|
|
Swinburne Sarawak, Kelab Rotary Kuching lancar dua projek khidmat masyarakat
Januari 23, 2026, Jumaat - 3:38pm

Gambar berkumpulan murid yang menerima beg sekolah dan set alat tulis. Turut kelihatan, Bersales (berdiri, tengah kiri) dan Dr Mandrinos (berdiri, tengah kanan).
KUCHING: Dalam usaha kolaboratif untuk memperkasa sumber pendidikan bagi pelajar kurang berkemampuan, Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak dan Kelab Rotary Kuching baru-baru ini melancarkan dua projek khidmat masyarakat berimpak tinggi iaitu 'Give Books a 2nd Home' dan 'Bags2School.'
Projek 'Give Books a 2nd Home' bertujuan meningkatkan literasi dalam kalangan murid Tahap 1 hingga 6 dengan mengumpul buku kanak-kanak untuk dua sekolah rendah di kawasan luar bandar Asajaya dan Samarahan.
Sepanjang beberapa bulan kebelakangan ini, pelajar dan kakitangan universiti serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menyumbang sebanyak 19 kotak buku, sekali gus memperluas akses murid kepada bahan bacaan berkualiti.
Sementara itu, projek 'Bags2School' pula menyokong pendidikan rendah melalui pengagihan 240 beg sekolah dan 240 set alat tulis, bagi memastikan murid mempunyai keperluan asas untuk berjaya dalam perjalanan pendidikan mereka.
Kedua-dua inisiatif ini mencerminkan komitmen bersama Swinburne Sarawak dan Rotary Club Kuching terhadap tanggungjawab sosial serta usaha membekalkan sumber yang diperlukan agar pelajar muda dapat berkembang maju.
Presiden Kelab Rotary Kuching Justin Bersales, menegaskan bahawa inisiatif ini selari dengan matlamat utama organisasi untuk mendedikasikan diri bagi meningkatkan kualiti kehidupan di peringkat global.
Mencerminkan nilai kedua-dua organisasi, Dr Symeon Mandrinos, wakil Swinburne Sarawak yang terlibat aktif menyelaras inisiatif komuniti ini, berkata, “Kami percaya setiap kanak-kanak berhak mendapat akses kepada sumber pendidikan.

Penyerahan buku kepada Guru Besar Kassim (kiri), bersama Dr Mandrinos (tengah) dan Bersales (kanan).
"Dengan sokongan universiti dan Rotary Club, yang mana saya juga merupakan ahli aktif, kami berharap dapat memberi impak positif kepada kehidupan kanak-kanak dalam komuniti kami," katanya.
Beliau menambah, pihak universiti berhasrat untuk memperluas inisiatif ini bagi memberi manfaat kepada lebih banyak sekolah di kawasan luar bandar yang lain.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sarawak fokus latih bakat reka bentuk IC: Sagah
Januari 23, 2026, Jumaat - 3:41pm

Sagah (barisan belakang, tengah), Shariman (empat kiri) dan Wan Lizozman (empat kanan) serta jemputan lain merakamkan kenangan bersama para graduan Sijil Reka Bentuk Litar Bersepadu Digital - Kohort 1 daripada SMD Semiconductor pada majlis di La Promenade Mall, Kota Samarahan hari ini. - Gambar Chimon Upon
KOTA SAMARAHAN: Sarawak kini memberi tumpuan khusus kepada pembangunan bakat tempatan dalam bidang reka bentuk litar bersepadu (IC) sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuhkan ekosistem industri semikonduktor di negeri ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah berkata, sebahagian usaha ke arah itu dilaksanakan menerusi program Sijil Reka Bentuk Litar Bersepadu Digital yang ditawarkan oleh SMD Semiconductor Sdn Bhd.
“Peranan kita adalah untuk melatih mereka secara khusus dalam reka bentuk litar, kali ini memberi penekanan kepada reka bentuk litar digital. Ada antara mereka yang telah pun ditawarkan pekerjaan, malah ada yang sudah bekerja sebelum tamat program ini,” ujarnya.
Beliau demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penutupan Program Penguasaan Semikonduktor melibatkan 15 graduan Sijil Reka Bentuk Litar Bersepadu Digital - Kohort 1 di SMD Semiconductor di La Promenade Mall di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor Sdn Bhd Shariman Jamil dan Pengerusi SMD Semiconductor Sdn Bhd Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar.
Sagah berkata, kesemua peserta program tersebut merupakan anak Sarawak dan telah memiliki ijazah, menjadikan program ini sebagai satu bentuk latihan pascasiswazah yang khusus dalam bidang reka bentuk IC digital.
Beliau menegaskan, bidang reka bentuk IC dalam industri semikonduktor memerlukan asas akademik yang kukuh, khususnya dalam Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (E&E).
“Ini penting untuk kita maklumkan kepada generasi muda. Jika mereka berminat dalam bidang ini, mereka perlu memberi tumpuan serius dalam pelajaran, terutama dalam subjek STEM dan seterusnya mengikuti pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di universiti,” jelasnya.
Sagah menambah, kelayakan ijazah asas dalam bidang berkaitan adalah syarat utama untuk melahirkan jurutera yang mampu terlibat secara langsung dalam reka bentuk IC.
Mengulas mengenai prospek kerjaya, beliau berkata permintaan terhadap kepakaran itu adalah sangat tinggi di peringkat persekutuan dan negeri-negeri lain seperti Selangor, di samping menawarkan pendapatan yang lumayan.
“Ramai melihat dari sudut gaji semata-mata, namun bagi Sarawak, matlamat kita adalah untuk melatih rakyat kita sendiri supaya mereka menjadi pencipta dan peneraju inovasi baharu dalam industri ini,” katanya.
Tambah beliau, buat masa ini Sarawak tidak menumpukan kepada keseluruhan rantaian industri semikonduktor, sebaliknya memberi fokus khusus kepada reka bentuk IC sebagai langkah strategik membina kepakaran bernilai tinggi dalam kalangan anak tempatan berkenaan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
SUPP mula agih buah limau mandarin di lokasi kunjungan umum di Miri
Januari 23, 2026, Jumaat - 3:48pm

Ting (tiga kiri) dan Yii (tiga kanan) serta ahli SUPP ketika agihan buah limau mandarin di sekitar bandar raya Miri pagi Jumaat.
MIRI: Pejabat Perhubungan Parlimen Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Miri-Sibuti melancarkan program agihan limau mandarin pra-Tahun Baru Cina (TBC) bermula pagi tadi.
Program itu disertai Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak yang juga ADUN Piasau dan Setiausaha Agung SUPP Datuk Sebastian Ting, bersama Datuk Bandar Miri dan ADUN Pujut Adam Yii.
Pada program berkenaan, limau mandarin diagihkan kepada penduduk Miri dan ucapan Selamat Tahun Baru Cina 2026 disampaikan.
Menurut Ting, tradisi agihan limau mandarin ini telah dilakukan sejak sekian lama dan diteruskan sebagai simbol kebaikan, kemakmuran dan perpaduan.
"Tahun Baru Cina bukan sekadar perayaan untuk satu komuniti sahaja.
"Ia merupakan satu majlis perayaan yang melambangkan kegembiraan, keamanan, keharmonian, dan kebahagiaan bersama.
"Walaupun berakar daripada budaya Cina, ia adalah perayaan yang menyatukan semua kaum, memupuk perpaduan dan saling menghormati ketika kita menyambut tahun baru bersama-sama," jelas Ting.
Program bermula di Tamu Muhibbah, diteruskan ke Pasar Open Air, Pasar Unity, kawasan Old Man Street dan berakhir di Pasar Ikan, memberi peluang kepada pihak penganjur beramah mesra dengan orang ramai sambil menyampaikan ucapan selamat tahun baharu.
Ting turut mengharapkan agar Tahun Kuda membawa tuah, kesihatan berterusan, semangat baharu serta pembangunan progresif dan sejahtera untuk Miri dan seluruh penduduknya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
LAKMM anjur gotong-royong di tanah perkuburan Islam menjelang Ramadan
Januari 23, 2026, Jumaat - 5:08pm
MIRI: Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri (LAKMM) akan menganjurkan program gotong-royong pembersihan kawasan tanah perkuburan Islam di bawah seliaan lembaga itu sempena menyambut ketibaan bulan Ramadan 1447 Hijrah.
Program berkenaan bertujuan memastikan kawasan tanah perkuburan sentiasa berada dalam keadaan bersih, terpelihara dan selesa untuk dikunjungi oleh masyarakat, khususnya menjelang bulan Ramadan yang mulia.
Menurut LAKMM, program gotong-royong ini akan dilaksanakan di beberapa lokasi sekitar Miri iaitu di Sungai Baong, Lambir dan Pujut 5.
Lokasi yang terlibat termasuklah Tanah Perkuburan Islam Sungai Baong pada 31 Januari bermula jam 7 pagi, diikuti Tanah Perkuburan Islam Lambir pada 7 Februari bermula jam 8 pagi serta Tanah Perkuburan Islam Pujut 5 pada 15 Februari bermula jam 7 pagi.
Atur cara program bermula dengan ketibaan para jemputan seawal jam 7 pagi, disusuli bacaan tahlil pada jam 7.15 pagi, jamuan ringan dan seterusnya aktiviti gotong-royong pembersihan kawasan perkuburan.
Sehubungan itu, pihak LAKMM dengan penuh hormat menjemput seluruh muslimin dan muslimat untuk bersama-sama menyertai program ini bagi memeriahkan serta menyokong usaha murni tersebut.
Para peserta juga digalakkan membawa peralatan gotong-royong seperti mesin pemotong rumput, cangkul, sabit, parang dan peralatan lain yang bersesuaian bagi melancarkan perjalanan program.
Dalam pada itu, LAKMM turut mengalu-alukan serta menghargai sebarang sumbangan ikhlas daripada para peserta dalam apa jua bentuk, sama ada makanan, peralatan gotong-royong atau sumbangan kewangan bagi menyokong kelancaran pelaksanaan program ini.
Sebarang sumbangan atau pertanyaan lanjut boleh disalurkan dengan menghubungi pihak pengurusan LAKMM di talian 085-428595 atau 085-428596, atau melalui WhatsApp di 016-4478595.
Pihak LAKMM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas perhatian serta sokongan semua pihak terhadap penganjuran program berkenaan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
TYT hadiri majlis makan tengah hari anjuran Idris di Samarahan
Januari 23, 2026, Jumaat - 5:51pm

Tun Wan Junaidi meluangkan masa makan tengah hari dan solat Jumaat di Samarahan. - Gambar Astana Sarawak
KOTA SAMARAHAN: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menghadiri majlis makan tengah hari yang dianjurkan oleh Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Dato Idris Buang bersama isteri Datin Nurhidayah di Rumah Rehat Kerajaan, Bahagian Samarahan di sini, pada Jumaat.
Majlis berkenaan berlangsung selepas Tun Wan Junaidi menunaikan solat sebagai platform bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara kepimpinan negeri dan pemimpin tempatan.
Ketibaan Tun Wan Junaidi disambut dengan penuh mesra oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang bersama warga kerja Pejabat Daerah Samarahan.
Majlis turut dihadiri oleh Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Mual Suaud, Temenggung Chek Bujang serta dif-dif kenamaan yang lain.

Tun Wan Junaidi meluangkan masa makan tengah hari dan solat Jumaat di Samarahan. - Gambar Astana Sarawak
Majlis makan tengah hari itu menjadi ruang bermakna buat Tun Wan Junaidi untuk berkongsi pengalaman serta pandangan, di samping memberi peluang kepada para pemimpin tempatan mendapatkan nasihat dan panduan secara langsung daripada Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas layanan mesra serta hidangan yang disediakan, selain mendoakan agar para pemimpin di Bahagian Samarahan terus memberikan perkhidmatan terbaik demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
RM200,000 untuk Program Tuisyen Rakyat RISDA di Sarawak tahun ini
Januari 23, 2026, Jumaat - 6:16pm

Rubiah menyampaikan sumbangan berupa kelengkapan persekolahan kepada murid sekolah pada Program Jom Ke Sekolah Parlimen Samarahan 2026.
KOTA SAMARAHAN: Sejumlah RM200,000 diperuntukkan oleh RISDA untuk Program Tuisyen Rakyat RISDA di Sarawak tahun ini yang bakal memberi manfaat kepada 345 pelajar di 23 pusat tuisyen terpilih di seluruh negeri.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata, inisiatif itu merupakan pelaburan jangka panjang kerajaan dalam usaha memperkasa pendidikan anak-anak desa agar mampu bersaing setanding pelajar di bandar.
“Usaha ini juga mencerminkan fokus berterusan kerajaan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam menangani isu keciciran murid.
“RISDA sebagai agensi di bawah KKDW, memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembangunan modal insan komuniti luar bandar, khususnya melibatkan generasi muda daripada keluarga pekebun kecil dan golongan berpendapatan rendah,” katanya berucap merasmikan Program Jom Ke Sekolah Parlimen Samarahan 2026 di sini, hari ini.
Program Tuisyen Rakyat yang diperkenalkan sejak 2007 itu terus diperkasakan dengan peruntukan nasional berjumlah RM2.3 juta tahun ini, melibatkan 3,075 pelajar di 205 pusat tuisyen di seluruh negara.

Rubiah bergambar kenangan bersama para pelajar penerima sumbangan pada program tersebut.
Mengulas mengenai Program Jom Ke Sekolah hari ini, Ahli Parlimen Kota Samarahan itu berkata, Yayasan RISDA memperuntukkan sejumlah RM81,250 bagi pelaksanaan program berkenaan, melibatkan 250 murid sekolah rendah dan 250 pelajar sekolah menengah daripada 45 sekolah.
Menurutnya, setiap penerima menerima sumbangan berupa beg sekolah, set kelengkapan alat tulis serta wang tunai RM50 setiap seorang dengan program kali ini memberi tumpuan kepada pelajar beragama Islam, pelajar dari kalangan golongan asnaf, fakir miskin atau kategori B40.
“Bantuan yang disalurkan hari ini melibatkan peruntukan tambahan, dan keluarga yang belum menerima bantuan boleh berhubung dengan Pusat Khidmat Parlimen Samarahan kerana pusingan kedua bantuan akan dilaksanakan,” katanya.
Rubiah dalam pada itu menegaskan pelajar bukan Islam tidak akan tercicir kerana bantuan serupa akan disalurkan menerusi program dan penganjuran lain.
Ini katanya, selaras dengan komitmen beliau sebagai wakil rakyat untuk memastikan pendidikan di Kota Samarahan berada dalam keadaan baik, lancar dan teratur.
“Usaha memperkasa pendidikan di Kota Samarahan turut dilaksanakan melalui kerjasama berterusan dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang merangka pelbagai strategi serta kita (KKDW) juga mempunyai pelbagai program sokongan,” katanya.
Selain Program Jom Ke Sekolah 2026, terdapat dua program berasingan turut dilaksanakan hari ini, iaitu Program Hari Terbuka dan Pekebun Kecil Makmur Peringkat RISDA Negeri Sarawak 2026 yang melibatkan sesi ceramah, serta program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh GIATMARA berupa perkhidmatan gunting rambut.
Untuk rekod, Program Jom Ke Sekolah 2026 adalah program yang dilaksanakan oleh Pengurusan RISDA Negeri Sarawak dengan kerjasama Yayasan RISDA bersama Parlimen Samarahan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Wanita hilang di Engkilili ditemui meninggal dunia
Januari 23, 2026, Jumaat - 6:21pm
ENGKILILI: Seorang wanita berusia 75 tahun yang dilaporkan hilang di kawasan hutan berhampiran Kampung Bua di sini, ditemui meninggal dunia hari ini selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan selama dua hari.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa dilaporkan keluar dari rumah panjang pada kira-kira jam 1 pagi, 21 Januari lalu.
Menurutnya, kehilangan mangsa hanya disedari beberapa jam kemudian apabila usaha mencari oleh ahli keluarga serta penduduk rumah panjang di sekitar kawasan berkenaan gagal menemui mangsa.
“Operasi SAR segera digerakkan dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Unit K9 serta bantuan penduduk kampung.
“Pencarian dijalankan melalui darat dan sungai, melibatkan kawasan hulu dan hilir sungai Batang Lupar dengan radius beberapa kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa akhirnya ditemui oleh orang awam yang sedang memancing kira-kira tujuh hingga lapan kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat.
Tambahnya, pasukan SAR kemudian bergegas ke lokasi sebelum membawa mangsa ke Pusat Kawalan Operasi.
“Identiti mangsa disahkan oleh ahli keluarga dan mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.30 petang.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
RISDA sasar 1,460 hektar tanam semula getah di Sarawak tahun ini: Rubiah
Januari 23, 2026, Jumaat - 6:54pm

Rubiah (tengah) bercakap pada sidang media selesai menyempurnakan Program Jom Ke Sekolah Parlimen Samarahan 2026 di Dewan Suarah Kota Samarahan, hari ini.
KOTA SAMARAHAN: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyasarkan pelaksanaan program tanam semula getah seluas 1,460 hektar di Sarawak tahun ini, menurut Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.
Ahli Parlimen Kota Samarahan itu berkata, keluasan tanaman getah di Sarawak ketika ini meliputi kira-kira 32,000 hektar.
Beliau berkata, tumpuan tanaman getah di Sarawak melibatkan beberapa kawasan termasuk Betong, Saratok, Sarikei, Sri Aman dan Sibu, selain kawasan lain seperti Samarahan, Serian, Lawas, Limbang dan Miri yang turut mempunyai tanaman getah.
“Namun masih terdapat persepsi negatif terhadap tanaman getah susulan faktor harga sebelum ini, sedangkan tanaman berkenaan sebenarnya mampu memberikan pulangan yang lumayan sekiranya diusahakan dengan kaedah yang betul.
“Jika getah ditanam dan diurus dengan baik, hasil susu getah dapat ditingkatkan dan harga ketika ini menunjukkan trend menaik,” ujarnya kepada pemberita pada sidang media selepas menyempurnakan Program Jom Ke Sekolah Parlimen Samarahan 2026 di Dewan Suarah di sini, hari ini.
Untuk mengukuhkan inisiatif tersebut katanya, Program Pekebun Kecil Makmur RISDA dilaksanakan bagi memberi pendedahan kepada pekebun kecil kepada maklumat teknikal, galakan, motivasi serta penggunaan teknologi baharu, selain pemantauan penyakit tanaman bagi memastikan kebun getah diurus secara mampan.
Beliau berkata, RISDA turut melaksanakan program peningkatan pendapatan yang bukan sahaja tertumpu kepada aktiviti kebun, malah merangkumi pembangunan produk dan keusahawanan dalam kalangan pekebun kecil.
“RISDA memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti pendapatan pekebun kecil, bukan sahaja melalui hasil getah, tetapi juga melalui program peningkatan pendapatan yang dilaksanakan.
“Malah produk-produk usahawan kecil di bawah RISDA bukan sahaja dipasarkan di peringkat tempatan dan negeri, malah turut dibawa ke Semenanjung menerusi RISMART sebagai pusat jualan produk desa, dalam usaha kita memastikan pendapatan pekebun-kebun kecil ini berterusan,” katanya.
Dalam pada itu, Rubiah mendedahkan RISDA sedang berusaha memulakan inisiatif sebagai pembeli utama getah di negeri ini.
Inisiatif berkenaan katanya, masih belum dilaksanakan sepenuhnya, namun telah diuji secara kecil-kecilan di Semenanjung dan Sarawak, sementara proses mendapatkan lesen dan permit pembelian diselesaikan.
Menurutnya, pembelian getah akan dibuat pada harga standard tanpa sebarang potongan, bagi mengelakkan pekebun kecil daripada terdedah kepada penipuan harga dan kos pengurusan yang tinggi.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lebih banyak program pembangunan dilaksana di Lusong Laku: Kennedy
Januari 23, 2026, Jumaat - 6:58pm

Kennedy (duduk dua kanan) bersama para pegawai pada Mesyuarat Pelan Pembangunan Bersepadu Lusong Laku di Pejabat Daerah Kecil Sungai Asap, pada Khamis.
BINTULU: Lebih banyak projek pembangunan akan dijalankan di Lusong Laku Belaga bagi memastikan pembangunan berterusan di kawasan petempatan suku Kaum Penan itu, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum Kennedy Chukpai Ugon.
Menurutnya, bagi tujuan itu, banyak rancangan pembangunan dirancang bagi memastikan yang semua projek pembangunan di kawalan terbabit akan dijalankan mengikut rancangan yang telah ditetapkan.
"Pada masa sama, pelbagai isu dibincangkan berkenaan perancangan Pelan Pembangunan Bersepadu Lusong Laku agar semua pihak dapat bekerjasama dalam membangunkan Lusong Laku dari masa ke masa," jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Mesyuarat Pelan Pembangunan Bersepadu Lusong Laku di Pejabat Daerah Kecil Sungai Asap di sini, pada Khamis.
Menurutnya, Lusong Laku sememangnya memiliki banyak potensi terutamanya dalam perancangan kemudahan infrastruktur yang akan menjadi pemangkin memajukan sektor ekopelancongan.
Dalam masa sama jelasnya, keterjaminan makanan juga dapat meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat yang akan memberi manfaat kepada Wilayah Sarawak khasnya agar selari dengan PCDS 2030.
Dalam perkembangan sama, turut diadakan Mesyuarat Pelaksanaan Projek Komuniti Impak Tinggi (HICP) Di Bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) di Kawasan Lusong Laku oleh URDA.
"Semoga segala usaha dapat dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak agar memberi manfaat kepada masyarakat kita secara keseluruhannya," jelasnya lagi.
Kennedy turut meninjau keadaan kemajuan projek pembinaan bangunan Pejabat Daerah Kecil Sungai Asap serta melawat tapak cadangan beberapa projek yang dirancang di Penempatan Semula Bakun (BRS) di Sungai Asap Belaga.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
BCMSC platform terbaik wakili suara penduduk Belaga
Januari 24, 2026, Sabtu - 8:09am

Liwan (tengah) dan Kennedy (dua dari kiri) semasa menghadiri mesyuarat BCMSC di Bintulu.
BINTULU: Bakun Community Management Steering Committee (BCMSC) merupakan antara platforn terbaik bagi menyuarakan semua permasalan serta isu semasa yang melanda komuniti yang terlibat dalam perpindahan ke Penempatan Semula Bakun, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum Kennedy Chukpai.
Jelasnya, dalam Mesyuarat BCMSC yang diadakan bertempat di New World Suites Bintulu pada Jumaat, pelbagai isu telah dibincangkan dalam mesyuarat ini termasuklah berkenaan masalah kemudahan utiliti asas di Sungai Asap dan juga berkenaan perancangan-perancangan dari pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) termasuk bagi mengetahui perkembangan cadangan Memorandum of Understanding (MoU) penubuhan BCMSC.
"Ia turut merangkumi permohonan serta perkembangan projek-projek sosial ekonomi di kawasan Murum-Belaga," jelasnya.
Bercakap lanjut mengenainya, Kennedy turut berbincang serta mendengar pendapat serta permohonan-permohonan dari persatuan-persatuan yang hadir berkenaan dengan keperluan komuniti setempat khususnya di Daerah Belaga secara amnya.
Beliau dalam pada itu berharap agar BCMSC akan terus menjadi salah satu platform yang akan mewakili suara komuniti tempatan di Daerah Belaga yang terlibat secara langsung dengan projek Empangan Bakun secara inklusif.
Ia menurut beliau dalam masa sama akan menjadi platform bagi menyatupadukan serta berkolaborasi dengan komuniti setempat pada masa yang akan datang demi kebaikan semua pihak.
"Saya berasa amat bersyukur kerana pada hari ini kerana dapat turut serta dalam dalam mesyuarat yang diadakan kerana ia melibatkan pembangunan Sungai Asap dan Daerah Belaga secara keseluruhannya," jelasnya lagi.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi) merangkap ADUN N.65 Belaga, Datuk Liwan Lagang, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Thomas Balan dan Pengurus Besar Jabatan Pengurusan Impak Sosial, Sarawak Energy Berhad (SEB), Jiwari Abdullah antara yang hadir.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Program Mobiliti UPMS 2026 ke Guangzhou China
Januari 24, 2026, Sabtu - 8:15am
BINTULU: Program Mobiliti Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) 2026 akan diadakan di Guangzhou China dari 1 hingga 15 September ini nanti.
UPMS dalam kenyataannya hari ini berkata, program ini merupakan aktiviti yang melibatkan penyertaan pelajar dalam program mobiliti jangka pendek ke luar negara.
Ia antara lain merupakan program anjuran pihak universiti bagi memberikan peluang kepada setiap peserta bagi belajar, menerokai dan mengalami sendiri pengalaman di China khususnya berkaitan akademik dan pengalaman budaya termasuk lawatan industri dan agensi kerajaan.
Yuran program iaitu yuran tajaan adalah sebanyak RM2,500 sahaja yang mana slot adalah terhad yakni siapa yang cepat dia yang dapat.
Setiap peserta dalam pada itu akan dikenakan bayaran deposit sebanyak RM500 bagi tujuan mengesahkan penyertaan yang mana (akan ditolak daripada jumlah yuran dan tidak akan dikembalikan).
Peserta yang merupakan pelajar institusi pengajian tinggi kerajaan dan swasta temasuk pelajar antarabangsa digalakkan bagi menyertai program ini yang mana kapasiti hanya 40 tempat sahaja.
Sesiapa yang berminat boleh mendaftar secara online melalui https://forms.gle/DVCcefurtZSYxtyS6.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
UPMS dan BMC bakal adakan program pemeriksaan kesihatan pelajar
Januari 24, 2026, Sabtu - 8:17am

Dr. Tan (tiga dari kiri) dan Dr. Amru (tengah) merakamkan gambar bersama-sama kakitangan kedua-dua belah pihak yang turut hadir dalam sesi perbincangan berkenaan di Bilik Konferens BMC.
BINTULU: Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) telah mengadakan satu sesi perbincangan rasmi bersama Bintulu Medical Centre (BMC) pada Khamis lalu (22 Januari) bagi membincangkan cadangan kerjasama melalui penubuhan Student Health Screening Panel khusus untuk pelajar siswazah dan prasiswazah antarabangsa dan tempatan.
Mesyuarat yang diadakan, bertempat di Bilik Konferens BMC antara lainnya perbincangan yang memberikan tumpuan kepada perbincangan lanjut mengenai usaha bagi mewujudkan satu rangka kerja kolaboratif bagi meningkatkan kecekapan dan penyelarasan proses pemeriksaan kesihatan pelajar.
Ia merangkap standard prosedur pemeriksaan, keperluan dokumentasi, bayaran serta aliran kerja yang lebih sistematik.
Inisiatif ini dijangka dapat memperkukuh keperluan pematuhan kesihatan pelajar antarabangsa dan tempatan di samping memperkemas urusan kemasukan pelajar ke UPMS.
Cadangan kerjasama pemeriksaan kesihatan pelajar ini turut dihadiri oleh Dr. Tan Teik Guan selaku Pengarah BMC manakala UPMS diwakili oleh Dr. Muhammad Amru Badrul Hisam, beserta rombongan.
UPMS dalam masa sama menyambut baik komitmen BMC bagi menerokai peluang kerjasama strategik ini yang dilihat mampu memberi manfaat jangka masa panjang kepada pelajar melalui penyediaan perkhidmatan kesihatan yang lebih tersusun, cekap dan profesional.
Usaha ini adalah sejajar dengan misi universiti bagi mengukuhkan kesejahteraan pelajar, menjaga kebajikan serta meningkatkan keupayaan institusi dalam menyediakan sokongan menyeluruh kepada komuniti kampus.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
SK Sungai Bawang, Selangau anjur kursus kepimpinan
Januari 24, 2026, Sabtu - 8:24am

Kursus Kepimpinan Pengawas, Ketua dan Penolong Ketua Kelas Peringkat Sekolah Sesi 2026 SK Sungai Bawang, Selangau pada Jumaat.
SELANGAU: Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bawang, Selangau telah berjaya menganjurkan Kursus Kepimpinan Pengawas, Ketua dan Penolong Ketua Kelas Peringkat Sekolah Sesi 2026, di sini, pada Jumaat.
Kursus tersebut mendapat suntikan kesedaran pendidikan pencegahan dadah melalui kerjasama strategik dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sibu.
AADK Daerah Sibu menerusi kenyataan di Facebook rasminya berkata seramai 50 orang murid yang terpilih sebagai barisan kepimpinan sekolah telah menyertai kursus itu dengan penuh iltizam.
“Mereka bukan sahaja dibimbing dengan kemahiran memimpin dan pengurusan disiplin, bahkan diberikan pendedahan khusus tentang bahaya penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang melalui ceramah dan pameran antidadah.

Kursus Kepimpinan Pengawas, Ketua dan Penolong Ketua Kelas Peringkat Sekolah Sesi 2026 SK Sungai Bawang, Selangau pada Jumaat.
“Inisiatif itu dilihat sebagai langkah proaktif sekolah dalam membina benteng pertahanan minda murid sejak di bangku sekolah rendah lagi,” ujar kenyataan tersebut.
Melalui pendekatan ceramah yang mudah difahami, AADK memberikan penerangan tentang bahaya pelbagai jenis dadah dan bahan terhadap kesihatan serta masa depan generasi muda.
Kemuncak acara tersebut ialah sesi pameran antidadah. Murid-murid berpeluang untuk melihat sendiri sampel visual dan bahan pameran berbentuk pendidikan.
Pendedahan awal itu amat bertepatan dengan peranan pengawas, ketua kelas dan penolong ketua kelas sebagai ejen perubahan yang mampu memberikan pengaruh positif kepada rakan sebaya.

Kursus Kepimpinan Pengawas, Ketua dan Penolong Ketua Kelas Peringkat Sekolah Sesi 2026 SK Sungai Bawang, Selangau pada Jumaat.
Usaha itu bukan sekadar kursus kepimpinan biasa, tetapi merupakan suatu pelaburan masa depan dalam membentuk persekitaran sekolah yang selamat dan harmoni.
Bak kata pepatah, "melentur buluh biarlah dari rebungnya", dan selaras dengan slogan "Lebih Baik Cegah", generasi pemacu masa depan bermula dari sekolah.

Kursus Kepimpinan Pengawas, Ketua dan Penolong Ketua Kelas Peringkat Sekolah Sesi 2026 SK Sungai Bawang, Selangau pada Jumaat.

Kursus Kepimpinan Pengawas, Ketua dan Penolong Ketua Kelas Peringkat Sekolah Sesi 2026 SK Sungai Bawang, Selangau pada Jumaat.

Kursus Kepimpinan Pengawas, Ketua dan Penolong Ketua Kelas Peringkat Sekolah Sesi 2026 SK Sungai Bawang, Selangau pada Jumaat.

Kursus Kepimpinan Pengawas, Ketua dan Penolong Ketua Kelas Peringkat Sekolah Sesi 2026 SK Sungai Bawang, Selangau pada Jumaat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
EPU lulus 15 projek pembangunan infrastruktur di MiRRDA
Januari 24, 2026, Sabtu - 8:42am

Gira (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pembangunan Infrastruktur MiRRDA di Sibu pada Jumaat.- Gambar FB DUN N.59 Tamin
SIBU: Unit Perancang Ekonomi (EPU) telah meluluskan sebanyak 15 projek pembangunan infrastruktur untuk dilaksanakan di kawasan Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (MiRRDA), sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa pembangunan wilayah tersebut, khususnya di kawasan luar bandar.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Pembangunan Infrastruktur MiRRDA, Ir. Christopher Gira Sambang, ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pembangunan Infrastruktur MiRRDA yang berlangsung di Pejabat MiRRDA, Wisma Sanyan di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, kesemua projek yang telah menerima kelulusan EPU itu kini berada pada peringkat awal pelaksanaan, melibatkan proses pelantikan juru perunding, juru ukur tanah serta pelaksanaan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan teknikal dan perundangan.
"Pelaksanaan fizikal pembinaan projek-projek ini dijangka bermula pada penghujung tahun ini, tertakluk kepada kelulusan teknikal yang berkaitan," katanya menerusi satu kenyataan yang dimuatkan dalam laman rasmi media sosialnya.
Mesyuarat yang berlangsung selama dua jam itu turut membincangkan hala tuju pelaksanaan projek serta cabaran teknikal yang dikenal pasti, khususnya berkaitan pembangunan kemudahan asas di kawasan luar bandar wilayah Mid Rajang.
Selain itu, katanya lagi, perbincangan turut menekankan kepentingan penyelarasan antara agensi pelaksana, penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan serta keperluan memastikan setiap projek yang dilaksanakan memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat dan merangsang pertumbuhan sosioekonomi setempat.
Gira turut menegaskan bahawa perancangan berfokus, pemantauan berterusan serta tadbir urus yang cekap amat penting bagi memastikan projek-projek yang diluluskan dapat disiapkan mengikut jadual, menepati spesifikasi serta memberikan nilai terbaik kepada rakyat.
Beliau juga menggesa semua agensi terlibat agar memperkukuh kerjasama strategik dan pendekatan bersepadu demi memastikan agenda pembangunan wilayah MiRRDA dapat dilaksanakan secara lebih berkesan, selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak ke arah pembangunan yang seimbang, inklusif dan mampan.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri oleh Pegawai Tindakan Khas MiRRDA, Jackline August serta wakil-wakil agensi kerajaan, jabatan teknikal dan pegawai MiRRDA yang terlibat secara langsung dalam perancangan serta pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur di wilayah tersebut.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Projek paip alternatif bernilai RM7 juta dilaksana, atasi masalah bekalan air di Jagoi
Januari 24, 2026, Sabtu - 11:17am

Mordi berbincang dengan penduduk di kawasan Jagoi berhubung masalah air di kawasan tersebut.
BAU: Masalah gangguan dan tekanan bekalan air yang berlarutan di kawasan Jagoi kini sedang ditangani menerusi pelaksanaan projek paip alternatif bernilai RM7 juta oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak.
Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol berkata, projek tersebut merupakan penyelesaian jangka panjang bagi meningkatkan kapasiti, kestabilan dan tekanan bekalan air khususnya kepada penduduk di Kampung Stass, Kampung St. Mark Stass dan Kampung Krawong Stass.
Menurut beliau, projek berkenaan melibatkan pembinaan saluran paip tambahan dari Bau serta pewujudan laluan bekalan air alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber utama yang dikenal pasti sebagai punca utama gangguan bekalan sebelum ini.
“Tekanan air yang rendah dan gangguan berulang menunjukkan sistem sedia ada tidak lagi mencukupi.
"Oleh itu, projek paip alternatif ini amat penting bagi memastikan sistem bekalan air di Jagoi lebih stabil dan tahan terhadap gangguan pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.
Mordi yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia menambah, projek bernilai RM7 juta itu kini dalam pelaksanaan dan dijangka siap dalam tempoh kira-kira lima bulan, sebelum perayaan Gawai, tertakluk kepada kemajuan kerja di lapangan serta keadaan cuaca.
Sementara menunggu projek tersebut disiapkan, Mordi berkata langkah kecemasan jangka pendek turut dilaksanakan dengan menggerakkan bekalan tangki air ke kampung-kampung terjejas menggunakan peruntukan Parlimen Mas Gading.
Selain itu, bekalan air berjadual akan terus dihantar bagi memastikan setiap keluarga mendapat bekalan air bersih yang mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan projek.
Beliau turut menegaskan akan terus memantau pelaksanaan projek JBALB Sarawak itu serta memastikan bantuan sementara diteruskan sehingga bekalan air di kawasan Jagoi kembali stabil sepenuhnya.
“Kebajikan penduduk Jagoi sentiasa menjadi keutamaan dan saya komited memastikan isu asas seperti bekalan air ini ditangani secara menyeluruh dan berkesan,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki cedera tapak tangan kiri tertusuk besi peluru senapang ikan
Januari 24, 2026, Sabtu - 11:23am
BETONG: Seorang lelaki berusia 18 tahun mengalami kecederaan serius apabila besi peluru senapang ikan tertusuk dan menembusi tapak tangan kiri dalam satu kejadian di Betong, malam Jumaat.
Kejadian itu memaksa pihak Hospital Betong mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak untuk memotong besi berkenaan bagi membolehkan mangsa dipindahkan ke hospital lain untuk rawatan lanjut.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.20 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di hospital pada jam 10.28 malam, anggota bomba dimaklumkan bahawa besi peluru senapang ikan masih tertusuk pada tangan mangsa dan perlu dipendekkan bagi mengelakkan risiko kecederaan lebih parah semasa proses pemindahan ke Hospital Sri Aman.
“Pasukan Keluaran Operasi bertindak memotong besi berkenaan menggunakan peralatan bolt cutter dengan penuh berhati-hati dan terkawal,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi berkenaan berjaya diselesaikan pada jam 10.50 malam sebelum pasukan bomba beredar kembali ke balai.
Seramai lapan anggota JBPM Sarawak terlibat dalam operasi tersebut dengan menggunakan sebuah jentera FRT dan sebuah kenderaan EMRS.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
BDA rangka pelbagai program inisiatif sepanjang 2026
Januari 24, 2026, Sabtu - 11:30am

Haidar, Muhamad Yakup, Abdul Rahim (berdiri tengah) merakam gambar bersama pegawai dan kakitangan agensi serta pengamal media yang menerima sijil penghargaan daripada BDA.
BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) telah merangka pelbagai program inisiatif sepanjang tahun ini (2026) yang merangkumi aspek pembangunan bandar, kesejahteraan komuniti, kelestarian alam sekitar, pelancongan, ekonomi setempat serta program sosial bersama masyarakat.
Pengurus Besar BDA Datu Muhamad Yakup Kari berkata, susulan itu peranan pihak media amat penting sebagai rakan strategik untuk membantu menguar-uar, menyampai dan menjelaskan program-program ini kepada masyarakat umum.
Katanya, media bukan sekadar penyampai berita tetapi jambatan komunikasi antara agensi kerajaan dan rakyat.
"Melalui liputan yang tepat, berimbang dan berfakta, masyarakat dapat memahami matlamat, rasional serta manfaat setiap program yang dilaksanakan," ujarnya berucap merasmikan Majlis Makan Malam Apresiasi BDA 2026 Bersama Media dan Agensi-Agensi di Millenium Ballroom Hotel ParkCity Everly Bintulu malam Jumaat.
Majlis tersebut meraikan pegawai dan kakitangan Pejabat Residen Bahagian Bintulu, Pejabat Daerah Bintulu, Tatau dan Sebauh, media, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bintulu, Hospital Bintulu, Pejabat Kesihatan Bintulu, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Bintulu.
Muhamad Yakup menegaskan, kerjasama erat dan komunikasi dua hala antara pihak media dan BDA amat penting.
"Sekiranya terdapat sebarang isu, persoalan atau kekeliruan, BDA mengalu-alukan media berhubung terus untuk membuat semakan dan mendapatkan pengesahan supaya maklumat sahih dan tepat disampaikan kepada orang awam," jelasnya.
Beliau berkata, pemilihan perkataan, tajuk dan konteks pelaporan juga amat penting agar tidak menimbulkan salah faham, spekulasi, fitnah atau rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat khususnya terhadap agensi kerajaan dan BDA.
"Dengan amalan komunikasi yang profesional, beretika dan bertanggungjawab, media dapat terus menjadi rakan pembangunan yang dihormati dan diyakini," katanya.
Pada masa sama katanya, BDA turut menitikberatkan kerjasama merentas agensi kerana pembangunan sesebuah bandar seperti Bintulu tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian.
Katanya, ia memerlukan penyelarasan, sokongan dan perkongsian kepakaran daripada semua pihak.
"Saya memohon sokongan penuh daripada semua agensi dan rakan media agar terus bersama BDA dalam merealisasikan agenda pembangunan dan kemajuan Bintulu demi kesejahteraan rakyat," katanya.
Beliau berharap jalinan kerjasama yang erat ini bukan sahaja dapat terus diperkukuhkan bahkan membentuk semangat saling mempercayai, menghormati dan memahami peranan masing-masing.
Katanya, majlis tersebut bukan sekadar acara makan malam, tetapi simbol penghargaan, kesyukuran dan pengiktirafan BDA terhadap rakan-rakan strategik yang berdiri bersama dalam mendukung agenda pembangunan dan kesejahteraan masyarakat Bintulu.
Turut hadir Timbalan Pengerusi BDA Dato Haidar Khan Asghar Khan dan isteri Datin Hasliza Abdullah, Timbalan Pengurus Besar BDA Abdul Rahim Abdullah serta barisan pengurusan kanan BDA.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
CoPER terus diperkukuh, instrumen utama tingkatkan prestasi kontraktor: Uggah
Januari 24, 2026, Sabtu - 11:39am

Uggah berucap merasmikan bengkel yang diadakan di BCCK, pada Jumaat. - Gambar UKAS
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh pelaksanaan Contractor Performance Evaluation Report (CoPER) sebagai instrumen utama bagi meningkatkan prestasi kontraktor serta memperkasakan ketelusan dan akauntabiliti dalam sistem perolehan kerajaan negeri.
Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata CoPER merupakan sistem penilaian prestasi kontraktor yang dibangunkan sejak 2014 dan dilaksanakan sepenuhnya pada 2015 bagi Kategori Kerja, sebelum diperluaskan pada 2018 untuk merangkumi Kategori Bekalan dan Perkhidmatan serta Kategori Perunding.
Memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) beliau berkata, penganjuran bengkel itu bukan sekadar latihan prosedur, sebaliknya satu inisiatif strategik untuk memperkukuh tadbir urus, meningkatkan keberkesanan pelaksanaan projek serta memastikan sumber awam diurus secara profesional dan berakauntabiliti.
“CoPER perlu dilihat sebagai tunjang utama tadbir urus yang baik dalam proses pemilihan serta pengurusan perunding dan kontraktor,” katanya berucap semasa merasmikan bengkel itu di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Jumaat.
Menurut beliau, sistem CoPER menilai prestasi kontraktor berdasarkan pelaksanaan projek yang merangkumi aspek kualiti kerja, pematuhan spesifikasi, keselamatan serta keberkesanan keseluruhan penyampaian projek.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, pelaksanaan sistem ini turut bertujuan mengenal pasti kontraktor berprestasi tinggi, selain membolehkan tindakan susulan diambil terhadap kontraktor yang memerlukan pemantauan rapi, sekali gus memperkukuh tahap ketelusan dalam perolehan kerajaan negeri.
Seiring dengan perkembangan industri, kriteria penilaian CoPER sentiasa melalui proses penambahbaikan bagi memastikan sistem ini kekal relevan, adil dan selari dengan piawaian semasa, di samping menyokong aspirasi Sarawak ke arah pembangunan ekonomi yang mampan, tambah beliau.
“Bagi memastikan CoPER berfungsi dengan berkesan, pelaporan yang tepat dan menepati masa amat penting. Semua agensi kerajaan perlu mengemas kini prestasi perunding dan kontraktor secara konsisten bagi menyediakan data yang boleh dipercayai di seluruh Sarawak.
“Walaupun ia mungkin menambah beban tugas, CoPER harus dilihat bukan sebagai beban, sebaliknya sebagai pelaburan ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih baik, kerjasama industri yang lebih kukuh serta peningkatan kepercayaan rakyat,” tambahnya.
Bengkel dianjurkan oleh Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak menerusi Bahagian Perolehan, Unit Pendaftaran Kontraktor dan Juruperunding (UPKJ), dari 22 hingga 23 Januari disertai seramai 160 peserta daripada pelbagai jabatan teknikal dan agensi kerajaan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Projek paip alternatif RM7 juta dilaksana, atasi masalah bekalan air di Jagoi: Mordi
Januari 24, 2026, Sabtu - 1:04pm

Mordi berbincang dengan penduduk di kawasan Jagoi berhubung masalah air di kawasan tersebut.
BAU: Masalah gangguan dan tekanan bekalan air yang berlarutan di kawasan Jagoi kini sedang ditangani menerusi pelaksanaan projek paip alternatif bernilai RM7 juta oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak.
Ahli Parlimen Mas Gading Mordi Bimol berkata, projek tersebut merupakan penyelesaian jangka panjang bagi meningkatkan kapasiti, kestabilan dan tekanan bekalan air, khususnya kepada penduduk di Kampung Stass, Kampung St Mark Stass dan Kampung Krawong Stass.
Menurut beliau, projek berkenaan melibatkan pembinaan saluran paip tambahan dari Bau serta pewujudan laluan bekalan air alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber utama yang dikenal pasti sebagai punca utama gangguan bekalan sebelum ini.
“Tekanan air yang rendah dan gangguan berulang menunjukkan sistem sedia ada tidak lagi mencukupi.
“Oleh itu, projek paip alternatif ini amat penting bagi memastikan sistem bekalan air di Jagoi lebih stabil dan tahan terhadap gangguan pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.
Mordi yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia menambah, projek itu kini dalam pelaksanaan dan dijangka siap dalam tempoh kira-kira lima bulan, sebelum perayaan Gawai, tertakluk kepada kemajuan kerja di lapangan serta keadaan cuaca.
Sementara menunggu projek tersebut disiapkan, Mordi berkata langkah kecemasan jangka pendek turut dilaksanakan dengan menggerakkan bekalan tangki air ke kampung-kampung terjejas menggunakan peruntukan Parlimen Mas Gading.
Selain itu katanya, bekalan air berjadual akan terus dihantar bagi memastikan setiap keluarga mendapat bekalan air bersih yang mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan projek.
Beliau turut menegaskan akan terus memantau pelaksanaan projek JBALB Sarawak itu serta memastikan bantuan sementara diteruskan sehingga bekalan air di kawasan Jagoi kembali stabil sepenuhnya.
“Kebajikan penduduk Jagoi sentiasa menjadi keutamaan dan saya komited memastikan isu asas seperti bekalan air ini ditangani secara menyeluruh dan berkesan,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Semangat gotong-royong terserlah dalam kalangan penduduk Kg Assyakirin Fasa 3
Januari 24, 2026, Sabtu - 1:40pm

Pang (tengah) merakam gambar bersama penduduk Kampung Assyakirin Fasa 3 Bintulu dalam aktiviti gotong-royong pembersihan di kampung berkenaan.
BINTULU: Semangat bergotong-royong membersih kawasan kampung menyerlah dalam kalangan penduduk Kampung Assyakirin Fasa 3 dalam usaha mengekalkan kebersihan kampung serta membasmi tempat pembiakan nyamuk aedes.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang berkata, semangat ini amat penting bukan sahaja untuk menjaga kesihatan penduduk, bahkan sebagai persiapan untuk menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
"Saya amat bangga melihat semangat dan kerjasama yang ditunjukkan oleh penduduk kampung ini yang sanggup bangun awal pagi bagi membersihkan persekitaran kampung untuk kebaikan bersama," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa menyertai aktiviti Gotong-Royong Perdana membersih kawasan kampung bersama penduduk di Kampung Assyakirin Fasa 3, hari ini.
Justeru, Pang berterima kasih kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung tersebut yang telah memainkan peranannya dengan baik.
"Kita berharap akan dapat menjadikan kampung ini lebih bersih, selamat dan harmoni untuk didiami oleh penduduk," katanya.
Di samping terlibat dalam kerja-kerja membersih persekitaran rumah dan kawasan kampung, Pang turut mendengar permasalahan dan pelbagai perkara yang dikemuka dan dibangkitkan oleh penduduk kampung bagi memastikan kesejahteraan penduduk di kawasan itu.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|