Tema : Sewaktu aku kecil. (Karangan)
Detik ini,ku duduk sepi di tepi bendang ini sambil mengimbau kenangan indah ketika zaman kanak-kanakku. Zaman kanak-kanakku terisi dengan pelbagai aktiviti kenakalanku juga. Arghhh..banyak sungguh kenangan manis pahit masin sedih payau sewaktu aku kecil dahulu. Sebut sahaja apa saja aktiviti,pasti aku ada kisahnya. Kanak-kanak zaman sekarang mana ada macam kita dahulu. Bagi mereka, bermain permainan di gadjet sudah cukup mencabar. Rugi sungguh rugi.
Berlari dalam guni antara yang paling aku suka. Habis comot-comot ku dibuatnya. Manakan tidak, seteru ku semuanya budak lelaki. Di kerahnya aku berlari di dalam guni untuk berlawan dengan mereka. Tapi sungguh pun aku budak perempuan yang comel aku tetap handal. Wahhh..memang handal, handal menangis bila kalah. Tapi aku seronok.
Lain pula kisahnya tika aku di kejar emak dengan rotan kerana pergi mandi-manda di muara. Habis sekampung aku di kejar bila kakakku mengadu pada emak yang aku mengalahkan budak lelaki kerana membuat terjunan papan anjal dijeti ala penerjun Rosatimah Muhammad. Ohhh..bahagianya dapat mandi-manda dengan kawan-kawanku. Mahu ku ulang kembali detik itu.
Bermain guli juga kehandalanku sewaktu aku kecil dahulu. Hahaha. Semua aku handal. Kalah pun ku anggap handal. Permainan ini biasanya di lakukan ditanah lapang. Ketelitian yang penuh dan jitu di perlukan kerana lontaran yang tepat mesti mengenai sasarannya. Aku selalu kalah kerana heroin mestilah mengalah dengan hero. Dan dendanya aku kena pergi kedai beli aiskrim potong.Tapi tak mengapa, aku gembira.
Di bendang ini juga ada kisahnya. Menangkap ikan puyu dan ikan sepat merupakan kemahiran yang tinggi di zaman kanak-kanakku. Biasanya bila air sawah sudah mengering memang banyak ikan-ikan kelihatan. Masing-masing menunjukkan handal siapa yang dapat menangkap lebih banyak. Kadang-kadang hasil tangkapan ini kami bawa pulang ke rumah. Ada juga ketikanya,kami lepaskan ikan-ikan itu di dalam parit.Bendang ini memang banyak kenangan kepadaku. Di gigit lintah juga kenangan indah.
Di tepi bendang ini ada sebuah pokok rambutan. Dulu bila aku ikut abah ke bendang, aku rajin jadi tarzan sambil menikmati kemanisan keenakan kenikmatan rambutan itu. Hahaha. Tiada yang lebih indah bila ku dapat panjat dan mengait rambutan itu. Manis-manis dan tebal isinya. Ku petik banyak-banyak sambil makan di atas pokok. Kemudian aku akan menangis sambil menjerit memanggil abah kerana aku spesies yang pandai panjat tak pandai turun. Sungguh aku rindu kenangan zaman kecilku.
Mahu ku putar waktu jika boleh ku kembali ke zaman sewaktu ku kecil. Memori indah itu sungguh mahal untuk di lupakan. Bila yang tertulis untukku Adalah yang terbaik untukmu Kan kujadikan kau kenangan Yang terindah dalam hidupku Namun takkan mudah bagiku Meninggalkan jejak hidupku Yang telah terukir abadi Sebagai kenangan yang terindah
Last edited by AinHazwan on 17-10-2014 02:10 AM
|