KEDUDUKAN Mohd. Azraai Khor Abdullah akhirnya terjawab apabila bekas pengendali Perak itu menandatangani perjanjian selama dua tahun dengan T-Team musim depan.
Majlis menandatangani kontrak antara jurulatih berusia 61 tahun itu disaksikan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Operasi T-Team, Mohd. Syahnizam Mohd. Zain di pejabat PBSNT, Kuala Terengganu semalam.
Azraai dalam sidang akhbarnya di Kuala Terengganu memberitahu, beliau memilih pasukan itu kerana yakin dengan keupayaan pemain-pemain muda kelab itu yang dilihatnya berpotensi untuk pergi lebih jauh.
“Sebenarnya, sejak tahun lepas lagi saya ada menerima tawaran untuk menyertai T-Team serta Terengganu tetapi akhirnya terpaksa memilih Perak kerana enggan berjauhan dengan keluarga,” katanya.
Jurulatih yang mempunyai pengalaman kira-kira 15 tahun itu bagaimanapun memberitahu, keputusan itu akhirnya dibuat selepas mengambil kira pandangan isterinya yang sudah memberi lampu hijau untuk dia bersama pasukan dari Pantai Timur itu.
“Anak-anak juga sudah semakin besar. Lagipun, saya lihat T-Team ini walaupun dibarisi ramai pemain muda memiliki komitmen yang menakjubkan,” katanya.
Azraai bakal dibantu bekas pengulas sukan Astro Arena, Azlan Johar untuk membimbing pasukan itu bermula musim depan.
Dalam pada itu, mengenai perancangan bersama pasukan itu, jelasnya, dia mahu T-Team menjadi pasukan yang lebih mantap selain menepati sasaran pengurusan yang mahukan pasukan itu menempatkan diri dalam kelompok lima pasukan teratas dalam saingan Liga Super musim depan.
“Saya sendiri pun ketika ini sudah ada barisan bayangan (kesebelasan utama T-Team) untuk musim depan namun ia masih belum dimuktamadkan lagi kerana ada sesetengah pemain masih belum diputuskan lagi kedudukan mereka dalam pasukan,” katanya.
Sementara itu, mengenai ura-ura beberapa nama besar termasuk penyerang Kelantan, Norfarhan Mohamad yang disebut-sebut bakal menyarung jersi T-Team, Azraai enggan membuat sebarang pengesahan.
“Sudah tentu kalau Norfarhan menyertai T-Team, ia satu rahmat yang besar dan satu aset kepada pasukan. Tetapi perkara ini masih di peringkat perbincangan lagi, kita tak boleh membuat sebarang keputusan yang muktamad setakat ini,” katanya.
Beliau dijangka memulakan sesi latihan pertama bersama pasukan T-Team minggu depan, namun belum dapat mengesahkan pemain import yang akan menandatangani kontrak bersama T-Team musim depan.