|
Suara bintang popular tempatan dalam Ice Age 3: Dawn of the Dinosaurs (ihsan Berita Harian)
2010/09/14
PADA musim sambutan Hari Raya ini, penonton di rumah bakal menerima sajian awal oleh STAR Movies dengan tayangan perdana eksklusif Ice Age 3: Dawn of the Dinosaurs yang dialih bahasakan ke Bahasa Malaysia. Filem yang boleh diikuti dalam bahasa Inggeris, Tamil dan Mandarin ini akan ditayangkan di STAR Movies (Saluran 413 Astro) pada 19 September, jam 10 malam, dengan ulangannya pada 20 September, 1.40 petang.
Ice Age 3: Dawn of the Dinosaurs ialah filem animasi ketiga tertinggi daripada segi kutipan tiket sepanjang zaman, iaitu RM2.8 bilion di seluruh dunia.
Dalam filem animasi penuh keseronokan ini, rakan-rakan zaman purbawara memulakan pengembaraan paling sukar, luar biasa dan gila-gila dengan Sid the sloth mewujudkan keluarganya sendiri selepas mengambil tiga telur dinosaur yang ditinggalkan sebagai anak angkat.
Telur berkenaan kemudiannya menetas menjadi bayi Tyrannosaurus. Sid tidak sedikit pun mengetahui, usahanya membimbing makhluk kecil terbabit mengundang pengembaraan yang hebat. Ia muncul sebagai misi menyelamatkan dirinya, apabila dia menemui sebuah dunia misteri dan pertembungan dengan dinosaur.
Sementara itu, Scrat iaitu sang tupai bergigi kapak meneruskan keasyikan dengan biji buah kacang. Cuma kali ini, dia bertemu dengan tupai betina yang sebenarnya turut bersungguh-sungguh untuk mencuri biji buah kacang tersebut daripadanya.
Memaparkan suara artis Malaysia sendiri termasuk Rosyam Nor (Manny), Alyah (Ellie), Rostam Said (Diego), Nabil (Sid), Sam Bunkface (Buck), Youk Bunkface (Crash) dan Paan Bunkface (Eddie), versi Bahasa Malaysia akan membawa penonton tempatan menikmati pengalaman menonton filem ini dengan lebih dekat lagi.
[NB: buck - weasel bermata satu yang jaga alam dinosaur bawah tanah, dlm versi inggeris dia ada pelat australia. crash dan eddie - kembar possum. kelakarlah diorang nyanyi krismas mcm alvin and the chipmunks apabila tersedut gas dlm pintu ke alam dinosaur].
Menerusi bahasa, kaitan emosi yang terjalin pasti lebih kuat.
Pengarah Pemasaran FOX International Channels, Nini Yusof berkata, mempersembahkan Ice Age 3: Dawn of the Dinosaurs dalam Bahasa Kebangsaan kita adalah satu peluang untuk melebarkan capaian filem ini kepada kumpulan penonton yang lebih luas di Malaysia.
"Kami memiliki keupayaan, dan tidak melupakan sekumpulan bakat-bakat mahir untuk menyuntik cita rasa tempatan yang diperlukan ke dalam filem itu. Ia adalah persembahan yang tepat pada masanya kerana filem animasi ini bukan saja menghiburkan, tetapi turut membawa mesej mengenai nilai kekeluargaan, menjadikan ia program bagi Raya dan musim cuti yang ideal,ββ katanya.
Membawakan watak Sid, Nabil menghargai peluang dan pengalaman baru yang diraihnya sepanjang masa proses rakaman suara alih bahasa itu.
"Sebenarnya, untuk meminjamkan suara kepada watak protagonis yang bercakap pantas dan juga cemerkap bukanlah kerja yang mudah. Pertamanya, saya perlu menyediakan diri saya dengan watak fiksyen ini, dan pada masa sama, melaksanakan keseimbangan dan kawalan yang sewajarnya bagi memastikan persembahan saya baik lagi menyakinkan. Ia tentunya pengalaman menyeronokkan," kata Nabil. |
|