Siapa yang tidak terkilan jika sudah berbincang untuk bekerjasama dalam menjayakan satu majlis berprestij tapi akhirnya mesej tidak berbalas. Kemudian individu itu boleh pula muncul disaat akhir cakap nak bekerjasama balik, siap minta bayaran saguhati pula tu!
Itulah kisah yang menimpa pengacara dan pereka fesyen terkenal, Karl Shafek yang meluahkan rasa terkilan terhadap seorang individu berpangkat "Datuk Selebriti" yang didakwa mahu menjadi 'muse' atau wajah ilham bagi memperagakan busana baharu rekaannya di Kuala Lumpur Fashion Week 2022, Ahad ini pada saat-saat akhir.
Shafek atau nama sebenarnya Khairul Shafek Ibrahim, 42, berkata, individu terkenal itu turut tergamak meminta bayaran sagu hati untuk menghadiri acara berkenaan.
"Saya tidak akan benarkan pertunjukan fesyen saya jadi tempat awak jadikan platform untuk jumpa media. Bila awak tiba-tiba nak jadi 'muse' saya pada saat akhir dan minta token (sagu hati), buat saya rasa sangat mual nak muntah, lapor Harian Metro.
"Dua bulan lepas saya pernah hubungi awak untuk jadi rakan jenama saya dan saya tawar awak jadi 'muse' saya kalau awak setuju. Mula-mula awak balas dengan semangat tapi bila saya hantar 'proposal' (kertas kerja) awak terus 'bluetick' (tidak membalas) saya," tulisnya dalam satu hantaran terbaharu di Facebook.
Menurut Shafek, dia tidak akan membiarkan individu itu merosakkan pertunjukan fesyen yang sudah dirancang sejak tiga bulan lalu.
"Maaf saya dah bersungguh-sungguh selama dua, tiga bulan untuk buat koleksi dan pertunjukan fesyen terbaik dalam hidup saya. Saya percaya awak akan hancurkan acara saya nanti menjadi persembahan awak. Sumpah," tulisnya.
Siapalah agaknya individu berpangkat "Datuk Selebriti" yang dimaksudkan oleh Karl Shafek itu? - CARI
|