh negeri.

“Walaupun RM90 juta telah diperuntukkan bagi UNIFOR pada 2025, jumlah itu masih belum mencukupi berbanding permohonan yang diterima. Ini jelas menunjukkan keperluan sebenar di Sarawak masih tinggi,” katanya.

Sejak 2017, jelas Dr Sim, Kerajaan Sarawak telah menyalurkan RM565 juta bagi menyokong lebih 3,000 projek pembangunan dan naik taraf infrastruktur rumah ibadat bukan Islam, sekali gus membuktikan keupayaan UNIFOR mengurus dana awam secara telus, sistematik dan berimpak tinggi.

Sehubungan itu, beliau berharap Sarawak akan menerima bahagian yang setimpal daripada peruntukan RIBI Persekutuan, agar keperluan mendesak rumah-rumah ibadat di negeri ini dapat ditangani dengan lebih menyeluruh.

Dalam masa yang sama, Dr Sim turut berharap Kerajaan Persekutuan dapat meningkatkan peruntukan RIBI pada tahun 2026, berbanding RM50 juta bagi seluruh negara, memandangkan kira-kira 11 juta penduduk Malaysia atau 35 peratus daripada populasi negara adalah bukan Islam.

Sebagai perbandingan, beliau berkata Kerajaan Sarawak bukan sahaja memperuntukkan RM90 juta setahun kepada UNIFOR, malah turut menyalurkan RM20 juta setahun kepada Sekolah Misi Kristian dan RM22 juta setahun kepada Sekolah Rendah dan Menengah Cina.

Katanya ia selari dengan dasar keterangkuman dan keharmonian antara agama yang menjadi teras pentadbiran negeri.

“Sarawak telah lama membuktikan bahawa keharmonian agama bukan sekadar slogan, tetapi diterjemahkan melalui dasar, peruntukan dan pelaksanaan yang konsisten,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 28-1-2026 11:32 AM | Show all posts
Dua beradik ditahan disyaki terlibat kes samun di Kampung Sui, Kota Samarahan
Januari 28, 2026, Rabu - 11:01am

KOTA SAMARAHAN: Polis menahan dua beradik dipercayai terlibat dalam kes samun berkawan di Kampung Sui, di sini, membabitkan kerugian kira-kira RM15,000 pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintenden Damataries Lautin, berkata tangkapan dilakukan sekitar tengah hari di sebuah rumah di Kampung Sui iaitu hasil operasi bersama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Kota Samarahan dan D8 Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sarawak.

Menurutnya, kes samun itu dilaporkan berlaku pada 11 Januari lalu kira-kira jam 4.30 pagi apabila mangsa yang berada seorang diri di rumah didatangi tiga lelaki yang menyamar dengan bertanyakan jalan.

“Ketiga-tiga suspek yang dilaporkan bersenjatakan parang panjang, kayu dan besi terus menyerbu masuk ke dalam rumah mangsa.

“Mangsa kemudian diikat menggunakan tali nilon sebelum suspek menyelongkar rumah dan melarikan pelbagai barangan termasuk wang tunai, telefon bimbit, tablet, dokumen peribadi serta sebuah kereta milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut bersama seorang lagi rakan sejenayah yang masih bebas.

“Operasi mengesan seorang lagi suspek masih giat dijalankan,” katanya.

Dalam operasi sama, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai hasil rompakan termasuk sebuah mesin pemotong rumput, sebuah tablet serta telefon bimbit.

Selain itu, polis turut menjumpai sepucuk pistol airsoft bersama beberapa butir peluru dan kelongsong.

“Pemeriksaan di rumah berkenaan membawa kepada penemuan pistol airsoft yang merupakan milik salah seorang daripada suspek terbabit.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku membeli pistol airsoft tersebut dengan harga RM1,000 daripada seseorang di Serikin, Bau,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Kedua-dua suspek kini ditahan di Lokap Balai Polis Kota Samarahan dan akan dibawa ke Mahkamah Kota Samarahan untuk permohonan reman bagi membantu siasatan lanjut.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-1-2026 11:45 AM | Show all posts
Lelaki mengamuk di Kampung Hidayat ditahan polis
Januari 27, 2026, Selasa - 10:36am

TAWAU: Seorang lelaki yang bertindak mengamuk dan mengancam penduduk kampung berjaya ditahan dalam kejadian di Kampung Hidayat, Batu 4, Jalan Apas, semalam.

Suspek berusia 34 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.30 pagi oleh anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, di kampung berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sebelum itu, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) berhubung seorang lelaki bertindak agresif.

Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota MPV dengan bantuan dua lagi kenderaan peronda dikerahkan ke lokasi dan berjaya menahan suspek terbabit.

“Pemeriksaan ke atas suspek menemukan beberapa barangan berbahaya dipercayai digunakan ketika kejadian, termasuk pemutar skru, pisau pemotong kertas, gunting serta sebatang besi.

“Semakan melalui sistem Mobile Card Acceptance Device (MCAD) mendapati suspek adalah individu dikehendaki polis berkaitan kes penipuan yang dilaporkan di Putatan, tahun lalu,” katanya dalam kenyataan media, di sini.

Menurutnya, semua barang terbabit dirampas dan suspek dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Jasmin menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak sendiri jika berdepan individu agresif atau mencurigakan, sebaliknya segera menyalurkan maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membolehkan tindakan pantas diambil demi keselamatan awam.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-1-2026 11:46 AM | Show all posts
MPI anjur program teroka pasaran latihan profesional di Sabah
Januari 27, 2026, Selasa - 12:29pm

KOTA KINABALU: Malaysian Press Institute (MPI) akan menganjurkan program latihan bertajuk 'The Official Voice: Becoming Your Organisation’s Influencer' pada 6 Februari depan di sebuah hotel di sini.

Menurut kenyataan MPI, program berkenaan disasarkan kepada kumpulan pengamal komunikasi korporat dan perhubungan awam, khususnya mereka yang bertanggungjawab menguruskan suara rasmi organisasi di platform digital dan media sosial.

Penganjuran program itu juga salah satu inisiatif MPI untuk memperluaskan audiens serta meneroka pasaran latihan profesional di Sabah.

"Melalui program ini, peserta akan didedahkan kepada pendekatan strategik dalam membina imej organisasi, menghasilkan kandungan berpengaruh serta mengurus komunikasi rasmi organisasi dalam persekitaran media digital yang semakin mencabar.

"MPI berharap program ini dapat membantu meningkatkan keupayaan pengamal komunikasi korporat dan perhubungan awam dalam memainkan peranan sebagai pempengaruh rasmi organisasi masing-masing, sejajar dengan keperluan semasa industri komunikasi dan media," jelas kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan berkaitan program ini boleh dikemukakan kepada Nur Ramizah Abdul Aziz di talian (017-487 5859).


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-1-2026 11:47 AM | Show all posts
Jalan Gaya Blok D dibuka semula selepas dinaik taraf
Januari 27, 2026, Selasa - 1:16pm



LAWATAN: Joniston (tengah) bersama Lifred, Robert serta ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai DBKK ketika membuat tinjauan pelaksanaan menaik taraf jalan di kawasan Jalan Gaya Blok D.

KOTA KINABALU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai mengadakan lawatan ke tapak Projek Menaik Taraf Permukaan Jalan Raya di Jalan Gaya Blok D di sini semalam.

Beliau yang juga menteri bertanggungjawab kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), meninjau pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf jalan raya di kawasan berkenaan.

Lawatan berkenaan juga bagi memastikan infrastruktur sedia ada berada dalam keadaan selamat dan kondusif untuk kegunaan orang ramai.

Dalam pada itu Joniston berkata, kerja-kerja pemangkasan pokok dan tumbuhan liar yang menjalar ke bangunan serta pembersihan permukaan jalan perlu dilaksanakan dalam masa terdekat.

"Ia bagi memastikan kawasan ini kelihatan kemas dan bersih, seiring imej Jalan Gaya yang menjadi antara lokasi tumpuan ramai," katanya.

Jalan Gaya Blok D dijangka dibuka semula bagi penganjuran Pasar Malam Api-Api dan Tamu Minggu Jalan Gaya pada 30 Januari ini.

Pembukaan semula kawasan itu juga sekali gus membolehkan sekitar 18 penjaja untuk Pasar Malam Api-Api dan 61 penjaja Tamu Minggu Jalan Gaya meneruskan operasi perniagaan mereka seperti biasa.

Sehubungan itu, orang ramai dan penjaja dinasihatkan untuk mematuhi garis panduan kebersihan yang ditetapkan demi keselesaan bersama.

Turut hadir dalam lawatan itu ialah Ketua Pengarah DBKK Datuk Lifred Wong; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK Robert Lipon  serta ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai DBKK.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-1-2026 11:49 AM | Show all posts
MCCC Sabah pilih kepimpinan berdasarkan perbincangan teliti
Januari 27, 2026, Selasa - 1:38pm



BERSETUJU: Pemilihan yang melihat semua pihak terlibat sebulat suara bersetuju.
KOTA KINABALU: Dewan Perdagangan Malaysia-China (MCCC) Sabah kini memilih kepimpinan pertubuhan itu berdasarkan perbincangan dalaman.

Presidennya Datuk Dexter Lau berkata, MCCC Sabah telah memasuki era baharu di mana pemilihan kepimpinan tidak lagi berasaskan kenalan atau hubungan peribadi.

"Ia melalui perbincangan berstruktur, perdebatan dan konsultasi menyeluruh.

"Ia bagi memastikan keadilan, berkecuali dan ketelusan," katanya dalam kenyataan, semalam.

Katanya, MCCC Sabah baru-baru ini telah mengadakan mesyuarat pemilihan kepimpinan, di mana Jawatankuasa Pemilihan menjalankan hampir empat jam perbincangan mendalam serta penilaian teliti bagi mengenal pasti calon sesuai untuk Jawatankuasa Utama, Jawatankuasa Usahawan Wanita (WEC), dan Lembaga Pengarah Koperasi Usahawan Utama Sabah Berhad.

Dalam mesyuarat itu katanya, jawatankuasa berjaya memuktamadkan pelantikan bagi WEC dan Koperasi.

Katanya, seramai empat ahli telah dipilih untuk WEC, manakala sembilan Pengarah dilantik ke Koperasi.

Namun katanya, bagi Jawatankuasa Utama yang sepatutnya diisi lima jawatan, hanya dua calon disahkan kerana terdapat pandangan berbeza dalam kalangan ahli majlis.

Menurutnya, tiga jawatan selebihnya akan dibincangkan pada tarikh lain untuk mencapai konsensus.

Jawatankuasa Pemilihan terdiri daripada barisan kepimpinan yang mantap, termasuk Presiden Kehormat Datuk Michael Chin, Presiden Datuk Dexter Lau, Timbalan Presiden Kapitan Dr. Callee Tan Kai Lee, Naib Presiden Jacky Chin, Naib Presiden merangkap Pengerusi Koperasi Louis Su, Naib Presiden Lau Jiin Woei, Setiausaha Lam Lee Chin, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Komersial Dr. Brian Wong, Ahli Majlis merangkap Penyelaras Platinum Club Benny Hon, serta Pengerusi WEC Yong Hui Sun.

Dexter berkata, walaupun proses pemilihan mengambil masa yang panjang, jawatankuasa tetap berhati-hati dan bertanggungjawab, melaksanakan penilaian berlapis, penilaian serta perbincangan kolektif bagi memastikan calon paling sesuai dipilih.

Beliau menjelaskan bahawa proses bermula dengan hampir 300 ahli, disenerai pendek kepada 77 calon pada pusingan pertama, 41 pada pusingan kedua, dan 27 calon pada saringan pusingan ketiga, sebelum pemilihan muktamad dibuat berdasarkan merit dan potensi.

“Sebahagian calon yang dipilih mungkin mengejutkan sesetengah pihak, malah calon itu sendiri.

"Namun, jika dewan ingin bergerak ke hadapan, kita mesti menerima hakikat ini. Kita tidak seharusnya mencari pemimpin dengan latar belakang atau keupayaan yang sama, tetapi individu yang saling melengkapi dan berkembang bersama.

"Sepanjang dua penggal saya, saya juga berharap dapat melahirkan lebih ramai pemimpin masa depan dan membina barisan pelapis yang kukuh,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 28-1-2026 12:13 PM | Show all posts
Polis siasat cubaan bakar premis di pekan Beaufort
Januari 28, 2026, Rabu - 9:17am

BEAUFORT: Polis membuka kertas siasatan berhubung cubaan khianat dengan api membabitkan sebuah kedai di Wisma Arjuna Holding, di sini, awal pagi Selasa.

Kejadian antara jam 1.45 hingga 2 pagi itu disedari pemilik premis berusia 43 tahun selepas menerima makluman daripada pekerjanya mengenai percubaan membakar kedai berkenaan sebelum bergegas ke lokasi.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Wong Leong Meng berkata, sebaik tiba, pengadu mengesan bau minyak petrol di luar bangunan selain kesan hangus pada pintu gelangsar, kain rentang di dalam premis dan cermin hadapan.

Bagaimanapun katanya, pemeriksaan awal mendapati api tidak merebak dan tiada kebakaran besar berlaku.

“Pengadu turut menerima rakaman kamera litar tertutup (CCTV) melalui aplikasi WhatsApp yang memaparkan seorang lelaki tidak dikenali berada di hadapan premis.

“Rakaman itu menunjukkan suspek menaiki sebuah kereta sedan berwarna perak sebelum membaling objek terbakar ke arah pintu premis sambil memegang sebilah pisau.

“Pengadu memaklumkan tidak mengenali individu berkenaan dan tidak mengesyaki mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Wong berkata, insiden itu tidak menyebabkan kerugian besar kecuali kesan terbakar pada bahagian pintu hadapan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

“Siasatan awal mendapati kejadian menjurus kepada cubaan khianat menggunakan api bagi merosakkan harta benda,” katanya.

Beliau memaklumkan rakaman CCTV wujud, namun milik premis bersebelahan dan usaha sedang dijalankan bagi mendapatkan salinan bagi membantu siasatan.

“Setakat ini, tiada tangkapan atau rampasan dibuat dan polis juga belum mengenal pasti saksi awam yang melihat kejadian.

“Sehubungan itu, anggota detektif digerakkan bagi mengesan suspek selain meneliti rakaman kamera di sekitar kawasan pekan Beaufort.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Katanya, Polis memberi jaminan tindakan tegas diambil bagi memastikan keselamatan peniaga dan komuniti setempat terus terpelihara.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-1-2026 12:15 PM | Show all posts
Pengedar ditahan bersama syabu lebih 50 gram di Semporna
Januari 28, 2026, Rabu - 10:37am

SEMPORNA: Seorang lelaki warga asing disyaki pengedar dadah ditahan bersama lebih 50 gram dadah jenis syabu di Kampung Batu, di sini, semalam.

Suspek berusia 32 tahun itu diberkas kira-kira jam 10 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Polis Tan Hiap Wah, berkata pihaknya menjalankan Operasi Tapis selepas menerima maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah di kampung berkenaan

Katanya, pasukan operasi mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menghampiri suspek yang dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.

“Suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan, namun berjaya diberkas.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek memiliki dadah jenis syabu seberat 51.13 gram yang disimpan dalam bungkusan plastik hitam dan berada dalam genggaman tangannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tan berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek terbabit merupakan warga asing dan hasil ujian saringan air kencing mendapati positif Amphetamine dan Methamphetamine.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan,” katanya.

Dalam pada itu, Tan menegaskan polis akan terus mempergiat usaha membanteras jenayah narkotik di daerah ini demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat, khususnya generasi muda di Semporna.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah diminta tampil menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran," katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 28-1-2026 01:40 PM | Show all posts
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-1-2026 01:41 PM | Show all posts
Reply

Use magic Report

Post time 29-1-2026 05:47 AM | Show all posts
Reply

Use magic Report

Post time 29-1-2026 08:05 AM | Show all posts
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 29-1-2026 09:14 AM | Show all posts
Buaya hampir lima meter ditangkap di Sungai Merotai
Januari 28, 2026, Rabu - 1:26pm



TANGKAP: Kakitangan JHL dan penduduk kampung selepas berjaya menangkap buaya berkenaan.

TAWAU: Jabatan Hidupan Liar (JHL) dengan kerjasama penduduk kampung berjaya menangkap seekor buaya jantan hampir lima meter di Sungai Kampung Pangkalan Asli, Merotai, Tawau, hari ini.

Buaya berkenaan dipercayai sudah berada di kawasan itu sejak minggu lalu sebelum penduduk membuat aduan berikutan kebimbangan terhadap keselamatan mereka.

Menurut sumber, operasi menangkap reptilia itu dijalankan bagi mengelakkan sebarang risiko kepada penduduk yang bergantung kepada sungai untuk aktiviti harian, termasuk mencari hasil sungai dan pergerakan bot.

“Operasi dijalankan dengan lancar hasil kerjasama erat antara JHL dan penduduk kampung yang memantau pergerakan buaya berkenaan,” katanya

Buaya jantan itu berjaya ditangkap tanpa sebarang insiden dan dibawa keluar dari kawasan berkenaan untuk tindakan lanjut mengikut prosedur ditetapkan.

Kehadiran buaya bersaiz besar itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk, terutamanya kanak-kanak dan nelayan sungai.

Orang ramai dinasihatkan segera melaporkan kepada JHL atau pihak berkuasa sekiranya mengesan kehadiran buaya di kawasan kediaman bagi membolehkan tindakan pantas diambil.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 29-1-2026 09:15 AM | Show all posts
Persatuan Hakka Keningau adakan ziarah terhadap warga emas
Januari 28, 2026, Rabu - 1:50pm



ZIARAH: Rombongan Persatuan Hakka Keningau mengadakan ziarah terhadap beberapa warga emas sempena program yang dilaksanakan persatuan itu.

KENINGAU: Menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, Persatuan Hakka Keningau mengadakan ziarah terhadap beberapa ahli warga emas berusia 90 tahun ke atas dalam satu lawatan yang diadakan, dekat sini.


Ziarah yang diadakan secara tidak langsung memupuk nilai kasih sayang serta kemanusiaan dan pada masa sama membuktikan bahawa penghormatan kepada golongan sasar bukan bermusim.


Lawatan yang diketuai Presiden persatuan, Kapitan Anthony Chong itu menyaksikan rombongan menyampaikan sampul angpau serta hadiah perayaan secara peribadi di kediaman warga emas terlibat, sambil menzahirkan ucapan Tahun Baharu Cina yang tulus dan penuh makna.


Kehadiran mereka bukan sekadar simbolik, sebaliknya menjadi sentuhan emosi yang menghidupkan semangat kekeluargaan dalam komuniti.



PRIHATIN: Rombongan Persatuan Hakka Keningau mengadakan ziarah terhadap beberapa warga emas sempena program yang dilaksanakan persatuan itu.

Turut serta dalam lawatan berkenaan ialah Setiausaha Agung Chee Mui Len; Ketua Biro Kebajikan Chai Yuk Kong; Timbalan Ketua Biro Kebajikan Chong Min Nam; Timbalan Ketua Biro Wanita Wong Chen Lan; wakil Biro Belia Tony Lai Chi Siang; serta Ahli Jawatankuasa Voo Yuk Woh dan Thien Yuen Ming.


Dalam kesempatan sama, rombongan menziarahi Ketua Biro Organisasi persatuan, Robert Liew Kok Chung, yang kini berehat di rumah akibat masalah kesihatan.


Lawatan itu disertai penyampaian salam dan doa kesejahteraan sebagai tanda sokongan moral daripada seluruh ahli persatuan.


Keseluruhan program berlangsung dalam suasana mesra dan menyentuh hati, memperlihatkan budaya saling mengambil berat yang terus menjadi nadi perjuangan Persatuan Hakka.


Dalam dunia yang kian pantas, usaha yang dilaksanakan itu mengingatkan bahawa nilai hormat, empati dan kasih sayang kepada warga emas kekal relevan — dan wajar dipertahankan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 29-1-2026 09:17 AM | Show all posts
ISWAMI berjaya mainkan peranan penting perkukuh hubungan antara wartawan dua negara: Asro
Januari 28, 2026, Rabu - 2:34pm



ASRO

PRESIDEN Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia (ISWAMI) Indonesia, Asro Kamal Rokan menyifatkan organisasi itu telah berjaya dalam memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan antara wartawan dan media di kedua-dua negara Indonesia dan Malaysia.

Katanya, ISWAMI didirikan tahun 2005 oleh para wartawan senior kedua-dua negara dengan tujuan menjambatani hubungan dalam aspek informasi.

"Sejauh ini ISWAMI telah berperanan penting meluruskan misiniformasi di tengah arus media sosial," katanya dalam temuramah khas dengan Utusan Borneo Sabah menjelang Hari Pers Nasional (HPN) Indonesia 2026.

Asro merupakan antara pendiri ISWAMI bersama-sama wartawan senior lain termasuk Tarman Azzam, Syaiful Hadi Chalid, Ilham Bintang dan Syamsuddin Ch Haesy di Indonesia.

Manakala di Malaysia, antara pendirinya termasuk Tan Sri Johan Jaaffar, Datuk Ahmad Zaini Kamarulzaman, Mohd Nasir Yusoff, Datuk Chamil Wariya, Sabaruddin Ahmad, Datuk Zulkifli Salleh, Datuk Zulkifli Hamzah dan Datuk Zakaria Abdul Wahab.

Ditanya mengenai isu terbaru berkaitan sempadan Malaysia-Indonesia, Asro berkata turun naik hubungan Indonesia-Malaysia sentiasa wujud, antara lain soal perbatasan dan tenaga kerja.

Namun, katanya, pemimpin kedua-dua negara selalu berusaha menjaga soal ini agar tidak menimbulkan sentimen yang merosakkan hubungan.

"Alhamdulillah, saling pemahaman berjalan dengan baik. ISWAMI mengambil peranan penting soal ini, kerana kelahiran ISWAMI setelah ribut soal Ambalat. Di Indonesia, pemberitaan di media mainstream tidak sebesar yang dibayangkan, tidak seperti di media sosial," katanya.

Ditanya mengenai HPN 2026 dan signifikan Banten sebagai tuan rumah, Asro berkata tuan rumah dipilih atas beberapa pertimbangan.

"Antara lain, (dibuat) secara bergantian antara pulau. Jika sebelumnya di Sumatera, Kalimantan dan lain-lain, maka berikutnya di pulau lain.

"(Tuan rumah perlu) mendaftarkan diri, diutamakan yang belum pernah sebagai tuan rumah HPN. Kesiapan akomodasi (penginapan dalam jumlah cukup, tempat acara, transportasi)," katanya.



KENANGAN: Lichong (dua kiri) menyerahkan naskhah `Nusantara' kepada Asro sempena HPN 2023 di kota Medan, Indonesia. Turut kelihatan delegasi ISWAMI Malaysia, Datuk Dr Jeniri Amir (kiri) dan Datuk Moktar Hussein (kanan).

Mengenai maskot Badak Bercula Satu untuk HPN tahun ini, beliau berkata Badak Bercula Satu kini tersisa di Taman Nasional Ujung Kulon, Banten, yang  merupakan Situs Warisan Dunia UNESCO

Katanya, logo dan maskot HPN 2026 di Provinsi Banten menampilkan `Si Juhan', iaitu seekor badak Jawa antropomorfis yang melambangkan ketangguhan, keberlanjutan dan identitas lokal.

Beliau berkata maskot itu mencerminkan pers yang pantang menyerah dalam mencari sumber informasi terpercaya, sejalan dengan tema `Pers Sehat, Ekonomi Berdaulat, Bangsa Kuat'.

Menurutnya, sekitar 2.500 wartawan sudah mendaftar dari seluruh Indonesia untuk menghadiri HPN yang kemuncaknya pada 9 Februari.

Mengenai sejarah perkembangan industri media dan dunia kewartawanan Indonesia, Asro berkata seperti juga di berbagai negara, industri pers Indonesia mengalami di disrupsi karena dipicu oleh teknologi digital.

Dalam situasi tersebut, katanya, media harus berubah dari cetak ke digital, meski ada beberapa media terus berupaya bertahan.

"Namun ada kabar gembira. Penelitian Reuters Institute bekerja sama dengan University of Oxford Inggris, bertajuk Digital News Report, yang diterbitkan 17 Juni 2025, menyebutkan kepercayaan publik pada media di Indonesia, naik dari 35 persen pada tahun  sebelumnya, menjadi 36 persen tahun 2025.

"Data ini berasal dari survei 2.208 responden waktu Januari-Februari 2025. Meskipun, angka ini lebih rendah dari 2021, yang mencapai 39 persen.

"Tidak saja soal kepercayaan, juga ditemukan bahwa 18 persen responden membaca berita dari situs media berbayar di Indonesia. Jumlah ini lebih tinggi dari Singapura, Taiwan, dan Jepun," katanya.

Ditanya dukungan Presiden Prabowo terhadap kebebasan dunia kewartawanan, Asro menjelaskan bahawa sejauh ini cukup bagus.

Namun, katanya, publik tetap menunggu ke depan karena Presiden Prabowo baru berkuasa setahun.

"Ada kabar gembira, Mahkamah Konstitusi (MK) dalam Putusan Nomor 145/PUU-XXIII/2025, MK menegaskan bahwa wartawan tidak dapat serta-merta dijerat sanksi pidana maupun perdata atas karya jurnalistik yang dilakukan secara sah, profesional, dan sesuai kode etik jurnalistik," tambahnya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 29-1-2026 09:18 AM | Show all posts
Bukan sekadar 'Clickbait': Media perlu perkasa kedaulatan maklumat serantau: Ahmad Zaini
Januari 28, 2026, Rabu - 2:43pm



AHMAD ZAINI

HARI Pers Nasional (HPN) Indonesia 2026 yang bakal disambut pada 9 Februari depan perlu menjadi pemangkin kepada transformasi digital beretika, terutamanya dalam mendepani kepesatan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Malaysia, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, menegaskan bahawa komuniti media serantau kini memikul tanggungjawab besar untuk memperkukuh kedaulatan maklumat dan menjaga kebajikan wartawan dalam ekosistem ekonomi digital yang kian mencabar.

Menurut beliau, di sebalik lambakan maklumat palsu di media sosial, peranan kewartawanan profesional adalah sebagai "sauh" kebenaran yang menjadi rujukan utama pembuat dasar.

"Kita harus beralih daripada sekadar mengejar clickbait kepada laporan yang memberi impak sosial. Tanggungjawab sosial wartawan adalah roh kepada demokrasi yang sihat," katanya dalam temuramah khas bersama Utusan Borneo.

Ahmad Zaini melihat HPN sebagai platform strategik untuk Malaysia dan Indonesia bergabung tenaga melalui perkongsian model perniagaan media baharu.

Katanya, kolaborasi kandungan ini penting bagi membolehkan media tempatan bersaing dengan dominasi gergasi teknologi global.

Beliau turut mencadangkan agar semangat solidariti HPN menjadi inspirasi kepada Hari Wartawan Nasional (HAWANA) di Malaysia, khususnya dalam memperkasa ekosistem media melalui sokongan perundangan dan dana pembangunan.



SOKONGAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan ISWAMI Malaysia dan Indonesia dalam satu sesi pertemuan di Jakarta tahun lepas.

Menyentuh mengenai hubungan dua hala, Ahmad Zaini mahu melihat HPN 2026 menyuburkan lagi Diplomasi Media. Beliau mencadangkan peningkatan program pertukaran wartawan muda bagi memastikan naratif "serumpun" dibina atas fakta, bukannya persepsi negatif.

"ISWAMI bertindak sebagai saluran komunikasi pantas. Apabila timbul isu sensitif, kepimpinan media kedua-dua negara boleh berbincang secara tidak rasmi untuk meredakan keadaan sebelum ia menjadi krisis diplomatik," jelasnya.

Beliau mengimbas kembali peranan kritikal ISWAMI dalam mengurangkan retorik panas semasa ketegangan isu Ambalat suatu ketika dahulu, yang membuktikan media mampu menjadi "pendamai" dalam pertikaian kedaulatan.

Mengakhiri bicara, Ahmad Zaini merakamkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas sokongan berterusan kepada ISWAMI.

Katanya, sokongan itu jelas mencerminkan pengiktirafan kerajaan terhadap kepentingan media dalam mendukung kestabilan negara dan hubungan akrab dengan Indonesia.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 29-1-2026 09:20 AM | Show all posts
Menghargai wartawan, memupuk semangat journalisme
Januari 28, 2026, Rabu - 2:52pm

`Pers Sehat, Ekonomi Berdaulat, Bangsa Kuat' diangkat sebagai tema HPN 2026 di Banten tahun ini



Kenangan penulis (dua kanan) bersama Presiden Joko Widodo sempena HPN 2018 di kota Padang, Sumatera Barat.

IMBAS KEMBALI: Kenangan penulis (dua kanan) bersama Presiden Joko Widodo sempena HPN 2018 di kota Padang, Sumatera Barat.
MENJELANG Februari, dunia kewartawanan Indonesia sekali lagi bersiap untuk satu perhimpunan besar.

Lebih 2,500 wartawan dari seluruh pelosok negara dijangka berkampung di Provinsi Banten, Jakarta, bagi menyambut Hari Pers Nasional (HPN) 2026.

Pelbagai pengisian diadakan berhari-hari sehingga ke acara kemuncaknya pada 9 Februari ini.

Sambutan itu menghimpunkan wartawan daripada pelbagai latar, organisasi dan wilayah. Mereka datang dengan satu tujuan bersama, iaitu meraikan peranan media serta memperkukuh semangat kewartawanan di Indonesia.

HPN bukan sekadar acara tahunan. Ia adalah platform penting yang menyatukan pengamal media, membuka ruang perbincangan, dan mengiktiraf sumbangan wartawan kepada masyarakat dan negara.

Ringkasnya, ia menghargai sumbangan wartawan selain memupuk semangat journalisme.

Di Banten, pena-pena mencari cahaya dalam denyutan nadi demokrasi Indonesia, sambil merayakan kebenaran.

Seperti kebiasaan, acara berprestij ini dijangka dihadiri oleh Presiden Indonesia. Tahun ini, Presiden Prabowo Subianto dijadualkan menyampaikan ucapan kepada para wartawan, yang dinantikan kerana menyentuh hala tuju dan masa depan dunia kewartawanan.

Kehadiran presiden mencerminkan pengiktirafan negara terhadap peranan wartawan. Dalam landskap demokrasi, wartawan berfungsi sebagai penyampai maklumat, pemerhati kuasa dan suara rakyat.

Ketika wartawan bersatu dan bertaut jiwa di Banten, ia sebenarnya mengungkap aliran dakwat pena, nurani dan takdir wartawan senusantara. Kerana di situ simfoni suara kebenaran didengar dan dilontarkan.

`Pers Sehat, Ekonomi Berdaulat, Bangsa Kuat' diangkat sebagai tema perhimpunan tahun ini, sekali gus menegaskan peranan media dalam meningkatkan kualiti informasi selain mendorong ekonomi daerah serta memperkuat sinergi antara pemerintah dan media.

Yang penting, tema itu memperkuatkan peranan media sebagai tiang demokrasi dan penggerak ekonomi di era digitalisasi.

Ini kerana pada era digital kini, pena kekal berbisa dan tetap teguh berbicara.

Hakikatnya, Banten bakal menjadi saksi kepada lautan insan pena yang hidupnya dihabiskan mengejar kebenaran, merakam realiti, dan menulis sejarah dari sisi yang sering sunyi.

Di sinilah suara-suara media bersatu, merentas pulau, bahasa dan latar, demi satu cita, iaitu media yang merdeka dan beretika.

Tahun ini, sorotan tertumpu kepada Presiden Prabowo yang dijangka menyampaikan amanat penting kepada para pengamal media di tengah landskap komunikasi yang semakin mencabar.

Sebagai anggota pentadbir ISWAMI Malaysia, saya berkesempatan menghadiri beberapa siri HPN sebelum ini di Sumatera, Surabaya, Medan dan Jakarta—dan menyaksikan sendiri kemeriahannya yang luar biasa, ibarat pesta ilmu yang dirayakan dengan penuh wibawa.

Di setiap lokasi membawa roh tersendiri. Setiap pulau menyumbang warna dan naratif yang berbeza, namun disatukan oleh semangat kewartawanan yang sama, iaitu berani, jujur dan bertanggungjawab.

Di acara kemuncak, pentas HPN menjadi medan pengiktirafan tertinggi apabila pelbagai anugerah berprestij disampaikan, menghargai karya, dedikasi dan sumbangan luar biasa wartawan serta organisasi media.

Undangan penganjur HPN kepada ISWAMI Malaysia pula adalah satu penghargaan besar tanda kepercayaan dan persahabatan serumpun yang dibina atas asas sejarah, bahasa dan nilai kewartawanan yang sejiwa.

Hubungan ini bukan bersifat simbolik semata-mata. Ia adalah jambatan kerjasama, perkongsian pengalaman, dan solidariti media serantau dalam menghadapi cabaran global.

Sebagai timbal balas, Malaysia juga membuka pintu dengan menjemput rakan-rakan wartawan Indonesia melalui ISWAMI untuk menghadiri sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang diraikan pada Jun setiap tahun.



HPN dan HAWANA, meskipun berbeza bumi dan pentas, berkongsi roh yang sama menyokong perjuangan wartawan, mempertahankan kebebasan media, dan memperjuangkan kebenaran dalam apa jua keadaan.

HPN tahun ini hadir dalam suasana yang mencabar. Arus media alam maya yang deras terus menyaingi dunia cetak, memaksa wartawan beradaptasi tanpa mengorbankan prinsip.

Di tengah ledakan maklumat, berita palsu dan algoritma yang tidak berjiwa, HPN menjadi ruang untuk muhasabah tempat wartawan kembali kepada asas etika dan integriti.

Dengan tinggal kurang dua minggu sebelum tirainya dibuka, harapan mengiringi langkah semua yang terlibat agar HPN 2026 berlangsung dengan lancar, bermakna dan penuh hikmah.

Semoga HPN ini terus memupuk etika kewartawanan sejati menjadikan pena sebagai cahaya, dan wartawan sebagai penjaga nurani bangsa.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 29-1-2026 09:22 AM | Show all posts
30 premis perniagaan diperiksa KPDN, satu kompaun dikeluarkan
Januari 28, 2026, Rabu - 3:21pm



OPERASI: Pasukan KPDN Semporna dan SSM ketika menjalankan operasi di daerah ini.

SEMPORNA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Cawangan Semporna bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Sabah telah melaksanakan operasi penguatkuasaan di 30 buah premis perniagaan sekitar daerah Semporna, termasuk premis pelancongan, hari ini.

Operasi bersepadu itu dijalankan bagi memastikan semua premis mematuhi undang-undang dan peraturan sedia ada, terutamanya berkaitan penggunaan alat timbang dan sukat yang sah.

Hasil pemeriksaan, satu premis telah dikenakan kompaun di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 (ATS 1972) kerana menggunakan alat timbang dan sukat yang tidak ditentusahkan oleh Inspektor Timbang dan Sukat.

Ketua Cawangan KPDN Semporna, Tuan Satunlucy Bin Lamioh @ Lamidah berkata, operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan serta melindungi kepentingan pengguna.

“Peniaga di kawasan Semporna dan Kunak diingatkan supaya sentiasa mematuhi perundangan bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan salah laku peniaga melalui WhatsApp 019-279 4317 atau 019-848 8000, portal eAduan KPDN, talian Call Centre 1-800-886 800, emel [email protected], aplikasi Ez ADU KPDN, Pusat Arahan Penguatkuasaan di talian 03-8882 6088 atau 03-8882 6245, serta surat rasmi ke pejabat KPDN terdekat.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 29-1-2026 09:24 AM | Show all posts
Pemain industri kapal persiaran teroka potensi pelancongan Sabah
Januari 28, 2026, Rabu - 6:19pm



BINCANG: Joniston (kanan) berbincang bersama Gregory (tengah) dan Joel (kiri) semasa pertemuan itu.

KOTA KINABALU: Sabah mempunyai potensi tinggi dan kukuh dalam membangunkan industri kapal persiaran sebagai destinasi pelancongan di negeri ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai dimaklumkan mengenai perkara itu semasa pertemuan dengan pemain industri kapal persiaran di sini semalam.

Industri kapal persiaran di negeri ini semakin menunjukkan peningkatan terutama minat dalam kalangan pengendali kapal persiaran antarabangsa.

Pertemuan Joniston bersama pihak industri susulan dari lawatan tapak oleh pemain industri kapal persiaran, termasuk wakil SATS-Creuers Cruise Services, Singapore Tourism Board serta syarikat kapal persiaran antarabangsa, bagi meneroka produk dan tawaran pelancongan di ibu negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif SATS-Creuers Cruise Services, Gregory Tan berkata, pengendali kapal persiaran sentiasa mencari tarikan lawatan sehari yang sesuai untuk penumpang.

Menurutnya, Kampung Budaya Mari-Mari dan Taman Kinabalu kekal sebagai pilihan popular dalam kalangan pelawat kapal persiaran.

“Kapal persiaran lazimnya tiba pada awal pagi dan berlepas sebelum matahari terbenam. Justeru, adalah penting untuk menyediakan rangkaian tarikan yang lebih luas dan mudah diakses di dalam bandar serta kawasan pinggir bandar bagi meningkatkan pengalaman keseluruhan penumpang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Marin dan Operasi Marella Cruises, Joel Christopher Hipple berkata, Sabah berpotensi menarik lebih banyak kapal persiaran.

Menurutnya, infrastruktur pelabuhan, khususnya kedalaman dermaga antara perkara penting yang perlu dipertimbangkan dalam penempatan kapal persiaran.

Beliau berkata, ketika ini Pelabuhan Kota Kinabalu mempunyai kedalaman kira-kira sembilan meter, manakala Pelabuhan Sandakan sekitar tujuh meter, dengan beberapa kawasan terjejas akibat timbunan pasir.

Namun jelasnya, Sandakan diketengahkan sebagai destinasi berasaskan alam semula jadi yang kukuh, dengan tarikan yang sedia ada serta mudah diakses oleh penumpang kapal persiaran.

Sementara itu, Joniston berkata, STB mengalu-alukan inisiatif yang membawa masuk pelawat dan menjana limpahan perbelanjaan pelancongan, khususnya kepada ekonomi tempatan dan komuniti sekitar.

“Kerjasama antara STB dan pemain industri kapal persiaran boleh diperkukuhkan lagi bagi memahami dengan lebih baik bagaimana kita boleh mempromosikan pelancongan kapal persiaran dan Sabah secara keseluruhan secara bersama, khususnya bagi pelawat singgah singkat dan lawatan sehari, dengan memanfaatkan ketibaan kapal persiaran,” katanya.

Beliau turut dimaklumkan mengenai usaha Suria Capital Holdings Bhd untuk membawa lebih banyak kapal persiaran ke Sabah, dengan 25 kunjungan kapal persiaran disahkan pada tahun ini, yang dijangka membawa hampir 30,000 penumpang.

Tahun lepas, Sabah merekodkan sebanyak 23 kunjungan kapal persiaran dengan 24,634 penumpang, merangkumi 19 kapal berlabuh di Pelabuhan Kota Kinabalu dan empat di Pelabuhan Sandakan.

Jumlah berkenaan hampir dua kali ganda berbanding 2024 yang mencatatkan 14 kapal dan 16,727 penumpang.

Sebelum pandemik COVID-19, Sabah merekodkan sejumlah 30 kunjungan kapal persiaran pada 2019, dengan melibatkan seramai 36,183 penumpang.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 29-1-2026 09:29 AM | Show all posts
GLC Sabah perlu sedar dunia digital, AI kini realiti ekonomi masa depan
Januari 28, 2026, Rabu - 6:29pm



CENDERAHATI: James menerima cenderahati daripada wakil HRDCorp selepas merasmikan Konvensyen Transformasi GLC Sabah

KOTA KINABALU: Bidang pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) bukan lagi dilihat sebagai satu trend, tetapi ia adalah realiti ekonomi masa depan.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk james Ratib berkata, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah tidak boleh hanya menjadi pengguna teknologi, tetapi perlu menjadi organisasi pintar.

Beliau menggesa agar pihak GLC Sabah menggunakan teknologi untuk meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh ketelusan tadbir urus, membuat keputusan berasaskan data, dan menyampaikan perkhidmatan yang lebih pantas serta berimpak.

"Namun saya ingin menegaskan, teknologi tanpa disiplin tadbir urus adalah risiko bukan kelebihan.

"AI dan automasi mesti dipandu oleh dasar, etika dan nilai, bukan semata-mata kejar kecekapan. Dalam konteks ini, pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menjadi sangat kritikal.

"Justeru, GLC Sabah perlu memainkan peranan aktif dengan  menyokong latihan TVET berimpak tinggi, membuka laluan industri kepada pelajar dan belia serta membina ekosistem STEM yang inklusif dari sekolah hingga ke alam pekerjaan," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Transformasi GLC Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata, usaha memperkasakan transformasi GLC Sabah adalah pelaburan untuk tenaga kerja masa depan negeri ini.

Selain itu James berkata, dalam soal integriti untuk GLC mengurus dana awam, ia adalah perkara yang tiada kompromi.

Menurutnya, setiap sen mesti dipertanggungjawabkan, setiap keputusan mesti telus dan setiap kegagalan mesti diperbaiki bukan disorokkan.

"Kita mahu GLC Sabah dikenali sebagai profesional, berintegriti,  dan dipercayai oleh rakyat serta pelabur. Kepercayaan adalah aset paling mahal.

"Sehubungan itu, saya menggesa setiap GLC mesti berani berubah walaupun tidak selesa, mesti berani berfikir jangka panjang, bukan sekadar laporan tahunan.

"GLC Sabah juga mesti berani melabur pada bakat Sabah dan berani bertanggungjawab atas keputusan sendiri," katanya.

Dalam pada itu jelasnya, dari segi modal insan, tiada GLC yang hebat tanpa manusia yang hebat dan pelaburan terbesar bukan semata-mata pada bangunan atau teknologi, tetapi pada bakat, kepimpinan dan budaya kerja.

Justeru, beliau mahu melihat kepimpinan GLC yang berani membuat keputusan, mempunyai pelan pembangunan bakat yang jelas dan berstruktur, serta laluan kerjaya yang telus dan meritokratik.

"Budaya 'yang penting jawatan, bukan prestasi' mesti dihentikan. Sabah tidak kekurangan bakat...yang kurang ialah peluang dan keyakinan kepada bakat tempatan.

"Pembangunan modal insan mesti bermula dari akar umbi pendidikan, termasuk pemerkasaan sekolah luar bandar, akses digital, kemudahan pembelajaran yang setara, serta pendedahan awal kepada kemahiran masa depan," katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

10-2-2026 01:51 PM GMT+8 , Processed in 1.340943 second(s), 34 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list