KUALA LUMPUR: Aktiviti daftar masuk menerusi aplikasi MySejahtera mencatatkan penurunan ketara hampir 26 peratus atau lebih 6.3 juta dalam tempoh empat hari sejak Jumaat lalu.
Penurunan daftar masuk itu dicatatkan selepas pembentangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Khamis lalu, yang menimbulkan persoalan mengenai keselamatan data pengguna MySejahtera serta ketelusan dalam pembangunan aplikasi itu.
Data penggunaan MySejahtera dalam portal GitHub Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 24,358,225 daftar masuk pada 25 Mac lalu.
Bagaimanapun, angka itu menurun lebih 17 peratus kepada 20,106,659 Sabtu lalu, sebelum terus mencatatkan penurunan kepada 19,279,238 pada hari berikutnya.
Isnin lalu, jumlah daftar masuk terus menurun kepada 18,038,569, iaitu yang terendah dalam tempoh lebih tujuh bulan sejak 22 Ogos tahun lalu.
Pendaftaran menerusi MySejahtera dilihat mencatatkan pola penurunan sejak awal tahun ini, apabila mencatatkan sekitar 23 juta hingga 26 juta sejak beberapa minggu lalu, berbanding 29 juta hingga 33 juta hujung tahun lalu.
PAC sebelum ini mendedahkan aplikasi MySejahtera, yang awalnya bertujuan memudahkan proses pengesanan kontak rapat COVID-19, dibangunkan tanpa kontrak antara kerajaan dengan syarikat yang membangunkan aplikasi itu.
Laporan PAC itu juga mendedahkan Kabinet meluluskan kontrak secara rundingan terus untuk melantik syarikat baharu, MySJ Sdn Bhd untuk menguruskan aplikasi berkenaan.
Dalam satu kenyataan Ahad lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, menjelaskan KKM tidak pernah menjual aplikasi MySejahtera kepada syarikat swasta dan memberi jaminan data diperoleh diselia kementerian itu sejak ia mula digunakan.
Jelasnya, data MySejahtera adalah di bawah penyeliaan KKM sejak ia mula digunakan dan segala pengurusan data melalui proses tadbir urus data ditetapkan.
"Penggunaan dan pengurusan data MySejahtera perlu mematuhi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Akta Perubatan 1971 dan piawaian antarabangsa.
"Justeru, data aplikasi ini tidak boleh dikongsi oleh KKM dengan mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta.
"Malah, transaksi data daripada MySejahtera dimuat naik ke jaringan pelayan awan setiap hari dan hanya boleh diakses untuk kegunaan aplikasi MySejahtera," katanya.