|
TAZKIRAH FACEBOOK 35 (Oktober 14, 2012)
Lagi tinggi kedudukan/maqam yang Tuhan hendak beri, lebih hebat cubaan yang didatangkan-Nya.
Lagi besar pangkat yang hendak dianugerahkan oleh majikan, lebih berat tanggungjawab yang ditugaskan.
Lagi penting kedudukan yang hendak diamanahkan oleh jemaah atau umat, lebih hebat ujian-ujian yang mereka letakkan.
Begitulah umumnya.
Orang-orang yang gagal memaham, tidak punya kesabaran dan mudah terdorong dengan perasaan, mereka akan menyalahkan Tuhan, orang-orang atasan, jemaah ataupun umat.
Orang-orang yang gagal memaham, tidak punya kesabaran dan mudah terdorong dengan perasaan, biasanya mereka akan gagal, terkandas separuh jalan, sekalipun mereka berasa diri mereka yang berjaya.
Bersabar dan bijak dalam membuat pertimbangan, akan banyak membantu peningkatan diri, khususnya di sisi Allah SWT.
- Al-Faqir Abu Zulfiqar
http://ihyaassunnah.blogspot.com/
Facebook : Tazkirah FB Abu Zulfiqar
|
|
|
|
|
|
|
|
TAZKIRAH FACEBOOK 36 (Oktober 14, 2012)
Bagai mencurahkan air ke daun keladi, sekalipun daunnya berdegil menolak air, tetapi air yang jatuh ke bumi tetap diserap oleh akarnya, dihantar kepada daun melalui batangnya. Air yang jatuh ke bumi tadi, tetap dimanfaatkan oleh tumbuhan lain di sekitarnya. Tumbuhan di sekitar pokok keladi akan mempengaruhi suasana dan keadaan pokok keladi.
Berdakwah (contohnya berkata-kata) kepada orang yang tidak mahu didakwah, sekalipun dia berdegil menolak dakwah kita, tetapi sekurang-kurangnya ada juga sepatah dua perkataan kita yang tersimpan dalam hatinya. Paling kurang pun gambaran dan suasana ketika kita mendakwahkan dirinya itu, terakam juga sedikit dalam mindanya.
Selain itu, dakwah kita kepadanya turut terdengar atau terpandang oleh orang-orang di sekelilingnya. Orang-orang di sekitar mereka yang mengambil manfaat daripada dakwah kita itu, tentunya akan membentuk persekitaran positif kepada si dia, yang akan mempengaruhi juga si dia. Pusing ikut mana pun, air dakwah yang disiramkan ke atas daun keladi kedegilan, tetap membawa manfaat sekalipun sedikit.
Sebab itu para pekerja pada jalan Allah tidak mudah dikuasai jemu.
- Al-Faqir Abu Zulfiqar
http://ihyaassunnah.blogspot.com/
Facebook : Tazkirah FB Abu Zulfiqar |
|
|
|
|
|
|
|
TAZKIRAH FACEBOOK 37 (Oktober 15, 2012)
Dunia dan akhirat itu umpama bayang-bayang dengan lampu.
Jika kita berusaha mengejar bayang-bayang, bayang-bayang semakin melarikan diri dan akhirnya hilang dalam kegelapan, meninggalkan kita tersesat keseorangan, sedangkan lampu sudah jauh kita tinggalkan. Lampu tak dapat, bayang-bayang pun tak dapat.
Jika kita berusaha bergerak ke arah lampu, lampu semakin dekat, bayang-bayang mengikut dari belakang. Akhirnya lampu kita dapat, bayang-bayang… di bawah kita ia tercegat.
Jika kita mengejar dunia, dunia akan menghanyutkan kita dan menjauhkan kita dari akhirat. Akhirnya dunia tak dapat, akhirat terlepas.
Jika kita mengejar akhirat, akhirat semakin mendekat, dunia mengikut kita kita dari belakang. Akhirnya kedua-duanya kita dapat.
- Al-Faqir Abu Zulfiqar
http://ihyaassunnah.blogspot.com/
Facebook : Tazkirah FB Abu Zulfiqar
|
|
|
|
|
|
|
|
TAZKIRAH FACEBOOK 38 (Oktober 15, 2012)
Begitu caranya buat penilaian, ambil keputusan lalu ambil tindakan?
Huh…! Engkau tidak adil! Dia tidak adil! Mereka tidak adil! Apalah punya keputusan!!!
Bagaimana pula cara kita sendiri membuat penilaian, ambil keputusan dan ambil tindakan?
Adakah kita seorang yang adil?
Ataupun kita sama sahaja dengan engkau, dia dan mereka yang di atas tadi?
Dalam kehidupan sehari-hari, kita seumpama seorang hakim.
Katakanlah kita sedang menghakimi dua pihak yang bertentangan.
Sudahkah kita mendengar dan mengambil kira hujah kedua-dua belah pihak?
Ataupun kita hanya mendengar dan mengambil kira hujah satu pihak lalu terus buat penilaian, keputusan dan tindakan? Dan menghukum?
Sudahkah kita mendengar dan mengambil kira kedua-dua belah pihak secara sama berat, ataupun sekurang-kurangnya hampir sama berat?
Ataupun kita mendengar dan mengambil kira hujah pihak A selama 10 jam dan pihak B 2 jam lalu terus buat penilaian, keputusan dan tindakan?
Teliti surat-surat pihak A 3 hari, surat-surat pihak B 3 jam lalu terus buat penilaian, keputusan dan tindakan?
Kita sendiri tidak adil, tapi bising-bising apabila orang lain kita nampak tidak adil.
Maka marilah kita bersikap adil lagi bijaksana dalam menilai, membuat pertimbangan, mengambil keputusan, mengambil tindakan dan menghukum. Akan diminta pertanggungjawaban di akhirat kelak segala ketidakadilan kita.
- Al-Faqir Abu Zulfiqar
http://ihyaassunnah.blogspot.com/
Facebook : Tazkirah FB Abu Zulfiqar |
|
|
|
|
|
|
|
TAZKIRAH FACEBOOK 39 (Oktober 16, 2012)
‘Ilmu yaqin, ‘ainul yaqin, haqqul yaqin.
John di Amerika diberitahu bahawa di Malaysia ada sejenis makanan namanya sambal tumis petai. John percaya, walaupun dia belum pernah melihat atau merasanya. Pengetahuan dan kepercayaan John ini diperingkat ‘ilmu yaqin. John tahu dan percaya kewujudan sambal tumis petai melalui kata-kata orang. Tapi jika diletakkan 10 jenis lauk-pauk di depan John dan diminta dia menunjukkan yang mana satu sambal tumis petai, pasti dia tidak dapat menunjukkannya.
Kemudian John datang ke Malaysia lalu ditunjukkan kepadanya sambal tumis petai. Pengetahuan dan kepercayaan John terhadap sambal tumis petai ketika ini sudah diperingkat ‘ainul yaqin kerana dia sudah melihatnya sendiri. Namun begitu, jika diletakkan 10 pinggan lauk-pauk yang rupanya seperti sambal tumis petai bersama-sama sepinggan sambal tumis petai di depannya, John masih boleh tersilap tunjuk kerana dia belum pernah merasai sambal tumis petai itu.
Selepas itu John merasa/memakan pula sambal tumis petai itu. Ketika itu ilmunya sudah pun naik ke peringkat haqqul yaqin, kerana John bukan setakat tahu dan lihat, bahkan sudah pernah merasainya. Ketika diletakkan 10 pinggan lauk-pauk di depannya, dengan mudah John boleh memilih yang mana satu sambal tumis petai tanpa tersilap lagi.
Beginilah kita hendaknya dalam beragama. Kita menyembah/berabdi kepada Allah biarlah sampai ke peringkat haqqul yaqin. Ketika itu sudah pastilah kita tidak akan tersalah sembah. Sembahan kita tepat. Kita menyembah Allah Yang Esa, bukannya tersembah makhluk ataupun tersembah Allah yang bercampur dengan makhluk. Makhluk mana pun yang mengaku sebagai Allah kepada kita, kita boleh menyaringnya dalam masa 1 saat sahaja tanpa ragu-ragu, tanpa perlu berfikir : “Ini Allah ke bukan ye?”
- Al-Faqir Abu Zulfiqar
http://ihyaassunnah.blogspot.com/
Facebook : Tazkirah FB Abu Zulfiqar |
|
|
|
|
|
|
|
TAZKIRAH FACEBOOK 40 (Oktober 17, 2012)
Apakah makhluk yang paling mulia di muka bumi?
Manusia.
Apakah yang paling mulia pada diri manusia?
Hatinya (kalbunya).
Maksudnya, yang paling mulia pada diri makhluk yang paling mulia ialah hati (kalbu).
Apakah pekerjaan yang paling mulia?
Tentulah pekerjaan yang melibatkan makhluk yang paling mulia iaitu manusia, dan melibatkan perkara yang paling mulia pada makhluk yang paling mulia, iaitu hati.
Apakah pekerjaannya?
Membawa atau mengarahkan yang paling mulia itu iaitu hati kepada Tuhan.
Siapakah para pekerja itu?
Para ilmuwan agama, guru-guru kerohanian, para pendakwah dan sesiapa sahaja yang mentarbiyyah hati-hati manusia menuju kepada Allah.
- Al-Faqir Abu Zulfiqar
http://ihyaassunnah.blogspot.com/
Facebook : Tazkirah FB Abu Zulfiqar |
|
|
|
|
|
|
|
terima kasih........................ |
|
|
|
|
|
|
|
Tazkirah Facebook 41 (Oktober 17, 2012)
Tubuh kita satu kenderaan. Siapakah pemandunya?
Pemandunya ialah hati.
Hati yang mana? Hati yang dagingkah ataupun hati yang batin?
Hati yang batin.
Ke mana destinasi pemandunya?
Ke syurga.
Apa akan berlaku sekiranya si pemandu tidak tahu jalan ke destinasi ataupun tersilap jalan?
Si pemandu dan kenderaannya tidak akan sampai ke destinasi.
Apa pula yang akan berlaku sekiranya si pemandu tahu jalannya tetapi dia lalai atau main-main?
Si pemandu mungkin berjaya membawa kenderaannya ke destinasi tetapi dalam jangka masa yang saaangat lama. Dan kenderaannya akan mengalami banyak kerosakan dan kecacatan sebelum sampai ke destinasi.
Apa berlaku sekiranya si pemandu memang bagus?
Pemandu akan berjaya membawa kenderaannya ke destinasi dengan selesa, selamat dan cepat.
Kita sudah punya kenderaan masing-masing, pemandu yang bagaimana yang kita mahukan? Masing-masing tentukan dan usahakan sendiri kerana diri kita yang batin itulah pemandunya, iaitu hati kita. |
|
|
|
|
|
|
|
Tazkirah Facebook 42 (Oktober 18, 2012)
Di dunia ada nikmat pasangan, pelayan, makanan, minuman, pemandangan, sungai-sungai, istana, kebun-kebun, pakaian serba mewah, haruman, perhiasan…….
Di syurga pun ada nikmat pasangan, pelayan, makanan, minuman, pemandangan, sungai-sungai, istana, kebun-kebun, pakaian serba mewah, haruman, perhiasan…….
Namun begitu di syurga tidak ada nikmat berjuang, berkorban dan bersusah-payah pada jalan Allah. Nikmat berjuang, berkorban dan bersusah-payah pada jalan Allah hanya ada di dunia. Sebab itulah para pencinta Allah dan Rasul-Nya berebut-rebut untuk mengecap nikmat berjuang, berkorban dan bersusah-payah pada jalan Allah itu.
Namun bagi para pencinta dunia, di dunia ini mereka HANYA menyibukkan diri berjuang, berkorban dan bersusah-payah untuk pasangan (berkahwin/berumahtangga, pelayan (orang gaji/suruhan/pekerja), makanan, minuman, pemandangan (hiasan rumah dan melancong), sungai-sungai, rumah-rumah cantik lagi mewah, ladang-ladang, pakaiaan, haruman, perhiasan….. kata orang, berjuang bersungguh-sungguh untuk ‘perut’ dan ‘bawah perut’ tetapi meninggalkan berjuang bersungguh-sungguh untuk agama Allah.
Padahal segala nikmat-nikmat itu ada disediakan di dalam syurga, bahkan jauh lebih hebat. Bersabar sahajalah menantikannya. Dan sepatutnya di dunia ini kita mengejar nikmat-nikmat yang tidak terdapat di dalam syurga…… iaitu berjuang, berkorban dan bersusah-payah untuk Islam. Maka semestinyalah di dunia ini kita tidak gentar dan ragu-ragu untuk berjuang, berkorban dan bersusah-payah pada jalan Allah.
Memakan buah rambutan yang diberi orang memang nikmat, tapi lebih nikmat lagi jika kita berusaha pergi ke pokoknya, memetiknya dengan tangan sendiri lalu memakannya.
Persoalan : Adakah kita termasuk dalam golongan para pejuang itu?
http://ihyaassunnah.blogspot.com ... ktober-18-2012.html |
|
|
|
|
|
|
|
Tazkirah Facebook 43 (Oktober 18, 2012)
Zaman dahulu…
Anak kita hendak pergi merantau jauh, entah kembali entah tidak. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, kita bekalkan anak kita dengan peta, kompas dan teropong. Sekalipun dia tidak mahu benda-benda itu, kita tetap masukkan ke dalam begnya. Sekalipun dia keberatan, kita ajarkan juga cara-cara menggunakan alat-alat itu.
Dalam perjalanan meredah hutan belantara dan lautan, anak kita tersalah jalan. Sekali pun tersesat jalan, dia tetap meneruskan perjalanannya. Hinggalah pada suatu hari, dia sedar yang dia perlu berpatah balik ke pangkal jalan, iaitu ke negeri asalnya. Dapatkah dia berpatah balik?
Kemungkinan besar dia berjaya kembali ke pangkal jalan kerana di dalam begnya ada peta untuk pulang ke negerinya, ada kompas sebagai penunjuk arah dan ada teropong untuk melihat benda-benda yang jauh. Tapi bagaimana kalau ibu bapanya tidak memasukkan peta, kompas dan teropong serta tidak mengajarkannya cara-cara menggunakannya? Kemungkinan besar dia gagal berpatah balik.
Begitulah halnya dengan ilmu dan pemahaman agama. Dari anak-anak masih kecil, ibu bapa mestilah berusaha keras menerapkan ilmu-ilmu dan pemahaman agama, sekalipun anak-anak tidak menggemarinya. Hal ini kerana, sekiranya anak-anak tersalah haluan hidup apabila dewasa kelak, dan kemudiannya dia terfikir untuk berubah ke arah kebaikan (hidup beragama), dengan mudah dia dapat berpatah balik kerana dia sudah tahu membaca Al-Quran, ilmu bersuci, cara solat, ilmu berpuasa, cara berinteraksi dengan hadis-hadis dan sebagainya.
Tapi kalau insaf ketika sudah berumur sudah 50 tahun (sekadar contoh), ada jawatan dan kedudukan (dipandang tinggi oleh orang-orang), kesihatan semakin menurun…… baru hendak belajar alif ba ta, cara mandi wajib, cara mendirikan solat….. memang susah untuk dia hendak berpatah balik.
Orang yang sudah ada ‘alat’ untuk pulang dan tahu cara menggunakannya, biasanya berjaya pulang dengan segera dan selamat.
Orang yang tidak ada ‘alat’ untuk pulang, biasanya sangat sukar untuk pulang, ataupun mungkin tidak sempat pulang, ataupun dia berputus asa lalu membatalkan hasratnya untuk pulang.
Kepada ibu bapa, sediakan ‘alat’ untuk anak-anak sekalipun mereka tidak minat, sekalipun kita sendiri mungkin tidak minat.
Kepada individu, sediakan ‘alat’ yang sewajarnya untuk diri masing-masing. |
|
|
|
|
|
|
|
Tazkirah Facebook 44 (Oktober 19, 2012)
“Abu, kebun aku kena serang dengan kera le.”
“Ye ke?”
“Iye. Habis buah-buah dan pokok-pokok aku dijahanamkan. Ni aku nak upah engkau pergi tembak kera-kera di kebun aku tu. Boleh ke?”
“Eh, insya-Allah beres! Nanti petang aku pergi.”
“Ok, nanti aku bayar upahnya.”
“Baik.”
Petang itu Abu pun pergi ke kebun Ali dengan senapang kampungnya, tapi… Abu gagal menembak seekor kera pun. Mengapa ya? Kerana Abu tidak kenal pun yang mana satu haiwan yang dinamakan kera itu!
Untuk menghapuskan kera di kebun, kenalah kenal yang mana satu kera terlebih dahulu. Jika tidak kenal, apa yang hendak ditembak? Apa yang hendak ditangani?
Begitu jugalah halnya dengan sifat-sifat mazmumah. Hendak mengekang, menghilang atau menghapuskan sifat-sifat mazmumah dalam diri kita, hendaklah kita mengenal sifat-sifat mazmumah itu dari segi punca-puncanya, tanda-tandanya dan cara-cara mengubatinya. Mana mungkin memburu sesuatu yang tidak kita kenal. Begitulah antara maksud Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulumiddin.
Sudahkah kita mengetahuinya? Ada guru kita mengajarkannya? Ada jemaah kita menerapkannya? |
|
|
|
|
|
|
|
Tazkirah Facebook 45 (Oktober 25, 2012)
Beri sehelai kertas kosong dan sebatang pen kepada anak atau adik kita. Beri dia masa dua minit, minta dia tuliskan nama-nama artis atau ahli sukan yang dia ingat. Cukup dua minit, semak senarai yang dia buat. Biasanya penuh muka surat dan tak cukup waktu menulis. Begitulah keupayaan generasi muda hari ini.
Beri sehelai kertas kosong dan sebatang pen kepada anak atau adik kita. Beri dia masa dua minit, minta dia tuliskan nama-nama ulama yang dia ingat. Cukup dua minit, semak senarai yang dia buat. Biasanya banyak ruang kosong dan senarainya pendek. Tidak sampai setengah minit, dia sudah tidak tahu apa yang hendak ditulis. Kadang-kadang nama ustaz ustazah yang bukan ulama pun ditulisnya juga. Begitulah keupayaan generasi muda hari ini.
Ambil sehelai kertas kosong dan sebatang pen. Dalam masa dua minit, KITA PULA cuba senaraikan nama-nama artis atau ahli sukan. Dapatkah kita memenuhkan helaian kosong itu? Insya-Allah mudah sahaja. Begitulah keupayaan generasi tua hari ini.
Kemudian… ambil sehelai kertas kosong dan sebatang pen. Dalam masa dua minit, KITA PULA cuba senaraikan nama-nama ulama. Dapatkah kita memenuhkan helaian kosong itu? Begitulah keupayaan generasi tua hari ini.
Dengan generasi tua dan generasi muda yang rata-ratanya sebegini, kita sudah boleh mengagak keupayaan generasi umat Islam yang akan datang. Adakah kita hendak membiarkan sahaja keadaan sebegini berterusan?
Perubahan bermula pada diri sendiri. Jangan hanya berharap orang lain untuk berubah, melainkan kita sendirilah yang mesti berubah terlebih dahulu. Dan … perubahan itu mestilah bermula dari sekarang!
http://ihyaassunnah.blogspot.com ... ktober-25-2012.html |
|
|
|
|
|
|
|
Tazkirah Facebook 46 (Oktober 25, 2012)
Ada orang bekerja, pendapatannya untuk diri sendiri pun tidak cukup.
Ada orang bekerja, pendapatannya cukup-cukup sahaja untuk dirinya sendiri.
Ada orang bekerja, pendapatannya lebih, sehingga dia boleh buat simpanan.
Ada orang bekerja, pendapatannya lebih banyak, sehinggakan dia dapat berkongsi dengan orang lain melalui sedekahnya, hadiahnya, zakatnya, kendurinya, qurbannya…….
Jenis yang terakhir inilah yang terbaik.
Samalah halnya dalam menuntut ilmu agama.
Ada orang belajar, untuk dirinya sendiri pun tidak cukup.
Ada orang belajar, cukup-cukup untuk dirinya.
Ada orang belajar, lebih, tetapi belum cukup untuk dikongsikan dengan orang lain.
Ada orang belajar, lebih banyak, sehingga dia dapat berkongsi dengan orang lain, iaitu mengajarkannya.
Jenis yang terakhir inilah yang terbaik.
Begitulah kata Imam Al-Ghazali.
Di manakah kita?
http://ihyaassunnah.blogspot.com ... ktober-25-2012.html |
|
|
|
|
|
|
|
Tazkirah Facebook 47 (Oktober 28, 2012)
Gitar…….
Jika talinya terlebih tegang, bunyinya lari dan kemungkinan putus.
Jika talinya kendur, bunyinya sumbang dan rupanya juga jadi tidak menarik.
Tali yang tidak terlebih tegang dan tidak kendur, akan menghasilkan bunyi yang sedap dan irama yang menawan.
Begitulah halnya kita bermujahadah dalam hal ehwal keagamaan.
Jangan terlebih ghairah untuk melakukan itu ini dalam agama.
Dan jangan pula sampai tidak ada keghairahan untuk melakukan itu ini dalam agama.
Teruskanlah keghairahan dalam hal ehwal agama tetapi dengan jalan yang sederhana.
Masalahnya, ramai yang menyangkakan mereka sedang berada pada jalan yang sederhana, padahal sebenarnya mereka sedang berada dalam kekenduran. Mereka tidak punya keghairahan pun untuk mengusahakan itu ini dalam agama.
Muhasabah diri. Adakah kita ghairah untuk agama dalam kehidupan kita sehari-hari? |
|
|
|
|
|
|
|
Tazkirah Facebook 48 (November 6 2012)
Belajar ilmu-ilmu agama seumpama menyelam ke dalam lautan. Lagi diselam, lagi seronok. Lagi diselam, lagi banyak benda-benda hebat yang kita temui. Lagi diselam lagi berasa banyaknya kekurangan pengetahuan kita tentang isi lautan, membuatkan kita ingin lebih tahu dan lebih tahu lagi.
Mula-mula terjun ke dalam laut, kita dikelilingi air. Kita seolah-olah sedang terapung-apung atau terbang dalam lautan air. Alangkah seronoknya. Kemudian kita nampak ikan-ikan. Pelbagai jenis, beribu-ribu jumlahnya. Alangkah seronoknya. Selam lagi, terjumpa pula haiwan-haiwan selain ikan. Selam dalam lagi, ternampak pula karang-karang laut yang berwarna-warni. Bertambah seronok, selam lagi. Ketemu pula haiwan-haiwan lautan yang aneh. Lebih dalam lagi, kelihatan pula haiwan-haiwan berlampu. Makin diselam makin seronok. Makin diselam makin mahu mengetahui ilmu atau rahsia seterusnya.
Kalau kita tidak menyelam, kita rasa diri kita sudah cukup pengetahuan tentang lautan. Apabila menyelam, barulah terasa diri kita banyak yang tidak tahu.
Begitulah halnya dengan mempelajari agama. Marilah kita sama-sama menyelam ke dalam lautan agama tanpa jemu. Insya-Allah kita akan bertemu dengan pelbagai keindahan di dalamnya. |
|
|
|
|
|
|
|
Tazkirah Facebook 49 (November 7, 2012)
Ada orang baru hendak belajar cara memanjat dan menuruni pokok kelapa. Kita gunakan jentera dan terus letakkan dia di pucuk pokok kelapa setinggi 30 kaki. Memanglah dia hebat dipandang orang kerana kedudukannya yang tinggi, tapi… bolehkah dia turun? Bolehkah dia memanjat? Hampir-hampir pasti tidak boleh, kerana dia tidak tahu cara memanjat atau menuruni pokok kelapa.
Orang kedua kita letakkan di tengah-tengah batang pokok kelapa. Memanglah hebat dipandang orang. Bolehkah dia naik ataupun turun? Hampir-hampir pasti tidak boleh kerana dia tidak tahu pun cara memanjat atau menuruni pokok kelapa. Terpaksa kita panggil bomba untuk menyelamatkannya.
Orang ketiga kita letakkan di perdu pokok kelapa. Dari situ dia belajar memanjat dan menuruni pokok kelapa sedikit demi sedikit. Bolehkah dia panjat dan turun? Insya-Allah boleh, kerana dia belajar dari bawah cara-cara untuk panjat dan turun.
Pengajarannya, apabila kita baru-baru hendak mendalami ilmu-ilmu agama, jangan terlalu ghairah untuk terus belajar bahagian yang tinggi-tinggi, yang rahsia-rahsia. Kelak diri sendiri yang rosak binasa. Belajarlah beransur-ansur, mengikut sukatan pelajarannya dan mengikut keupayaan diri kita, dan mengikut panduan orang-orang lama. Guru-guru juga janganlah terlalu ghairah hendak meletakkan anak-anak murid mereka di maqam yang tinggi-tinggi. Kaji terlebih dahulu keupayaan si murid. Wallahua’lam. |
|
|
|
|
|
|
|
Tazkirah Facebook 50 (November 7, 2012)
Gaji tahunan tidak naik, kita bising. Bonus tahunan tidak diberi, jiwa kita memberontak.
Tetapi apabila ilmu agama kita tidak bertambah berbanding tahun lepas, kita tidak pula rasa apa-apa. Amalan agama kita tidak meningkat, tidak pula timbul rasa tidak puas hati. Betul kan?
Mula-mula bekerja 10 tahun dulu gaji kita RM 900. Sekarang sudah RM 3,000. Katakanlah majikan hendak batalkan gaji sekarang lalu beri gaji seperti 10 tahun dahulu sahaja. Mengamok tak? Tapi ilmu agama dan amal-amal kita hari ini lebih kurang sama sahaja dengan 10 tahun yang lalu, kalau bertambah pun sikit sahaja, tidak pula kita berasa apa-apa. Betul kan?
Itulah kita. Kalau keduniaan kita tidak bertambah baik berbanding hari-hari semalam, kita sangat tidak berpuas hati. Tapi kalau keakhiratan kita tidak bertambah baik berbanding hari-hari semalam, kita tidak berasa apa-apa pun. Astaghfirullah…….
Ingatan untuk diri…….
http://ihyaassunnah.blogspot.com ... ovember-7-2012.html |
|
|
|
|
|
|
| |
|