|
Aspirasi: Elakkan `double standard' dalam isu baju seksi
Oleh Ramli MS
"ASSALAMUALAIKUM. Minggu ini saya ingin bercakap mengenai isu pakaian seksi artis yang sering dipandang serong oleh masyarakat. Tapi, saya seorang yang neutral. Keterlaluan artis berpakaian seksi di Malaysia bagi saya, tidak ada. Lazimnya produser TV akan memantau pakaian artis kita yang dikatakan seksi.
Kalau anda mengatakan pakaian tidak cocok, buta warna, kadang-kadang memang ada. Tapi, kalau yang menjolok mata, saya tidak kira yang itu keterlaluan. Terus terang saya katakan, Jaclyn Victor memakai pakaian di bawah paras bahu atau konsep berkemban.
Saya melihat secara positif. Perempuan mana tidak mahu kelihatan anggun, elegan? Sekiranya perempuan itu mempunyai bentuk tubuh yang hampir sempurna dengan bahu yang lebar, ketinggian yang melebihi 176 sentimeter, kaki yang panjang, dia mesti ingin kelihatan cantik apabila berpakaian.
Kalau pelakon itu membawakan watak sebagai penari atau pelayan dalam drama atau filem, takkan penampilannya harus bertudung atau mengenakan baju kurung?
Berbalik kepada cerita Jaclyn. Kalau kita melihat zaman dulu-dulu, siapa yang tak pernah berkemban. Siti Tanjung Perak pun berkemban di sebabkan wataknya sebagai seorang ibu yang kuat berleter. Tapi, itu hanyalah di dalam filem.
Kalau orang Inggeris berkemban atau memakai bikini, kenapa tidak dipersoalkan? Sekiranya penyanyi seperti Waheeda berkemban, mungkin anda cakap dia buang tabiat! Kita tidak boleh melihat semua artis secara total. Kalau individu seperti Jaclyn, dia bangsa bukan Melayu di dalam sebuah negara demokrasi.
Bangsa yang lain pun ada budaya mereka sendiri. Kita tak boleh memaksa artis seperti Jaclyn, memakai pakaian yang lebih sopan. Saya tak rasa Jaclyn seorang yang keterlaluan apabila berpakaian ataupun hipokrit. Bagi saya, apabila Jaclyn berpakaian berkonsepkan berkemban, dia tampak elegan.
Berdirinya Jaclyn di atas pentas, orang memandang dan mendengar nyanyiannya. Saya melihat, penampilan Jaclyn tidak ada yang over! Jadi, kita sebagai orang Melayu yang kaya dengan budaya sopan, apabila Jaclyn berkemban, anda berasakan tidak sopan.
Tapi, apabila kita beralih siaran TV, melihat JLO atau Angelina Jolie, wah seksinya! Kenapa terjadi begitu? Adakah kita merungut, artis berkenaan tidak sopan? Tapi, apabila Jaclyn, apa ni, pakai an menjolok mata! Ini yang kita namakan double standard.
Sedangkan seseorang yang tinggi kedudukannya dalam komuniti masyarakat Melayu, pun pernah didapati bersalah. Jadi, di sini saya tidak menggalakkan artis-artis berpakaian yang keterlaluan. Kalau anda pergi ke cabang lain, misalnya modelling, anda melihat lagi banyak pakaian yang menjolok mata!
Bagi saya, satu saja. Sekiranya anda mempunyai tubuh badan yang hampir sempurna, memperagakan pakaian yang menampakkan anda elegan, saya rasa tak keterlaluan. Lainlah kalau anda mengenakan pakaian yang mengghairahkan. Pakaian seperti itu memang tidak boleh, ia keterlaluan. Ia melanggar batas berbudaya kita.
Jadi, berpada-padalah. Semestinya saya perlu membela artis sebab saya juga orang seni. Cuma kadang-kadang itu, anda tidak boleh melihat perkara berkenaan secara total. Saya tidak memberi kebebasan untuk berpakaian agak seksi, Kalau bentuk badan anda cantik, apa salahnya anda berpakaian elegen?
Artis seperti Nasha Aziz, Nur Fazura atau Maya Karin, nama-nama seperti itu, anda boleh bayangkan, sekali sekali mereka memperagakan pakaian yang elegan untuk membawa diri mereka sebagai seorang artis. Tapi, jangan pakaian yang keterlaluan, mengghairahkan atau menjolok mata.
Baiklah, hingga kita bertemu lagi, wassalam." |
|