MERAK Jalanan rasa ada sesuatu yang tak kena dengan masyarakat kita yang suka jaja kisah dalam kain di media sosial.
Lebih malang kalau yang didedahkan itu cerita aib keluarga sendiri.
Suami isteri bergaduh, anak kecam emak ayah sehinggalah ibu bapa tunjuk benci pada menantu. Semua itu kini diceritakan secara terbuka di media sosial sampai orang yang tak nak ambil tahu pun jadi tahu.
Merak Jalanan masih ingat tak lama dulu ada isteri sanggup buat rakaman video live untuk perangkap si suami yang didakwa curang bersama wanita lain.
Baru-baru ini pula riuh-rendah kisah selebriti kahwin lagi bertebaran. Berbagai tuduhan, kecaman dan nista dilemparkan.
Merak Jalanan faham adakalanya perkongsian di media sosial itu sekadar luahan atau menjelaskan keadaan.
Yelah, tidak semua perbuatan boleh dikatakan membuka aib jika luahan hati itu tidak melampau-lampau.
Cuma Merak Jalanan nak ingatkan, berpada-padalah kalau kita benci atau sayangkan seseorang.
Cintailah seseorang cintai sekadarnya. Boleh jadi orang yang sekarang kita cintai suatu hari nanti menjadi orang paling kita benci.
Begitu juga janganlah benci sebenci-bencinya kerana tak mustahil dia akan menjadi orang paling kita sayang.
Setahu Merak Jalanan, perkara ini ada disebutkan dalam hadis sahih riwayat At-Tirmizi.
Manalah tahu takdir ALLAH, menantu dibenci itulah nanti yang menjaga sakit pening kita ketika di hujung hayat, atau orang yang kita benci itulah yang akan datang menolong semasa kita susah.
Begitu juga tak perlulah terlampau percayakan seseorang.
Manalah tahu orang yang disangka kawan atau pembantu setia akhirnya bertukar jadi lawan.
Hal ini banyak berlaku di depan mata kita terutama membabitkan orang politik.
Malah dalam satu kes mahkamah berprofil tinggi, orang kepercayaan tertuduh sendiri jadi saksi pendakwaan dan buat pendedahan yang mengejutkan.
Jadi, berpada-padalah dalam semua hal.